Selasa, 8 Oktober 2024

Wanita dicakar oleh anak patung berpuaka yang kadang kala cetuskan 'huru-hara'

Wanita dicakar oleh anak patung berpuaka yang kadang kala cetuskan 'huru-hara'


Seorang wanita di Yorkshire Barat, England mempunyai koleksi 14 anak patung yang dikatakan berpuaka dan kadang kala mencetuskan 'huru-hara', lapor akhbar Daily Mirror pada 7 Oktober 2024.


Hannah Rose, 20, obses dengan aktiviti paranormal sejak dia berusia tujuh tahun lagi. Hannah berkata, dia pertama kali melihat hantu pada usia tersebut.


Sejak itu, dia mempunyai minat mendalam terhadap patung yang didakwa berpuaka meskipun mengaku tidak mudah menjaga objek itu.


"Saya pernah dicakar Louise (salah satu anak patungnya) tetapi kami berbaik semula selepas sesi komunikasi.


"Kadang-kala patung-patung ini membuat kacau. Mildred (satu lagi anak patungnya) terutamanya, suka menyembunyikan barang penting seperti kunci rumah atau alat solek saya," kata Hannah.


Tambah Hannah, sekiranya dia menerima anak patung berpuaka yang kotor atau rosak, dia akan membersihkan dan membaikinya.


"Saya berhasrat untuk menyimpan semua anak patung itu sepanjang hidup saya dan mengumpul lebih banyak lagi," katanya. - Sumber Mirror UK.


Hannah mahu mengumpul lebih banyak lagi patung berpuaka. - Foto Caters News.

Isnin, 7 Oktober 2024

Wanita warga emas alami pendarahan di kepala akibat diragut penjenayah bermotosikal

Wanita warga emas alami pendarahan di kepala akibat diragut penjenayah bermotosikal


Seorang wanita warga emas parah selepas diragut penjenayah bermotosikal dalam kejadian dekat Jalan Limau Manis, Bangsar di Kuala Lumpur awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 6.30 pagi namun tiada kerugian direkodkan kerana tiada barangan berharga dalam beg diragut suspek.


"Mangsa berumur 78 tahun itu sedang berjalan kaki seorang diri ke kedai berhampiran untuk membeli surat khabar yang menjadi rutin hariannya setiap pagi.


"Mangsa didatangi suspek yang menunggang motosikal sebelum menghampiri dari belakang dan meragut beg mangsa," katanya menerusi kenyataan hari ini.


Katanya, kejadian mengakibatkan mangsa tersembam di atas jalan tar.


"Mangsa yang parah akibat kejadian kemudiannya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.


"Mangsa mengalami pendarahan di kepala yang agak serius dan masih dalam pemantauan pasukan perubatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.


Terdahulu, tular video berdurasi 2 minit 45 saat memaparkan seorang wanita warga emas berpakaian merah jambu diragut oleh seorang penunggang motosikal.


Video tersebut memaparkan wanita warga emas itu terjatuh akibat diragut sebelum disedari orang awam.


Wanita warga emas mengalami kecederaan selepas diragut dalam kejadian di tepi Jalan Limau Manis, Bangsar, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Foto Kosmo Online.

Ahad, 6 Oktober 2024

Bagaimana semut boleh masuk dalam skrin 'laptop' yang masih berfungsi dengan baik?

Bagaimana semut boleh masuk dalam skrin 'laptop' yang masih berfungsi dengan baik?


Satu rakaman video tular di laman sosial memaparkan situasi seekor semut merayap di dalam skrin komputer riba yang masih berfungsi dengan baik, lapor laman berita The Indian Express 4 Oktober 2024.


Ia mendapat lebih 500,000 tontonan sejak dikongsi oleh seorang pengguna, @adityakvlte di platform X.


Dalam rakaman video itu, Aditya berkongsi perasaannya yang sukar mempercayai kejadian tersebut.


"Semut ini masuk ke dalam skrin komputer riba saya," tulisnya dalam kapsyen dengan menggambarkan situasi itu sebagai pelik.


Kejadian aneh itu membuatkan ramai netizen tertanya-tanya bagaimana semut itu berjaya memasuki skrin komputer riba.


Seorang lagi pengguna X, Akash Manohar berkongsi pengalamannya sendiri dengan menulis: "Saya pernah mengalami perkara ini.


"Kemungkinan besar ia tidak masuk ke dalam skrin. Berkemungkinan besar juga terdapat telur yang berada di dalam skrin semasa pembuatannya. Haba yang dijana semasa penggunaan komputer riba membantu ia menetas." - Sumber The Indian Express.


Seekor semut (dalam bulatan) masuk ke dalam skrin sebuah komputer riba. - Foto X/@adityakvlte.

Sabtu, 5 Oktober 2024

Ditangkap curang, wanita kerat kemaluan kekasih dan siar gambar dalam WhatsApp

Ditangkap curang, wanita kerat kemaluan kekasih dan siar gambar dalam WhatsApp


Seorang wanita di Brazil dihukum penjara empat tahun dan lapan bulan kerana memotong alat sulit kekasihnya yang ditangkap curang dengan anak saudaranya sendiri, lapor saluran berita Daily Star pada 4 Oktober 2024.


Kejadian berlaku pada 22 Disember 2023, 10 hari selepas tertuduh bernama Daiane Farias, 34, menangkap mangsa di ranjang bersama anak saudaranya yang berumur 15 tahun.


"Tangan mangsa bernama Gilberto de Oliveira, 40, diikat pada kepala katil sebelum alat sulitnya 'diputuskan' dengan pisau cukur.


"Tertuduh merakam gambar organ tersebut lalu dikongsikan kepada keluarganya melalui aplikasi mesej WhatsApp, sebelum dibuang ke dalam tandas," kata Hakim Giuliana Herculian.


De Oliveira menyifatkan Farias sebagai 'penjenayah' dan menyatakan bahawa kekasihnya wajar dipenjarakan.


Lelaki itu bagaimanapun berubah hati dan sanggup bekerja sebagai juru hias kuku di penjara, untuk bersama Farias.


"Jika saya tidak melakukan hubungan intim dengan anak saudara Farias pada hari lahirnya, semua ini tidak akan berlaku.


"Dia merupakan seorang wanita yang hebat dan penyayang. Dia tidak layak dikhianati seperti ini," kata de Oliveira. - Sumber Daily Star.


Daiane Farias dihukum penjara empat tahun dan lapan bulan. - Foto CEN.

Khamis, 3 Oktober 2024

Lelaki diberkas rakam jiran, wanita bujang mandi waktu malam

Lelaki diberkas rakam jiran, wanita bujang mandi waktu malam


Seorang lelaki berusia 54 tahun diberkas selepas dipercayai merakam jirannya yang juga gadis sedang mandi di Taman Seri Duyong di Melaka minggu lalu.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian disedari mangsa berusia 27 tahun selepas ternampak tangan suspek di tingkap bilik air rumahnya kira-kira pukul 9 malam, 26 September lalu.


"Mangsa yang terkejut segera menjerit dan memaklumkan kejadian tersebut kepada adik lelakinya yang kemudian keluar untuk memeriksa, namun suspek sudah melarikan diri.


"Pemeriksaan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah itu mendapati suspek adalah penduduk yang dikenalinya di taman perumahan berkenaan," katanya kepada pemberita hari ini.


Tambah Christopher, menerusi rakaman CCTV tersebut, suspek juga dilihat menceroboh kediaman mangsa dengan memanjat pagar di bahagian belakang rumah.


"Lelaki itu kemudian datang menyerah diri di balai polis sebelum ditahan pada pukul 8.30 malam tadi. Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.


Suspek diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka untuk mendapatkan perintah reman. - Foto Kosmo Online.

Rabu, 2 Oktober 2024

Pelancong berjalan kaki sambil rakam video maut terjatuh dalam laluan bawah tanah

Pelancong berjalan kaki sambil rakam video maut terjatuh dalam laluan bawah tanah


Seorang pelancong Russia maut selepas terjatuh ke dalam laluan bawah tanah ketika sedang makan angin bersama rakannya di Tbilisi, Georgia.


Menerusi hantaran di aplikasi X, kejadian tragis ini berlaku pada waktu malam ketika mangsa, Arina Glazunova sedang bersiar-siar bersama rakannya di sekitar lokasi tersebut.


Video berdurasi 21 saat itu menunjukkan Arina menyanyikan lagu hit Hunger Boys berjudul 'For The Last Time' sambil dirakam oleh rakannya.


Namun, beberapa saat kemudian, sosok tubuh Arina 'ghaib' daripada klip video tersebut dan hanya jeritan didengari sebelum video itu terhenti.


Menurut hantaran itu, Arina yang mengalami kecederaan retak tengkorak dan patah leher tidak dapat diselamatkan.


Laluan di kaki lima tersebut dilihat berisiko tinggi kerana ketiadaan penghadang keselamatan, mengundang bahaya kepada pejalan kaki, terutama pada waktu malam. - Sumber The Sun.


Seorang pelancong Russia maut selepas terjatuh ke dalam laluan bawah tanah ketika sedang makan angin bersama rakannya di Tbilisi, Georgia. - Foto Newsflash.

Selasa, 1 Oktober 2024

Kereta Tesla tiba-tiba terbakar sejurus terkena air banjir

Kereta Tesla tiba-tiba terbakar sejurus terkena air banjir


Sebuah kereta elektrik Tesla terbakar ketika disimpan di dalam sebuah garaj yang dimasuki air masin akibat Taufan Helene di negeri Florida, lapor akhbar New York Post pada 29 September 2024.


Dalam satu rakaman video kejadian, api kelihatan bermula di bawah kenderaan elektrik (EV) itu sebelum menyambar ke seluruh bahagian kereta dalam masa kurang satu minit.


Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) garaj menunjukkan ruang garaj itu dipenuhi asap tebal.


Beberapa pegawai pentadbiran Pinellas County menyiarkan video itu pada Sabtu lalu sebagai amaran kepada pemilik-pemilik EV agar waspada ketika Taufan Helene melanda Florida, Carolina Utara dan beberapa negeri lain di tenggara Amerika Syarikat.


Amaran turut dikeluarkan bagi menggesa pemilik kereta dan basikal elektrik supaya mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi gelombang ribut air masin, termasuk tidak meletakkan kenderaan mereka di dalam rumah atau garaj.


Pemilik turut diarah memindahkan EV pada jarak 15 meter dari mana-mana bahan mudah terbakar lain.


Sekurang-kurangnya 118 orang maut akibat Taufan Helene dan angka tersebut dijangka meningkat. - Sumber New York Post.


Api bermula di bawah Tesla tersebut dan menyambar ke seluruh bahagian dalam masa kurang dari satu minit. - Foto Pinellas County/Facebook.

Isnin, 30 September 2024

Pencuri kantoi selepas tiga kali curi baju dan ampaian

Pencuri kantoi selepas tiga kali curi baju dan ampaian


Bukan sekali, bahkan tiga kali seorang lelaki dipercayai mencuri pakaian yang dijemur pada ampaian di kawasan perumahan di Taman Chip Aik di Seremban.


Kejadian terbaharu berlaku pada Jumaat lalu (28 September) dan perbuatan suspek sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) rumah mangsa.


Dalam rakaman itu menunjukkan sebuah kereta berwarna biru berhenti di hadapan rumah dan pemandunya keluar serta membuka pintu belakang, sebelum menarik masuk ampaian penuh dengan pakaian.


Lelaki itu juga dilihat mengambil beberapa helai pakaian di sebuah lagi ampaian yang diletakkan di hadapan rumah dan melarikan diri.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, susulan laporan dibuat pemilik rumah pada 10.20 pagi, semalam, suspek berusia 30-an berjaya ditangkap pada hari yang sama.


"Hasil maklumat awam dan perkongsian di media sosial, suspek berjaya dikesan dan tangkapan dibuat berserta rampasan yang disyaki pakaian dicuri di dalam kejadian ini," katanya.


Mohamad Hatta berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat.


Tangkap layar rakaman CCTV tular menunjukkan perbuatan suspek mencuri pakaian bersama ampaian di Taman Chip Aik.

Ahad, 29 September 2024

Staf wanita dipecat enggan ikut cakap bos beli sarapan setiap pagi

Staf wanita dipecat enggan ikut cakap bos beli sarapan setiap pagi


Seorang wanita di Shanghai dipecat gara-gara enggan membeli sarapan pagi untuk bosnya, lapor South Morning China Post pada 25 September 2024.


Tindakan itu telah mencetuskan kemarahan di seluruh media sosial tanah besar China. Sebagai tindak balas kepada amarah netizen, syarikat berkenaan mengambil balik pekerja terbabit dan sebaliknya memecat bosnya itu.


Wanita yang dikenali dengan nama keluarga Lou, adalah pekerja baru di sebuah institusi pendidikan dan berkongsi pengalamannya di platform media sosial Xiaohongshu.


Lou menceritakan bahawa penyelianya bernama Liu, meminta dia membawakan kopi panas dan telur setiap pagi.


Selain itu, Lou menyebut bahawa bosnya berkeras mahu menyediakan sebotol air minuman setiap kali sarapan pagi.


Apabila Lou menolak tuntutan yang tidak munasabah ini dalam kumpulan sembang kerja Whatapps, dia secara tiba-tiba dipecat oleh jabatan sumber manusia dan menjelaskan dia tidak akan menerima sebarang pampasan.


Selepas kejadian itu tular di media sosial, ia mendapat kecaman meluas oleh netizen yang membaca kisahnya itu.


Seorang netizen menyatakan seorang majikan atau penyelia tidak sepatutnya melayan pekerja seperti 'hamba abdi'.


"Lou menunjukkan keberanian yang ketara dengan mendedahkan salah laku bosnya," kata netizen.


Pada 12 September lalu, syarikat itu mengeluarkan kenyataan yang mengumumkan bahawa penyelia Lou telah dipecat kerana menyalahgunakan kuasanya dan memaksa orang bawahan untuk membantunya dalam hal-hal peribadi. - Sumber South Morning China Post.


Kes buli pekerja dilaporkan meningkat di China. Foto hiasan Agensi.

Sabtu, 28 September 2024

Paip tangki septik pecah, najis manusia setinggi 10 meter hujani kenderaan

Paip tangki septik pecah, najis manusia setinggi 10 meter hujani kenderaan


Sebatang paip tangki septik pecah di jalan raya yang sedang dalam pembinaan di Guangxi, China menyebabkan letusan setinggi lebih 10 meter, lapor portal berita MSNews pada 26 September 2024.


Kejadian itu berlaku pada hari Selasa (26 September) dan hampir memecahkan cermin belakang sebuah kereta.


Rakaman video kamera papan pemuka sebuah kenderaan dari arah bertentangan turut merakamkan najis yang menghujani kereta.


Menurut Biro Pengurusan Kecemasan Perbandaran Nanning, kejadian itu berpunca daripada saluran paip tangki septik yang pecah.


Bagaimanapun, tiada sesiapa cedera dalam letusan itu. Namun, terdapat beberapa kenderaan yang mengalami kerosakan. Selepas menerima laporan orang ramai, pasukan pekerja pembersihan dihantar ke tempat kejadian.


Memetik laporan yang dimuat naik di laman web berita tempatan, ET Today, kejadian tersebut berlaku berikutan ujian tekanan yang sedang dilakukan oleh jurutera yang bertauliah.


Kejadian tersebut mendapat perhatian netizen yang rata-rata terfikirkan nasib pekerja di pusat cucian kereta yang terpaksa mencuci kenderaan mangsa kejadian.


Ramai netizen memberi komen mengulas ia merupakan kejadian menjijikkan. Ada juga yang bergurau dengan menulis bau najis boleh dihidu melalui skrin tayangan kejadian itu. - Sumber MSNews.


Letusan paip tangki najis di Guangxi. - Foto Facebook.