Sabtu, 1 Februari 2025

Kejadian aneh ratusan labah-labah 'jatuh' dari langit tular di media sosial

Kejadian aneh ratusan labah-labah 'jatuh' dari langit tular di media sosial


Satu klip video tular di media sosial memaparkan beratus-ratus ekor labah-labah tergantung di udara di sebuah kawasan pedalaman di Brazil, lapor akhbar The Sun UK pada 30 Januari 2025.


Penemuan itu berlaku di Sao Thome das Letras, negeri Minas Gerais. Klip video itu yang dimuat naik ke media sosial pada 28 Disember lalu telah menghantui dan membingungkan netizen.


Rakaman yang dimuat naik menunjukkan ratusan labah-labah itu tergantung pada sarang gergasinya.


Jumlah yang banyak menyebabkan labah-labah tersebut kelihatan seperti sedang terbang atau jatuh dari langit.


Seorang netizen yang nampaknya pernah menyaksikan kejadian ngeri itu sebelum ini, berkata: "Ia berada di halaman belakang rumah abang saya di Tiradentes. Sentiasa lewat petang. Saya takut ketika pertama kali melihatnya."


Insiden itu kemudian diambil oleh media tempatan pada 24 Januari, menarik perhatian pakar biologi yang cuba menjelaskan apa yang berlaku.


Seorang pakar dan ahli biologi, Kayron Passos, menguraikan kejadian aneh itu untuk media tempatan, ia berlaku disebabkan cuaca panas lembap yang dialami di rantau tersebut.


"Ia bagaikan sebuah pesta. Labah-labah betina mempunyai spermatheca di mana haiwan itu menyimpan air mani jantan yang berbeza untuk menyuburkan telur.


"Dengan cara ini, labah-labah betina dapat meningkatkan kebolehubahan genetik spesiesnya," kata Passos. - Sumber The Sun UK.


Tangkap layar memaparkan beratus-ratus ekor labah-labah tergantung pada serang gergasinya di udara. - Foto Newsflash.

Jumaat, 31 Januari 2025

Aksi remaja panjat pagar curi tabung surau dirakam CCTV

Aksi remaja panjat pagar curi tabung surau dirakam CCTV


Perbuatan seorang remaja lelaki di Indonesia yang sanggup memanjat pagar untuk mencuri duit tabung surau (tabung derma) mengundang kecaman orang ramai, lapor portal berita Tribunnews pada 31 Januari 2025.


Kejadian berlaku sekitar pukul 2.43 pagi (waktu tempatan) di Medan, wilayah Sumatera Utara pada 26 Januari lalu.


Tindakan nekad pencuri itu memanjat pagar surau untuk mencuri tabung derma dirakam kamera CCTV dan kini rakaman itu menjadi tular di media sosial.


Rakaman itu dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @medanku memaparkan remaja lelaki berbaju hitam itu cuba memanjat pagar surau.


Pada mulanya pencuri itu kelihatan mengalami kesukaran. Bagaimanapun, pencuri itu mencuba sehingga akhirnya berjaya memasuki kawasan surau.


Sejurus selepas itu, pelaku menghampiri tabung derma yang dipasang di dinding surau. Seperti yang dilihat dalam rakaman video, pelaku pada mulanya mengeluarkan beberapa objek dari tabung itu. Namun selepas itu, lelaki itu cuba memecahkan tabung derma yang berkunci.


Selepas berjaya pecahkan tabung derma, lelaki itu kemudiannya menghabiskan semua wang di dalamnya dan melarikan diri.


Rakaman itu mencatatkan lebih 41,600 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.


"Seluar dalam ibu (pencuri berkenaan) yang beli, masih nak buat jahat," kata seorang netizen. - Sumber Tribun News.


Rakaman CCTV menunjukkan seorang remaja lelaki mencuri duit tabung surau di Medan, Sumatera Utara. - Foto Instagram.

Khamis, 30 Januari 2025

Dua lelaki berang 'tinju' peniaga gara-gara harga barang mahal

Dua lelaki berang 'tinju' peniaga gara-gara harga barang mahal


Gara-gara harga barang mahal, dua lelaki bergaduh dengan seorang peniaga selepas tercetus salah faham di Taman Johor Jaya, Johor Bahru pada pukul 11.30 malam kelmarin.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya telah mengesan video tular memaparkan tiga individu warga tempatan bergaduh di jalan raya yang dimuat naik di Facebook, semalam.


Hasil siasatan dijalankan, katanya, polis menahan seorang pelanggan dan seorang peniaga berusia 21 dan 28 tahun yang terlibat dalam pergaduhan itu kira-kira 6 petang semalam di sekitar kawasan Taman Johor Jaya.


"Hasil siasatan awal mendapati punca pergaduhan akibat salah faham antara peniaga dan pelanggan kerana isu harga barang mahal.


"Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 31 Januari bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd. Sohaimi berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.


Katanya, seorang lagi suspek yang dipercayai pelanggan berusia 30an yang turut terbabit dalam pergaduhan masih diburu dan diminta tampil membantu siasatan.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hamizan atau Pusat Kawalan Daerah Seri Alam," katanya.


Tangkap layar video pergaduhan di Taman Johor Jaya, Johor Bahru yang tular di Facebook. - Foto Kosmo Online.

Rabu, 29 Januari 2025

Lelaki dipenjara 6 bulan kerana tumbuk anggota polis

Lelaki dipenjara 6 bulan kerana tumbuk anggota polis


Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kemaman di Chukai hari ini selepas mengaku bersalah menumbuk seorang anggota polis berpangkat koperal minggu lalu.


Tertuduh, Rosidi Muhamed, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan jenayah terhadap seorang penjawat awam berusia 38 tahun.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Januari lalu di Mahkamah Majistret Kemaman pada jam 12.45 tengah hari.


Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda.


Wan Suhaila kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan terhadap tertuduh.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi bersama Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Afif Mohd Amin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Tertuduh, Rosidi Muhamed (tengah) dipenjara enam bulan atas kesalahan menumbuk anggota polis. - Foto NSTP/Rosli Ilham.

Selasa, 28 Januari 2025

Lelaki terkejut syiling disimpan dalam tong drum berjumlah lebih RM18,000

Lelaki terkejut syiling disimpan dalam tong drum berjumlah lebih RM18,000


Seorang lelaki di Indonesia terkejut apabila duit syiling yang disimpan di dalam tong drum hampir lapan tahun kini mencecah 70 juta rupiah (RM18,970), lapor portal berita Tribun Jatim hari ini.


Kejadian berlaku di Sukabumi, wilayah Jawa Barat pada Jumaat lalu (24/1/2025).


Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @metro_tv memaparkan lelaki bernama Sadikin, 34, warga Kabupaten Sukabumi, Jawa Barat mengeluarkan semua duit syiling daripada tong drum bersama ahli keluarganya.


Menurut Sadikin, syiling tersebut merupakan tabungan yang disimpan sejak akhir tahun 2016.


Lebih mengejutkan, jumlah keseluruhan syiling tersebut mencecah 70 juta rupiah (RM18,970) lebih daripada cukup untuk membayar wang muka pembelian rumah.


"Kami mengira syiling dari pukul 7 pagi hingga 5 petang (waktu tempatan).


"Syiling ini akan ditukarkan di bank. Ia juga digunakan sebagai modal tambahan untuk bengkel saya," tambahnya.


Pada mulanya perniagaan bengkelnya ketika itu lengang membuatkan Sadikin termenung sehingga melihat kewujudan tong drum yang tidak digunakan di bengkelnya.


Bermula dari situ, Sadikin mengambil inisiatif menggunakan drum tersebut sebagai simpanan syiling.


Dalam video viral pada hari Isnin (28/1/2025), terlihat seorang anak kecil berenang di atas timbunan syiling yang Sadikin keluarkan dari sebuah tong drum.


"Semuanya syiling, sebab kalau ditambah dengan duit kertas, takut hancur, sebab itu 500 dan 1,000 syiling perak. Kalau dikira semua hampir Rp70 juta," kata Sadikin. - Sumber Tribun Jatim.


Tangkap layar memaparkan syiling yang dikeluarkan daripada tong plastik. - Foto TikTok.
Pisang goreng tetap laku 'keras' walaupun banjir mencapai paras dada

Pisang goreng tetap laku 'keras' walaupun banjir mencapai paras dada


Sekumpulan peniaga di Indonesia mengundang perhatian orang ramai kerana menjual pelbagai makanan bergoreng meskipun air banjir mencapai paras lebih 1 meter, lapor portal berita Tribun News, semalam.


Kejadian berlaku di Landak, wilayah Kalimantan Barat baru-baru ini.


Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh @aming_bangor pada Isnin (27/1/2025) memaparkan 'kedai' mereka dipenuhi dengan pelanggan yang tinggal berhampiran.


Bahkan, pelanggan mereka sanggup datang untuk membeli walaupun air banjir mencapai paras dada orang dewasa.


Antara makanan yang dijual adalah pisang goreng, tempe goreng, sosej ayam dan lain-lain.


Peniaga makanan goreng itu terpaksa mengisi semula stok jualannya beberapa kali kerana laku diborong pembeli.


Rakaman itu mencatatkan lebih 4.1 juta tontonan bersama 472,200 tanda suka.


"Negara paling santai di dunia," komen seorang netizen.


"Ini bukan 'floating market' di Thailand tetapi Indonesia!" kata pengguna media sosial lain. - Sumber Tribun News.


Tangkap layar menunjukkan orang ramai membeli makanan ketika kawasan perumahan mereka dilanda banjir. - Foto TikTok.

Ahad, 26 Januari 2025

Lelaki berdepan detik cemas, ular gigit kemaluan enggan melepaskan gigitannya

Lelaki berdepan detik cemas, ular gigit kemaluan enggan melepaskan gigitannya


Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kemaluannya digigit seekor ular berbisa dalam kejadian di sebuah kawasan hutan di Indonesia, lapor portal berita Must Share News semalam.


Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @jejeksiaden memaparkan seluar lelaki bernama Anggara Shoji itu digigit ular katam belang.


Gigitan kuat menyebabkan Anggara terduduk di lantai hutan sambil menarik ular itu daripada seluarnya.


Meskipun ditarik beberapa kali, reptilia tersebut enggan melepaskan gigitannya.


Video tular itu telah mendapat komen yang tidak terkira banyaknya daripada netizen, sesetengah daripada mereka mengenal pasti reptilia itu sebagai ular bakau yang berbisa ringan.


Rakaman itu mencatatkan lebih 25.6 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.


"Ini pertarungan ular lawan 'ular'," kata seorang pengguna media sosial mungkin merujuk kemaluan lelaki itu.


Sementara itu, pengulas lain mengambil langkah lebih jauh dengan menunjukkan betapa ironisnya jika toksin ular itu menyebabkan bengkak. - Sumber Must Share News.


Tangkap layar menunjukkan kemaluan lelaki digigit seekor ular katam belang. - Foto Instagram.

Sabtu, 25 Januari 2025

5 kes keracunan makan ikan buntal di Sabah, 2 masih dirawat di hospital

5 kes keracunan makan ikan buntal di Sabah, 2 masih dirawat di hospital


Lima kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada toksin ikan buntal dilaporkan di Sabah bulan ini, dengan dua mangsa masih menerima rawatan di hospital.


Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Maria Suleiman berkata daripada jumlah itu, satu kes dilaporkan di daerah Kota Kinabalu pada 10 Januari lepas, manakala empat kes lagi membabitkan satu keluarga di daerah Kota Marudu semalam.


Beliau berkata kesemua mangsa berusia antara 15 hingga 48 tahun mengalami gejala pening, muntah, cirit-birit, kebas pada tangan dan kaki, serta kesukaran bernafas selepas memakan ikan buntal yang dibeli dari pasar setempat.


"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengambil maklum mesej tular di media sosial mengenai kejadian itu. Tiga daripada mangsa dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan, manakala dua lagi masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan hari ini.


Dr Maria berkata ikan buntal atau pufferfish mengandungi racun tetrodotoksin (TTX), sejenis toksin yang tergolong dalam kumpulan neurotoksin (toksin yang menyerang sistem saraf), yang boleh menyebabkan gejala keracunan seawal 10 hingga 45 minit selepas pengambilan.


Beliau berkata tanda-tanda keracunan itu termasuk kebas pada bibir, lidah dan muka, sakit kepala, pedih ulu hati, loya, cirit-birit dan muntah, serta kelumpuhan otot penting seperti otot pernafasan.


"Dalam kes yang teruk, kematian boleh berlaku dalam tempoh enam hingga 24 jam," katanya.


Dr Maria menambah, selain ikan buntal, TTX juga terdapat dalam beberapa spesies laut seperti belangkas dan siput laut, serta haiwan amfibia lain seperti katak beracun.


"JKNS telah melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan termasuk pendidikan kesihatan kepada individu terlibat dan komuniti setempat," katanya.


Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada mengambil makanan yang disyaki mengandungi TTX dan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala keracunan. - Sumber Harian Metro.


Seekor ikan buntal mempunyai toksin yang boleh membunuh sehingga 30 orang dewasa. Racun TTX ini dikatakan 1,200 kali lebih kuat daripada racun sianida. TTX dihasilkan oleh bakteria yang hidup dalam ikan beracun ini yang biasa ditemui dalam telur, hempu, hati, usus dan kulitnya. - Foto The Guardian.
Ribuan peminat terkejut lihat wajah sebenar penstrim kesayangan mereka

Ribuan peminat terkejut lihat wajah sebenar penstrim kesayangan mereka


Seorang penstrim permainan dalam talian popular di China mengejutkan ribuan peminatnya apabila tampil secara langsung untuk menerima anugerah dengan penampilan agak berbeza daripada gambar profil digunakan.


The Straits Times pada 24 Januari melaporkan, You Chong menerima Anugerah 12 Penstrim Paling Popular daripada pencipta permainan lumba dalam talian, QQ Speed.


Dia yang terkenal dengan kandungan menarik dan penjelasan teratur mengenai teknik perlumbaan, bertukar menjadi pempengaruh selepas mengumpul peminat yang ramai.


Peminatnya gembira apabila wanita itu diberi penghargaan itu, namun mereka terkejut apabila melihat wajah sebenar You Chong pada majlis yang berlangsung di Taicang, Wilayah Jiangsu, 19 Januari lalu.


Wanita itu sempat berucap ringkas selepas menerima anugerah dengan berterima kasih kepada penganjur, namun suasana dikatakan senyap selepas dia mengakhiri ucapan, sama ada di dewan majlis mahupun dalam talian.


Dikatakan, itu adalah kali pertama peminatnya menatap wajah sebenar You Chong, memandangkan selama ini hanya melihat gambar profil yang jauh berbeza.


Perkara itu mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, dengan ada yang menuduh You Chong menipu mereka menerusi gambar palsu.


Manakala, sebahagian peminat lain mempertahankannya dengan berkata, teknik perlumbaan dan pendekatan interaksi wanita itu yang sepatutnya dihargai, berbanding penampilan. - Sumber The Straits Times.


Wajah sebenar You Chong (kanan) berbanding gambar profil yang mengejutkan peminatnya. - Foto Douyin.

Jumaat, 24 Januari 2025

Pengasas produk kecantikan suka tayang, pakai emas di seluruh tubuhnya telah ditahan

Pengasas produk kecantikan suka tayang, pakai emas di seluruh tubuhnya telah ditahan


Seorang pengusaha produk kecantikan dari Indonesia yang gemar memakai barang kemas di seluruh tubuhnya ditahan, selepas produknya didapati mengandungi merkuri, lapor portal berita Tribunnews pada 22 Januari 2025.


Wanita itu dikenali sebagai Mira Hayari dan berasal dari Makassar, wilayah Sulawesi Selatan.


Imej yang tular di media sosial memaparkan Mira memakai baju lokap dengan tudung berwarna perang. Wajahnya polos tanpa sebarang solekan.


Selain terkenal dengan gaya hidup mewah, dia juga dikenali kerana gemar menayangkan perhiasan emas bernilai 553 juta rupiah (RM151,254) dari kepala hingga ke kaki.


Mira ditahan selepas produk kecantikannya didapati mengandungi merkuri yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan.


Polis Wilayah Sulawesi Selatan mengesahkan telah menahan tiga suspek berkaitan kes produk penjagaan kulit berbahaya di Kota Makassar.


Ketiga-tiga mereka iaitu Mira Hayati, Mustadir Dg Sila yang merupakan suami kepada Fenny Frans dan Agus Salim dinamakan suspek pada November 2024.


Ketua Sub Bahagian Perhubungan Awam Polis Wilayah Sulawesi Selatan, Yerlin Tanding Kate berkata, ketiga-tiga mereka ditahan selepas fail kes mereka lengkap atau P21.


"Fail sudah lengkap, sudah P21 dan delegasi peringkat kedua akan dijalankan iaitu menghantar suspek dan bukti kepada pihak pendakwa," katanya ketika ditemui wartawan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sulawesi Selatan pada Selasa (21/1/2025). - Sumber Tribunnews.


Tangkap layar menunjukkan Mira ditahan di balai polis Makassar, Indonesia kelmarin. - Foto Tribunnews.