Isnin, 25 November 2024

Polis kesan lelaki warga asing lari dari mahkamah dalam keadaan kedua-dua tangan bergari

Polis kesan lelaki warga asing lari dari mahkamah dalam keadaan kedua-dua tangan bergari


Polis melancarkan Op Kesan dan Op Tutup bagi mengesan seorang lelaki warga asing berusia 30-an yang melarikan diri dari Kompleks Mahkamah Alor Gajah hari ini.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.30 pagi tadi daripada Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang memaklumkan suspek melarikan diri dalam keadaan kedua-dua tangan bergari kira-kira jam 10.10 pagi.


"Suspek disyaki memanjat pagar ke arah kawasan semak berhampiran.


"Ketika kejadian, suspek dalam perjalanan dibawa masuk ke dalam kenderaan dan tiba-tiba menolak pegawai pengiring lalu melarikan diri dengan memanjat pagar mahkamah," katanya dalam satu kenyataan malam ini.


Beliau berkata ketika kejadian, lelaki itu yang memakai baju-T berwarna biru muda dan berseluar panjang putih dibawa ke mahkamah untuk sebutan semula kes berkaitan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


"Usaha mengesan suspek turut dibantu Unit Anjing Pengesan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan," katanya.


Ashari meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.


Polis melancarkan Op Kesan dan Op Tutup bagi mengesan seorang lelaki warga Indonesia yang lari dari tahanan JKDM di Kompleks Mahkamah Alor Gajah. - Foto IPD Alor Gajah.

Ahad, 24 November 2024

Polis sudah kenal pasti lelaki mabuk rosakkan motosikal, topi keledar di Lembah Permai

Polis sudah kenal pasti lelaki mabuk rosakkan motosikal, topi keledar di Lembah Permai


Polis menerima tiga laporan berhubung kes perbuatan khianat yang dilakukan seorang lelaki selepas merosakkan dua motosikal dan menolak jatuh beberapa motosikal berhampiran sebuah kondominium di Jalan Lembah Permai, Tanjong Tokong pada Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan polis mendapati kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 6 petang dan pihaknya telah mengenal pasti individu yang terlibat.


"Dalam kejadian itu, dua buah motosikal dan satu topi keledar telah dirosakkan oleh lelaki berkenaan.


"Kita telah kenal pasti identiti suspek dan akan membuat tangkapan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Terdahulu tular satu klip video berdurasi 1.25 minit memaparkan perbuatan seorang lelaki berbaju biru yang membuat kecoh dengan merosakkan beberapa buah motosikal di kawasan parkir.


Lelaki berkenaan dipercayai berada dalam keadaan mabuk kemudiannya diserang seorang lelaki dengan menggunakan topi keledar sehingga menyebabkan dia rebah.


Sementara itu, Abdul Rozak berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan kes berkenaan dan menyiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.


Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes terbabit sehingga boleh menjejaskan siasatan.


Tangkap layar video tular memaparkan perbuatan suspek yang merosakkan beberapa buah motosikal.

Sabtu, 23 November 2024

Sebuah keluarga berhabis lebih RM20,000 kebumi kereta kesayangan

Sebuah keluarga berhabis lebih RM20,000 kebumi kereta kesayangan


Sebuah keluarga memberi penghormatan unik kepada kenderaan banyak berjasa kepada mereka, dalam satu 'majlis pengebumian' mewah bernilai lebih RM20,000 dengan dihadiri 1,500 penduduk tempatan.


Keluarga Polara dari Padarshinga, Gujarat di India mengucapkan selamat tinggal kepada kenderaan mereka yang berusia hampir 12 tahun dengan melakukan upacara pengebumian.


Patriark Sanjay Polara memberitahu wartawan, dia memiliki beberapa kereta yang lebih mahal termasuk Audi, namun memuji Wagon R lama itu kerana banyak berjasa dalam kemakmuran keluarganya.



"Kereta ini lebih daripada sekadar kenderaan. Ia sebahagian daripada perjalanan kami ke arah kejayaan.


"Daripada menjualnya, kami mahu menghormatinya dengan ingatan yang berkekalan untuk generasi akan datang.


"Jadi kami mahu melakukan sesuatu yang istimewa untuk kereta ini," katanya.


Sanjay Polara, yang memiliki perniagaan pembinaan di Surat berkata, dia juga merancang untuk menanam pokok di atas kubur yang luar biasa itu untuk mengingatkan generasi akan datang bahawa ia adalah tempat berehat kereta bertuah keluarga itu.


Sebuah kubur sedalam 4.6 meter digali dalam kawasan hartanah mereka sebelum kereta itu ditanam didalamnya.


Seperti kelaziman majlis pengebumian kereta itu turut ditutup dengan kelopak bunga dan dihiasi dengan kalungan berwarna-warni dengan iringan muzik daripada pembesar suara mudah alih.


Keluarga itu kemudian menutupnya dengan kain hijau dan melakukan beberapa ritual sebagai sebahagian daripada upacara yang dilaporkan menelan belanja lebih AS$4,500 (RM20,106).


Mereka juga mendirikan samadhi (tempat suci) untuk Suzuki Wagon R kesayangan itu. Selepas semua upacara selesai, sebuah jengkaut digunakan untuk menutup gerabak dengan tanah dan tanah liat. - Sumber NDTV.


Suzuki Wagon R 'dikebumikan'. - Foto NDTV.

Jumaat, 22 November 2024

Lelaki warga asing mengaku salah korek mata lelaki hingga cacat kekal

Lelaki warga asing mengaku salah korek mata lelaki hingga cacat kekal


Seorang lelaki warga Myanmar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki sehingga mengalami cacat kekal dalam kejadian pada Sabtu lalu.


Tertuduh Murtabis, 28 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Mohamad Azrul Muhd Sobri.


Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menyebabkan kecederaan parah ke atas M Gunalan, 52, di tepi jalan Flat Rethina, Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor jam 2 petang pada 16 November lepas.


Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Sementara itu, di Mahkamah sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan tidak memiliki apa- apa pas yang sah mengikut undang- undang untuk masuk ke negara ini.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Simpang Tiga Tasek Gelugor kira-kira jam 3 petang pada hari sama.


Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/ 63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua- duanya dan tidak lebih enam sebatan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi kedua- dua pertuduhan kerana dia bukan warganegara. Kes akan disebut semula 13 Disember depan untuk kehadiran jurubahasa Myanmar.


Sebelum ini media tempatan melaporkan, seorang lelaki direman selama empat hari selepas bertindak mengorek keluar bebola mata kiri seorang lelaki dalam pergaduhan di tepi jalan berdekatan sebuah flat di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor.


Kejadian kira-kira jam 2 petang itu dikatakan berlaku akibat perasaan tidak berpuas hati suspek terhadap mangsa berusia 52 tahun yang didakwa mengganggunya dalam keadaan mabuk.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata kejadian itu menyebabkan mata mangsa tidak dapat diselamatkan dan mengalami kecacatan kekal apabila bebola matanya tidak dapat disambung semula.


Tertuduh diiringi anggota polis ke Mahkamah Butterworth, pada Jumaat. - Foto Sinar Harian.

Khamis, 21 November 2024

Lelaki dijel kerana tinggalkan isterinya yang menghidap kanser tahap akhir

Lelaki dijel kerana tinggalkan isterinya yang menghidap kanser tahap akhir


Seorang lelaki di China tergamak meninggalkan isteri yang baru dikahwininya, memutuskan semua hubungan dan enggan menjaga selepas wanita itu disahkan menghidap barah peringkat akhir.


South China Morning Post (SCMP) melaporkan, perbuatan yang keterlaluan itu mendapat kecaman di media sosial di China.


Ia selepas lelaki dikenali Feng itu dijatuhi hukuman penjara setahun oleh mahkamah di wilayah Anhui di timur China kerana melakukan pengabaian, menurut laporan Qihu News.


Hukuman itu boleh ditangguhkan sehingga setahun.


Difahamkan, Feng berkahwin dengan isterinya, Wang, pada 2022 lalu. Dua bulan kemudian, Wang disahkan menghidap barah usus yang melarat hingga ke tahap akhir.


Pada mulanya, Feng menjaga isterinya, tetapi selepas beberapa bulan, dia menggunakan alasan bekerja di bandar lain untuk mengelak daripada tanggungjawabnya.


Walaupun Wang dan keluarganya menghubungi Feng, lelaki itu tetap sukar dihubungi. Ketika menjalani rawatan, Wang terpaksa meminjam wang untuk menampung bil hospital.


Malangnya, dia meninggal dunia selepas menghabiskan lebih 200 hari di hospital.


Berikutan kegagalan Feng untuk memberikan penjagaan atau menyumbang kepada perbelanjaan perubatannya, keluarga Wang memfailkan tuntutan mahkamah terhadapnya di Mahkamah Rakyat Daerah Shitai.


Bapa Wang mengecam Feng kerana "kelakuan ganasnya", mereka gagal untuk menghubunginya melalui telefon, aplikasi pemesejan, dan juga melibatkan polis dan pihak berkuasa lain.


Selepas dipanggil semula ke mahkamah, Feng akhirnya mencapai penyelesaian dengan keluarga Wang dan mendapatkan pengampunan mereka.


Menurut Dr Cui Shuanglin dari Pusat Kanser Universiti Sun Yat-sen di Guangzhou, pesakit yang menghidap kanser usus peringkat akhir mempunyai anggaran kadar kelangsungan hidup sekitar tiga tahun, bergantung kepada keadaan kesihatan individu, seperti yang dicatatkan di laman web perubatan Youlai.


Terdahulu, Feng pernah dua kali menyatakan hasrat untuk berpisah ketika Wang sakit teruk. - Sumber South China Morning Post.


Pesakit kanser usus peringkat akhir mempunyai anggaran kemandirian kira-kira tiga tahun, bergantung pada keadaan kesihatan. - Foto Shutterstock.

Selasa, 19 November 2024

Ibu dihalau keluar dari rumah oleh anaknya berdiri tepi jalan 'ditemani' peti sejuk

Ibu dihalau keluar dari rumah oleh anaknya berdiri tepi jalan 'ditemani' peti sejuk


Sebuah video tular di media sosial Thailand memaparkan beberapa penduduk membantu seorang wanita yang mendakwa dirinya dihalau keluar dari rumah oleh anaknya sendiri, lapor laman berita Thaiger pada 18 November 2024.


Video kejadian semalam itu dimuat naik di platform TikTok oleh salah seorang penduduk yang membantunya.


Sambil berdiri dekat sebuah jambatan di tepi jalan, wanita tersebut dirakam berbual dengan beberapa penduduk yang bertanyakan tentang keadaannya.


Menurut individu tersebut, wanita berkenaan dihalau oleh anak bongsunya dan dia sedang menanti anak yang lain datang mengambilnya.


Turut kelihatan adalah beberapa barangan milik wanita tersebut termasuk peti sejuk, kipas dan cerek.


Kumpulan penduduk itu kemudian membantu mengangkut barang-barang wanita itu menggunakan trak pikap ke sebuah pondok untuk berlindung di tepi jalan sambil menunggu ketibaan anak perempuannya.


"Anak menghalau ibu keluar dari rumah. Mujurlah kami menemuinya. Tidak banyak yang dapat kami bantu, namun kami cuba (membantu)," kata keterangan video tersebut. - Sumber The Thaiger.


Wanita tersebut berdiri di samping barangan seperti peti sejuk, kipas dan cerek. - Foto Thaiger.

Isnin, 18 November 2024

200 ekor monyet mengamuk serang balai polis

200 ekor monyet mengamuk serang balai polis


Polis di tengah Thailand menyatakan bahawa mereka terpaksa berkubu di balai sendiri hujung minggu lalu selepas kawanan monyet yang terlepas, merusuh di bandar tersebut.


Penduduk bandar LopBuri sudah lama menderita akibat peningkatan populasi monyet agresif dengan pihak berkuasa membina kawasan khas bagi melindungi diri mereka.


Lebih 200 ekor monyet melarikan diri dari sangkar mereka di Taman Asuhan Monyet Pho Khao Ton perbandaran LopBuri di daerah Muang dan menceroboh balai polis Tha Hin.


Kejadian berlaku pada petang kelmarin (Sabtu) apabila kira-kira 300 ekor monyet yang ditangkap dari bandar LopBuri melarikan diri dari sangkar dan berkeliaran di jalan raya.


Polis mendapati sangkar itu tidak dapat menahan kekuatan monyet yang mengayunkan struktur. Haiwan itu menerobos dan melarikan diri.


Kawanan monyet itu mengamuk di seluruh bandar LopBuri dengan turut menyerang rumah penduduk dan balai polis tempatan.


"Kami perlu memastikan semua pintu dan tingkap ditutup untuk menghalang primat ini daripada memasuki bangunan untuk mencari makanan," kata kapten polis, Somchai Seedee kepada AFP hari ini.


Dia bimbang penceroboh itu akan memusnahkan harta benda termasuk dokumen polis.


Polis trafik dan anggota-anggota bertugas dipanggil untuk menghalau penceroboh tersebut, kata polis LopBuri di laman Facebook semalam.


Kira-kira 12 ekor monyet itu masih berada di atas bumbung balai polis hari ini, demikian menurut gambar media tempatan.


Di jalanan, anggota polis dan pihak berkuasa tempatan berusaha menangkap monyet itu dengan memberi umpan makanan supaya haiwan liar itu menjauhi kawasan penduduk. - Sumber SCMP.


Gambar fail menunjukkan beberapa ekor monyet memanjat badan seorang jurugambar di wilayah LopBuri. - Foto AFP.

Sabtu, 16 November 2024

Terpaksa batalkan penerbangan, wanita bersalin dekat kaunter tiket lapangan terbang

Terpaksa batalkan penerbangan, wanita bersalin dekat kaunter tiket lapangan terbang


Seorang wanita terpaksa membatalkan penerbangannya apabila dia bersalin secara tiba-tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, negeri Florida, lapor agensi berita United Press International (UPI) pada 15 November 2024.


Anggota Bomba dan Penyelamat Miami-Dade bergegas ke lapangan terbang berkenaan sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 5 petang (waktu tempatan), Selasa lalu.


"Penumpang bersalin berhampiran Pusat Pemeriksaan 1 di kawasan hab pra-keselamatan," kata seorang jurucakap bomba.


Selain bomba, anggota Jabatan Polis Miami-Dade, Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (AS) serta kakitangan Lapangan Terbang Miami-Dade turut hadir membantu.


Mereka membantu wanita itu bersalin sebelum ambulans tiba untuk membawa ibu dan bayi yang baru lahir ke hospital berdekatan.


Seorang kakitangan lapangan terbang berkata: "Dia sedang menunggu pesawat yang akan membawanya ke negeri lain sebelum air ketubannya pecah." - Sumber UPI.


Seorang pegawai polis cuba menenangkan penumpang yang melahirkan seorang bayi di lapangan terbang. - Foto 7 News.

Jumaat, 15 November 2024

Enggan padam video intim, wanita pukul bekas teman lelakinya hingga pengsan

Enggan padam video intim, wanita pukul bekas teman lelakinya hingga pengsan


Polis Thailand menangkap seorang wanita selepas dia menyerang bekas teman lelakinya secara ganas dalam kejadian di timur Pattaya pada Isnin lalu, lapor portal berita Pattaya Mail pada 13 November 2024.


Polis menangkap Supatra yang juga dikenali sebagai Manao Roy Joob, 28, dalam kes cubaan membunuh selepas mendapat waran Mahkamah Wilayah Pattaya.


Supatra sebelum ini menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki itu tetapi cuba untuk memutuskan hubungan selepas mendapat tahu mangsa sudah berkahwin.


Namun, lelaki itu enggan berbuat demikian, malah menghantar rakaman video memaparkan keintiman mereka kepada anak perempuan Supatra, menyebabkan wanita itu mengalami tekanan emosi.


Apabila Supatra berdepan dengan lelaki tersebut, dia berkeras enggan memadamkan video mereka.


Dalam keadaan marah, Supatra menyerang bekas teman lelakinya dengan sepana besi, menyebabkan mangsa rebah dan tidak sedarkan diri.


Teman lelaki baharunya kemudian menendang mangsa, menyebabkan dia cedera parah.


Selepas serangan itu, kedua-duanya melarikan diri dari tempat kejadian tetapi polis kemudian menahan teman lelaki baharu itu. - Sumber Pattaya Mail.


Polis menahan Supatra kerana dia disyaki membelasah bekas kekasihnya. - Foto Pattaya Mail.

Khamis, 14 November 2024

Ingatkan kain batik, rupanya ular berbisa 'lepak' dalam dapur

Ingatkan kain batik, rupanya ular berbisa 'lepak' dalam dapur


Seorang wanita di Afrika Selatan berdepan detik cemas apabila mendapati kain yang dipegangnya adalah seekor ular berbisa, lapor saluran berita Must Share News pada 13 November 2024.


Kejadian berlaku di rumahnya di Vermont pada 5 Oktober lalu.


Wanita yang tidak didedahkan namanya itu berkata, corak haiwan berbisa tersebut menyerupai kain yang diletakkan di atas meja.


"Saya masuk ke dapur dan ternampak sehelai kain berwarna coklat di atas lantai.


"Coraknya sama dengan corak kain yang diletakkan di atas meja.


"Ketika saya mahu mengambil 'kain' itu, saya menyedari bahawa ia bukan kain tetapi ular berbisa," tambahnya.


Dalam keadaan panik, dia bergegas menghubungi Corné Uys, seorang aktivis pemuliharaan hidupan liar tempatan dan pakar penangkap ular untuk mendapatkan bantuan. 


"Ular ini mencari tempat perlindungan yang lebih sejuk berikutan cuaca panas yang melanda selama beberapa hari," kata Uys.


Menurutnya, ular itu sangat berbisa dan bertanggungjawab untuk lebih banyak kematian berbanding ular lain di Afrika.


Selepas berjaya menangkap ular itu, Uys melepaskannya semula ke kawasan hutan simpan berdekatan.


Dia juga memberi amaran kepada penduduk tempatan untuk terus berwaspada ketika musim panas. - Sumber Must Share News.


Gambar menunjukkan sehelai kain dan seekor ular berbisa yang memiliki corak sama di dalam dapur. - Foto Facebook.