Khamis, 21 November 2024

Lelaki dijel kerana tinggalkan isterinya yang menghidap kanser tahap akhir

Lelaki dijel kerana tinggalkan isterinya yang menghidap kanser tahap akhir


Seorang lelaki di China tergamak meninggalkan isteri yang baru dikahwininya, memutuskan semua hubungan dan enggan menjaga selepas wanita itu disahkan menghidap barah peringkat akhir.


South China Morning Post (SCMP) melaporkan, perbuatan yang keterlaluan itu mendapat kecaman di media sosial di China.


Ia selepas lelaki dikenali Feng itu dijatuhi hukuman penjara setahun oleh mahkamah di wilayah Anhui di timur China kerana melakukan pengabaian, menurut laporan Qihu News.


Hukuman itu boleh ditangguhkan sehingga setahun.


Difahamkan, Feng berkahwin dengan isterinya, Wang, pada 2022 lalu. Dua bulan kemudian, Wang disahkan menghidap barah usus yang melarat hingga ke tahap akhir.


Pada mulanya, Feng menjaga isterinya, tetapi selepas beberapa bulan, dia menggunakan alasan bekerja di bandar lain untuk mengelak daripada tanggungjawabnya.


Walaupun Wang dan keluarganya menghubungi Feng, lelaki itu tetap sukar dihubungi. Ketika menjalani rawatan, Wang terpaksa meminjam wang untuk menampung bil hospital.


Malangnya, dia meninggal dunia selepas menghabiskan lebih 200 hari di hospital.


Berikutan kegagalan Feng untuk memberikan penjagaan atau menyumbang kepada perbelanjaan perubatannya, keluarga Wang memfailkan tuntutan mahkamah terhadapnya di Mahkamah Rakyat Daerah Shitai.


Bapa Wang mengecam Feng kerana "kelakuan ganasnya", mereka gagal untuk menghubunginya melalui telefon, aplikasi pemesejan, dan juga melibatkan polis dan pihak berkuasa lain.


Selepas dipanggil semula ke mahkamah, Feng akhirnya mencapai penyelesaian dengan keluarga Wang dan mendapatkan pengampunan mereka.


Menurut Dr Cui Shuanglin dari Pusat Kanser Universiti Sun Yat-sen di Guangzhou, pesakit yang menghidap kanser usus peringkat akhir mempunyai anggaran kadar kelangsungan hidup sekitar tiga tahun, bergantung kepada keadaan kesihatan individu, seperti yang dicatatkan di laman web perubatan Youlai.


Terdahulu, Feng pernah dua kali menyatakan hasrat untuk berpisah ketika Wang sakit teruk. - Sumber South China Morning Post.


Pesakit kanser usus peringkat akhir mempunyai anggaran kemandirian kira-kira tiga tahun, bergantung pada keadaan kesihatan. - Foto Shutterstock.

Selasa, 19 November 2024

Ibu dihalau keluar dari rumah oleh anaknya berdiri tepi jalan 'ditemani' peti sejuk

Ibu dihalau keluar dari rumah oleh anaknya berdiri tepi jalan 'ditemani' peti sejuk


Sebuah video tular di media sosial Thailand memaparkan beberapa penduduk membantu seorang wanita yang mendakwa dirinya dihalau keluar dari rumah oleh anaknya sendiri, lapor laman berita Thaiger pada 18 November 2024.


Video kejadian semalam itu dimuat naik di platform TikTok oleh salah seorang penduduk yang membantunya.


Sambil berdiri dekat sebuah jambatan di tepi jalan, wanita tersebut dirakam berbual dengan beberapa penduduk yang bertanyakan tentang keadaannya.


Menurut individu tersebut, wanita berkenaan dihalau oleh anak bongsunya dan dia sedang menanti anak yang lain datang mengambilnya.


Turut kelihatan adalah beberapa barangan milik wanita tersebut termasuk peti sejuk, kipas dan cerek.


Kumpulan penduduk itu kemudian membantu mengangkut barang-barang wanita itu menggunakan trak pikap ke sebuah pondok untuk berlindung di tepi jalan sambil menunggu ketibaan anak perempuannya.


"Anak menghalau ibu keluar dari rumah. Mujurlah kami menemuinya. Tidak banyak yang dapat kami bantu, namun kami cuba (membantu)," kata keterangan video tersebut. - Sumber The Thaiger.


Wanita tersebut berdiri di samping barangan seperti peti sejuk, kipas dan cerek. - Foto Thaiger.

Isnin, 18 November 2024

200 ekor monyet mengamuk serang balai polis

200 ekor monyet mengamuk serang balai polis


Polis di tengah Thailand menyatakan bahawa mereka terpaksa berkubu di balai sendiri hujung minggu lalu selepas kawanan monyet yang terlepas, merusuh di bandar tersebut.


Penduduk bandar LopBuri sudah lama menderita akibat peningkatan populasi monyet agresif dengan pihak berkuasa membina kawasan khas bagi melindungi diri mereka.


Lebih 200 ekor monyet melarikan diri dari sangkar mereka di Taman Asuhan Monyet Pho Khao Ton perbandaran LopBuri di daerah Muang dan menceroboh balai polis Tha Hin.


Kejadian berlaku pada petang kelmarin (Sabtu) apabila kira-kira 300 ekor monyet yang ditangkap dari bandar LopBuri melarikan diri dari sangkar dan berkeliaran di jalan raya.


Polis mendapati sangkar itu tidak dapat menahan kekuatan monyet yang mengayunkan struktur. Haiwan itu menerobos dan melarikan diri.


Kawanan monyet itu mengamuk di seluruh bandar LopBuri dengan turut menyerang rumah penduduk dan balai polis tempatan.


"Kami perlu memastikan semua pintu dan tingkap ditutup untuk menghalang primat ini daripada memasuki bangunan untuk mencari makanan," kata kapten polis, Somchai Seedee kepada AFP hari ini.


Dia bimbang penceroboh itu akan memusnahkan harta benda termasuk dokumen polis.


Polis trafik dan anggota-anggota bertugas dipanggil untuk menghalau penceroboh tersebut, kata polis LopBuri di laman Facebook semalam.


Kira-kira 12 ekor monyet itu masih berada di atas bumbung balai polis hari ini, demikian menurut gambar media tempatan.


Di jalanan, anggota polis dan pihak berkuasa tempatan berusaha menangkap monyet itu dengan memberi umpan makanan supaya haiwan liar itu menjauhi kawasan penduduk. - Sumber SCMP.


Gambar fail menunjukkan beberapa ekor monyet memanjat badan seorang jurugambar di wilayah LopBuri. - Foto AFP.

Sabtu, 16 November 2024

Terpaksa batalkan penerbangan, wanita bersalin dekat kaunter tiket lapangan terbang

Terpaksa batalkan penerbangan, wanita bersalin dekat kaunter tiket lapangan terbang


Seorang wanita terpaksa membatalkan penerbangannya apabila dia bersalin secara tiba-tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, negeri Florida, lapor agensi berita United Press International (UPI) pada 15 November 2024.


Anggota Bomba dan Penyelamat Miami-Dade bergegas ke lapangan terbang berkenaan sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 5 petang (waktu tempatan), Selasa lalu.


"Penumpang bersalin berhampiran Pusat Pemeriksaan 1 di kawasan hab pra-keselamatan," kata seorang jurucakap bomba.


Selain bomba, anggota Jabatan Polis Miami-Dade, Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (AS) serta kakitangan Lapangan Terbang Miami-Dade turut hadir membantu.


Mereka membantu wanita itu bersalin sebelum ambulans tiba untuk membawa ibu dan bayi yang baru lahir ke hospital berdekatan.


Seorang kakitangan lapangan terbang berkata: "Dia sedang menunggu pesawat yang akan membawanya ke negeri lain sebelum air ketubannya pecah." - Sumber UPI.


Seorang pegawai polis cuba menenangkan penumpang yang melahirkan seorang bayi di lapangan terbang. - Foto 7 News.

Jumaat, 15 November 2024

Enggan padam video intim, wanita pukul bekas teman lelakinya hingga pengsan

Enggan padam video intim, wanita pukul bekas teman lelakinya hingga pengsan


Polis Thailand menangkap seorang wanita selepas dia menyerang bekas teman lelakinya secara ganas dalam kejadian di timur Pattaya pada Isnin lalu, lapor portal berita Pattaya Mail pada 13 November 2024.


Polis menangkap Supatra yang juga dikenali sebagai Manao Roy Joob, 28, dalam kes cubaan membunuh selepas mendapat waran Mahkamah Wilayah Pattaya.


Supatra sebelum ini menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki itu tetapi cuba untuk memutuskan hubungan selepas mendapat tahu mangsa sudah berkahwin.


Namun, lelaki itu enggan berbuat demikian, malah menghantar rakaman video memaparkan keintiman mereka kepada anak perempuan Supatra, menyebabkan wanita itu mengalami tekanan emosi.


Apabila Supatra berdepan dengan lelaki tersebut, dia berkeras enggan memadamkan video mereka.


Dalam keadaan marah, Supatra menyerang bekas teman lelakinya dengan sepana besi, menyebabkan mangsa rebah dan tidak sedarkan diri.


Teman lelaki baharunya kemudian menendang mangsa, menyebabkan dia cedera parah.


Selepas serangan itu, kedua-duanya melarikan diri dari tempat kejadian tetapi polis kemudian menahan teman lelaki baharu itu. - Sumber Pattaya Mail.


Polis menahan Supatra kerana dia disyaki membelasah bekas kekasihnya. - Foto Pattaya Mail.

Khamis, 14 November 2024

Ingatkan kain batik, rupanya ular berbisa 'lepak' dalam dapur

Ingatkan kain batik, rupanya ular berbisa 'lepak' dalam dapur


Seorang wanita di Afrika Selatan berdepan detik cemas apabila mendapati kain yang dipegangnya adalah seekor ular berbisa, lapor saluran berita Must Share News pada 13 November 2024.


Kejadian berlaku di rumahnya di Vermont pada 5 Oktober lalu.


Wanita yang tidak didedahkan namanya itu berkata, corak haiwan berbisa tersebut menyerupai kain yang diletakkan di atas meja.


"Saya masuk ke dapur dan ternampak sehelai kain berwarna coklat di atas lantai.


"Coraknya sama dengan corak kain yang diletakkan di atas meja.


"Ketika saya mahu mengambil 'kain' itu, saya menyedari bahawa ia bukan kain tetapi ular berbisa," tambahnya.


Dalam keadaan panik, dia bergegas menghubungi Corné Uys, seorang aktivis pemuliharaan hidupan liar tempatan dan pakar penangkap ular untuk mendapatkan bantuan. 


"Ular ini mencari tempat perlindungan yang lebih sejuk berikutan cuaca panas yang melanda selama beberapa hari," kata Uys.


Menurutnya, ular itu sangat berbisa dan bertanggungjawab untuk lebih banyak kematian berbanding ular lain di Afrika.


Selepas berjaya menangkap ular itu, Uys melepaskannya semula ke kawasan hutan simpan berdekatan.


Dia juga memberi amaran kepada penduduk tempatan untuk terus berwaspada ketika musim panas. - Sumber Must Share News.


Gambar menunjukkan sehelai kain dan seekor ular berbisa yang memiliki corak sama di dalam dapur. - Foto Facebook.

Rabu, 13 November 2024

Pemandu sengaja rempuh orang ramai di stadium menyebabkan 35 orang maut, 45 cedera

Pemandu sengaja rempuh orang ramai di stadium menyebabkan 35 orang maut, 45 cedera


Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dalam serangan menggunakan kereta di selatan China sekali gus menjadi tindakan keganasan awam paling maut di negara itu dalam beberapa dekad, lapor BBC News pada 12 November 2024.


Seorang jurucakap polis tempatan berkata, suspek berusia 62 tahun yang dikenali sebagai Fan, dengan sengaja memandu keretanya dan merempuh sekumpulan individu yang sedang bersenam di sebuah stadium di bandar Zhuhai.


"Serangan serius dan kejam itu turut mencederakan 45 orang termasuk warga emas serta kanak-kanak.


"Siasatan awal mendapati bahawa suspek berasa tidak puas hati terhadap pengagihan aset selepas perceraian.


"Dia ditahan ketika cuba melarikan diri dari tempat kejadian dan kini berada dalam keadaan koma akibat kecederaan yang dilakukan sendiri," katanya.



Serangan itu mendapat kritikan di seluruh China, manakala Presiden Xi Jinping berikrar bahawa suspek akan dikenakan 'hukuman berat'. Beliau turut menggesa 'usaha habis-habisan' dilakukan untuk merawat mangsa-mangsa yang cedera.


Sementara itu, polis tempatan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan suspek dicetuskan oleh pertikaian harta berikutan perceraiannya.


"Dia masih dalam keadaan koma dan tidak disoal siasat," kata polis. - Sumber Perbadanan Penyiaran Britain (BBC News).


Sebuah kereta polis tiba di Pusat Sukan Zhuhai sehari selepas serangan menggunakan kereta yang meragut puluhan nyawa. - Foto Hector.

Selasa, 12 November 2024

Model cantik ini berhasrat ingin jadi wanita pertama lahirkan anak di Marikh

Model cantik ini berhasrat ingin jadi wanita pertama lahirkan anak di Marikh


Seorang model yang pernah menyatakan hasrat untuk menjadi individu pertama melakukan hubungan seks di angkasa, kini beralih kepada cita-cita yang lebih luar biasa, iaitu melahirkan anak di planet Marikh, lapor akhbar Daily Star semalam.


Elsa Thora yang berasal dari Sweden merupakan bintang OnlyFans yang berpusat di Britain berkata, dia mahu membantu membina populasi planet tersebut dan berharap jutawan terkenal, Elon Musk dapat merealisasikannya.


Wanita berusia 22 tahun yang terkenal dengan penampilan beraninya sebelum ini pernah meluahkan keinginannya untuk melakukan hubungan seks di angkasa.


"Itu adalah sesuatu yang saya benar-benar ingin lakukan, bayangkan semua posisi yang boleh dilakukan dalam graviti sifar," katanya ketika ditemubual oleh Daily Star.


Namun, Elsa kini beralih fokus kepada matlamat baharu yang lebih pelik selepas melihat permintaan daripada penstriman terkenal, Kai Cenat yang mengharapkan Elon Musk membantunya menjadi orang pertama yang melakukan penstriman secara langsung dari angkasa lepas.


"Setelah melihat permintaan besar dari seorang penstriman yang mahu menjadi orang pertama menstrim dari Marikh, saya rasa matlamat sekarang adalah untuk melahirkan bayi pertama di Marikh dan membantu membina populasi manusia," katanya.


Elsa turut mengaku dia memerlukan bantuan Elon Musk untuk membawa dirinya ke planet tersebut bagi memulakan penempatan baharu di planet tersebut.


"Dia (Musk) sudah mempunyai 12 anak, jadi dia tahu apa yang dia lakukan," ujar Elsa sambil bergurau.


Sementara itu, menurut Pakar Fizik dan Astronomi, John Millis, melakukan hubungan seks di angkasa adalah tidak menyenangkan kerana ia seperti melakukannya ketika terjun bebas.


"Semua masalah berkaitan dengan persekitaran graviti mikro yang dialami oleh angkasawan. Bayangkan melakukan aktiviti seksual ketika terjun bebas, setiap dorongan atau hentakan menyebabkan anda bergerak ke arah bertentangan," katanya. - Sumber Daily Star.


Elsa Thora menyatakan hasrat untuk menjadi individu pertama melahirkan anak di planet Marikh. - Foto Elsa Thora.

Isnin, 11 November 2024

Tampar pipi teman wanita, duda dipenjara akibat gagal bayar denda

Tampar pipi teman wanita, duda dipenjara akibat gagal bayar denda


Pekerja kedai cuci kereta dihantar ke penjara selepas gagal membayar denda RM1,500 yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan menampar pipi teman wanitanya dalam pergaduhan, Khamis lalu.


Tertuduh, Rosmaini Sariman, 43, yang juga seorang duda sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas teman wanita berusia 33 tahun di sebuah premis mencuci kenderaan di Taman Maju, di Batu Pahat, pada 2.30 petang, 7 November lalu.


Tertuduh didakwa mengikt Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, mangsa bertandang ke premis terbabit untuk bertemu tertuduh sebelum berlaku pergaduhan.


Pergaduhan berpunca apabila mangsa membaling telefon bimbit tertuduh. Ketika pergaduhan itu, wanita terbabit merajuk dan melarikan diri namun tertuduh mengejarnya dengan menunggang motosikal.


Tertuduh pada masa sama cuba memujuk mangsa, namun pergaduhan tercetus semula ketika atas motosikal sebelum mereka berhenti di tepi jalan.


Ketika itu, tertuduh 'naik angin' lalu menampar pipi dan kepala mangsa.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam Normahani Raais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 serta mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.


Rosmaini dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku menampar teman wanitanya. - Foto Harian Metro.
Mimpi ngeri penumpang, enjin pesawat terbakar selepas langgar burung ketika berada di udara

Mimpi ngeri penumpang, enjin pesawat terbakar selepas langgar burung ketika berada di udara


Sebuah pesawat Hainan Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Fiumicino, Itali selepas salah satu enjinnya terbakar akibat terlanggar kawanan burung, lapor akhbar The Sun UK pada 10 November 2024.


Kejadian berlaku selepas pesawat Boeing 787 itu berlepas dari Itali sebelum menuju ke bandar Shenzhen di China.


Pengawal Pantai Itali berkata, pesawat itu membawa 249 penumpang dan 16 kru penerbangan semasa kejadian.


"Pesawat itu dipercayai terlanggar seekor burung. Ia merupakan perkara biasa tetapi boleh menjadi ancaman besar kepada keselamatan pesawat," jelasnya.


Seorang pegawai Lapangan Terbang Antarabangsa Fiumicino berkata, pesawat itu terpaksa membuang bahan api ke laut sebelum berpatah balik dan mendarat cemas di lapangan terbang.


"Tiada kelewatan kepada trafik udara di Fiumicino," tambahnya. - Sumber The Sun UK.


Tangkap layar menunjukkan pesawat Boeing 787 itu berpatah balik ke lapangan terbang dengan salah satu enjinnya terbakar. - Foto The Sun UK.