Rabu, 18 Disember 2024

Isteri 'kantoi' curang langgar, seret suami sampai patah kaki

Isteri 'kantoi' curang langgar, seret suami sampai patah kaki


Seorang suami patah kaki akibat dilanggar oleh isterinya sendiri selepas wanita itu ditangkap sedang curang bersama lelaki lain, lapor laman berita Berita Nasional pada 17 Disember 2024.


Kejadian itu berlaku di Jakarta Timur dan didedahkan oleh Timbalan Ketua Jawatankuasa III Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Ahmad Sahroni.


"Seorang suami yang mempunyai dua anak kecil menangkap isterinya berpegangan tangan dengan lelaki lain.


"Dia menjadi mangsa langgar lari dan diseret oleh kenderaan isterinya di tepi jalan di Jakarta Timur.


"Bukan sekadar seorang, malah isterinya curang dengan dua lelaki," kata Ahmad Sahroni kepada wartawan pada Selasa (17/12/2024). 


Bagaimanapun, tiada keterangan lanjut mengenai kronologi kejadian itu sehingga membuatkan si suami dilanggar oleh kereta dinaiki isterinya.


Sementara itu, Ketua Polis Metro Jakarta Timur, Komisioner Nicolas Ary Lilipaly berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu dan kini sedang menyiasat.


"Kronologi lengkap tidak dapat didedahkan kerana penyiasat masih mengumpul maklumat," katanya. - Sumber Berita Nasional.


Wanita tersebut dirakam sedang berpegangan tangan dengan seorang lelaki lain. - Foto Instagram.

Isnin, 16 Disember 2024

Berdepan detik cemas, peniaga kedai runcit disamun guna pistol

Berdepan detik cemas, peniaga kedai runcit disamun guna pistol


Seorang peniaga kedai runcit berdepan detik cemas selepas disamun menggunakan pistol dalam kejadian di Kampung Permatang Pusu, Melor di Kota Bharu pada 9 Disember lalu.


Kejadian terbabit berlaku pada jam 10 malam semasa lelaki berusia lingkungan awal 50-an itu sedang berniaga.


Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, hasil siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa berada di kaunter kedai runcit miliknya telah didatangi seorang lelaki sambil mengacukan satu objek menyerupai pistol.


"Suspek telah meminta peniaga kedai runcit itu menyerahkan wang.


"Berdasarkan loghat pertuturan yang digunakan, suspek dipercayai merupakan seorang lelaki berumur dalam lingkungan awal 40-an, berbadan kurus dan mempunyai ketinggian lebih kurang 1.5 meter," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut beliau, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan masih lagi dalam siasatan.


Mohd Rosdi memberitahu, sebelum itu pada 11 Disember pihaknya terkesan dengan satu video yang dimuat naik di laman media sosial memaparkan satu kejadian samun di dalam sebuah kedai runcit.


Ujarnya, pada 10 Disember jam lebih kurang 12 tengah malam, pihak Polis Daerah Kota Bharu telah menerima satu laporan daripada pengadu berhubung kejadian tersebut.


"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan saksi diminta tampil membantu siasatan", katanya.


Tular di media sosial, seorang peniaga kedai runcit berdepan detik cemas selepas disamun menggunakan pistol dalam kejadian di Kampung Permatang Pusu, Melor, Kota Bharu pada 9 Disember lalu.

Ahad, 15 Disember 2024

Wanita didenda RM1,300 selepas menghina suaminya

Wanita didenda RM1,300 selepas menghina suaminya


Seorang wanita di Vietnam dikenakan denda sebanyak 7.5 juta dong (RM1,300) selepas mengaibkan suaminya sehingga menjejaskan kehormatan dan maruah lelaki itu, lapor laman berita Tuoi Tre News, semalam.


Isteri tersebut dikenali sebagai TTMH, 50, dan menetap di Bandar Dong Hoi yang merupakan ibu kota wilayah Quang Binh.


Pada 26 November lalu, pasangan suami isteri itu berada di kediaman mereka apabila mereka bertengkar. TTMH melemparkan hinaan kasar dan menyinggung perasaan suaminya.


Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Dong Hoi, Hoang Thi Thanh Nhung pada hari Jumaat (13 Dis) mengesahkan bahawa dia telah menandatangani keputusan untuk mengenakan denda ke atas wanita tersebut kerana menghina suaminya.


Denda itu adalah berdasarkan dekri pemerintah mengenai peraturan pentadbiran terhadap pelanggaran yang berkaitan dengan keselamatan, kesejahteraan sosial dan keganasan rumah tangga.


Sementara itu, suami wanita berkenaan turut dikenakan denda sebanyak 15 juta dong (RM2,600) kerana menyerang dan tidak menghormati TTMH pada hari yang sama.


Bagaimanapun, tidak dinyatakan bentuk penghinaan yang dilakukan oleh kedua-dua mereka. - Sumber Tuoi Tre News.

Jumaat, 13 Disember 2024

Penganggur didenda RM17,000 simpan 756 video lucah, rakam wanita dalam tandas

Penganggur didenda RM17,000 simpan 756 video lucah, rakam wanita dalam tandas


Seorang penganggur didenda RM17,000 di Mahkamah Majistret Seri Manjung, Lumut hari ini setelah mengaku bersalah menyimpan 756 video lucah dan merakam video wanita di dalam tandas staf Pusat Dialisis Mutiara Cawangan Ayer Tawar.


Hukuman terhadap lelaki tersebut, Hadee Abdullah, 29, dibuat oleh Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid.


Pemuda tersebut didapati menyimpan 756 video lucah berkenaan ketika dia berada di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Manjung kelmarin kira-kira pukul 4.10 petang.


Bagi kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan tersebut, dia dikenakan denda RM3,000 atau penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayarnya.


Hadee turut mengaku bersalah bagi empat pertuduhan mengaib kehormatan tiga wanita berusia 24, 34 dan 38 tahun menerusi rakaman video terhadap mangsa berkenaan di pusat dialisis tersebut pada 5 Disember lalu antara pukul 11.27 pagi hingga 2.27 petang.


Tertuduh disabitkan empat kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan didenda RM3,500 bagi setiap pertuduhan. Dia berhadapan penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda tersebut.


Tertuduh membayar denda berkenaan. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Hairol Jemain manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, A. Sive Ganesh.


Hadee (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini. - Foto Kosmo Online.
Majlis kahwin tengah hutan, penuh ulat bulu bikin tetamu geli hati, balik awal

Majlis kahwin tengah hutan, penuh ulat bulu bikin tetamu geli hati, balik awal


Sebuah majlis perkahwinan di Indonesia mengundang perhatian orang ramai kerana berlangsung di tengah hutan yang dipenuhi ulat bulu berwarna hitam, lapor portal berita Wolipop pada 8 Disember 2024.


Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @sutrisnoajik menunjukkan ulat-ulat bulu yang bertenggek di atas daun dan kerusi tetamu. 


Ulat-ulat itu juga jatuh daripada pokok dan merayap pada kaki serta pakaian tetamu. Rakaman itu mencatatkan lebih 925,700 tontonan dan mengundang pelbagai reaksi netizen. 


"Saya rela tidak hadir daripada terseksa di situ," kata seorang netizen.


Wolipop telah menghubungi Sutrisno Aji, yang memuat naik video dan menjadi jurugambar di majlis perkahwinan itu yang lokasinya betul-betul di dalam hutan pokok jati.


"Suatu hari saya bekerja sebagai jurugambar dan mendapat kerja mendokumentasikan perkahwinan rakan saya. Semasa majlis itu, tetamu datang dan tempat itu betul-betul di dalam rumpun pokok jati, iaitu musim ulat jati tumbuh," katanya kepada Wolipop.


Lelaki berusia 28 tahun ini menjelaskan acara perkahwinan itu berlangsung pada 9 November 2024 di Gunungkidul, Yogyakarta. Katanya, ada di antara tetamu jemputan yang hadir terhibur apabila melihat ulat mewarnai kawasan perkahwinan.


"Ramai orang di sini terutama kanak-kanak dan wanita geli hati melihat ulat jati yang begitu banyak. Ramai juga yang pulang awal kerana ulat itu. Kelakar melihat kejadian ini, saya muat naik di media sosial. Ulat jati ini unik, ia hanya datang setahun sekali," jelasnya.


Aji berkata, kehadiran ulat dari pokok jati mengganggu tetamu jemputan yang hadir. Majlis akad nikah terus berjalan dengan lancar.


"Mula-mula macam biasa, tetapi seorang wanita pulang awal kerana banyak ulat jatuh dari pokok jati. Ulat jati ini jatuh dan mencari tempat untuk membentuk kepompong dan melarikan diri daripada pemangsa semulajadi. Ramai yang terhibur dan ada yang terpaksa pulang ke rumah awal," katanya. - Sumber Wolipop.


Tangkap layar menunjukkan ulat bulu hitam yang merayap di atas kerusi dan pakaian tetamu. - Foto TikTok.

Khamis, 12 Disember 2024

Lelaki terkejut ular sawa ketuk tingkap rumahnya yang berada di tingkat dua

Lelaki terkejut ular sawa ketuk tingkap rumahnya yang berada di tingkat dua


Seorang lelaki di Jurong West, Singapura terkejut apabila mendapati seekor ular sawa mengetuk tingkap rumahnya yang berada di aras dua sebuah pangsapuri, lapor laman berita The New Paper pada 9 Disember 2024.


Lelaki dikenali sebagai Mukhlis itu berkata, dia dikejutkan daripada tidur pada waktu tengah hari, Ahad lalu selepas mendengar jeritan dua penduduk yang lalu di tepi rumahnya.


"Mereka datang ke rumah untuk memberitahu saya supaya menutup tingkap kerana ada ular (di luar tingkap)," kata jurulatih sukan berusia 54 tahun itu.


Menurut dua penduduk tersebut, mereka melihat ular sawa sepanjang 3.5 meter itu menyusur menaiki tangga ke tingkat dua Blok 925 Jurong West Street 92, yang menempatkan rumah Mukhlis.


Mukhlis berkata, dia dengan pantas bangun dari katil sebelum menutup tingkap dapur dan bilik tidur utamanya.


Dia kemudian mendengar ketukan dari bilik tidur utama.


"Ia mengetuk cermin tingkap saya," tambah Mukhlis.


Dia kemudian menghubungi talian Persatuan Penyelidikan dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (Acres) sebelum anggotanya tiba dan menangkap reptilia tersebut. - Sumber The New Paper


Seekor ular sawa 'mengetuk' tingkap unit pangsapuri di Jurung West. - Foto Mukhlis/Acres.

Selasa, 10 Disember 2024

Pokok besar tumbang, dua pelancong maut di lokasi popular Bali

Pokok besar tumbang, dua pelancong maut di lokasi popular Bali


Sekumpulan pelancong asing yang sedang menikmati percutian di kawasan pelancongan popular di Pulau Bali, Indonesia dikejutkan dengan insiden sebuah pokok besar tumbang, lalu mengakibatkan kecederaan dan kematian.


Dalam kejadian pada tengah hari Selasa (10 Disember 2024) di Monkey Forest, Ubud itu, dua lelaki warganegara asing disahkan terkorban sementara seorang lagi mengalami kecederaan.


Portal berita Kompas hari ini melaporkan, pihak polis Gianyar mengesahkan, dua pelancong asing yang maut itu berasal dari Korea Selatan bernama Kim Hyoeun, 42, dan warga Perancis iaitu Justine Christine, 32. Seorang lagi mangsa yang cedera juga berasal dari Korea Selatan.


"Terdapat salah satu pokok tumbang dan menimpa pengunjung di Monkey Forest. Saat ini tercatat dua orang meninggal dan satu dalam keadaan cedera," ujar kenyataan dari polis.



Buat masa ini, pihak berkuasa telah mengarahkan supaya kawasan pelancongan itu ditutup buat sementara waktu, dan siasatan kini dijalankan berkaitan punca pokok besar itu tumbang.


Monkey Forest terkenal dalam kalangan pelancong yang mahu berkunjung ke tapak kuil tradisional yang terletak dalam kawasan tanah rimba, dan sering kali 'disapa' dengan gelagat kawanan monyet dan kera di situ.


Dalam pelbagai video yang kini tular di media sosial, kelihatan sekumpulan pelancong asing lari bertempiaran apabila menyedari sebuah pokok yang tinggi dan besar tumbang ke arah laluan legar di lokasi tarikan itu.


Ada beberapa pelancong yang sempat menyelamatkan diri manakala ada yang terperangkap di bawah rimbunan dahan dan ranting yang menghempap.


Berkait insiden berkenaan, Ketua Perhubungan Masyarajat Polis Daerah Bali, Jansen Avitus, menasihatkan orang ramai dan para pelancong supaya berwaspada semasa keluar dari rumah.


Dilaporkan, Bali ketika ini turut menerima tempias musim monsun, dan banyak kawasan di sekitar pulau peranginan itu yang dibadai hujan lebat dan angin kencang.


Memetik katanya dari laporan Kompas, cuaca buruk seumpamanya kerap mencetuskan risiko tinggi, terutamanya di daerah yang banyak terdapat pokok-pokok besar di pinggir jalan. - Sumber Kompas.com.


Dalam kejadian pada Selasa di Monkey Forest, Ubud itu, dua lelaki warganegara asing disahkan terkorban sementara seorang lagi mengalami kecederaan. - Foto TribunTrends.

Isnin, 9 Disember 2024

Wanita berusia 60-an dalam rumah maut dirempuh kereta

Wanita berusia 60-an dalam rumah maut dirempuh kereta


Seorang wanita warga emas berusia dalam lingkungan 60-an terbunuh selepas dilanggar sebuah kereta yang merempuh kediamannya dalam kemalangan di timur London, lapor akhbar Metro UK pada 8 Disember 2024.


Kejadian berlaku kejiranan Eastern Avenue, bandar Ilford di England.


Perkhidmatan kecemasan dikerah ke tempat kejadian sekitar pukul 4.10 petang (waktu tempatan) kelmarin selepas menerima laporan kemalangan.



"Sebuah kereta merempuh pejalan kaki, kenderaan lain dan sebuah bangunan.


"Mangsa disahkan meninggal dunia sejurus selepas anggota polis, paramedik dan bomba tiba untuk memberi bantuan.


"Pemandu kenderaan bagaimanapun tidak ditangkap," tambah polis.


Imej mengejutkan menunjukkan bagaimana kereta itu merempuh taman hadapan sebelum melanggar sebuah rumah selepas ia terbabas dari jalan raya.


Pemandu kereta itu berhenti di tempat kejadian dan tidak ditahan tetapi detektif meminta mana-mana saksi atau mereka yang mungkin merakam kemalangan itu pada rakaman kamera pemuka untuk tampil ke hadapan.


Waris wanita itu telah dimaklumkan dan sedang disokong oleh pegawai pakar, kata polis. - Sumber Metro UK.


Sebuah kereta berwarna hitam yang rosak selepas merempuh rumah di Eastern Avenue, Ilford. - Foto UKNIP.

Ahad, 8 Disember 2024

Kereta kuda lumba haram di lebuh raya mengundang kecaman netizen

Kereta kuda lumba haram di lebuh raya mengundang kecaman netizen


Perbuatan sekumpulan penduduk mengadakan perlumbaan kereta kuda di sebuah lebuh raya di India mengundang kecaman orang ramai, lapor portal berita The Indian Express pada 6 Disember 2024.


Kejadian berlaku di Lebuh Raya Ekspres Timur, Mumbai pada Selasa lalu.


Rakaman yang dimuat naik di laman X oleh akaun @thaver_mohamed menunjukkan beberapa 'peserta' menaiki kereta kuda pada kelajuan tinggi.


Lebih mengejutkan, mereka diiringi kumpulan penunggang motosikal yang hadir untuk menyokong dan meraikan peserta.


Menurut polis tempatan, siasatan awal mendapati perlumbaan yang berlangsung antara Ghatkopar hingga Mulund itu dianjurkan tanpa kebenaran.


"Pihak berkuasa sedang giat menjalankan siasatan," tambah polis.


Rakaman itu mencatatkan lebih 1,300 tontonan dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen.


Sebilangan netizen juga menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan awam dan kekejaman haiwan akibat perlumbaan tersebut. - Sumber The Indian Express.


Tangkap layar menunjukkan beberapa peserta menunggang kereta kuda pada kelajuan tinggi di sebuah lebuh raya di Mumbai. - Foto X.

Sabtu, 7 Disember 2024

Tayar bas meletup, 26 maut manakala 28 lagi cedera dalam kemalangan

Tayar bas meletup, 26 maut manakala 28 lagi cedera dalam kemalangan


Sekurang-kurangnya 26 orang maut manakala 28 lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di laluan Issia-Daloa, barat Cote d'Ivoire pada petang Jumaat, menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan negara itu.


Kenyataan itu memaklumkan tragedi berlaku berhampiran kampung Brokoua apabila satu tayar bas mini meletup dan menyebabkan kemalangan antara dua kenderaan, lapor AP News hari ini.


Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Besar Issia, kira-kira 357 kilometer dari Abidjan, hab ekonomi Cote d'Ivoire.


Menurut kenyataan itu, pasukan kementerian telah dihantar ke lokasi kejadian untuk mengenal pasti punca kemalangan.


Secara purata, antara 1,000 hingga 1,500 orang maut setiap tahun dalam kemalangan jalan raya di Cote d'Ivoire, yang mempunyai sekitar 1.5 juta kenderaan di jalan raya, menurut data Kementerian Pengangkutan.


Côte d'Ivoire ialah sebuah negara sub-Sahara di selatan Afrika Barat yang mempunyai jumlah penduduk sekitar 29 juta.


Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Cote d'Ivoire memperkenalkan beberapa langkah untuk mengurangkan jumlah kemalangan maut, termasuk pelaksanaan sistem mata pada lesen memandu, larangan import kenderaan berusia lebih lima tahun, penyelenggaraan jalan raya dan pemasangan kamera. - Sumber AP News.


Ivory Coast Road Accident. - Foto 24 Seven News.