Sabtu, 12 Oktober 2024

Juruterbang meninggal dunia, pesawat terpaksa berpatah balik mendarat cemas di New York

Juruterbang meninggal dunia, pesawat terpaksa berpatah balik mendarat cemas di New York


Sebuah penerbangan milik Turkish Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas di New York, Amerika Syarikat (AS) selepas juruterbangnya meninggal dunia semasa menerbangkan pesawat dalam penerbangan ke Istanbul, Turkiye, lapor akhbar New York Post.


Jurucakap Turkish Airlines, Yahya Ustun berkata, kejadian itu berlaku selepas pesawat itu berlepas dari bandar pantai barat AS, Seattle pada pukul 7 malam (waktu tempatan) pada Selasa (8 Oktober).


Pesawat itu terpaksa berpatah balik dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy pukul 5.57 pagi (waktu tempatan) pada Rabu susulan insiden tersebut, demikian menurut laman web pemantauan pesawat, FlightAware.


"Juruterbang Airbus 350 kami... penerbangan TK204 dari Seattle ke Istanbul rebah semasa penerbangan.


"Selepas percubaan memberikan pertolongan cemas tidak berjaya, kru penerbangan seorang lagi juruterbang dan seorang pembantu juruterbang memutuskan untuk melakukan pendaratan cemas, tetapi dia meninggal dunia sebelum mendarat," katanya menerusi X.


Katanya, juruterbang berusia 59 tahun itu berkhidmat dengan Turkish Airlines sejak 2007.


"Dia lulus pemeriksaan kesihatan pada Mac, yang tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan," tulis Ustun. - Sumber New York Post.


Pesawat Turkish Airlines. - Foto AFP.

Jumaat, 11 Oktober 2024

Berkelakuan tidak senonoh dan mabuk, wanita gelandangan Rusia ditahan

Berkelakuan tidak senonoh dan mabuk, wanita gelandangan Rusia ditahan


Seorang wanita gelandangan warga Rusia ditahan polis selepas berkelakuan tidak senonoh serta menghalang lalu lintas di Jalan Setia Perdana Seksyen U13, di Shah Alam pada Rabu.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 4.50 petang mengenai seorang wanita warga asing yang menghalang lalu lintas.


Ekoran itu kata beliau, anggota unit kereta peronda telah diarahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan.


"Semasa pihak polis sampai di lokasi kejadian didapati wanita berkenaan bersama seekor anjing miliknya berada dalam keadaan mabuk dan bertindak agresif sebelum tangkapan dilakukan ke atasnya.


"Pemeriksaan lanjut ke atas perempuan tersebut mendapati dia tiada pengenalan diri yang sah tinggal di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Iqbal berkata, wanita itu kemudian dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, manakala anjingnya diserahkan kepada pihak Majlis Perbandaran Shah Alam untuk tindakan lanjut.


Beliau memberitahu, wanita berusia 32 tahun itu dipercayai hidup gelandangan dan tiada sebarang rekod jenayah.


Menurutnya, wanita itu datang ke Malaysia sejak empat tahun yang lalu untuk melancong dan gagal untuk pulang ke negara asal kerana pandemik COVID-19 serta tidak mempunyai simpanan wang secukupnya untuk pulang.


Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing dapati wanita berkenaan positif dadah jenis THC dan dia direman 14 hari sehingga 22 Oktober ini.


"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Sarjan Mohammad Shamsul Md Salleh ditalian 017-5453234," katanya.


Wanita itu dikesan berada dalam keadaan mabuk dan telah bertindak agresif sebelum tangkapan dilakukan. - Foto Sinar Harian.

Khamis, 10 Oktober 2024

Pesakit sindrom cepat penuaan meninggal dunia pada usia 28 tahun

Pesakit sindrom cepat penuaan meninggal dunia pada usia 28 tahun


Pesakit paling lama bertahan selepas menghidap penyakit genetik yang jarang ditemui, Sammy Basso, meninggal dunia pada usia 28 tahun, lapor saluran berita Channel News Asia pada 6 Oktober 2024.


Penghidap sindrom progeria atau dikenali sebagai sindrom Hutchinson–Gilford (HGPS) itu kelihatan jauh lebih tua daripada usia yang sebenar.


Menurut Persatuan Progeria Itali, pesakit hanya mampu hidup selama 13.5 tahun tanpa sebarang rawatan.


Penyakit aneh itu menjejaskan satu dalam setiap 8 juta orang yang dilahirkan. Ia juga dikesan berlaku satu dalam setiap 20 juta penduduk di seluruh dunia.


Basso dilahirkan di Schio, wilayah utara Itali pada 1995. Dia menghidap progeria sejak usia dua tahun.


Basso menjadi terkenal melalui dokumentari National Geographic Sammy’s Journey yang menceritakan perjalanannya di sepanjang Laluan 66 di Amerika Syarikat, dari Chicago ke Los Angeles bersama ibu bapa dan kawan baiknya, Riccardo.


"Hari ini cahaya kami telah meninggal dunia. Terima kasih Basso kerana menjadikan kami sebahagian daripada kehidupan yang indah," tulis persatuan itu di laman Instagramnya pada Ahad (6 Okt). - Sumber Channel News Asia.


Gambar menunjukkan Sammy Basso. - Foto Facebook.

Rabu, 9 Oktober 2024

Anggota polis dirakam sedang hisap rokok di restoran kini disiasat

Anggota polis dirakam sedang hisap rokok di restoran kini disiasat


Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap anggotanya yang didapati menghisap rokok di sebuah restoran di Petaling Jaya.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya mengesan perkara itu menerusi foto tular di laman X hari ini.


"Foto tersebut memaparkan anggota polis peronda atau 'mobile patrol vehicle' (MPV) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya merokok di sebuah restoran.


"IPD Petaling Jaya telah membuka kertas siasatan tatertib berhubung pelanggaran undang-undang serta ketidakpatuhan prosedur operasi standard pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.


Shahrulnizam berkata, polis tidak sesekali berkompromi terhadap isu melibatkan pelanggaran undang-undang dan tindakan tegas akan diambil.


Terdahulu, tular di laman X foto seorang anggota polis sedang merokok di sebuah premis makanan.


Hantaran tersebut turut memetik PDRM dan Kementerian Kesihatan (KKM) susulan Akta Kawalan Produk Demi Kesihatan Awam 2024 yang berkuat kuasa sejak 2 Februari lalu.


Foto tular seorang anggota polis merokok di sebuah premis makanan yang dimuat naik di laman X. 

Selasa, 8 Oktober 2024

Wanita dicakar oleh anak patung berpuaka yang kadang kala cetuskan 'huru-hara'

Wanita dicakar oleh anak patung berpuaka yang kadang kala cetuskan 'huru-hara'


Seorang wanita di Yorkshire Barat, England mempunyai koleksi 14 anak patung yang dikatakan berpuaka dan kadang kala mencetuskan 'huru-hara', lapor akhbar Daily Mirror pada 7 Oktober 2024.


Hannah Rose, 20, obses dengan aktiviti paranormal sejak dia berusia tujuh tahun lagi. Hannah berkata, dia pertama kali melihat hantu pada usia tersebut.


Sejak itu, dia mempunyai minat mendalam terhadap patung yang didakwa berpuaka meskipun mengaku tidak mudah menjaga objek itu.


"Saya pernah dicakar Louise (salah satu anak patungnya) tetapi kami berbaik semula selepas sesi komunikasi.


"Kadang-kala patung-patung ini membuat kacau. Mildred (satu lagi anak patungnya) terutamanya, suka menyembunyikan barang penting seperti kunci rumah atau alat solek saya," kata Hannah.


Tambah Hannah, sekiranya dia menerima anak patung berpuaka yang kotor atau rosak, dia akan membersihkan dan membaikinya.


"Saya berhasrat untuk menyimpan semua anak patung itu sepanjang hidup saya dan mengumpul lebih banyak lagi," katanya. - Sumber Mirror UK.


Hannah mahu mengumpul lebih banyak lagi patung berpuaka. - Foto Caters News.

Isnin, 7 Oktober 2024

Wanita warga emas alami pendarahan di kepala akibat diragut penjenayah bermotosikal

Wanita warga emas alami pendarahan di kepala akibat diragut penjenayah bermotosikal


Seorang wanita warga emas parah selepas diragut penjenayah bermotosikal dalam kejadian dekat Jalan Limau Manis, Bangsar di Kuala Lumpur awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 6.30 pagi namun tiada kerugian direkodkan kerana tiada barangan berharga dalam beg diragut suspek.


"Mangsa berumur 78 tahun itu sedang berjalan kaki seorang diri ke kedai berhampiran untuk membeli surat khabar yang menjadi rutin hariannya setiap pagi.


"Mangsa didatangi suspek yang menunggang motosikal sebelum menghampiri dari belakang dan meragut beg mangsa," katanya menerusi kenyataan hari ini.


Katanya, kejadian mengakibatkan mangsa tersembam di atas jalan tar.


"Mangsa yang parah akibat kejadian kemudiannya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.


"Mangsa mengalami pendarahan di kepala yang agak serius dan masih dalam pemantauan pasukan perubatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.


Terdahulu, tular video berdurasi 2 minit 45 saat memaparkan seorang wanita warga emas berpakaian merah jambu diragut oleh seorang penunggang motosikal.


Video tersebut memaparkan wanita warga emas itu terjatuh akibat diragut sebelum disedari orang awam.


Wanita warga emas mengalami kecederaan selepas diragut dalam kejadian di tepi Jalan Limau Manis, Bangsar, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Foto Kosmo Online.

Ahad, 6 Oktober 2024

Bagaimana semut boleh masuk dalam skrin 'laptop' yang masih berfungsi dengan baik?

Bagaimana semut boleh masuk dalam skrin 'laptop' yang masih berfungsi dengan baik?


Satu rakaman video tular di laman sosial memaparkan situasi seekor semut merayap di dalam skrin komputer riba yang masih berfungsi dengan baik, lapor laman berita The Indian Express 4 Oktober 2024.


Ia mendapat lebih 500,000 tontonan sejak dikongsi oleh seorang pengguna, @adityakvlte di platform X.


Dalam rakaman video itu, Aditya berkongsi perasaannya yang sukar mempercayai kejadian tersebut.


"Semut ini masuk ke dalam skrin komputer riba saya," tulisnya dalam kapsyen dengan menggambarkan situasi itu sebagai pelik.


Kejadian aneh itu membuatkan ramai netizen tertanya-tanya bagaimana semut itu berjaya memasuki skrin komputer riba.


Seorang lagi pengguna X, Akash Manohar berkongsi pengalamannya sendiri dengan menulis: "Saya pernah mengalami perkara ini.


"Kemungkinan besar ia tidak masuk ke dalam skrin. Berkemungkinan besar juga terdapat telur yang berada di dalam skrin semasa pembuatannya. Haba yang dijana semasa penggunaan komputer riba membantu ia menetas." - Sumber The Indian Express.


Seekor semut (dalam bulatan) masuk ke dalam skrin sebuah komputer riba. - Foto X/@adityakvlte.

Sabtu, 5 Oktober 2024

Ditangkap curang, wanita kerat kemaluan kekasih dan siar gambar dalam WhatsApp

Ditangkap curang, wanita kerat kemaluan kekasih dan siar gambar dalam WhatsApp


Seorang wanita di Brazil dihukum penjara empat tahun dan lapan bulan kerana memotong alat sulit kekasihnya yang ditangkap curang dengan anak saudaranya sendiri, lapor saluran berita Daily Star pada 4 Oktober 2024.


Kejadian berlaku pada 22 Disember 2023, 10 hari selepas tertuduh bernama Daiane Farias, 34, menangkap mangsa di ranjang bersama anak saudaranya yang berumur 15 tahun.


"Tangan mangsa bernama Gilberto de Oliveira, 40, diikat pada kepala katil sebelum alat sulitnya 'diputuskan' dengan pisau cukur.


"Tertuduh merakam gambar organ tersebut lalu dikongsikan kepada keluarganya melalui aplikasi mesej WhatsApp, sebelum dibuang ke dalam tandas," kata Hakim Giuliana Herculian.


De Oliveira menyifatkan Farias sebagai 'penjenayah' dan menyatakan bahawa kekasihnya wajar dipenjarakan.


Lelaki itu bagaimanapun berubah hati dan sanggup bekerja sebagai juru hias kuku di penjara, untuk bersama Farias.


"Jika saya tidak melakukan hubungan intim dengan anak saudara Farias pada hari lahirnya, semua ini tidak akan berlaku.


"Dia merupakan seorang wanita yang hebat dan penyayang. Dia tidak layak dikhianati seperti ini," kata de Oliveira. - Sumber Daily Star.


Daiane Farias dihukum penjara empat tahun dan lapan bulan. - Foto CEN.

Khamis, 3 Oktober 2024

Lelaki diberkas rakam jiran, wanita bujang mandi waktu malam

Lelaki diberkas rakam jiran, wanita bujang mandi waktu malam


Seorang lelaki berusia 54 tahun diberkas selepas dipercayai merakam jirannya yang juga gadis sedang mandi di Taman Seri Duyong di Melaka minggu lalu.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian disedari mangsa berusia 27 tahun selepas ternampak tangan suspek di tingkap bilik air rumahnya kira-kira pukul 9 malam, 26 September lalu.


"Mangsa yang terkejut segera menjerit dan memaklumkan kejadian tersebut kepada adik lelakinya yang kemudian keluar untuk memeriksa, namun suspek sudah melarikan diri.


"Pemeriksaan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah itu mendapati suspek adalah penduduk yang dikenalinya di taman perumahan berkenaan," katanya kepada pemberita hari ini.


Tambah Christopher, menerusi rakaman CCTV tersebut, suspek juga dilihat menceroboh kediaman mangsa dengan memanjat pagar di bahagian belakang rumah.


"Lelaki itu kemudian datang menyerah diri di balai polis sebelum ditahan pada pukul 8.30 malam tadi. Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.


Suspek diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka untuk mendapatkan perintah reman. - Foto Kosmo Online.

Rabu, 2 Oktober 2024

Pelancong berjalan kaki sambil rakam video maut terjatuh dalam laluan bawah tanah

Pelancong berjalan kaki sambil rakam video maut terjatuh dalam laluan bawah tanah


Seorang pelancong Russia maut selepas terjatuh ke dalam laluan bawah tanah ketika sedang makan angin bersama rakannya di Tbilisi, Georgia.


Menerusi hantaran di aplikasi X, kejadian tragis ini berlaku pada waktu malam ketika mangsa, Arina Glazunova sedang bersiar-siar bersama rakannya di sekitar lokasi tersebut.


Video berdurasi 21 saat itu menunjukkan Arina menyanyikan lagu hit Hunger Boys berjudul 'For The Last Time' sambil dirakam oleh rakannya.


Namun, beberapa saat kemudian, sosok tubuh Arina 'ghaib' daripada klip video tersebut dan hanya jeritan didengari sebelum video itu terhenti.


Menurut hantaran itu, Arina yang mengalami kecederaan retak tengkorak dan patah leher tidak dapat diselamatkan.


Laluan di kaki lima tersebut dilihat berisiko tinggi kerana ketiadaan penghadang keselamatan, mengundang bahaya kepada pejalan kaki, terutama pada waktu malam. - Sumber The Sun.


Seorang pelancong Russia maut selepas terjatuh ke dalam laluan bawah tanah ketika sedang makan angin bersama rakannya di Tbilisi, Georgia. - Foto Newsflash.