Khamis, 24 Oktober 2024

Misteri penampakan tiang langit berwarna hitam di timur Thailand cetus tanda tanya

Misteri penampakan tiang langit berwarna hitam di timur Thailand cetus tanda tanya


Penduduk wilayah Ubon Ratchathani, Thailand digemparkan dengan penemuan tiang misteri di langit yang disifatkan menyerupai pokok kacang ajaib 'Giant Beanstalk' daripada kisah dongeng terkenal, lapor laman berita Must Share News semalam.


Fenomena menakjubkan yang dirakam dalam sebuah gambar dan dikongsi di media sosial Facebook itu, mencetuskan pelbagai tanda tanya dan spekulasi mengenai asal usulnya.


Menurut akaun Facebook berbahasa Thailand itu, fenomena tersebut tidak sengaja dirakam pada pukul 5.30 petang di Jalan Ubon Khueang Nai, 21 Oktober lalu.


Gambar yang dimuat naik menunjukkan satu 'tiang misteri' berlatarbelakangkan awan pada waktu siang.


"Langit sangat indah tetapi tiang itu muncul ketika saya sedang merakam gambar," demikian menurut keterangan hantaran itu.


Lebih menarik apabila ia didakwa tidak dapat dilihat dengan mata kasar sekali gus menarik perhatian orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut mengenai objek berkenaan.


Pakar dari Universiti Chulalongkorn, Prof. Madya Jessada Denduangboripant berkata, pihaknya boleh menganalisis imej tular itu sekiranya foto berkenaan tidak diubahsuai.


"Awan berwarna pelangi adalah fenomena semula jadi yang dikenali sebagai 'kemeriahan awan', yang berlaku apabila cahaya matahari berinteraksi dengan kristal ais, menghasilkan paparan yang ceria," katanya.


Walaupun terdapat banyak penampakan dan imej yang dikongsi mengesahkan kemeriahan awan, kemunculan tiang hitam misteri itu masih belum ada jawapan.


Kemunculan luar biasa itu tidak kelihatan dengan mata kasar dan hanya muncul dalam rakaman kamera.


Jessada berpendapat, bayang hitam itu mungkin 'distrail', iaitu jejak atau kesan ditinggalkan oleh pesawat yang sering disalah anggap sebagai jejak peluru berpandu.


Katanya, distrail muncul apabila haba dan pergolakan pesawat mengewapkan kristal ais dalam awan, meninggalkan ruang yang boleh dilihat.


"Jika ia adalah distrail, seharusnya ia kelihatan dengan mata kasar. Misteri tiang ini tetap wujud.


"Diharapkan ia bukan hasil pengubahsuaian foto atau masalah dengan kamera," katanya.


Foto ini mencetuskan pelbagai pertikaian dan persoalan oleh pengguna di media sosial. - Foto Facebook.
Lelaki ditahan polis kantoi curi bateri kereta di kawasan parkir pasar raya

Lelaki ditahan polis kantoi curi bateri kereta di kawasan parkir pasar raya


Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencuri bateri kereta di sebuah tapak parkir di pasar raya dekat Batu Caves, Gombak, Selangor pada Selasa lalu.


Kejadian itu tular selepas satu klip video papan pemuka kenderaan mangsa yang terpasang semasa kejadian berjaya merakam suspek sedang membuat 'kerja' dimuatnaik di media sosial.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohd Nasir, berkata kejadian berlaku 8.08 malam membabitkan seorang mangsa berusia 51 tahun.


"Pemilik kereta seorang lelaki tempatan cuba menghidupkan kenderaan itu kira-kira 10.30 malam tetapi tidak berjaya lalu membuat pemeriksaan dan mendapati bateri kereta sudah tiada.


"Mangsa membuat semakan rakaman kamera papan pemuka mendapati seorang lelaki memakai topi hitam dan berbaju gelap membuka bonet dan mengambil bateri terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, ketika ditahan pihak polis turut merampas barang kes iaitu satu unit bateri kereta dipercayai mempunyai kaitan dengan kes terbabit.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan iaitu mencuri mana-mana komponen sesebuah kenderaan bermotor.


"Hukuman bagi kesalahan ini boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda," katanya.


Video kejadian itu dimuatnaik laman Facebook, Asal Gombak semalam sehari selepas kejadian bagi memberi amaran kepada orang awam untuk lebih berhati-hati di kawasan tersebut.


Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna media sosial, Muhd Zainal mendakwa kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama terjadi.


"Bukan kali pertama terjadi, tak hairan pun dengan pasar raya Batu Caves ini. Ada pengawal pun tak macam ada pengawal.


"Bukan setakat bateri, kereta pun pernah hilang dalam kawasan parkir itu. Tolong jangan letakkan kenderaan anda di kawasan gelap atau tersembunyi," tulisnya.


Seorang lagi warga maya, Sitie Zuliha turut mendakwa kawasan di sekitar pasar raya tersebut tidak selamat.


"Banyak betul kes sudah berlaku, dah jadi 'kawasan panas'. Motosikal pun selalu hilang," katanya.


Tangkap layar rakaman video kamera papan pemuka mendapati lelaki membuka bonet dan mengambil bateri.

Rabu, 23 Oktober 2024

Pekerja katering dihadapkan di Mahkamah atas pertuduhan liwat 4 remaja lelaki

Pekerja katering dihadapkan di Mahkamah atas pertuduhan liwat 4 remaja lelaki


Seorang pekerja katering dihadapkan di Mahkamah Sesyen, Butterworth, hari ini, atas enam pertuduhan meliwat dan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat remaja lelaki antara Mac 2023 dan Mei tahun ini.


Tertuduh, Muhammad Haikal Hazwan Che Man, 24, yang masih bujang mengaku tidak bersalah dan mohon kesemua kesnya dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.


Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memasukkan kemaluannya ke dalam dubur seorang remaja lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun.


Anak bongsu daripada tiga beradik itu didakwa melakukan kesalahan itu dalam sebuah bilik di Apartmen Permata di Bandar Perda, Bukit Mertajam jam 3 petang pada Mac tahun lalu.


Bagi pertuduhan kedua hingga keenam, lelaki yang masih bujang itu didakwa melakukan amang seksual dengan menghisap kemaluan empat remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun termasuk mangsa bagi pertuduhan pertama.


Pendakwaan bagi semua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.


Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Amira Ruzaini Wan Abdul Razak bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan susulan kesalahan jenayah seksual itu membabitkan mangsa bawah umur.


Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan minima dengan alasan dia bekerja sebagai pekerja katering dan perlu menyara keluarga dengan pendapatan bulanan RM1,200.


Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan tertuduh supaya tidak mendekati serta mengganggu mangsa dan pengadu sehingga kes selesai.


Kes akan disebut semula 25 November ini untuk laporan perubatan dan laporan kimia.


Sementara itu, di Mahkamah Bukit Mertajam tertuduh juga didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana menyimpan beberapa keping gambar lucah dalam telefon bimbit jenis IPhone 11 pro miliknya.


Haikal Hazwan (tengah) ketika tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Foto Utusan Malaysia.

Isnin, 21 Oktober 2024

King Cobra lawan ular sawa atas pokok asam jawa, 4 jam baru dapat tangkap

King Cobra lawan ular sawa atas pokok asam jawa, 4 jam baru dapat tangkap


Anggota kecemasan mengambil masa selama lebih empat jam untuk menangkap seekor ular sawa dan King Cobra bersaiz besar selepas kedua-dua reptilia berbahaya itu terlibat dalam pertarungan, lapor laman berita Thaiger pada 18 Oktober 2024.


Insiden berlaku di sebuah kawasan wat Buddha di wilayah Chanthaburi.


Sejurus tiba di dusun buah dekat wat tersebut, anggota kecemasan daripada Yayasan Sawang Katanyu menemui seekor ular sawa berlilit di pangkal pokok longan berhampiran sebatang pokok asam jawa.


Ular sawa sepanjang lebih 2 meter itu kemudian ditangkap tanpa sebarang masalah.



Tidak lama selepas itu, seekor lagi ular tedung selar atau King Cobra bersaiz lebih besar dilihat berada di atas pokok asam jawa.


Ketika anggota kecemasan cuba menangkapnya, ia bertindak balas dan mempamerkan aksi agresif.


Selepas menunggu selama lebih empat jam, reptilia itu mula menunjukkan tanda-tanda keletihan sebelum ia terjatuh ke atas tanah dan dengan pantas ditangkap oleh anggota kecemasan.


King Cobra betina dewasa itu berukuran 4 meter panjang dan beratnya kira-kira 7 hingga 8 kilogram.


Reptilia itu kemudian dimasukkan ke dalam bekas plastik untuk pemulihan dan pemerhatian sebelum kedua-duanya dilepaskan semula ke habitat semula jadi yang jauh dari penduduk. - Sumber The Thaiger.


Anggota kecemasan terpaksa menunggu selama lebih empat jam untuk menangkap King Cobra. - Foto Khaosod.

Ahad, 20 Oktober 2024

Wanita menangis ketakutan 'dirompak' monyet ketika mendaki gunung

Wanita menangis ketakutan 'dirompak' monyet ketika mendaki gunung


Seorang wanita menangis ketakutan apabila seekor monyet liar menyelongkar beg galas di belakang badannya dalam kejadian di sebuah denai di China, lapor portal berita MS News pada 20 Oktober 2024.


Mangsa yang mendaki Gunung Emei dalam wilayah Sichuan bersama rakan-rakannya 'dirompak' oleh monyet itu ketika di pertengahan jalan.


Diselubungi rasa takut yang amat sangat, dia duduk di tangga sambil menangis, manakala monyet itu tidak berhenti menyelongkar beg galas yang dibawa untuk mendapatkan makanan.


"Kamu (monyet) sangat menjengkelkan. Kamu sangat hodoh, pergi. Kamu ini keterlaluan," kata wanita itu sambil menangis teresak-esak.


Namun, monyet itu tidak mempedulikannya dan tidak berhenti membelek beg galasnya untuk mencari makanan.


Video yang asalnya disiarkan di platform Weibo itu kemudian tular di media sosial lain.


Beberapa netizen bergurau bahawa monyet itu yang sepatutnya menangis.


"Selepas letih mencari, monyet ini hanya menemui produk kosmetik dan tiada makanan," kata seorang netizen. 


Beberapa netizen lain berkata, mangsa memegang kayu panjang yang boleh digunakan untuk menakutkan monyet itu. - Sumber MS News.


Seorang wanita menangis apabila seekor monyet menyelongkar beg galasnya. - Foto Douyin.

Sabtu, 19 Oktober 2024

Sakit hati dengan majikan, orang gaji kerap campur air kencing dalam makanan

Sakit hati dengan majikan, orang gaji kerap campur air kencing dalam makanan


Seorang wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai orang gaji di Ghaziabad, negeri Uttar Pradesh, India ditahan polis selepas memasukkan air kencing dalam makanan keluarga majikannya.


Perbuatan terkutuk itu berjaya dirakam menerusi kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam dapur rumah keluarga tersebut.


Suspek, Reena Kumar dan tinggal di Shanti Nagar dilaporkan bekerja dengan keluarga berkenaan sejak lapan tahun lalu.


Bagaimanapun, beberapa bulan kebelakangan ini, dia didapati menghidap penyakit hati dan perbuatannya berkemungkinan atas faktor tekanan atau mengalami kemurungan teruk.


Keluarga yang melaporkan perkara itu kepada polis pada 14 Oktober lalu, mendakwa beberapa ahli keluarganya jatuh sakit selepas makan makanan yang dihidangkan orang gaji mereka.


Jadi, mereka secara senyap telah memasang CCTV di dapur dan hasil rakaman menunjukkan Reena mencampurkan air kencing dalam makanan.


"Pembantu rumah sudah menyediakan makanan sejak lapan tahun lalu di rumah saya.


"Bagaimanapun, sejak beberapa bulan lalu, keluarga saya mengalami komplikasi kesihatan dan hasil rakaman CCTV mendapati dia membuang air kecil di dalam sebuah perkakas dan selepas itu mencampurkannya dengan capati," kata salah seorang anggota keluarga mangsa.


Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 272 (Perbuatan Menyebarkan Jangkitan Penyakit Merbahaya Kepada Nyawa).


"Kami menahan Reena Kumar pada hari Rabu. Semasa disoal siasat, dia berulang kali menafikan telah melakukan perbuatan sedemikian, tetapi apabila kami menunjukkan dengan bukti video, dia terdiam. Selepas itu, dia terus menukar kenyataannya," kata Penolong Pesuruhjaya Polis Wave City, Lipi Nagayach.


Polis berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku dia melakukan perbuatan itu kerana ingin balas dendam kepada keluarga majikannya yang sering memarahinya apabila melakukan kesilapan kecil. - Sumber India Times.


Reena (tengah) ditahan polis selepas mencampurkan air kencing dalam makanan majikannya. - Foto AFP.
Pengunjung terkejut jerung paus gergasi dalam akuarium sebenarnya robot

Pengunjung terkejut jerung paus gergasi dalam akuarium sebenarnya robot


Pengunjung akuarium di Shenzhen, China, terkejut apabila mendapati jerung paus gergasi yang dipamerkan sebenarnya adalah robot, lapor berita Portal Independent pada 17 Oktober 2024.


Xiaomeisha Sea World dibuka semula untuk kunjungan orang ramai pada 1 Oktober dengan menampilkan 'jerung' itu. Ia selepas tarikan pelancongan itu ditutup selama lima tahun untuk pengubahsuaian.


Pada minggu pertama pembukaan, tarikan berkeluasan 60,000 meter persegi itu menarik kira-kira 100,000 pengunjung. Bayaran masuk adalah kira-kira 30 pound sterling (kira-kira RM169).


Bagaimanapun, pengunjung kecewa selepas mengetahui jerung di akuarium di taman itu, ternyata adalah robot.


Beberapa pengunjung yang marah menuntut bayaran balik, manakala yang lain menggunakan media sosial untuk mengecam taman itu.


"Tempat itu tidak cukup besar, malah jerung paus itu tiruan.. menjelang 3 petang, orang ramai sudah meminta bayaran balik," kata salah seorang pengunjung seperti dilaporkan New York Post.


Pengurusan akuarium mempertahankan tindakan mereka dengan mengatakan pihaknya sudah membelanjakan jutaan yuan China untuk membina robot jerung itu.


Alasannya adalah bagi mematuhi undang-undang China yang mengharamkan perdagangan jerung paus.


Pada 2019, China mengharamkan sirip jerung dan penangkapan haiwan itu dengan sengaja di laut terbuka. Xiaomeisha Sea World juga menjelaskan, pihaknya tidak berniat menipu pengunjung.


"Walaupun ia demi perlindungan haiwan, saya lebih suka mereka tidak memilikinya sama sekali daripada menunjukkan yang palsu," kata seorang netizen di media sosial China. - Sumber Independent.


Tangkap layar daripada video CGTN menunjukkan robot jerung itu 'berenang' di dalam akuarium di China.

Rabu, 16 Oktober 2024

Seorang lelaki Rusia terselamat selepas dua bulan terapung di laut

Seorang lelaki Rusia terselamat selepas dua bulan terapung di laut


Seorang pemerhati ikan paus, lelaki Rusia, baru-baru ini ditemukan selamat selepas dua bulan hanyut bersama dua mayat saudaranya di atas bot pelampung.


Mikhail Pichugin, 45, terselamat dengan berat badannya hanya tinggal 50 kilogram (kg), manakala abang dan anak saudaranya meninggal dunia.


Pendakwa raya pengangkutan berkata, Pichugin, abangnya dan anak saudaranya yang berusia 15 tahun berlepas ke Pulau Sakhalin dari wilayah timur jauh Khabarovsk, 9 Ogos lalu, menggunakan bot pelampung katamaran sepanjang 15 kaki.


Bot itu ditemukan kira-kira jam 10 malam Isnin lalu ketika ia terapung melepasi bot nelayan di Laut Okhotsk, kira-kira 1,000 kilometer (km) dari lokasi ia bertolak dan 66 hari selepas ia berlepas.



Mayat abangnya, Sergei, 49, dan anak saudara Ilya, 15, masih berada di dalam bot berkenaan.


Pasukan penyelamat menaiki helikopter dan pesawat untuk mencari ketiga-tiga mereka beberapa hari selepas hilang, mengesyaki bot itu dibawa arus ke arah Kamchatka.


Isteri Pichugin, Yekaterina, memberitahu RIA Novosti, penemuan suaminya satu keajaiban.


"Suami hanya mengambil makanan dan air yang mencukupi untuk bertahan dua minggu. Faktor berat badan suami 100 kg mungkin membantu menyelamatkan nyawanya," katanya.


Ketua doktor hospital wilayah, Yury Lednev berkata, keadaan lelaki itu kurang stabil.


"Dia mungkin mengalami hipotermia," katanya.


Polis pengangkutan membuat siasatan kemungkinan berlaku pelanggaran peraturan keselamatan yang boleh menyebabkan Pichugin menghadapi pertuduhan jenayah dan risiko hukuman penjara sehingga tujuh tahun.


Saluran Telegram Baza, yang dianggap mempunyai hubungan rapat dengan penguatkuasaan undang-undang berkata, mangsa memiliki kira-kira 20 liter air dan mengumpul air hujan serta makan mi kering dan kacang pis.


Saluran itu melaporkan, Pichugin memberitahu nelayan bahawa anak saudaranya meninggal dunia pada awal September.


Mereka mula mengalami ulser tekanan (bedsore) kerana duduk terlalu lama dan abangnya cuba membersihkan dirinya sebelum terjatuh ke dalam air berais.


Pichugin berjaya menyelamatkan abangnya, namun lelaki itu meninggal dunia tidak lama kemudian, lapor Baza.


Pichugin kemudian mengikat mayat abang dan anak saudaranya pada bot. - Sumber Daily Mail.


Mangsa diselamatkan selepas 67 hari terapung di laut. - Foto Kementerian Kecemasan Rusia/ Reuters.

Selasa, 15 Oktober 2024

Lelaki bersenam di tempat awam tanpa seurat benang

Lelaki bersenam di tempat awam tanpa seurat benang


Perbuatan seorang lelaki di Hong Kong yang selamba melakukan aktiviti senaman sambil telanjang di tempat awam mengundang perhatian orang ramai, lapor portal berita 8 Days pada 13 Oktober 2024.


Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan lelaki itu menanggalkan bajunya untuk memanaskan badan sebelum mula berjoging di kawasan kejiranan.


Selain menanggalkan baju, dia turut melipat seluar pendek yang dipakai sehingga menampakkan punggungnya.


Selepas selesai berjogging, dia dilihat menanggalkan seluarnya dan berehat di atas bangku sambil menunggu alat sulitnya 'kering' daripada peluh.


"Kenapa awak telanjang? Terdapat begitu ramai orang berjalan-jalan di taman", soal pengacara infotainment TVB Scoop, Paco Ngai yang merakam aksi lelaki itu.


Pasukan Scoop kemudian memberitahunya bahawa adalah haram untuk berbogel di khalayak ramai dan dia hanya mengatakan bahawa dia "faham".


Ketika Paco Ngai menemuinya untuk temu bual, lelaki itu merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia bangun, menutup mukanya dengan pakaiannya sebelum beredar. - Sumber 8 Days.


Tangkap layar menunjukkan lelaki itu berehat di atas bangku sambil menunggu alat sulitnya kering. - Foto 8 days.

Isnin, 14 Oktober 2024

Lelaki warga emas buat aksi lagak ngeri demi 'content'

Lelaki warga emas buat aksi lagak ngeri demi 'content'


Perbuatan seorang warga emas di India berpaut pada palang gerabak kereta api yang bergerak laju demi kandungan di laman sosial mengundang kecaman orang ramai, lapor stesen penyiaran NDTV pada 13 Oktober 2024.


Walaupun aksi sebegitu lebih kerap dikaitkan dengan individu yang lebih muda, melihat seorang lelaki yang lebih tua terlibat dalam tingkah laku berisiko ini telah mengejutkan ramai orang.


Rakaman tersebut yang dimuat naik di laman Instagram oleh akaun @rahulsharmapandit, menunjukkan dia melakukan pelbagai aksi lagak ngeri sambil kedua-dua tangannya berpaut pada palang besi.


Semua aksi berbahaya itu dilakukan semasa kereta api bergerak laju di landasan. Rakaman itu mencatatkan lebih 5.6 juta tontonan dan mengundang pelbagai reaksi netizen.


"Adakah anda tidak takut mati wahai orang tua?" sindir seorang netizen.


"Atuk rindu zaman muda," sindir netizen lain.


Insiden itu mengingatkan kes tragis Farhat Azam Sheikh, seorang remaja Mumbai yang menjadi terkenal kerana aksi berbahayanya di dalam kereta api tempatan.


Sheikh yang terkenal dengan aksi luncurnya telah kehilangan kedua-dua lengan dan kaki pada 14 April lalu di stesen kereta api Masjid. - Sumber NDTV.


Tangkap layar menunjukkan warga emas itu melakukan aksi lagak ngeri. - Foto Instagram.