Sabtu, 11 Januari 2025

Sindiket mencuri dalam pesawat, lagi lelaki warga China ditahan di Pulau Pinang

Sindiket mencuri dalam pesawat, lagi lelaki warga China ditahan di Pulau Pinang


Polis menahan lelaki warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas, hari ini kerana disyaki mencuri barangan milik penumpang pesawat komersial.


Suspek berusia 54 tahun itu juga disyaki ahli sindiket daripada penahanan tiga lelaki yang terbabit kes kecurian dalam pesawat, pada hujung tahun lalu.


Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, penahanan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada wanita warga Australia berusia 44 tahun yang datang bercuti ke negeri ini.


Katanya, mangsa mendakwa kad kredit miliknya cuba dicuri ketika dalam pesawat dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.


"Susulan itu, suspek yang juga warga China ditahan ketika kejadian dan akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Sazalee berkata, polis percaya suspek terbabit ahli sindiket daripada tiga individu warga China yang ditahan berkaitan dengan kes kecurian dalam pesawat pada November dan Disember lalu.


"Bagi kes berkenaan, kesemua tertuduh dari Hunan, China yang berusia 51 hingga 61 tahun itu ditahan ketika kejadian dan sudah didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau," katanya.

Jumaat, 10 Januari 2025

Wanita maut di hadapan rumahnya dimakan babi yang kelaparan

Wanita maut di hadapan rumahnya dimakan babi yang kelaparan


Seorang wanita ditemui mati selepas dimakan oleh beberapa ekor babi yang kelaparan di hadapan rumahnya di negeri Ohio, lapor akhbar Daily Star pada 9 Januari 2025.


Kejadian berlaku di bandar Pataskala selepas mangsa bernama Rebecca Westergaard Rigney, tidak pulang meraikan perayaan Krismas bersama keluarganya.


Timbalan Koroner Licking, Jeff Lee berkata, Rigney ditemui tidak bernyawa di hadapan tangga apartmennnya dengan kecederaan pada bahagian kaki.


"Anggota-anggota polis yang tiba di tempat kejadian menemui seekor babi gergasi dan beberapa ekor babi lain.


"Babi-babi tersebut dikuarantin oleh pihak berkuasa untuk siasatan lanjut," kata Lee.


Kematian Rigney dianggap sebagai tidak disengajakan selepas haiwan ternakan itu membaham mangsa.


"Bedah siasat mendapati punca kematian Rigney disebabkan pengambilan ubat pencair darah untuk masalah jantung.


"Mangsa diserang di kaki menyebabkan pendarahan tanpa henti," katanya.


Ketua Polis Pataskala, Bruce Brooks menyifatkan kes itu sebagai keadaan yang mengerikan dan mengelirukan.


"Pihak berkuasa tidak pasti apa yang perlu dilakukan kerana babi yang terlibat bukan haiwan seperti anjing yang biasanya agresif dan menyerang orang ramai," tambah Brooks. - Sumber Daily Star.


Rebecca Westergaard Rigney ditemui mati di luar rumahnya di Pataskala, Ohio. - Foto Crimeonline.com.

Khamis, 9 Januari 2025

Wanita gaduh dengan 2 suami di pasar selepas kantoi lari ikut 'mat saleh'

Wanita gaduh dengan 2 suami di pasar selepas kantoi lari ikut 'mat saleh'


Sebuah video tular di media sosial memaparkan insiden pergaduhan melibatkan seorang wanita bersama dua suaminya di samping teman lelakinya, lapor laman berita Thaiger hari ini.


Kejadian berlaku di rantau Isaan, wilayah Surin pada 5 Januari lalu di sebuah pasar.


Berdasarkan video dirakam salah seorang saksi, wanita itu pada awalnya sedang minum bersama teman lelakinya yang merupakan warga asing berkulit putih.


Wanita itu kemudian didengari menjawab panggilan telefon dengan nada marah, manakala butir percakapannya menyebut bahawa dia mencabar dua suaminya pergi ke lokasi itu.


Tidak lama kemudian, dua lelaki Thai tiba dan pertengkaran mula berlaku antara keempat-empat mereka.


Salah seorang daripada mereka melempar botol minuman keras, yang hampir mengenai individu yang merakam video tersebut.


Ketiga-tiga lelaki itu juga saling memukul sambil disaksikan orang ramai.


Menurut anak wanita yang terlibat dalam pergaduhan itu, ibunya sebelum ini hidup secara aman dengan dua suami.


Tambahnya, si ibu banyak menghabiskan duit dua suaminya sebelum dia meninggalkan mereka selepas bertemu dengan teman lelaki baharu, lapor akhbar ThaiRath.


Tidak dinyatakan nasib keempat-empat mereka selepas pergaduhan itu atau sebarang tindakan undang-undang yang diambil. - Sumber The Thaiger.


Wanita tersebut bertengkar dengan dua suaminya di samping teman lelakinya. - Foto Facebook.

Rabu, 8 Januari 2025

Dua mayat ditemukan dalam roda pesawat selepas kapal terbang itu mendarat

Dua mayat ditemukan dalam roda pesawat selepas kapal terbang itu mendarat


Dua individu ditemukan mati di bahagian roda sebuah pesawat JetBlue selepas kapal terbang itu mendarat di sebuah lapangan terbang di negeri Florida, Amerika Syarikat, lapor akhbar Mirror UK semalam. 


Syarikat penerbangan JetBlue berkata, kejadian berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Fort Lauderdale-Hollywood (FLHIA) kelmarin.


Dua mayat tersebut ditemukan semasa pemeriksaan rutin pada pesawat jenis Airbus A2320 selepas penerbangan pada petang Isnin, 6 Januari yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di New York.


"Pada masa ini, identiti mayat dan selok belok bagaimana mereka mengakses pesawat itu masih dalam siasatan," kata kenyataan JetBlue yang dilaporkan AP pada Rabu, 8 Januari.


"Ini adalah situasi yang menyayat hati dan kami komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyokong usaha mereka memahami bagaimana ini berlaku.


"Dua mayat ditemukan di roda yang menempatkan gear pendaratan pesawat semasa pemeriksaan penyelenggaran dilakukan.


"Identiti kedua-dua mangsa masih dalam siasatan," kata syarikat itu sambil menambah, pihaknya sedang bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang untuk siasatan lanjut.


Petugas menemui dua mayat di roda pesawat JetBlue di Lapangan Terbang Antarabangsa Fort Lauderdale-Hollywood di Florida pada Isnin, 6 Januari 2025. - Foto NBC6.

Selasa, 7 Januari 2025

Lelaki mabuk mengamuk sangkakan motosikal hilang, rupanya pergi kedai jalan kaki

Lelaki mabuk mengamuk sangkakan motosikal hilang, rupanya pergi kedai jalan kaki


Seorang lelaki di Sleman, Jogjakarta mengamuk sehingga mengadang sebatang jalan menggunakan bangku selepas mendapati motosikal miliknya hilang, lapor laman berita Detiksumut semalam.


Dia turut memekik dan memarahi orang ramai di kawasan itu sebelum ditahan oleh beberapa anggota tentera yang kemudian membawanya ke balai polis.


Namun, lelaki tersebut kemudian memohon maaf selepas mendapati bahawa motosikal miliknya sebenarnya bukan hilang, sebaliknya tidak dibawa ke kedai.


Dalam kejadian pada Sabtu lalu (4 Januari 2025), lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan baru selesai membeli rokok di sebuah kedai.


Dia kemudian mengamuk dengan menendang meja dan kerusi di sebuah warung apabila menyangka motosikal miliknya hilang.


"Beberapa bangku juga diambil dan diletakkan di tengah jalan. Sesiapa yang masih melalui jalan itu diherdik sehinggakan orang ramai terpaksa berpatah balik," kata seorang saksi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Depok Barat, Asisten Komisioner Polis Andika Arya Pratama berkata, lalaki dikenali sebagai W itu dibawa ke balai oleh beberapa anggota tentera yang kebetulan berada di kawasan tersebut.


Menurut Andika, W menyangka motosikalnya hilang semasa dia membeli rokok di kedai.


"Namun selepas diselidik, dia sebenarnya tidak membawa motosikal ke kedai. Dia keluar dari rumahnya dengan berjalan kaki dan dalam keadaan mabuk ketika itu," kata Andika.


Tambah Andika, W kemudian dibenarkan pulang ke rumah dan lelaki itu meminta maaf atas perbuatannya. - Sumber DetikSumut.


W meletakkan beberapa bangku di tengah jalan ketika mengamuk. - Foto Instagram.

Isnin, 6 Januari 2025

Ikan tuna seberat 276kg dijual pada harga RM6 Juta di Tokyo

Ikan tuna seberat 276kg dijual pada harga RM6 Juta di Tokyo


Seekor tuna biru berjaya dijual pada harga 207 juta yen (kira-kira RM6 juta) dalam lelongan tahunan di Pasar Ikan Toyosu, Tokyo semalam (5 Januari), menjadikan ia tawaran kedua tertinggi dalam sejarah lelongan sejak 1999, menurut penganjur.


Ikan seberat 276 kilogram itu dibeli bersama oleh pemborong terkenal Yamayuki dan restoran sushi mewah, Sushi Ginza Onodera, menurut laporan Reuters.


Rekod bidaan tertinggi dalam lelongan itu adalah 333.6 juta yen (kira-kira RM13 juta pada waktu itu) yang dicatatkan pada tahun 2019, ketika pasar ikan itu dipindahkan dari kawasan tradisionalnya, Tsukiji ke kemudahan moden di Toyosu yang berdekatan.


Bidaan rekod itu dibuat Kiyoshi Kimura yang mengisytiharkan dirinya sebagai "Raja Tuna" yang mengendalikan rangkaian restoran nasional, Sushi Zanmai.


Lelongan semalam menyaksikan suasana meriah dengan pelelong membunyikan loceng sebagai tanda jualan dan para pembida giat menawarkan harga untuk tuna yang dipamerkan. Ikan-ikan tersebut turut diperiksa dengan teliti oleh pembida dan vendor sebelum dibeli.


Pasar Ikan Toyosu terkenal sebagai destinasi utama bagi perdagangan tuna di Jepun dan menjadi tumpuan penggemar makanan laut dari seluruh dunia.


Seekor tuna biru seberat 276 kilogram yang dilelong pada harga 207 juta yen Jepun (kira-kira RM6 juta) telah dipamerkan selepas lelongan tuna pertama bagi Tahun Baharu di Pasar Toyosu, Tokyo, Jepun. - Foto Reuters.
Wanita rosakkan perabot rumah tunang berang mas kahwin 'ciput'

Wanita rosakkan perabot rumah tunang berang mas kahwin 'ciput'


Seorang wanita di Phon Charoen, wilayah Bueng Kan di Thailand merosakkan harta benda rumah tunangnya kerana berang tidak diberikan mas kahwin sebanyak 150,000 baht (RM20,000) seperti yang diminta, lapor laman berita Thaiger hari ini.


Wanita dikenali sebagai Wanida, 22, menyelongkar kediaman bakal suaminya semalam, selepas Wasan, 23, hanya bersetuju untuk memberikan mas kahwin sebanyak 50,000 baht (RM6,500).


Dalam keadaan marah, Wanida memecah masuk rumah Wasan dan merosakkan harta benda lelaki itu sehinggakan ada perabot yang patah dan pelbagai barangan pecah.


"Dia memukul saya tetapi saya tidak melawan. Dia masih belum meminta maaf kepada saya dan saya tidak mahu perkara ini menjadi tatapan umum.


"Saya hanya mahu dia membayar ganti rugi atas kerosakan itu, dan mengenai rancangan kami untuk berkahwin, ia masih belum diputuskan," kata Wasan.


Tambah Wasan, dia sebelum itu bersetuju untuk memberikan mas kahwin sebanyak 50,000 baht tetapi Wanida meminta 150,000 baht.


"Bagaimanapun, perasaan saya terhadap dia tidak berubah," katanya.


Sementara itu, nenek Wasan, Boonmee berkata, dia merancang untuk membuat laporan polis ke atas Wanida bagi kerosakan yang dibuat terhadap harta benda cucunya. - Sumber The Thaiger.


Keadaan perabot rumah Wasan yang diterbalikkan. - Foto Khaosod.

Ahad, 5 Januari 2025

Ular gigit wanita ketika buang air dalam gelap dirumahnya

Ular gigit wanita ketika buang air dalam gelap dirumahnya


Seorang wanita terkejut apabila kakinya digigit seekor ular ketika dia duduk di atas mangkuk tandas di rumahnya di negeri Texas, lapor portal berita KXAN Austin.


Kejadian berlaku sekitar pukul 4.30 pagi (waktu tempatan) di kawasan perumahan dekat bandar Bastrop pada Ahad dua minggu lalu.


Mangsa yang bernama Maria Jaimes berkata, dia bangun untuk menggunakan bilik air dan tidak menyalakan lampu.


"Semasa duduk di atas mangkuk tandas, saya berasa sesuatu yang aneh menyentuh kaki saya dan ia terasa seperti digigit semut.


"Saya terkejut apabila mendapati haiwan yang menggigit kaki saya adalah seekor ular. Ia sangat menakutkan terutamanya dalam keadaan gelap," kata Jaimes.


Tambah Jaimes, reptilia itu dipercayai masuk melalui lubang pada bumbung rumahnya.


"Saya segera meminta suami untuk menutup lubang tersebut untuk mengelak kejadian seperti ini berulang," tambahnya. - Sumber KXAN.


Seekor ular mematuk kaki seorang wanita di dalam tandas ketika dalam gelap. - Foto KXAN.

Sabtu, 4 Januari 2025

Penampakan susuk misteri menyerupai puntianak gemparkan penduduk kampung

Penampakan susuk misteri menyerupai puntianak gemparkan penduduk kampung


Satu rakaman video memaparkan lembaga menyerupai puntianak menyebabkan penduduk Desa Bonongslawi, wilayah Jawa Barat menjadi gempar, lapor portal berita Indramayunnews.id hari ini.


Video itu menjadi tular di media sosial semalam (3/1/2025) memaparkan susuk misteri berambut panjang dan memakai pakaian putih.


Penampakan itu menyebabkan penduduk kampung keluar rumah membawa kayu dan lampu suluh untuk memburu puntianak tersebut.


Sebilangan penduduk menganggap lembaga itu ialah puntianak jadi-jadian, manakala yang lain percaya ia adalah penampakan asli.


"Kejadian seperti ini baru pertama kali terjadi di desa kami.


"Kami berharap ini tidak membawa kesan buruk kepada penduduk," ujar seorang penduduk kampung itu yang enggan namanya didedahkan.


Keresahan penduduk terus meningkat dan ramai yang berharap agar kejadian itu dapat dirungkai dengan segera. Di tengah-tengah kekeliruan, penduduk diminta bertenang dan berhati-hati. - Sumber Indramayunnews.id.


Ratusan penduduk mengunjungi rumah penduduk yang disyaki terdapat kuntilanak. - Foto Indramayunnews.id.
Lelaki meninggal dunia hidup semula selepas ambulans langgar bonggol penghalang kelajuan

Lelaki meninggal dunia hidup semula selepas ambulans langgar bonggol penghalang kelajuan


Seorang lelaki yang diisytiharkan meninggal dunia akibat sakit jantung, kembali bernyawa selepas ambulans membawanya melanggar bonggol penghalang kelajuan dalam kejadian bulan lalu di Kolhapur, India, lapor portal berita Mint pada 3 Januari 2025.


Lelaki berkenaan, Pandurang Ulpe yang berusia 65 tahun akhirnya dibenarkan pulang dari sebuah hospital selepas menjalani pembedahan meluaskan salur darah pada minggu ini.


Dua minggu sebelum itu, 'mayat' lelaki itu dibawa pulang ke rumah untuk upacara terakhir pengebumian.


"Ketika kami membawa mayat Pandurang pulang dari hospital, ambulans melanggar bonggol penghalang kelajuan dan kami perasan ada pergerakan pada jarinya," kata isteri pesakit kepada agensi berita PTI.


Ambulans itu kemudian melencong ke hospital lain dan Ulpe tidak lama kemudian dimasukkan ke wad unit rawatan rapi.


Seorang ahli keluarga mengesahkan dia telah menjalani pembedahan angioplasti sepanjang dua minggu berada di hospital berkenaan sebelum dibenarkan keluar awal minggu ini.


Pada 16 Disember tahun lalu, dia telah dihantar ke sebuah hospital swasta selepas mengalami serangan jantung dan disahkan meninggal dunia oleh doktor.


Jiran dan saudara mara telah berkumpul di rumahnya sebaik mendengar berita itu dan persiapan untuk upacara pengebumian telah dilakukan. - Sumber Live Mint.