Jumaat, 15 November 2024

Enggan padam video intim, wanita pukul bekas teman lelakinya hingga pengsan

Enggan padam video intim, wanita pukul bekas teman lelakinya hingga pengsan


Polis Thailand menangkap seorang wanita selepas dia menyerang bekas teman lelakinya secara ganas dalam kejadian di timur Pattaya pada Isnin lalu, lapor portal berita Pattaya Mail pada 13 November 2024.


Polis menangkap Supatra yang juga dikenali sebagai Manao Roy Joob, 28, dalam kes cubaan membunuh selepas mendapat waran Mahkamah Wilayah Pattaya.


Supatra sebelum ini menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki itu tetapi cuba untuk memutuskan hubungan selepas mendapat tahu mangsa sudah berkahwin.


Namun, lelaki itu enggan berbuat demikian, malah menghantar rakaman video memaparkan keintiman mereka kepada anak perempuan Supatra, menyebabkan wanita itu mengalami tekanan emosi.


Apabila Supatra berdepan dengan lelaki tersebut, dia berkeras enggan memadamkan video mereka.


Dalam keadaan marah, Supatra menyerang bekas teman lelakinya dengan sepana besi, menyebabkan mangsa rebah dan tidak sedarkan diri.


Teman lelaki baharunya kemudian menendang mangsa, menyebabkan dia cedera parah.


Selepas serangan itu, kedua-duanya melarikan diri dari tempat kejadian tetapi polis kemudian menahan teman lelaki baharu itu. - Sumber Pattaya Mail.


Polis menahan Supatra kerana dia disyaki membelasah bekas kekasihnya. - Foto Pattaya Mail.

Khamis, 14 November 2024

Ingatkan kain batik, rupanya ular berbisa 'lepak' dalam dapur

Ingatkan kain batik, rupanya ular berbisa 'lepak' dalam dapur


Seorang wanita di Afrika Selatan berdepan detik cemas apabila mendapati kain yang dipegangnya adalah seekor ular berbisa, lapor saluran berita Must Share News pada 13 November 2024.


Kejadian berlaku di rumahnya di Vermont pada 5 Oktober lalu.


Wanita yang tidak didedahkan namanya itu berkata, corak haiwan berbisa tersebut menyerupai kain yang diletakkan di atas meja.


"Saya masuk ke dapur dan ternampak sehelai kain berwarna coklat di atas lantai.


"Coraknya sama dengan corak kain yang diletakkan di atas meja.


"Ketika saya mahu mengambil 'kain' itu, saya menyedari bahawa ia bukan kain tetapi ular berbisa," tambahnya.


Dalam keadaan panik, dia bergegas menghubungi Corné Uys, seorang aktivis pemuliharaan hidupan liar tempatan dan pakar penangkap ular untuk mendapatkan bantuan. 


"Ular ini mencari tempat perlindungan yang lebih sejuk berikutan cuaca panas yang melanda selama beberapa hari," kata Uys.


Menurutnya, ular itu sangat berbisa dan bertanggungjawab untuk lebih banyak kematian berbanding ular lain di Afrika.


Selepas berjaya menangkap ular itu, Uys melepaskannya semula ke kawasan hutan simpan berdekatan.


Dia juga memberi amaran kepada penduduk tempatan untuk terus berwaspada ketika musim panas. - Sumber Must Share News.


Gambar menunjukkan sehelai kain dan seekor ular berbisa yang memiliki corak sama di dalam dapur. - Foto Facebook.

Rabu, 13 November 2024

Pemandu sengaja rempuh orang ramai di stadium menyebabkan 35 orang maut, 45 cedera

Pemandu sengaja rempuh orang ramai di stadium menyebabkan 35 orang maut, 45 cedera


Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dalam serangan menggunakan kereta di selatan China sekali gus menjadi tindakan keganasan awam paling maut di negara itu dalam beberapa dekad, lapor BBC News pada 12 November 2024.


Seorang jurucakap polis tempatan berkata, suspek berusia 62 tahun yang dikenali sebagai Fan, dengan sengaja memandu keretanya dan merempuh sekumpulan individu yang sedang bersenam di sebuah stadium di bandar Zhuhai.


"Serangan serius dan kejam itu turut mencederakan 45 orang termasuk warga emas serta kanak-kanak.


"Siasatan awal mendapati bahawa suspek berasa tidak puas hati terhadap pengagihan aset selepas perceraian.


"Dia ditahan ketika cuba melarikan diri dari tempat kejadian dan kini berada dalam keadaan koma akibat kecederaan yang dilakukan sendiri," katanya.



Serangan itu mendapat kritikan di seluruh China, manakala Presiden Xi Jinping berikrar bahawa suspek akan dikenakan 'hukuman berat'. Beliau turut menggesa 'usaha habis-habisan' dilakukan untuk merawat mangsa-mangsa yang cedera.


Sementara itu, polis tempatan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan suspek dicetuskan oleh pertikaian harta berikutan perceraiannya.


"Dia masih dalam keadaan koma dan tidak disoal siasat," kata polis. - Sumber Perbadanan Penyiaran Britain (BBC News).


Sebuah kereta polis tiba di Pusat Sukan Zhuhai sehari selepas serangan menggunakan kereta yang meragut puluhan nyawa. - Foto Hector.

Selasa, 12 November 2024

Model cantik ini berhasrat ingin jadi wanita pertama lahirkan anak di Marikh

Model cantik ini berhasrat ingin jadi wanita pertama lahirkan anak di Marikh


Seorang model yang pernah menyatakan hasrat untuk menjadi individu pertama melakukan hubungan seks di angkasa, kini beralih kepada cita-cita yang lebih luar biasa, iaitu melahirkan anak di planet Marikh, lapor akhbar Daily Star semalam.


Elsa Thora yang berasal dari Sweden merupakan bintang OnlyFans yang berpusat di Britain berkata, dia mahu membantu membina populasi planet tersebut dan berharap jutawan terkenal, Elon Musk dapat merealisasikannya.


Wanita berusia 22 tahun yang terkenal dengan penampilan beraninya sebelum ini pernah meluahkan keinginannya untuk melakukan hubungan seks di angkasa.


"Itu adalah sesuatu yang saya benar-benar ingin lakukan, bayangkan semua posisi yang boleh dilakukan dalam graviti sifar," katanya ketika ditemubual oleh Daily Star.


Namun, Elsa kini beralih fokus kepada matlamat baharu yang lebih pelik selepas melihat permintaan daripada penstriman terkenal, Kai Cenat yang mengharapkan Elon Musk membantunya menjadi orang pertama yang melakukan penstriman secara langsung dari angkasa lepas.


"Setelah melihat permintaan besar dari seorang penstriman yang mahu menjadi orang pertama menstrim dari Marikh, saya rasa matlamat sekarang adalah untuk melahirkan bayi pertama di Marikh dan membantu membina populasi manusia," katanya.


Elsa turut mengaku dia memerlukan bantuan Elon Musk untuk membawa dirinya ke planet tersebut bagi memulakan penempatan baharu di planet tersebut.


"Dia (Musk) sudah mempunyai 12 anak, jadi dia tahu apa yang dia lakukan," ujar Elsa sambil bergurau.


Sementara itu, menurut Pakar Fizik dan Astronomi, John Millis, melakukan hubungan seks di angkasa adalah tidak menyenangkan kerana ia seperti melakukannya ketika terjun bebas.


"Semua masalah berkaitan dengan persekitaran graviti mikro yang dialami oleh angkasawan. Bayangkan melakukan aktiviti seksual ketika terjun bebas, setiap dorongan atau hentakan menyebabkan anda bergerak ke arah bertentangan," katanya. - Sumber Daily Star.


Elsa Thora menyatakan hasrat untuk menjadi individu pertama melahirkan anak di planet Marikh. - Foto Elsa Thora.

Isnin, 11 November 2024

Tampar pipi teman wanita, duda dipenjara akibat gagal bayar denda

Tampar pipi teman wanita, duda dipenjara akibat gagal bayar denda


Pekerja kedai cuci kereta dihantar ke penjara selepas gagal membayar denda RM1,500 yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan menampar pipi teman wanitanya dalam pergaduhan, Khamis lalu.


Tertuduh, Rosmaini Sariman, 43, yang juga seorang duda sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas teman wanita berusia 33 tahun di sebuah premis mencuci kenderaan di Taman Maju, di Batu Pahat, pada 2.30 petang, 7 November lalu.


Tertuduh didakwa mengikt Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, mangsa bertandang ke premis terbabit untuk bertemu tertuduh sebelum berlaku pergaduhan.


Pergaduhan berpunca apabila mangsa membaling telefon bimbit tertuduh. Ketika pergaduhan itu, wanita terbabit merajuk dan melarikan diri namun tertuduh mengejarnya dengan menunggang motosikal.


Tertuduh pada masa sama cuba memujuk mangsa, namun pergaduhan tercetus semula ketika atas motosikal sebelum mereka berhenti di tepi jalan.


Ketika itu, tertuduh 'naik angin' lalu menampar pipi dan kepala mangsa.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam Normahani Raais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 serta mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.


Rosmaini dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku menampar teman wanitanya. - Foto Harian Metro.
Mimpi ngeri penumpang, enjin pesawat terbakar selepas langgar burung ketika berada di udara

Mimpi ngeri penumpang, enjin pesawat terbakar selepas langgar burung ketika berada di udara


Sebuah pesawat Hainan Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Fiumicino, Itali selepas salah satu enjinnya terbakar akibat terlanggar kawanan burung, lapor akhbar The Sun UK pada 10 November 2024.


Kejadian berlaku selepas pesawat Boeing 787 itu berlepas dari Itali sebelum menuju ke bandar Shenzhen di China.


Pengawal Pantai Itali berkata, pesawat itu membawa 249 penumpang dan 16 kru penerbangan semasa kejadian.


"Pesawat itu dipercayai terlanggar seekor burung. Ia merupakan perkara biasa tetapi boleh menjadi ancaman besar kepada keselamatan pesawat," jelasnya.


Seorang pegawai Lapangan Terbang Antarabangsa Fiumicino berkata, pesawat itu terpaksa membuang bahan api ke laut sebelum berpatah balik dan mendarat cemas di lapangan terbang.


"Tiada kelewatan kepada trafik udara di Fiumicino," tambahnya. - Sumber The Sun UK.


Tangkap layar menunjukkan pesawat Boeing 787 itu berpatah balik ke lapangan terbang dengan salah satu enjinnya terbakar. - Foto The Sun UK.

Sabtu, 9 November 2024

Api misteri muncul tiba-tiba, keluarga sangka hantu bakar perabot

Api misteri muncul tiba-tiba, keluarga sangka hantu bakar perabot


Seorang pelajar berumur 13 tahun dikenal pasti menjadi dalang di sebalik api misteri yang muncul secara tiba-tiba. Dia membakar perabot di rumah keluarga berkenaan di Asahan, wilayah Sumatera Utara, lapor portal berita Mistar.


Sebelum ini, kejadian aneh itu dikaitkan dengan perkara ghaib kerana penduduk hairan api tersebut muncul tiba-tiba.


Ketua Polis Daerah Asahan, Afdhal Junaidi pada Selasa (5/11/24) berkata, pihaknya mendapati kemunculan api itu bukan kerana aktiviti paranormal atau perkara ghaib tetapi perbuatan pelajar itu yang dikenali sebagai NA.


Terdapat seorang saksi menyatakan bahawa dia melihat NA memegang pemetik api dan membakar barang-barang di dalam rumah keluarganya.


Setelah disiasat lebih lanjut, NA akhirnya mengaku dia mencetuskan kebakaran misteri itu dengan menggunakan pemetik api.


Afdhal berkata, berdasarkan pemeriksaan perubatan, NA mengalami gangguan psikologi sejak kecil.


"Pelaku yang masih di bawah umur ini terbukti memiliki gangguan psikologi setelah diperiksa oleh doktor," ujarnya.


Pelajar itu tidak ditahan kerana masih di bawah umur di samping faktor keadaan kesihatan mentalnya. - Sumber Mistar.


Polis Asahan mendedahkan fakta mengenai kebakaran yang muncul secara misteri di dalam rumah itu. - Foto Mistar.

Khamis, 7 November 2024

28 ikan mahal bernilai RM142,000 mati diracun jiran

28 ikan mahal bernilai RM142,000 mati diracun jiran


Seorang nenek mendakwa jirannya sengaja meracuni 28 ekor ikan peliharaannya yang bernilai £25,000 (RM142,433) mungkin disebabkan mereka pernah bertengkar pada masa lalu, lapor portal berita metro.co.uk, hari ini.


Christine Whiteley, 70, terkejut selepas bangun daripada tidur dan mendapati kolam menempatkan ikannya diselaputi buih putih tebal dipercayai dicemari bahan pencuci.


Nenek kepada empat cucu itu cuba menyelamatkan semua ikan tersebut yang sebahagiannya melebihi 5.08 sentimeter panjang dengan menyiram air bersih.


Hanya seekor ikan emas terselamat, manakala ikan lain termasuk koi ditanam dalam 'kubur besar' di tanah milik rakan keluarganya.


Christine juga mempertimbangkan untuk berpindah dari rumah yang didiaminya selama 48 tahun di Alfreton, Derbyshire kerana percaya perbuatan khianat itu dilakukan oleh penduduk setempat.


"Saya kecewa, begitu juga anak perempuan saya (ekoran tragedi itu). Ikan-ikan itu mahal. Saya sangat merindui haiwan peliharaan saya," katanya.


Christine, yang telah menternak ikan selama 28 tahun, menjaga kolam sepanjang 18 kaki yang menampung ikan koi, Golden Rudd, bream dan ikan emas dengan penuh hormat.


Seorang ahli keluarga menggambarkan Christine sebagai mencintai ikan peliharaannya, menulis: "Dia benar-benar memuja ikannya. Dia mengenali setiap ikan sehingga skala terakhirnya. Itu adalah keghairahan dia."


Jurucakap polis Derbyshire berkata: "Kami menerima laporan pada 25 Oktober tentang kerosakan jenayah di sebuah hartanah di Alfreton, di mana sejumlah ikan telah dibunuh dalam kolam." - Sumber Metro News.


Seorang nenek mendapati 28 ekor ikan peliharaannya mati diracun. - Foto Kennedy News.

Rabu, 6 November 2024

Lelaki tular curi kabel TM guna kereta mewah berjaya ditahan

Lelaki tular curi kabel TM guna kereta mewah berjaya ditahan


Tindakan sekumpulan pencuri kabel meneruskan aktiviti jenayah mereka di Bentong selepas berjaya mencuri kabel di Temerloh membawa padah apabila mereka berjaya dikesan pihak polis.


Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 pagi kelmarin itu, empat suspek yang menaiki dua buah kenderaan dikesan di sekitar kawasan simpang Taman Bentong Makmur di Bentong.


Katanya, hasil siasatan di tempat kejadian yang merupakan jalan utama mendapati suspek sedang menarik kabel dari lubang milik Telekom Malaysia (TM).


"Susulan itu tangkapan berjaya dilakukan terhadap seorang suspek di kawasan berdekatan dari tempat kejadian oleh polis setelah kenderaan jenis Toyota Wish yang dinaiki mereka terbabas di longkang.


"Bagaimanapun rakan suspek yang lain melarikan diri dan usaha masih dijalankan bagi mengesan suspek yang masih bebas," katanya semalam.


Menarik kabel TM bawah tanah sehingga putus menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) merupakan modus operandi terbaharu penjenayah untuk mencuri bahan berharga itu.


Dua kes direkodkan kelmarin iaitu di Taman Keramat Mentakab di Temerloh dan di Taman Bentong Makmur di Bentong.


Menurut Mazlan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan siasatan masih giat dilakukan.


Katanya, berdasarkan siasatan suspek berumur 40 tahun yang ditahan mempunyai 13 rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan juga jenayah.


"Susulan itu pihak polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Wish, 153 batang kabel TM yang telah dipotong, lima pemotong kabel, satu kunci lurang (manhole) dan satu telefon bimbit," ujarnya.


Kenderaan suspek yang terbabas ke dalam longkang ketika melakukan aktiviti mencuri kabel di Bentong kelmarin.
Enjin pesawat Boeing 737 terbakar, 4 penumpang mengalami kecederaan

Enjin pesawat Boeing 737 terbakar, 4 penumpang mengalami kecederaan


Sebuah pesawat Trigana Air terpaksa membatalkan penerbangan selepas satu enjinnya terbakar dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Sentani di Jayapura, wilayah Papua, lapor portal berita Detik News.


Kejadian berlaku sekitar pukul 11.21 pagi (waktu tempatan) semalam (5/11/2024) ketika pesawat Boeing 737-500 itu hendak berlepas ke Wamena. 


Ketua Jabatan Perhubungan Pemegang Kepentingan Lapangan Terbang Sentani, Surya Eka berkata, kira-kira empat daripada 121 penumpang mengalami kecederaan semasa proses pemindahan yang kelam-kabut. 


"Tiada kematian dilaporkan, tetapi beberapa penumpang cedera ketika orang ramai berebut mahu keluar daripada pesawat melalui pintu kecemasan. 


"Mangsa-mangsa cedera ringan dan menerima rawatan perubatan di Kemudahan Kesihatan dan Kuarantin lapangan terbang," kata Surya.



Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSC) sedang giat menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran. 


"Aktiviti di Lapangan Terbang Antarabangsa Sentani beroperasi seperti biasa," tambahnya.


Pengurus Kawasan Trigana Air untuk Papua, Irwan Rohendi berkata, penumpang pesawat itu telah dipindahkan ke penerbangan lain.


"Sebahagian penumpang diterbangkan ke Wamena petang semalam, manakala yang lain akan berlepas hari ini," kata Irwan. - Sumber Detik News


Gambar menunjukkan enjin pesawat Boeing 737-500 terbakar sebelum berlepas ke Wamena. - Foto Detik News.