Isnin, 2 Disember 2024

Lelaki tukang cat positif dadah dituduh belasah suami teman wanitanya

Lelaki tukang cat positif dadah dituduh belasah suami teman wanitanya


"Kalau saya mengaku salah, boleh tak kurangkan hukuman," demikian pertanyaan seorang tukang cat yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Muar, hari ini, atas pertuduhan memukul suami teman wanitanya, bulan lalu.


Tertuduh, Mohd Rashimi Mahmood, 43, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap suami teman wanitanya berusia 42 tahun di hadapan sebuah rumah di Jalan Salleh, Parit Setongkat di Muar, pada jam 6 petang, 27 November lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.


Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga mangsa ke rumah tertuduh untuk mengajak isterinya pulang selepas tiga hari berada di situ.


Mangsa pada ketika itu memarahi isterinya namun tertuduh masuk campur urusan rumah tangga pasangan terbabit.


Kemuncaknya apabila tertuduh memukul suami teman wanitanya hingga cedera di perut, lengan dan paha sebelum mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqiilah Ahmad Rofaie manakala tertuduh diwakili Siti Nurashikin Fuaddin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Susulan pengakuan tidak bersalah, mahkamah menetapkan 13 Januari ini untuk serahan dokumen serta membenarkannya diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.


Selain itu, mahkamah juga memerintahkan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.


Di mahkamah sama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana air kencing positif dadah.


Tertuduh mengaku bersalah dengan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 serta perintah penjara lima bulan jika gagal membayarnya.


Tukang cat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar, atas tuduhan mencederakan suami teman wanitanya. - Foto NSTP.

Ahad, 1 Disember 2024

Gara-gara Google Maps, tiga lelaki maut selepas kereta terjunam dari jambatan

Gara-gara Google Maps, tiga lelaki maut selepas kereta terjunam dari jambatan


Tiga lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terjunam dari jambatan yang tidak lengkap dan terjatuh ke dasar sungai ketika menggunakan Google Maps untuk navigasi di Uttar Pradesh, India, pada awal pagi 24 November lalu.


The Straits Times yang memetik laporan beberapa media tempatan India melaporkan, mangsa dalam perjalanan dari Noida ke Bareilly untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan apabila kenderaan mereka jatuh dari jambatan ke Sungai Ramganga.


Beberapa laporan lain pula menyatakan mereka dalam perjalanan pulang selepas perayaan itu.


Mereka dipercayai mengikuti panduan dalam aplikasi navigasi yang membawa kenderaan mereka ke jambatan yang tidak diterangi dengan lampu dan belum lengkap.


Kereta mereka kemudian terjunam lebih 15 meter sebelum terhempas ke bawah jambatan, lapor The Times of India.


Kereta yang remuk dan tiga lelaki yang terperangkap di dalamnya ditemukan pada pagi 24 November lalu oleh penduduk dari kampung Allapur. Penduduk kemudian segera memaklumkan kejadian kepada polis.


"Kira-kira 9.30 pagi, kami dimaklumkan mengenai sebuah kereta rosak yang dijumpai di Sungai Ramganga," kata jurucakap polis kepada Hindustan Times.


"Pasukan kami menemukan sebuah Wagon R, dipercayai sebagai teksi yang jatuh dari jambatan yang tidak lengkap. Mayat-mayat mangsa sudah ditemukan dan dihantar untuk bedah siasat," katanya.


Ketiga-tiga lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Dua daripadanya dikenali sebagai Nitin dan Ajit berusia 30 tahun, manakala seorang lagi dikenali sebagai Amit, 40, lapor akhbar India The Economic Times.


Pegawai polis Faridpur, Ashutosh Shivam berkata, bahagian hadapan jambatan itu runtuh ke dalam sungai semasa banjir awal 2024 tetapi perubahan itu tidak dipaparkan dalam Google Maps.


Beliau menambah bahawa tiada penghadang keselamatan atau papan tanda amaran di jambatan terbabit, lapor The Economic Times.


Terkejut dengan kejadian itu, ahli keluarga mangsa dan penduduk di kawasan terbabit mengkritik Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan kerana gagal menutup jambatan yang tidak lengkap berkenaan.


Empat jurutera dari Jabatan Kerja Raya dan seorang pegawai yang tidak dinamakan dari Google Maps sedang membantu siasatan polis, lapor The Economic Times.


Jurucakap Google dalam satu kenyataan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian berkenaan. - Sumber The Straits Times.


Kereta dinaiki tiga lelaki terjunam dari jambatan yang tidak lengkap di Uttar Pradesh, India, pada awal pagi 24 November lalu. - Foto Surya Reddy/X.

Sabtu, 30 November 2024

Lelaki selamba pikul buaya ganas serang penduduk seberat 150 kilogram

Lelaki selamba pikul buaya ganas serang penduduk seberat 150 kilogram


Seorang pegawai hidupan liar di negeri Uttar Pradesh mengundang perhatian orang ramai kerana bersahaja memikul seekor buaya gergasi di atas bahunya, lapor stesen penyiaran NDTV pada 29 November 2024.


Kejadian berlaku di sebuah perkampungan di Pauthiyahurd, daerah Hamirpur pada 26 November lalu.


Rakaman dimuat naik di laman X oleh akaun @ManojSh28986262 menunjukkan lelaki itu memikul buaya sepanjang 6.09 meter yang ditangkap di sebuah kolam.


Buaya seberat 150 kilogram itu pertama kali dikesan sebulan lalu sebelum mula mengganas dan mengganggu penduduk kampung sejak tiga minggu lepas.


Kerana takut diserang, penduduk tempatan menghubungi pihak berkuasa.


"Pasukan jabatan hutan berjaya menangkap reptilia ganas itu selepas melakukan pemantauan selama tiga minggu. 


"Sebelum dipikul, mulut dan anggota badan buaya itu diikat dengan kain serta tali," demikian menurut keterangan video berkennaan. 


Reptilia itu kemudian dilepaskan ke dalam hutan berdekatan. - Sumber NDTV.


Tangkap layar menunjukkan buaya seberat 150 kilogram itu dipikul oleh seorang lelaki di daerah Hamirpur. - Foto NDTV.

Khamis, 28 November 2024

Pesakit positif dadah mengamuk di hospital serang beberapa jururawat

Pesakit positif dadah mengamuk di hospital serang beberapa jururawat


Seorang pesakit yang berada di bawah pengaruh methamphetamine bertindak ganas dengan menyerang jururawat ketika dibawa ke sebuah hospital di wilayah Maha Sarakham, lapor laman berita Thaiger pada 27 November 2024.


Berdasarkan video yang dimuat naik di platform TikTok, beberapa jururawat dilihat berlari keluar dari sebuah bilik.


Seorang pesakit lelaki yang tidak berbaju dan memegang rel katil kemudian keluar dari bilik itu sambil mengejar mereka.


Berdasarkan beberapa laporan, insiden itu berlaku selepas pesakit berkenaan dibawa ke hospital oleh ahli keluarganya sendiri ekoran masalah ketagihan dadah yang teruk.


Kebiasaannya, pesakit yang menunjukkan gejala-gejala kegelisahan teruk akan diikat pada katil hospital di kedua-dua tangannya.


Bagaimanapun, ibu pesakit tersebut dilaporkan meminta agar anaknya hanya diikat sebelah tangan, menyebabkan dia mampu melepaskan diri dan menyerang jururawat.


Situasi mencemaskan itu bagaimanapun dapat dikawal sejurus polis tiba.


Tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu, manakala pesakit berkenaan ditahan polis sebelum dirujuk ke kemudahan psikiatri untuk penilaian dan penjagaan lanjut. 


Insiden itu telah mencetuskan perbincangan di media sosial tentang keperluan untuk perlindungan dan sokongan yang lebih baik untuk profesional penjagaan kesihatan. Ramai telah menyatakan empati mereka terhadap mereka yang terlibat, menyedari keadaan mencabar di mana mereka beroperasi.


Keadaan ini bukan sahaja memberi perhatian kepada risiko peribadi yang dihadapi oleh jururawat tetapi juga menggariskan cabaran sistemik dalam kemudahan penjagaan kesihatan apabila mengendalikan pesakit dengan isu tingkah laku yang teruk.


Memandangkan hospital sedang berusaha untuk menaik taraf infrastruktur, terdapat harapan bahawa insiden masa depan dapat dicegah, memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk pesakit dan kakitangan, lapor KhaoSod. - Sumber The Thaiger


Pesakit berkenaan keluar dari bilik sambil mengejar jururawat. - Foto Khaosod.

Rabu, 27 November 2024

Lelaki maut terjatuh dari tingkat 21 hotel di Tanjung Bungah, Pulau Pinang

Lelaki maut terjatuh dari tingkat 21 hotel di Tanjung Bungah, Pulau Pinang


Polis mengesahkan kejadian seorang lelaki warga emas yang terjatuh dari tingkat 21 sebuah hotel Tanjung Bungah dan bukannya berlaku di sebuah hotel di Batu Feringghi seperti yang tular di media sosial hari ini.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berkenaan dilaporkan berlaku pada 23 November lalu dan lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


"Pihak Polis terkesan satu berita palsu yang membuat spekulasi mengenai satu kejadian jatuh bangunan di sebuah hotel di Batu Feringghi dan juga telah terima banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak.


"Dengan ini, pihak polis ingin mengesahkan bahawa kejadian yang tular tersebut bukan berlaku di Batu Feringghi sebaliknya kejadian tersebut sebenarnya berlaku di sebuah hotel di Tanjung Bungah," katanya dalam satu kenyataan di George Town, hari ini.


Abdul Rozak berkata, hasil siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes terbabit dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.


Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan kepada masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis.


Terdahulu tular beberapa keping gambar kejadian seorang lelaki yang terjatuh dari tingkat 21 sebuah hotel di Pulau Pinang.


Selain itu, terdapat satu nota bertulisan tangan juga ditemui yang tertulis 'saya sudah letih dengan hidup ini' yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian berkenaan.


Polis sahkan mangsa terjatuh dari tingkat 21 sebuah hotel Tanjung Bungah dan bukannya berlaku di sebuah hotel di Batu Feringghi seperti yang tular di media sosial.

Selasa, 26 November 2024

Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam kereta jenis Mercedes

Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam kereta jenis Mercedes


Mayat seorang lelaki ditemukan dalam sebuah kereta jenis Mercedes E200 di Kampung Tembila, Besut petang tadi.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, kejadian itu disedari setelah pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.15 petang.


Menurutnya, sepasukan anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan yang berkunci itu.


"Pada awalnya pihak bomba menerima panggilan memberitahu terdapat mangsa terperangkap dalam kenderaan, namun, apabila tiba di lokasi kita dapati seorang lelaki dewasa dalam keadaan tidak sedarkan diri berada di tempat duduk pemandu.


"Pemeriksaan awal dijalankan mendapati mangsa telah mengalami fasa-fasa pereputan (livor mortis)," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, pihak bomba bertindak membuka pintu kenderaan tersebut setelah mendapat kebenaran daripada polis.


"Mayat mangsa yang dipercayai berusia 30an telah berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.


Lokasi mangsa ditemukan meninggal dunia di Kampung Tembila, Besut pada petang Selasa (hari ini). Mayat mangsa berjaya dikeluarkan pihak bomba dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Isnin, 25 November 2024

Polis kesan lelaki warga asing lari dari mahkamah dalam keadaan kedua-dua tangan bergari

Polis kesan lelaki warga asing lari dari mahkamah dalam keadaan kedua-dua tangan bergari


Polis melancarkan Op Kesan dan Op Tutup bagi mengesan seorang lelaki warga asing berusia 30-an yang melarikan diri dari Kompleks Mahkamah Alor Gajah hari ini.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.30 pagi tadi daripada Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang memaklumkan suspek melarikan diri dalam keadaan kedua-dua tangan bergari kira-kira jam 10.10 pagi.


"Suspek disyaki memanjat pagar ke arah kawasan semak berhampiran.


"Ketika kejadian, suspek dalam perjalanan dibawa masuk ke dalam kenderaan dan tiba-tiba menolak pegawai pengiring lalu melarikan diri dengan memanjat pagar mahkamah," katanya dalam satu kenyataan malam ini.


Beliau berkata ketika kejadian, lelaki itu yang memakai baju-T berwarna biru muda dan berseluar panjang putih dibawa ke mahkamah untuk sebutan semula kes berkaitan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


"Usaha mengesan suspek turut dibantu Unit Anjing Pengesan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan," katanya.


Ashari meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.


Polis melancarkan Op Kesan dan Op Tutup bagi mengesan seorang lelaki warga Indonesia yang lari dari tahanan JKDM di Kompleks Mahkamah Alor Gajah. - Foto IPD Alor Gajah.

Ahad, 24 November 2024

Polis sudah kenal pasti lelaki mabuk rosakkan motosikal, topi keledar di Lembah Permai

Polis sudah kenal pasti lelaki mabuk rosakkan motosikal, topi keledar di Lembah Permai


Polis menerima tiga laporan berhubung kes perbuatan khianat yang dilakukan seorang lelaki selepas merosakkan dua motosikal dan menolak jatuh beberapa motosikal berhampiran sebuah kondominium di Jalan Lembah Permai, Tanjong Tokong pada Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan polis mendapati kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 6 petang dan pihaknya telah mengenal pasti individu yang terlibat.


"Dalam kejadian itu, dua buah motosikal dan satu topi keledar telah dirosakkan oleh lelaki berkenaan.


"Kita telah kenal pasti identiti suspek dan akan membuat tangkapan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Terdahulu tular satu klip video berdurasi 1.25 minit memaparkan perbuatan seorang lelaki berbaju biru yang membuat kecoh dengan merosakkan beberapa buah motosikal di kawasan parkir.


Lelaki berkenaan dipercayai berada dalam keadaan mabuk kemudiannya diserang seorang lelaki dengan menggunakan topi keledar sehingga menyebabkan dia rebah.


Sementara itu, Abdul Rozak berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan kes berkenaan dan menyiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.


Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes terbabit sehingga boleh menjejaskan siasatan.


Tangkap layar video tular memaparkan perbuatan suspek yang merosakkan beberapa buah motosikal.

Sabtu, 23 November 2024

Sebuah keluarga berhabis lebih RM20,000 kebumi kereta kesayangan

Sebuah keluarga berhabis lebih RM20,000 kebumi kereta kesayangan


Sebuah keluarga memberi penghormatan unik kepada kenderaan banyak berjasa kepada mereka, dalam satu 'majlis pengebumian' mewah bernilai lebih RM20,000 dengan dihadiri 1,500 penduduk tempatan.


Keluarga Polara dari Padarshinga, Gujarat di India mengucapkan selamat tinggal kepada kenderaan mereka yang berusia hampir 12 tahun dengan melakukan upacara pengebumian.


Patriark Sanjay Polara memberitahu wartawan, dia memiliki beberapa kereta yang lebih mahal termasuk Audi, namun memuji Wagon R lama itu kerana banyak berjasa dalam kemakmuran keluarganya.



"Kereta ini lebih daripada sekadar kenderaan. Ia sebahagian daripada perjalanan kami ke arah kejayaan.


"Daripada menjualnya, kami mahu menghormatinya dengan ingatan yang berkekalan untuk generasi akan datang.


"Jadi kami mahu melakukan sesuatu yang istimewa untuk kereta ini," katanya.


Sanjay Polara, yang memiliki perniagaan pembinaan di Surat berkata, dia juga merancang untuk menanam pokok di atas kubur yang luar biasa itu untuk mengingatkan generasi akan datang bahawa ia adalah tempat berehat kereta bertuah keluarga itu.


Sebuah kubur sedalam 4.6 meter digali dalam kawasan hartanah mereka sebelum kereta itu ditanam didalamnya.


Seperti kelaziman majlis pengebumian kereta itu turut ditutup dengan kelopak bunga dan dihiasi dengan kalungan berwarna-warni dengan iringan muzik daripada pembesar suara mudah alih.


Keluarga itu kemudian menutupnya dengan kain hijau dan melakukan beberapa ritual sebagai sebahagian daripada upacara yang dilaporkan menelan belanja lebih AS$4,500 (RM20,106).


Mereka juga mendirikan samadhi (tempat suci) untuk Suzuki Wagon R kesayangan itu. Selepas semua upacara selesai, sebuah jengkaut digunakan untuk menutup gerabak dengan tanah dan tanah liat. - Sumber NDTV.


Suzuki Wagon R 'dikebumikan'. - Foto NDTV.

Jumaat, 22 November 2024

Lelaki warga asing mengaku salah korek mata lelaki hingga cacat kekal

Lelaki warga asing mengaku salah korek mata lelaki hingga cacat kekal


Seorang lelaki warga Myanmar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki sehingga mengalami cacat kekal dalam kejadian pada Sabtu lalu.


Tertuduh Murtabis, 28 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Mohamad Azrul Muhd Sobri.


Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menyebabkan kecederaan parah ke atas M Gunalan, 52, di tepi jalan Flat Rethina, Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor jam 2 petang pada 16 November lepas.


Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Sementara itu, di Mahkamah sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan tidak memiliki apa- apa pas yang sah mengikut undang- undang untuk masuk ke negara ini.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Simpang Tiga Tasek Gelugor kira-kira jam 3 petang pada hari sama.


Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/ 63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua- duanya dan tidak lebih enam sebatan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi kedua- dua pertuduhan kerana dia bukan warganegara. Kes akan disebut semula 13 Disember depan untuk kehadiran jurubahasa Myanmar.


Sebelum ini media tempatan melaporkan, seorang lelaki direman selama empat hari selepas bertindak mengorek keluar bebola mata kiri seorang lelaki dalam pergaduhan di tepi jalan berdekatan sebuah flat di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor.


Kejadian kira-kira jam 2 petang itu dikatakan berlaku akibat perasaan tidak berpuas hati suspek terhadap mangsa berusia 52 tahun yang didakwa mengganggunya dalam keadaan mabuk.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata kejadian itu menyebabkan mata mangsa tidak dapat diselamatkan dan mengalami kecacatan kekal apabila bebola matanya tidak dapat disambung semula.


Tertuduh diiringi anggota polis ke Mahkamah Butterworth, pada Jumaat. - Foto Sinar Harian.