Ahad, 10 September 2023

Lelaki sado menangis teresak-esak di balai polis lapor hilang ayam

Lelaki sado menangis teresak-esak di balai polis lapor hilang ayam


Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang lelaki berbadan tegap meraung ketika membuat laporan mengenai kehilangan ayam kesayangannya di balai polis, lapor laman berita Detik hari ini.


Kejadian yang dikatakan berlaku di Balai Polis Tebo, Jambi itu dimuat naik dalam akaun TikTok @adi.sudirja.25 pada Sabtu (9/9/2023) dan video tersebut sudah ditonton lebih 11 juta kali.


Dalam video itu, kelihatan dua anggota polis cuba menahan lelaki berbadan tegap itu supaya dia dapat menenangkan dirinya.


"Ayam saya hilang, tuan. Tuan, ayam saya hilang," kata lelaki tersebut dalam keadaan menangis teresak-esak.


"Jangan pegang saya, jangan tenangkan saya. Biar kejadian itu diketahui ramai," tambah lelaki itu.


Selepas diberi air mineral, tangisan lelaki tersebut mula reda dan dia kemudian melaporkan kehilangan ayamnya kepada pegawai polis yang bertugas ketika itu.


"Tolong rekodkan, tuan (laporan). Nama ayam saya Ahmad Saputra, tuan," kata lelaki itu.


Selepas kejadian itu tular, Ketua Polis Tebo, Wayan Arta Ariawan berkata, video tersebut dirakam hasil kerjasama pihaknya dengan seorang lelaki bernama Adi Sudirja.


"Video itu memberi pesanan bahawa Polis Tebo sedia berkhidmat untuk masyarakat dalam apa jua kes tanpa terkecuali," jelasnya. - Sumber DetikSumbagsel.


Lelaki itu ditenangkan beberapa pegawai di Balai Polis Tebo. - Foto Detik.
Penunggang basikal tendang budak berjaya saman bapa kerana sebar video

Penunggang basikal tendang budak berjaya saman bapa kerana sebar video


Seorang penunggang basikal yang pernah tular selepas dirakam menendang seorang budak perempuan, menyaman bapa kanak-kanak itu kerana berkongsi video kejadian tersebut di media sosial.


Akhbar Metro UK pada 9 September 2023 melaporkan, video kejadian itu berlaku semasa Hari Krismas pada 2020. 


Lutut penunggang basikal dengan identiti tidak didedahkan itu dikatakan terkena budak berusia lima tahun tersebut ketika mereka berada di sebatang jalan bersalji di Baraque Michel, Belgium.


Bapa budak perempuan itu, Patrick Mpasa sedang berjalan bersama keluarganya ketika kejadian.


Dia yang secara tidak sengaja merakam kejadian itu telah memuat naik video tersebut di media sosial dengan mendakwa bahawa penunggang basikal berkenaan tidak meminta maaf.


Kes itu dibawa ke mahkamah di mana penunggang basikal itu didapati bersalah dan perlu membayar pampasan sebanyak €1 (RM5) kepada Mpasa.


Selepas setahun, penunggang basikal berkenaan menyaman Mpasa kerana dikatakan menyebar fitnah sehingga menyebabkan dia menghadapi tindak balas yang teruk daripada orang ramai sehingga dia kini takut meninggalkan rumahnya.


Selepas dua tahun pertikaian undang-undang, penunggang basikal tersebut memenangi tuntutan mahkamah baru-baru ini.


Dia meminta untuk dibayar €4,500 (RM22,500) sebagai pampasan, harga yang sama dengan basikalnya.


Tetapi menurut The Sun, jumlah sebenar pampasan yang akan diterima lelaki itu akan ditentukan pada April 2024. - Sumber Metro UK News.


Lelaki itu secara tidak sengaja menendang budak perempuan ketika berbasikal. - Foto Newsflash.
Lelaki cuba rentas Lautan Atlantik sejauh 7,593km menaiki kapal unik buatan sendiri

Lelaki cuba rentas Lautan Atlantik sejauh 7,593km menaiki kapal unik buatan sendiri


Lelaki ditahan selepas cuba merentasi Lautan Atlantik dari Florida, Amerika Syarikat (AS) untuk ke London, United Kingdom sejauh 4,100 batu nautika (kira-kira 7,593 kilometer) dengan menaiki kapal buatan sendiri menyerupai hamster wheel.


Menerusi lapor Daily Mail pada 6 September 2023, pegawai pantai AS memintas kapal dinaiki Reza Baluchi itu kira-kira 110 kilometer dari Pulau Tybee, Georgia, pada 26 Ogos lalu.


Jurucakap berkata, pelari maraton berusia 51 tahun warga Iran itu, yang tinggal di Florida enggan meninggalkan kapal berkenaan selama tiga hari.


Baluchi didapati melakukan tiga pelayaran serupa sebelum ini namun semuanya berakhir apabila ia digagalkan oleh pengawal pantai.



Kapal digunakannya itu berbentuk roda, dengan dayung yang direka untuk bergerak ke hadapan ketika roda itu berputar, secara teorinya membolehkan ia 'berlari' melintasi ombak.


"Berdasarkan keadaan kapal yang terapung kerana pendawaian dan pelampung, pengawal pantai AS menentukan Baluchi sedang melakukan pelayaran yang nyata tidak selamat," kata aduan jenayah itu.


Pelayaran Baluchi bermula ketika pegawai AS sedang bersiap sedia untuk menghadapi taufan besar.


Jurucakap berkata, Baluchi enggan turun dari kapal itu dan mengancam untuk membunuh diri. Baluchi juga mendakwa ada bom di atas kapal itu, menurut dokumen mahkamah.


Pada 1 September lalu, Baluchi akhirnya menyerah diri dan meninggalkan kapalnya selepas dia dibawa ke pangkalan pengawal pantai di Miami.


Jurucakap kemudiannya mengesahkan bahawa dakwaan mengenai bom itu adalah palsu. Baluchi kini berdepan pertuduhan persekutuan kerana menghalang menaiki kapal dan melanggar perintah kapten pelabuhan. - Sumber Daily Mail.


Baluchi mahu merentasi Lautan Atlantik dengan menggunakan kapal buatan sendiri menyerupai roda hamster. - Foto Daily Mail.

Baluchi didapati melakukan empat kali pelayaran serupa namun semuanya digagalkan oleh pengawal pantai. - Foto Reza Baluchi/Instagram.

Pada 26 Ogos, Pengawal Pantai AS memintasnya di laut dan cuba menangkapnya. - Foto USCGSoutheast.

Sabtu, 9 September 2023

Suami tunai janji beli 1 ekar tanah di Bulan hadiah buat isteri sempena hari lahir

Suami tunai janji beli 1 ekar tanah di Bulan hadiah buat isteri sempena hari lahir


Seorang lelaki di negeri Bengal Barat, India menunaikan janji sebelum ini untuk menghadiahkan Bulan sempena hari lahir pertama isterinya selepas perkahwinan mereka.


Laman berita Wion News pada 8 September melaporkan Sanjay Mahato berbuat demikian dengan membeli sebidang tanah di Bulan atas nama wanita tersebut.


Sanjay mendapat inspirasi untuk membeli tanah berharga 10,000 rupee (RM562) itu selepas kejayaan misi Chandrayaan-3.


Sanjay percaya dia boleh memenuhi janjinya untuk 'membawa Bulan' kepada isterinya dengan membeli sebidang tanah di Bulan.


Dia meminta bantuan Luna Society International untuk merealisasikan perkara itu.


"Saya membeli satu ekar tanah di Bulan untuknya (isteri)," kata Sanjay.


Keseluruhan proses itu mengambil masa kira-kira setahun sebelum Sanjay menerima kertas pendaftaran dengan label 'tuntutan dan surat ikatan berdaftar untuk hartanah di Bulan'.


Bulan memainkan peranan penting dalam kisah cinta Sanjay dan isterinya. Pasangan itu sering duduk di taman sambil merenung Bulan dan berkongsi detik romantis bersama.


Memandangkan Bulan mendapat tempat istimewa di hati mereka, Sanjay menganggap tiada hadiah lebih sesuai untuk sambutan hari lahir pertama isterinya selepas mereka berkahwin. - Sumber Wion News.


Sanjay menyerahkan kertas pendaftaran untuk pembelian tanah di bulan kepada isterinya. - Foto India Today.

Jumaat, 8 September 2023

Kerana berebut kekasih remaja 19 tahun gigi patah ditampar

Kerana berebut kekasih remaja 19 tahun gigi patah ditampar


Gara-gara cemburu, dua wanita tempatan yang juga pembantu kedai makan ditahan polis pada Rabu lalu kerana dipercayai menampar seorang kenalan mereka sehingga mangsa patah gigi.


Dalam kejadian pada Isnin pukul 12.46 tengah malam itu, mangsa yang berusia 19 tahun mendakwa ditampar kedua-dua pipinya di muara Jambatan Angkat Kuala Terengganu.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berusia 40 dan 23 tahun tidak berpuas hati dengan mangsa berhubung isu teman lelaki.


"Mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 4 pagi, Isnin lalu.


"Dia kemudiannya menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu," kata Abdul Rahim ketika dihubungi.


Abdul Rahim berkata, kedua-dua suspek kemudiannya berjaya ditahan di sebuah kedai makan di bandar raya ini pada pukul 2.15 petang pada hari Rabu.


Beliau berkata, dua suspek berkenaan telah ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga Ahad bagi membantu siasatan.


Beliau menjelaskan, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa.


Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.


Dua pembantu kedai makan (dua dan tiga dari kanan) ditahan reman kerana disyaki mencederakan kenalan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam. - Foto Utusan Malaysia.

Rabu, 6 September 2023

Lelaki ditangkap curi 120 pek produk pemutih wajah untuk kekasih

Lelaki ditangkap curi 120 pek produk pemutih wajah untuk kekasih


Polis Thailand menahan seorang lelaki yang mencuri 120 pek produk pemutihan kulit dari sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di wilayah Surin untuk dihadiahkan kepada teman wanitanya, lapor laman berita Thaiger pada 5 September 2023.


Suspek turut mencuri minuman beralkohol vodka dari pasar raya Lotus untuk mengadakan parti dengan rakan-rakannya.


Kisah itu bermula apabila seorang pekerja di pasar raya Lotus menangkap Singha Toomkhon, 38, ketika dia cuba mencuri vodka dari rak kedai. Dalam usaha terdesak untuk melarikan diri, Singha mencuri motosikal Honda Wave berwarna biru hitam milik salah seorang pelanggan pasar raya itu.


Apabila mengetahui kejadian itu, kakitangan pasar raya itu segera menghubungi Polis. Singha akhirnya ditahan di kediamannya ketika dia sedang menikmati alkohol bersama rakan-rakannya.


Selepas ditangkap, Singha mengaku mencuri beberapa kali di pasar raya Lotus, dia telah mencuri dua botol vodka pada kali pertama dan dua lagi pada kali kedua, namun digagalkan oleh seorang kakitangan yang berwaspada semasa percubaan ketiganya.


Singha juga mengakui dia turut menyasarkan kedai serbaneka di mana dia telah mencuri 120 pek produk pemutih dengan nilai keseluruhan melebihi 10,000 baht (RM1,315).


Ia adalah sebagai hadiah untuk teman wanitanya selepas mereka menjalin hubungan cinta selama kira-kira lima bulan.


Dia kini menghadapi pertuduhan jenayah kerana mencuri dan jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga 60,000 baht (RM7,894). - Sumber The Thaiger.


Singha (dalam bulatan) mencuri barangan di sebuah pasar raya di Isaan, Surin baru-baru ini. - Foto Facebook.
Penduduk gali kubur selepas dengar bunyi 'ketukan' selama dua hari berturut-turut

Penduduk gali kubur selepas dengar bunyi 'ketukan' selama dua hari berturut-turut


Sekumpulan penduduk tempatan di Nusa Tenggara Barat, Indonesia menggali semula kubur seorang lelaki yang baru sebulan meninggal dunia selepas mendengar bunyi dentuman kuat dari dalam tanah, lapor program berita Liputan6 pada 6 September 2023.


Video memaparkan kejadian itu dimuat naik dalam akaun Facebook @Salome Kuah Mamagina.


Orang ramai nekad menggali semula kubur itu selepas mendengar bunyi dentuman kuat seolah-olah seseorang sedang memukul papan yang menutupi liang lahad selama dua hari berturut-turut.


Kubur itu dikatakan milik seorang penduduk bernama Ahmad yang meninggal dunia kira-kira 42 hari lalu. 


Ketika kubur itu digali, penduduk kampung menghidu bau busuk daripada mayat yang sudah mereput lalu mereka menutup semula kubur itu.


Walaupun mendapat persetujuan keluarga si mati, tindakan penduduk kampung itu mendapat bantahan pengguna di media sosial.


"Kenapa perlu digali semula? Atas alasan ingin tahu? Bagaimana mungkin mayat itu hidup semula. Mungkin ramai menganggap bunyi ketukan daripada mayat yang hidup semula," komen seorang netizen.


"Ramai bersekolah tetapi tidak berpendidikan," komen netizen lain.


Agensi Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral (ESDM), mengesahkan bunyi dentuman itu terjadi kerana berlaku fenomena semula jadi proses 'tukul air' dari sumber getaran kawanan gempa bumi.


"Kesan tukul air berlaku apabila aliran air secara tiba-tiba mengalami peningkatan tekanan air secara mendadak dalam saluran dan menekan udara yang terperangkap.


"Akibatnya, gelombang tekanan tinggi bergerak ke belakang melalui saluran, menyebabkan bunyi ketukan atau getaran.


"Ini adalah hasil daripada proses peningkatan tekanan air yang berkemungkinan berpunca daripada gempa bumi segerombolan yang kekuatannya agak kecil," kata Hermansyah yang merupakan Pemangku Ketua Agensi ESDM.


Hermansyah berkata, kawanan gempa bumi ialah satu siri gempa bumi kecil yang berlaku dalam tempoh masa yang agak singkat di kawasan geografi tertentu. Kebiasaannya, gempa bumi ini mempunyai magnitud atau kekuatan yang rendah. - Sumber Liputan6.


Penduduk kampung mengerumuni kubur seorang lelaki di Nusa Tenggara Barat. - Foto Facebook.

Selasa, 5 September 2023

Suami tikam kekasih gelap isteri ketika memadu asmara tidur seranjang

Suami tikam kekasih gelap isteri ketika memadu asmara tidur seranjang


Seorang suami di Kota Parepare, wilayah Sulawesi Selatan menikam kekasih gelap isterinya ketika menangkap mereka sedang memadu asmara di rumah ibu mentuanya, lapor laman berita TV One News pada 5 September 2023.


Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Parepare, Asisten Komisioner Polis Salehuddin, suspek yang dikenali sebagai H, singgah di rumah mentuanya sebelum pergi bekerja pada pukul 5 pagi (waktu tempatan 5/09/2023).


"Ketika suspek mahu pergi ke pasar untuk bekerja, dia singgah sebentar di rumah mentuanya bagi mengambil wang.


"Ketika itu, dia melihat isterinya, M, berusia 40 tahun sedang tidur bersama mangsa, B. Emosinya tidak dapat dikawal apabila melihat isterinya ditiduri lelaki lain, dia lantas menikam mangsa menggunakan senjata tajam.


"Mangsa dikejarkan ke hospital kerana mengalami kesan tikaman di dada dan jari selepas menangkis tikaman pelaku," kata Salehudin.


Suspek ditahan atas dakwaan menyerang menggunakan senjata tajam dan dalam masa sama, dia turut membuat laporan polis ke atas isterinya dan mangsa berhubung dakwaan bersekedudukan dan berkelakuan curang.


"Sementara mangsa dirawat di Hospital Fatimah, namun bagi tujuan pemeriksaan, mangsa disoal siasat berhubung kejadian yang berlaku," kata Salehudin. - Sumber TV One News.


Suspek ditahan atas dakwaan menyerang menggunakan senjata tajam. - Foto Rusli Djaafar.

Isnin, 4 September 2023

Bakal suami lari, pengantin wanita terpaksa nikah dengan bapa mentua

Bakal suami lari, pengantin wanita terpaksa nikah dengan bapa mentua


Seorang wanita di Kampung Jikotamo, Daerah Obi, Halmahera Selatan, Indonesia mendapat perhatian ramai apabila dia dinikahkan dengan bakal bapa mentuanya selepas bakal suaminya melarikan diri.


TribunNews pada 4 September 2023 melaporkan, wanita malang itu terpaksa melepaskan impiannya untuk berkahwin dengan kekasih hatinya pada hari bahagia mereka, Selasa lalu (29/8/2023).


Kes itu berlaku selepas bakal suaminya melarikan diri sebelum akad nikah bermula. Bagi menutup malu, bapanya membuat keputusan untuk berkahwin dengan wanita tersebut.


Menerusi video yang tular, kelihatan seorang lelaki mengenakan pakaian batik berlengan panjang yang duduk berdepan dengan individu yang didakwa sebagai bapa lelaki tersebut.


Video itu kemudiannya diteruskan dengan proses nikah antara bapa lelaki dan wanita yang sepatutnya menjadi menantunya.


Menurut TribunNews, abang kepada wanita itu berkata, keluarganya datang ke lokasi akad nikah sebaik sahaja mendapat perkhabaran tersebut.


"Para tetamu sudah datang untuk memenuhi undangan pernikahan.


"Keluarga lelaki itu kemudian memberitahu yang anak mereka hilang tanpa dapat dikesan," katanya sambil memberitahu yang si adik (pengantin perempuan) telah menjalin hubungan cinta yang agak lama dengan pilihan hatinya (bakal suami).


Tambahnya, dia dan keluarga mengalami kerugian sehingga 25 juta rupiah (RM7,630) menguruskan persiapan majlis pernikahan itu.


Dia juga berasa dipergunakan dan malu dengan insiden yang berlaku. - Sumber Tribun News.


Seorang wanita di Kampung Jikotamo, Daerah Obi, Halmahera Selatan, Maluku Utara berkahwin dengan bapa mertuanya. - Foto TribunNews.

Ahad, 3 September 2023

Lelaki ditangkap selepas jumpa wang RM23,000 dalam beg di tempat letak kereta

Lelaki ditangkap selepas jumpa wang RM23,000 dalam beg di tempat letak kereta


Seorang lelaki dari Connecticut, Amerika Syarikat menemui sebuah beg yang mengandungi wang tunai hampir AS$5,000 (RM23,237) di tempat letak kereta sebelum memutuskan untuk menyimpannya, lapor laman berita NBC News pada 31 Ogos 2023.


Namun, malang buat lelaki itu kerana tiga bulan kemudian, dia didakwa kerana mencuri wang tersebut.


Menurut polis, beg itu ditanda dengan jelas dengan lambang bank. Ia ditemui di luar bank sama dan mengandungi wang tunai daripada jabatan cukai bandar Trumbull. 


Terdapat juga dokumen di dalamnya yang mengesahkan pemilik sah wang tersebut ialah bandar Trumbull, demikian menurut kenyataan polis.


Lelaki berkenaan, Robert Withington, 56, mendakwa dia tidak mencuri wang itu dan tidak menyedari terdapat dokumen di dalam beg tersebut.


"Ini bukan dirancang dan wang itu masih ada, cuma ketika jumpa wang itu saya seperti mendapat loteri. Itulah sahaja," kata Withington kepada Hearst Connecticut Media.


Wang itu dilaporkan hilang pada 30 Mei lalu. Polis berkata, seorang pekerja pejabat Pemungut Cukai Trumbull tidak dapat mencari beg tersebut selepas tiba di bank untuk membuat deposit pada waktu perniagaan biasa.


Dalam beberapa bulan berikutnya, detektif memperoleh waran geledah, menyemak berbilang video pengawasan daripada perniagaan tempatan dan menjalankan banyak temu bual sebelum mengetahui beg itu telah "dijatuhkan secara tidak sengaja di luar bank" dan Withington telah mengambilnya.


"Saya berjalan keluar ke tempat letak kereta, melihat sesuatu di atas tanah dan tiada sesiapa di sekeliling jadi saya mengambilnya.


"Ia bukan seperti saya mencuri sesuatu, saya tidak fikir saya melakukan sesuatu yang salah," kata Withington kepada Hearst.


Withington didakwa Jumaat lalu atas kesalahan merompak dan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga AS$5,000 (23,237). - Sumber NBC News.


Withington ditangkap polis selepas dia menemui wang sebanyak AS$5,000 di Trumbull baru-baru ini. - Foto AFP.