Isnin, 14 April 2025

Seorang lelaki maut dalam letupan gas yang memusnahkan rumah

Seorang lelaki maut dalam letupan gas yang memusnahkan rumah

 

Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an terbunuh dalam insiden letupan gas di Nottinghamshire yang memusnahkan sebuah rumah, lapor akhbar The Sun UK pada 13 April 2025.


Perkhidmatan kecemasan dipanggil ke John Street, bandar Worksop pada pukul 7.39 malam (waktu tempatan) selepas letupan berlaku di sebuah rumah semalam.


Rumah teres itu musnah, manakala kerosakan ketara turut berlaku pada beberapa kediaman lain.


Mayat mangsa kemudian ditemukan di bawah runtuhan kediaman tersebut.


"Ini adalah kejadian sangat serius yang menyebabkan kematian seorang lelaki. Saya pasti insiden mengejutkan masyarakat di Worksop," kata Ketua Inspektor Polis Nottinghamshire, Clive Collings.


Sebahagian penduduk di John Street telah dipindahkan, manakala siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca letupan.


Penduduk Jonathan Hodson, 51, menyifatkan mendengar 'letupan yang hebat' sambil menambah: "Panel pagar bergegar dan tingkap bergegar."


Karolina Ciolko, yang tinggal berdekatan, berkata: "Saya segera melihat ke luar tingkap dan melihat asap.


"Kereta di hadapan saya bergoyang dan penggera berbunyi. Kami segera berlari keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku." - Sumber The Sun UK.


Sebuah rumah musnah dalam letupan gas di John Street. - Foto LNP.

Ahad, 13 April 2025

Sempat guna 130 hari, wanita jalani pembedahan buang buah pinggang babi

Sempat guna 130 hari, wanita jalani pembedahan buang buah pinggang babi


Seorang wanita telah menjalani pembedahan untuk membuang buah pinggang babi selepas badannya mula menolak organ berkenaan.


Menurut kenyataan doktor, sebelum ini wanita dari Alabama, Amerika Syarikat (AS) Towana Looney menjalani pemindahan buah pinggang babi dan menggunakannya selama 130 hari.


Beliau yang menjadi pesakit ujian dalam kajian pemindahan organ haiwan kepada manusia (xenotransplantasi), kini kembali menjalani rawatan dialisis selepas buah pinggang babi itu dikeluarkan pada 4 April lalu di NYU Langone Health.


Beliau kini telah pulang ke kediamannya di Gadsden, Alabama lima hari kemudian selepas pembedahan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.


Dalam satu kenyataan, Looney mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan yang merawatnya serta peluang untuk menjadi sebahagian daripada penyelidikan bersejarah itu.


"Walaupun hasilnya tidak seperti yang diharapkan, saya tahu banyak perkara telah dipelajari daripada pengalaman saya selama 130 hari menggunakan buah pinggang babi.


"Ini boleh membantu serta memberi inspirasi kepada ramai lagi dalam usaha mengatasi penyakit buah pinggang," katanya.


Para saintis kini giat melakukan pengubahsuaian genetik terhadap babi bagi menjadikan organ haiwan itu lebih menyerupai manusia dalam usaha menangani kekurangan organ penderma untuk pemindahan.


Di Amerika Syarikat, lebih 100,000 individu berada dalam senarai menunggu pemindahan organ, majoritinya memerlukan buah pinggang dan ribuan daripadanya meninggal dunia sebelum mendapat organ yang diperlukan.


Sebelum ini, hanya empat rakyat AS pernah menerima pemindahan organ babi yang telah diubah suai secara genetik secara eksperimen iaitu melibatkan dua jantung dan dua buah pinggang.


Namun semuanya bertahan kurang daripada dua bulan, kesemua penerima sebelum ini merupakan pesakit kritikal dan tidak dapat diselamatkan.


Walaupun percubaan kali ini tidak berjaya sepenuhnya, para penyelidik percaya ia membawa maklumat penting untuk kemajuan bidang xenotransplantasi dan memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan organ pemindahan.


Gambar fail Looney ketika rawatan sebelum menerima buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik di NYU Langone Health, New York pada 11 Disember lalu. - Foto AFP.

Sabtu, 12 April 2025

Hasrat PATI China cari kerja di Malaysia tak kesampaian apabila dicekup di Sungai Golok

Hasrat PATI China cari kerja di Malaysia tak kesampaian apabila dicekup di Sungai Golok


Hasrat seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China untuk bekerja di negara ini tidak kesampaian apabila dicekup di tebing Sungai Golok dekat Tanah Merah semalam.


Suspek yang berusia 38 tahun itu ditahan Tentera Darat Malaysia (TDM) kira-kira pukul 10.30 malam sebaik sahaja mendarat di tebing sungai tersebut dengan menaiki sebuah bot.


Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) berkata, pasukan beroperasi yang melaksanakan rondaan di kawasan itu mendapati sebuah bot di tebing Sungai Golok berhampiran kawasan hutan.


Menurutnya, pemeriksaan mendapati, suspek merupakan warga China berdasarkan kepada penemuan dokumen peribadi iaitu kad pengenalan dan pasport yang masih sah.


"Suspek mendakwa telah membayar sejumlah wang kepada ejen yang menjanjikan peluang pekerjaan di negara ini.


"Nilai barangan peribadi termasuk mata wang China dan Thailand yang ditemui bersama PATI adalah dianggarkan sebanyak lebih RM13,900," katanya.


Tambahnya, suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya. - Sumber Kosmo Online.


Anggota tentera menahan seorang PATI warga China di kawasan hutan berhampiran tebing Sungai Golok dekat Tanah Merah semalam. - Foto Dua Divisyen.

Jumaat, 11 April 2025

Lelaki maut terkena renjatan elektrik guna telefon yang dicas ketika banjir

Lelaki maut terkena renjatan elektrik guna telefon yang dicas ketika banjir


Seorang lelaki maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas dalam kejadian banjir di rumahnya di Kampung Padang Jawa, Shah Alam petang tadi.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, maklumat diterima pihaknya daripada orang awam pada jam 6.11 petang.


Menurutnya, mangsa yang maut berusia 24 tahun dan bekerja sebagai pekerja penghantar barang.


"Mayat mangsa ditemui tertiarap dalam keadaan memakai t-shirt tanpa lengan warna biru gelap dan seluar pendek warna hitam.


"Tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh mangsa yang boleh menyebabkan kematian. Siasatan awal mengesyaki mangsa terkena renjatan elektrik semasa menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas dalam keadaan rumah dinaiki banjir," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim," ujarnya.


Sehubungan itu, Mohd Iqbal menasihati orang ramai agar lebih berwaspada menggunakan peralatan elektrik dan elektronik semasa musim banjir bagi mengelakkan risiko terkena renjatan elektrik.


Seorang lelaki maut disyaki terkena renjatan elektrik ketika banjir di rumahnya di Padang Jawa, Shah Alam hari ini. - Foto Sinar Harian.

Khamis, 10 April 2025

Pasangan lelaki dan wanita pecah dobi, larikan peti besi wang pertukaran token

Pasangan lelaki dan wanita pecah dobi, larikan peti besi wang pertukaran token


Seorang pengusaha dobi layan diri kerugian RM1,500 selepas premis perniagaannya dipecah masuk dua penjenayah di Simpang Sekayu, Batu 24, Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini.


Lelaki berusia 62 tahun itu menyedari kesan umpilan pada mesin pertukaran token dobi sebaik tiba di premis terbabit pada pukul 6.45 pagi.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, semakan rakaman CCTV mendapati perbuatan jenayah tersebut dilakukan pasangan lelaki dan wanita.


"Berdasarkan rakaman tersebut, dua penjenayah terbabit dilihat mengumpil dinding luar mesin pertukaran token itu.


"Mereka kemudiannya memotong peti besi mengandungi wang tunai menggunakan 'grinder' (mesin pencanai besi)," katanya ketika dihubungi hari ini.


Sharudin berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan kedua-dua suspek yang disyaki telah melarikan peti besi terbabit.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.


Tangkap layar rakaman CCTV memaparkan dua individu disyaki memecah masuk dobi di Simpang Sekayu, Batu 24, Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini. - Foto Kosmo Online.

Selasa, 8 April 2025

Lelaki 'joging' dalam keadaan bogel rupanya ada masalah mental

Lelaki 'joging' dalam keadaan bogel rupanya ada masalah mental


Seorang remaja lelaki ditahan selepas berlari dalam keadaan bogel di simpang tiga, Persiaran Kayangan, Seksyen 8 di Shah Alam pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan insiden itu pada jam 8.30 pagi.


"Sepasukan anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Seksyen 6 segera digerakkan ke lokasi dan menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.


"Remaja tersebut berjaya dipujuk dan ditenangkan sebelum dibawa ke balai polis.


"Anggota Balai Polis Seksyen 6 telah memberikan pakaian kepada remaja tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Iqbal berkata, remaja itu didapati hanya boleh berintraksi menggunakan isyarat tangan dan dia telah menulis nombor telefon orang yang boleh dihubungi.


"Seorang lelaki telah hadir ke balai polis dan memaklumkan bahawa anak saudaranya itu tinggal bersamanya di Seksyen 9, Shah Alam.


"Remaja itu mengalami masalah gangguan mental serta pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.


"Remaja terbabit kini diserahkan kepada bapa saudaranya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Shah Alam," katanya.


Tangkap layar video tular memaparkan seorang remaja lelaki berlari dalam keadaan bogel di Seksyen 8, Shah Alam hari ini. - Foto Sinar Harian.

Isnin, 7 April 2025

Buruh binaan panjat kren setinggi 126 meter selepas terdengar bisikan

Buruh binaan panjat kren setinggi 126 meter selepas terdengar bisikan


Seorang buruh binaan memanjat menara kren setinggi kira-kira 126 meter di sebuah kawasan tapak pembinaan bangunan di Luyang, Penampang pada awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, lelaki berusia 40-an terbabit mendakwa dia tidak menyedari perbuatannya namun hanya terdengar bisikan untuk naik ke puncak kren sebaik bangun dari tidur.


Susulan kejadian itu, orang awam yang ternampak lelaki terbabit bertindak menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.57 pagi.


"Menurut laporan, lelaki terbabit berada di hujung menara kren di kedudukan atas bangunan dan ketika kejadian, lelaki tersebut berjaya turun dengan sendiri dari ketinggian 126 meter dalam keadaan selamat.


"Menurut lelaki tersebut, dia bukan berniat mahu membunuh diri tetapi dalam keadaan tidak sedar seperti ada bisikan selepas bangun waktu subuh," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, lelaki terbabit kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


"Operasi turut ditamatkan pada jam 8.02 pagi selepas anggota kami memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian," katanya.


Seorang lelaki memanjang menara kren tanpa disedarinya selepas mendakwa terdengar bisikan sebaik bangun tidur awal pagi tadi dalam kejadian di kawasan tapak pembinaan di Luyang, Penampang di Sabah. - Foto Sinar Harian.
Saintis tunjuk bukti tamadun asing purba di Planet Marikh

Saintis tunjuk bukti tamadun asing purba di Planet Marikh


Seorang penyelidik Planet Marikh mendedahkan bahawa permukaan planet merah itu mempunyai pelbagai tinggalan binaan yang menggambarkan tamadun asing purba, lapor portal berita Daily Mail pada 6 April 2025.


Pengasas dan penyiasat utama Institut Cydonia, George J. Haas dalam buku terbaharunya berkata, pasukannya menganalisis berpuluh-puluh gambar struktur Marikh yang diyakini hasil binaan 'benda hidup'.


Ia termasuk piramid, formasi berbentuk lubang kunci dan struktur mirip burung kakaktua.


Menurutnya, formasi itu mungkin tinggalan bandar yang dahulunya megah, piramid yang menjulang tinggi, geoglyph gergasi dan banyak lagi.


Sebagai seorang penyelidik terlatih, Haas mempunyai mata tajam untuk menguraikan perbezaan halus antara pembentukan semula jadi dan struktur yang sengaja dibuat.


"Anda tidak perlu menjadi ahli geologi untuk mengetahui perbezaan antara batu dan arca. Ia adalah suatu corak geometri," kata Haas.


Bagaimanapun, saintis-saintis lain berkata, dakwaan Haas adalah hasil daripada pareidolia iaitu fenomena otak apabila seseorang melihat wajah dalam imej atau corak secara rawak. - Sumber Daily Mail.


Struktur 'lubang kunci' di permukaan Marikh terdiri daripada dua bahagian utama: formasi berbentuk baji dan kubah bulat yang melekat. - Foto George J. Haas.

Geoglyph burung nuri mempunyai 22 mata ketepatan anatomi, menurut Haas. - Foto George J. Haas.

Piramid Sagan ialah piramid tiga segi yang terletak di Marikh yang menarik perhatian ahli astronomi terkenal Carl Sagan pada tahun 1970-an. - Foto George J. Haas.

George J. Haas ialah pengasas dan penyiasat utama kumpulan penyelidikan Marikh yang dikenali sebagai The Cydonia Institute, dan pengarang 'The Great Architects of Mars'. - Foto The Proof is Out There.

Sabtu, 5 April 2025

Penumpang wanita bergaduh kerana bau badan, penerbangan terpaksa ditangguhkan selama 2 jam

Penumpang wanita bergaduh kerana bau badan, penerbangan terpaksa ditangguhkan selama 2 jam


Dua penumpang wanita yang menaiki penerbangan Shenzhen Airlines dari Shenzhen ke Jingdezhen, China saling menarik rambut ketika bergaduh tentang isu bau badan, lapor laman berita MSNews semalam.


Pengguna platform Weibo dikenali sebagai Terminal Lady berkata, pertengkaran bermula apabila salah seorang penumpang itu mengadu bahawa badan seorang lagi wanita berbau busuk.


Menurutnya, kekecohan tercetus sebelum pesawat berlepas apabila penumpang pertama menyembur minyak wangi.


Salah seorang daripada mereka juga didakwa menggigit pramugari yang cuba meleraikan pergaduhan itu.


Menurut Sing Tao Daily, insiden itu berlaku pada Selasa (1 April) sebelum pesawat itu berlepas.


Penumpang-penumpang terbabit diserahkan kepada polis, manakala Shenzhen Airlines sedang menyiasat kejadian itu.


Penerbangan itu terpaksa ditangguhkan selama lebih dua jam berikutan pergaduhan tersebut. - Sumber MSNews.


Pramugari dan penumpang meleraikan dua wanita bergaduh dalam sebuah pesawat. - Foto Weibo.

Jumaat, 4 April 2025

Lelaki maut ketika curi kabel atas bumbung Pasar Siti Hajar

Lelaki maut ketika curi kabel atas bumbung Pasar Siti Hajar


Seorang lelaki ditemui maut di atas bumbung dipercayai mencuri kabel elektrik bangunan Pasar Siti Hajar, Pasir Puteh hari ini.


Lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu disahkan meninggal dunia oleh pihak polis kira-kira pukul 4.50 pagi tadi.


Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Engku Mohd. Azam Engku Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.59 pagi untuk membantu menurunkan mangsa dari atas bumbung bangunan pasar berkenaan.


Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati seorang lelaki meninggal dunia di atas bumbung.


"Difahamkan, lelaki terbabit bersama dua lagi rakannya berada di atas bumbung pasar berkenaan untuk mencuri kabel. Dua rakannya sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak polis," katanya ketika dihubungi hari ini.


Engku Mohd.Azam memberitahu, mangsa akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


Seorang lelaki ditemui meninggal dunia semasa mencuri kabel di atas bumbung Pasar Siti Hajar, Pasir Puteh hari ini. - Foto Kosmo Online/ Bomba.