Jumaat, 14 Februari 2025

Cahaya ganjil lut sinar muncul umpama 'pintu ke dunia lain'

Cahaya ganjil lut sinar muncul umpama 'pintu ke dunia lain'


Satu cahaya ganjil lut sinar ditemukan oleh seorang peluncur salji di cerun Resort Skiwelt, Austria, lapor portal berita Daily Mail pada 14 Februari 2025.


Penemuan aneh itu dirakam oleh seorang pengguna platform TikTok, Lenka Lanci, manakala klip video kejadian menjadi tular dan mencatatkan berjuta-juta tontonan serta beribu-ribu komen netizen.


Sebilangan netizen berkata, cahaya itu adalah satu keajaiban dan yang lain mendakwa bahawa ia adalah 'pintu ke dunia lain.'


Namun, terdapat penjelasan mudah bagi merungkai fenomena itu.


Ia dikenali sebagai submatahari yang merupakan paparan optikal sangat jarang berlaku tetapi cantik.


Fenomena itu berlaku apabila cahaya matahari mengenai hablur-hablur halus ais di atmosfera pada sudut yang tepat untuk mencipta cahaya submatahari.


Seorang netizen memberikan komen menarik apabila menyatakan: "Ia adalah sebuah pintu (ke alam lain) dan anda tidak boleh memberitahu saya sebaliknya." - Sumber Daily Mail.


Satu cahaya ganjil terbentuk ketika ribut salji. - Foto TikTok/lenkalancitiande.
China tubuh pasukan lindungi Bumi bimbang 'kiamat' asteroid

China tubuh pasukan lindungi Bumi bimbang 'kiamat' asteroid


China menubuhkan pasukan pertahanan planet selepas saintis-saintis mengesan seketul asteroid bersaiz besar sedang meluncur ke Bumi, lapor laman berita Devon Live pada 12 Februari 2025.


NASA serta Agensi Angkasa Eropah meletakkan asteroid 2024 YR4 dalam senarai ancaman serius berikutan kebarangkalian ia menghentam Bumi agak tinggi.


Asteroid itu digelar sebagai 'pemusnah negara' kerana boleh memusnahkan rantau yang luas. Letupan yang berlaku sekiranya 2024 YR4 melanggar Bumi, adalah 100 kali ganda lebih kuat daripada bom atom.


Pentadbiran Sains, Teknologi dan Industri China untuk Pertahanan Negara kini merekrut untuk jawatan 'pertahanan planet'.


Badan itu sedang merekrut orang ramai untuk menghasilkan cara mengesan, memantau dan mungkin memesongkan asteroid YR4.


Penyelidik Pusat Sains Angkasa Kebangsaan Akademi Sains China, Li Mingtao berkata: "Kita bukan sahaja perlu mengukuhkan konfigurasi dan prestasi peralatan secara menyeluruh, malah mewujudkan pasukan bakat yang berdedikasi untuk pertahanan Bumi."


Beijing mendedahkan rancangan untuk menghentam asteroid tersebut dengan kapal angkasa bagi mengubah laluannya.


Mingtao berkata, jika asteroid YR4 menghentam Bumi, ia berkemungkinan akan hancur dalam atmosfera atau terhempas di lautan.


Namun jika malapetaka ini berlaku, gelombang kejutan dan radiasi boleh memusnahkan bandar bersaiz sederhana serta mencederakan berpuluh-puluh ribu orang.


Asteroid YR4 diramal tiba di Bumi pada 2 Disember 2032. - Sumber Devon Live.


Asteroid YR4 yang bersaiz besar sedang menuju ke Bumi. - Foto Devon Live.

Khamis, 13 Februari 2025

Polis mengeluarkan poster buru seekor emu kerana didakwa laku jenayah

Polis mengeluarkan poster buru seekor emu kerana didakwa laku jenayah


Polis meminta orang ramai membantu memburu 'suspek' luar biasa berupa seekor emu, lapor portal berita United Press International (UPI) pada 12 Februari 2025.


Polis berkata, emu itu kali terakhir dilihat di Lebuh Raya 6, berhampiran sebuah kedai koperasi dan pengedar kenderaan Hyundai di bandar Batesville, Mississippi baru-baru ini.


Pihak berkuasa itu mengeluarkan poster suspek yang dikenali sebagai 'Emu the Great'.


Burung asal Australia itu dikehendaki kerana melarikan diri daripada 'jenayah' dan berkelakuan mengganggu ketenteraman, demikian menurut keterangan poster tersebut.


"Sila berhati-hati jika anda bertemu dengan 'suspek ini'.


"Emu ini akan 'menyerang' sesiapa sahaja yang menghalang kebebasannya," demikian menurut amaran polis pada poster tersebut.


Polis turut meminta sesiapa yang melihat emu itu supaya tidak membunyikan hon kereta mereka.


"Jika anda melihatnya, sila maklumkan kepada kami. Kami akan berhubung dengan pemiliknya," kata polis. - Sumber UPI.


Polis mengeluarkan poster bagi mencari seekor burung emu. - Foto Polis Batesville/Facebook.
NASA buat persiapan kecemasan, asteroid 'gergasi' diramal hentam bumi

NASA buat persiapan kecemasan, asteroid 'gergasi' diramal hentam bumi


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sedang membuat persiapan kecemasan untuk berhadapan asteroid 'pembunuh bandar raya'.


Memetik lapor Metro UK pada Selasa (11/2/2024), langkah berkenaan dibuat selepas timbul kebarangkalian tinggi batuan angkasa tersebut diramal bakal menghentam bumi pada tahun 2032.


Ahli astronomi kini sedang mempergiat dan memantau Asteroid 2024 YR4 yang kini mempunyai peluang sebanyak 2.3 peratus untuk berlanggar dengan bumi.


Jurucakap Agensi Angkasa Eropah (ESA) berkata, batuan selebar 91.44 meter mempunyai saiz yang sama dengan Patung Liberty di New York atau Menara Jam Big Ben di London.


"Ia telah berada dalam senarai pantauan NASA selepas pertama kali ditemui pada Disember 2024. Asteroid itu kini meluncur laju ke arah bumi pada kadar membimbangkan.


"Ahli astronomi di seluruh dunia menggunakan teleskop berkuasa untuk mengukur orbit asteroid itu setepat mungkin," katanya.


Sebelum ini, asteroid baharu dikesan dan hampir sebesar padang bola sepak dijangka memiliki peluang lebih satu peratus untuk bertembung dengan bumi beberapa tahun lagi.


Asteroid dikenali 2024 YR4 itu pertama kali dikesan Balai Cerap El Sauce di Chile pada 27 Disember lalu dengan ahli astronomi menganggarkan saiz antara 40 hingga 90 meter lebar, mengikut tahap kecerahannya.


Dalam pada itu, pihak NASA telah meminta bantuan daripada Teleskop Angkasa James Webb untuk mengkaji asteroid tersebut dan mengukur berapa banyak kerosakan yang akan berlaku jika ia menghentam bumi.


Berdasarkan pengiraan semasa, hentaman YR4 akan menjadi lebih kurang sama dengan asteroid Tunguska yang telah meratakan kawasan seluas 2,150 kilometer persegi hutan Siberia, Rusia pada tahun 1908. - Sumber Mentro UK.


NASA sedang membuat persiapan kecemasan untuk berhadapan asteroid yang diramal bakal menghentam bumi pada tahun 2032. - Foto AFP.

Rabu, 12 Februari 2025

Lelaki hilang RM3.3 bilion di tapak pelupusan sampah pada 2013, hingga kini belum ditemukan

Lelaki hilang RM3.3 bilion di tapak pelupusan sampah pada 2013, hingga kini belum ditemukan


Seorang lelaki nekad membeli sebuah tapak pelupusan sampah di Wales, United Kingdom selepas dia kehilangan sejumlah besar Bitcoin secara tidak sengaja, lapor laman berita Sky News pada 11 Februari 2025.


Pekerja sektor teknologi maklumat (IT), James Howells, 39, berkata, kejadian berlaku apabila bekas teman wanitanya membuang cakera keras yang mengandungi beribu-ribu Bitcoin miliknya pada 2013.


"Bitcoin itu dianggarkan bernilai lebih £600 juta (RM3.3 bilion) dalam pasaran hari ini.


"Saya mahu membeli tapak itu sebelum ditutup oleh Majlis Bandar Raya Newport supaya saya boleh mencari harta yang hilang ini," kata Howells. 


Howells membawa kes itu ke mahkamah, namun pada bulan lalu, hakim tidak memihak kepadanya.


Dalam samannya, Howells meminta dia dibenarkan menggeledah tapak pelupusan sampah itu atau pihak dewan bandar raya membayar pampasan sebanyak £495 juta (RM2.7 bilion) kepadanya.


Pihak pentadbiran Newport memberikan hujah di mahkamah bahawa penutupan tapak pelupusan itu semata-mata untuk membolehkan Howells mencari Bitcoin miliknya akan memberi kesan buruk kepada penduduk setempat.


"Saya menjangkakan tapak tersebut akan ditutup beberapa tahun lagi tetapi tidak menyangka ia secepat ini.


"Sekiranya Majlis Bandar Raya Newport bersedia, saya berminat untuk membeli tapak pelupusan itu dan telah membincangkan pilihan ini dengan rakan kongsi pelaburan saya," tambah Howells. - Sumber Sky News.


James Howells mahu membeli tapak pelupusan sampah selepas kehilangan Bitcoin bernilai RM3.3 bilion. - Foto Shutterstock.

Selasa, 11 Februari 2025

Puntianak dirakam bertenggek di atas bumbung rumah penduduk

Puntianak dirakam bertenggek di atas bumbung rumah penduduk


Satu penampakan lembaga putih dipercayai puntianak dirakam berada di atas bumbung sebuah rumah di Indonesia, lapor portal berita RCTI pada 9 Februari 2025.


Rakaman video kejadian dimuat naik di platform TikTok menggunakan akaun @vitosena8.


Jika dilihat pada rakaman video, terdapat makhluk berambut panjang dan berbaju putih sedang duduk di atas bumbung rumah tersebut.


Perakam video juga percaya bahawa penampakan itu adalah puntianak.


"Kakak punti (puntianak), asyik terbang di atas rumah?" kata pemilik akaun itu.


Dalam video tular di media sosial itu, lembaga tersebut dilihat memiliki susuk tubuh yang kelihatan seperti puntianak kanak-kanak sedang duduk di atas bumbung.


Seorang netizen menganggap kehadiran puntianak itu disebabkan ada bayi atau wanita hamil di rumah tersebut.


"Penampilannya sangat jelas," kata seorang netizen.


"Kawasan saya, setiap kali ada ibu mengandung, ada puntianak hinggap di situ," tambah seorang lagi netizen. - Sumber RCTI.


Penampakan makhluk seperti kuntilanak (dalam bulatan) di atas bumbung rumah. - Foto TikTok/@vitosena8.

Isnin, 10 Februari 2025

Lapan maut, 4 kritikal selepas minum alkohol tulen dengan kepekatan 96 peratus di Indonesia

Lapan maut, 4 kritikal selepas minum alkohol tulen dengan kepekatan 96 peratus di Indonesia


Lapan orang maut manakala empat lagi kritikal selepas meminum alkohol tulen dengan kepekatan 96 peratus di Cianjur, Jawa Barat, menurut pihak berkuasa tempatan semalam.


Ketua Polis Mande, Asisten Komisioner Dadeng berkata, mangsa yang terselamat dari Kampung Kademangan kini menerima rawatan rapi di hospital berhampiran.


Siasatan awal mendapati kesemua mangsa menelan alkohol bukan gred makanan, yang lazimnya digunakan untuk kegunaan luaran seperti pembasmi kuman.


Menurut laporan portal berita tempatan Kompas.com pada 9 Februari 2025, pihak berkuasa belum dapat menyoal siasat mangsa yang terselamat kerana dilaporkan masih dalam keadaan kritikal.


Insiden berlaku ketika kumpulan terbabit memutuskan untuk mencuba minuman alkohol tulen minggu lalu dengan membuat pesanan dalam talian.


Alkohol itu kemudiannya dicampur dengan minuman berperisa, namun sejurus selepas meminumnya, mereka mengalami sakit dada, pening, dan loya.


Mangsa kemudian pulang ke rumah masing-masing, tetapi keadaan bertambah buruk hingga menyebabkan seorang daripada mereka meninggal dunia pada petang Jumaat.


Angka kematian meningkat kepada lapan orang menjelang Sabtu. - Sumber Kompas.com.


Petugas mengevakuasi jenazah salah seorang korban pesta arak tulen 96 peratus di Kabupaten Cianjur, Jawa Barat, Sabtu (8/2/2025) untuk dibawa ke rumah jenazah. - Foto Kompas.com.

Ahad, 9 Februari 2025

Anak curi barang kemas ibu bernilai RM600,000 jual semula dapat RM36

Anak curi barang kemas ibu bernilai RM600,000 jual semula dapat RM36


Seorang remaja perempuan di China telah mencuri barang kemas milik ibunya bernilai ¥1 juta (RM609,000) dan menjualnya semula pada harga ¥60 (RM36).


Menurut portal South China Morning Post, remaja itu kemudiannya membeli subang bibir dan anting-anting menggunakan hasil jualan tersebut.


Antara barang kemas yang diambil termasuk gelang jed, rantai emas dan batu permata yang semuanya dijual di sebuah pasar tempatan.


Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh ibunya di Balai Polis Wanli, di Biro Keselematan Awam Putou.


Remaja terbabit yang dipercayai sedang mengalami fasa 'pemberontakan remaja' menganggap barang kemas itu palsu dan menjualnya untuk mendapatkan wang saku.


"Saya tidak tahu mengapa dia menjual barang kemas itu tetapi ada memberitahu dia perlukan wang. Bila saya tanya berapa, dia hanya jawab ¥60 (RM36).


"Saya tanya untuk apa dan dia beritahu mahu membeli subang bibir kerana melihat seseorang memakainya dan fikir ia kelihatan menarik.


"Dia beritahu subang bibir berharga ¥30 (RM18) dan penjual akan beri sepasang anting-anting tambahan pada harga ¥30, jadi jumlahnya ¥60 Yuan," kata si ibu kepada pegawai polis.


Susulan laporan itu, polis segera melancarkan siasatan sebaik sahaja menerima laporan dengan meneliti rakaman kamera pengawasan dan berkoordinasi dengan pengurusan pasar awam itu.


Difahamkan, mereka berjaya mengesan dan mendapatkan semula barang-barang kemas yang telah dijual sebelum diserahkan semula kepada ibu remaja tersebut. - Sumber South China Morning Post.


Ibu kepada remaja berkenaan membuat laporan polis selepas mendapati anaknya mencuri barang kemasnya. - Foto Handout.

Sabtu, 8 Februari 2025

Gara-gara celup bahan pewarna supaya nampak cantik, 64.7 tan 'raja buah' dibuang begitu sahaja

Gara-gara celup bahan pewarna supaya nampak cantik, 64.7 tan 'raja buah' dibuang begitu sahaja


Thailand menimbus sebanyak 64.7 tan durian selepas China tidak menerima 'raja buah' itu kerana dicemari bahan pewarna kuning, lapor portal berita VNExpress pada 6 Februari 2025.


Menurut akhbar The Nation, Jabatan Pertanian Thailand mengesahkan bahawa buah-buahan itu mengandungi bahan pencelup kuning asas 2 selepas ujian dilakukan. Bahan pencelup itu digunakan untuk menyerlahkan warna durian.


Beberapa pengeksport dipercayai mencelupkan buah durian ke dalam pewarna tiruan supaya kelihatan masak dan isinya berwarna kuning.


Thailand telah menggantung lesen eksport 26 pemborong durian yang dikaitkan dengan penghantaran buah tercemar.


Penemuan pewarna itu mendorong China melaksanakan ujian makmal mandatori ke atas semua import durian, termasuk dari Vietnam.


Hanya makmal yang diluluskan oleh pemerintah China diberi kuasa untuk melakukan ujian itu.


Vietnam sedang giat berunding dengan China untuk mengembangkan senarai makmal yang diluluskan untuk memudahkan pelepasan kastam yang lebih lancar.


Nilai import durian China ialah AS$6.99 bilion (RM31 bilion) pada tahun lepas, dengan 57 peratus datang dari Thailand diikuti Vietnam sebanyak 41.5 peratus. - Sumber VNExpress.


Sebanyak 64.7 tan durian ditanam di Thailand. - Foto The Nation.

Jumaat, 7 Februari 2025

Sudah cuba wajib beli, pasangan suami isteri trauma kena pukul dengan tuan kedai

Sudah cuba wajib beli, pasangan suami isteri trauma kena pukul dengan tuan kedai


Sepasang suami isteri diserang seorang lelaki di sebuah pusat beli-belah di Si Racha, wilayah Chon Buri, Thailand setelah mereka enggan membeli kasut yang dicuba di sebuah butik, lapor laman berita Thaiger pada 6 Februari 2025.


Kejadian kelmarin itu dirakam oleh telefon bimbit mangsa dan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).


Menurut wanita dikenali sebagai Ploysai, dia, suami dan tiga anak mereka masuk ke sebuah butik untuk membeli kasut salah seorang anaknya.


Seorang jurujual wanita yang melayan keluarga itu memberikan dua saiz kasut yang tidak sesuai dengan saiz kaki anak mereka.


Apabila Ploysai meminta saiz yang dirasakan boleh memuatkan kaki anaknya, jurujual tersebut memberitahu bahawa saiz itu sudah kehabisan stok.


Ia membuatkan pasangan tersebut keluar dari kedai itu dengan cara baik dan menjelaskan kepada jurujual bahawa tiada saiz kasut yang sesuai untuk anak mereka.


Ketika mereka berjalan, seorang lelaki yang difahamkan suami kepada jurujual tersebut menghampiri Ploysai dan keluarganya sebelum menuduh mereka sengaja mempermainkan isterinya.


Lelaki tersebut turut memarahi mereka sebelum dia menolak suami Ploysai yang ketika itu sedang mendukung salah seorang anak mereka.


Pengawal keselamatan dengan segera tiba untuk meleraikan pertengkaran itu dan mengiringi pasangan tersebut ke kereta mereka dengan selamat.


Ketika mereka meminta nama penuh lelaki tersebut untuk membuat laporan kepada pengurusan pusat beli-belah, Ploysai diberitahu bahawa hanya nama samaran individu itu diketahui.


Setakat ini, tiada maklumat lanjut mengenai sama ada Ploysai membuat laporan polis berhubung insiden itu. - Sumber Thaiger.


Seorang lelaki menyerang suami Ploysai. - Foto TikTok.