Seorang ahli sindiket along dipenjara setahun dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas dua kesalahan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah di kediaman mangsa, Julai lalu.
Majistret, S Punitha menjatuhi hukuman tersebut selepas tertuduh, Chee Wei Leong, 44, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit dan menetapkan hukuman penjara selama setahun bermula dari tarikh tangkapan iaitu 15 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat merah pada pagar dan pintu sebuah rumah di Kampung Baru Bukit Merah, Lahat, yang menyebabkan kerugian RM500 pada jam 6.01 pagi, 13 Julai lalu.
Dia turut didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah rumah di Taman Utama Bercham yang menyebabkan kerugian lebih RM25 pada pukul 7 pagi, 8 Julai 2024.
Pertuduhan bagi kedua-dua kes dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Izawani Ahmad Jalaludin.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan, tertuduh membuat pengakuan bersalah atas empat pertuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat melibatkan empat kediaman berbeza antara 3 Jun hingga 13 Julai 2024.
Bagaimanapun, Majistret, Noor Azreen Liana Mohd Darus menetapkan 18 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukum dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini dan tertuduh diwakili Peguam YBGK, Ng Yun Khong.
Wei Leong dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas kesalahan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah. - Foto Sinar Harian.