Pengunjung akuarium di Shenzhen, China, terkejut apabila mendapati jerung paus gergasi yang dipamerkan sebenarnya adalah robot, lapor berita Portal Independent pada 17 Oktober 2024.
Xiaomeisha Sea World dibuka semula untuk kunjungan orang ramai pada 1 Oktober dengan menampilkan 'jerung' itu. Ia selepas tarikan pelancongan itu ditutup selama lima tahun untuk pengubahsuaian.
Pada minggu pertama pembukaan, tarikan berkeluasan 60,000 meter persegi itu menarik kira-kira 100,000 pengunjung. Bayaran masuk adalah kira-kira 30 pound sterling (kira-kira RM169).
Bagaimanapun, pengunjung kecewa selepas mengetahui jerung di akuarium di taman itu, ternyata adalah robot.
Beberapa pengunjung yang marah menuntut bayaran balik, manakala yang lain menggunakan media sosial untuk mengecam taman itu.
"Tempat itu tidak cukup besar, malah jerung paus itu tiruan.. menjelang 3 petang, orang ramai sudah meminta bayaran balik," kata salah seorang pengunjung seperti dilaporkan New York Post.
Pengurusan akuarium mempertahankan tindakan mereka dengan mengatakan pihaknya sudah membelanjakan jutaan yuan China untuk membina robot jerung itu.
Alasannya adalah bagi mematuhi undang-undang China yang mengharamkan perdagangan jerung paus.
Pada 2019, China mengharamkan sirip jerung dan penangkapan haiwan itu dengan sengaja di laut terbuka. Xiaomeisha Sea World juga menjelaskan, pihaknya tidak berniat menipu pengunjung.
"Walaupun ia demi perlindungan haiwan, saya lebih suka mereka tidak memilikinya sama sekali daripada menunjukkan yang palsu," kata seorang netizen di media sosial China. - Sumber Independent.