Khamis, 3 Oktober 2024

Lelaki diberkas rakam jiran, wanita bujang mandi waktu malam

Lelaki diberkas rakam jiran, wanita bujang mandi waktu malam


Seorang lelaki berusia 54 tahun diberkas selepas dipercayai merakam jirannya yang juga gadis sedang mandi di Taman Seri Duyong di Melaka minggu lalu.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian disedari mangsa berusia 27 tahun selepas ternampak tangan suspek di tingkap bilik air rumahnya kira-kira pukul 9 malam, 26 September lalu.


"Mangsa yang terkejut segera menjerit dan memaklumkan kejadian tersebut kepada adik lelakinya yang kemudian keluar untuk memeriksa, namun suspek sudah melarikan diri.


"Pemeriksaan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah itu mendapati suspek adalah penduduk yang dikenalinya di taman perumahan berkenaan," katanya kepada pemberita hari ini.


Tambah Christopher, menerusi rakaman CCTV tersebut, suspek juga dilihat menceroboh kediaman mangsa dengan memanjat pagar di bahagian belakang rumah.


"Lelaki itu kemudian datang menyerah diri di balai polis sebelum ditahan pada pukul 8.30 malam tadi. Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.


Suspek diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka untuk mendapatkan perintah reman. - Foto Kosmo Online.

Rabu, 2 Oktober 2024

Pelancong berjalan kaki sambil rakam video maut terjatuh dalam laluan bawah tanah

Pelancong berjalan kaki sambil rakam video maut terjatuh dalam laluan bawah tanah


Seorang pelancong Russia maut selepas terjatuh ke dalam laluan bawah tanah ketika sedang makan angin bersama rakannya di Tbilisi, Georgia.


Menerusi hantaran di aplikasi X, kejadian tragis ini berlaku pada waktu malam ketika mangsa, Arina Glazunova sedang bersiar-siar bersama rakannya di sekitar lokasi tersebut.


Video berdurasi 21 saat itu menunjukkan Arina menyanyikan lagu hit Hunger Boys berjudul 'For The Last Time' sambil dirakam oleh rakannya.


Namun, beberapa saat kemudian, sosok tubuh Arina 'ghaib' daripada klip video tersebut dan hanya jeritan didengari sebelum video itu terhenti.


Menurut hantaran itu, Arina yang mengalami kecederaan retak tengkorak dan patah leher tidak dapat diselamatkan.


Laluan di kaki lima tersebut dilihat berisiko tinggi kerana ketiadaan penghadang keselamatan, mengundang bahaya kepada pejalan kaki, terutama pada waktu malam. - Sumber The Sun.


Seorang pelancong Russia maut selepas terjatuh ke dalam laluan bawah tanah ketika sedang makan angin bersama rakannya di Tbilisi, Georgia. - Foto Newsflash.

Selasa, 1 Oktober 2024

Kereta Tesla tiba-tiba terbakar sejurus terkena air banjir

Kereta Tesla tiba-tiba terbakar sejurus terkena air banjir


Sebuah kereta elektrik Tesla terbakar ketika disimpan di dalam sebuah garaj yang dimasuki air masin akibat Taufan Helene di negeri Florida, lapor akhbar New York Post pada 29 September 2024.


Dalam satu rakaman video kejadian, api kelihatan bermula di bawah kenderaan elektrik (EV) itu sebelum menyambar ke seluruh bahagian kereta dalam masa kurang satu minit.


Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) garaj menunjukkan ruang garaj itu dipenuhi asap tebal.


Beberapa pegawai pentadbiran Pinellas County menyiarkan video itu pada Sabtu lalu sebagai amaran kepada pemilik-pemilik EV agar waspada ketika Taufan Helene melanda Florida, Carolina Utara dan beberapa negeri lain di tenggara Amerika Syarikat.


Amaran turut dikeluarkan bagi menggesa pemilik kereta dan basikal elektrik supaya mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi gelombang ribut air masin, termasuk tidak meletakkan kenderaan mereka di dalam rumah atau garaj.


Pemilik turut diarah memindahkan EV pada jarak 15 meter dari mana-mana bahan mudah terbakar lain.


Sekurang-kurangnya 118 orang maut akibat Taufan Helene dan angka tersebut dijangka meningkat. - Sumber New York Post.


Api bermula di bawah Tesla tersebut dan menyambar ke seluruh bahagian dalam masa kurang dari satu minit. - Foto Pinellas County/Facebook.

Isnin, 30 September 2024

Pencuri kantoi selepas tiga kali curi baju dan ampaian

Pencuri kantoi selepas tiga kali curi baju dan ampaian


Bukan sekali, bahkan tiga kali seorang lelaki dipercayai mencuri pakaian yang dijemur pada ampaian di kawasan perumahan di Taman Chip Aik di Seremban.


Kejadian terbaharu berlaku pada Jumaat lalu (28 September) dan perbuatan suspek sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) rumah mangsa.


Dalam rakaman itu menunjukkan sebuah kereta berwarna biru berhenti di hadapan rumah dan pemandunya keluar serta membuka pintu belakang, sebelum menarik masuk ampaian penuh dengan pakaian.


Lelaki itu juga dilihat mengambil beberapa helai pakaian di sebuah lagi ampaian yang diletakkan di hadapan rumah dan melarikan diri.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, susulan laporan dibuat pemilik rumah pada 10.20 pagi, semalam, suspek berusia 30-an berjaya ditangkap pada hari yang sama.


"Hasil maklumat awam dan perkongsian di media sosial, suspek berjaya dikesan dan tangkapan dibuat berserta rampasan yang disyaki pakaian dicuri di dalam kejadian ini," katanya.


Mohamad Hatta berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat.


Tangkap layar rakaman CCTV tular menunjukkan perbuatan suspek mencuri pakaian bersama ampaian di Taman Chip Aik.

Ahad, 29 September 2024

Staf wanita dipecat enggan ikut cakap bos beli sarapan setiap pagi

Staf wanita dipecat enggan ikut cakap bos beli sarapan setiap pagi


Seorang wanita di Shanghai dipecat gara-gara enggan membeli sarapan pagi untuk bosnya, lapor South Morning China Post pada 25 September 2024.


Tindakan itu telah mencetuskan kemarahan di seluruh media sosial tanah besar China. Sebagai tindak balas kepada amarah netizen, syarikat berkenaan mengambil balik pekerja terbabit dan sebaliknya memecat bosnya itu.


Wanita yang dikenali dengan nama keluarga Lou, adalah pekerja baru di sebuah institusi pendidikan dan berkongsi pengalamannya di platform media sosial Xiaohongshu.


Lou menceritakan bahawa penyelianya bernama Liu, meminta dia membawakan kopi panas dan telur setiap pagi.


Selain itu, Lou menyebut bahawa bosnya berkeras mahu menyediakan sebotol air minuman setiap kali sarapan pagi.


Apabila Lou menolak tuntutan yang tidak munasabah ini dalam kumpulan sembang kerja Whatapps, dia secara tiba-tiba dipecat oleh jabatan sumber manusia dan menjelaskan dia tidak akan menerima sebarang pampasan.


Selepas kejadian itu tular di media sosial, ia mendapat kecaman meluas oleh netizen yang membaca kisahnya itu.


Seorang netizen menyatakan seorang majikan atau penyelia tidak sepatutnya melayan pekerja seperti 'hamba abdi'.


"Lou menunjukkan keberanian yang ketara dengan mendedahkan salah laku bosnya," kata netizen.


Pada 12 September lalu, syarikat itu mengeluarkan kenyataan yang mengumumkan bahawa penyelia Lou telah dipecat kerana menyalahgunakan kuasanya dan memaksa orang bawahan untuk membantunya dalam hal-hal peribadi. - Sumber South Morning China Post.


Kes buli pekerja dilaporkan meningkat di China. Foto hiasan Agensi.

Sabtu, 28 September 2024

Paip tangki septik pecah, najis manusia setinggi 10 meter hujani kenderaan

Paip tangki septik pecah, najis manusia setinggi 10 meter hujani kenderaan


Sebatang paip tangki septik pecah di jalan raya yang sedang dalam pembinaan di Guangxi, China menyebabkan letusan setinggi lebih 10 meter, lapor portal berita MSNews pada 26 September 2024.


Kejadian itu berlaku pada hari Selasa (26 September) dan hampir memecahkan cermin belakang sebuah kereta.


Rakaman video kamera papan pemuka sebuah kenderaan dari arah bertentangan turut merakamkan najis yang menghujani kereta.


Menurut Biro Pengurusan Kecemasan Perbandaran Nanning, kejadian itu berpunca daripada saluran paip tangki septik yang pecah.


Bagaimanapun, tiada sesiapa cedera dalam letusan itu. Namun, terdapat beberapa kenderaan yang mengalami kerosakan. Selepas menerima laporan orang ramai, pasukan pekerja pembersihan dihantar ke tempat kejadian.


Memetik laporan yang dimuat naik di laman web berita tempatan, ET Today, kejadian tersebut berlaku berikutan ujian tekanan yang sedang dilakukan oleh jurutera yang bertauliah.


Kejadian tersebut mendapat perhatian netizen yang rata-rata terfikirkan nasib pekerja di pusat cucian kereta yang terpaksa mencuci kenderaan mangsa kejadian.


Ramai netizen memberi komen mengulas ia merupakan kejadian menjijikkan. Ada juga yang bergurau dengan menulis bau najis boleh dihidu melalui skrin tayangan kejadian itu. - Sumber MSNews.


Letusan paip tangki najis di Guangxi. - Foto Facebook.

Khamis, 26 September 2024

Lelaki bersenjatakan pisau amuk kejar bekas isteri pada hari pernikahan

Lelaki bersenjatakan pisau amuk kejar bekas isteri pada hari pernikahan


Seorang lelaki berumur 35 tahun bersenjatakan pisau mengamuk pada majlis perkahwinan bekas isterinya di Kalimantan, lapor portal berita Tribun Trends pada 26 September 2024.


Lelaki yang dikenali sebagai A itu turut menghunuskan senjata ke arah tetamu yang hadir semasa kenduri tersebut di Sungai Loban semalam.


Ketua polis tempatan, Kitty Tokan berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 5 petang (waktu tempatan).


Katanya, suspek melakukan perbuatan tersebut dengan tujuan untuk membatalkan majlis perkahwinan bekas isterinya dengan lelaki lain.


Pengantin wanita berlari masuk ke dalam rumah setelah dikejar oleh A yang menghunuskan pisau. wanita itu kemudian mengunci pintu biliknya. 


Polis yang menerima aduan keluarga pengantin perempuan, berjaya menangkap A pada hari yang sama di rumah suspek. - Sumber Tribun Trends.


Seorang lelaki ditangkap kerana menganggu majlis perkahwinan bekas isterinya. - Foto Polis Sungai Loban.

Rabu, 25 September 2024

Saintis temui spesies baharu 'jerung hantu' berkeliaran di dasar Lautan Pasifik

Saintis temui spesies baharu 'jerung hantu' berkeliaran di dasar Lautan Pasifik


Saintis di New Zealand semalam berkata, mereka menemui spesies baharu 'jerung hantu', sejenis ikan yang berkeliaran di dasar Lautan Pasifik dan dikesan memburu jauh ke dalam laut.


Menurut saintis dari Institut Penyelidikan Air dan Atmosfera Negara (NIWA) yang berpangkalan di Wellington, ikan jerung jenis 'spookfish' hidung sempit Australasia ditemui hidup di perairan dalam Australia dan New Zealand.


Spesimen itu ditemui semasa penyelidikan di Chatham Rise, kawasan Pasifik yang seluas sekitar 1,000 kilometer (km) ke timur berhampiran Pulau Selatan New Zealand.


Jerung hantu atau chimaera dikaitkan dengan spesis jerung dan pari, tetapi ia adalah sebahagian daripada kumpulan ikan dengan seluruh rangka daripada tulang rawan.


Ia juga dikenali sebagai 'spookfish' atau jerung hantu yang mempunyai mata hitam berhantu dan kulit licin, berwarna coklat muda, tanpa sisik.


Ia juga memakan krustasea pada kedalaman sehingga 2,600 meter (m) menggunakan mulut seperti paruh.


"Jerung hantu seperti ini sebahagian besarnya berada di dasar lautan," kata saintis penyelidik Brit Finucci, yang turut memberikan nama saintifiknya kepada spesies baharu itu sebagai 'Harriotta avia' untuk mengenang neneknya.


"Habitat mereka menjadikan saintis sukar untuk belajar dan memantaunya dan ini bermakna kita tidak tahu banyak tentang biologi atau status ancaman mereka, tetapi itu menjadikan penemuan seperti ini lebih menarik," katanya.


Ikan spookfish sebelum ini dianggap sebagai sebahagian daripada spesies tunggal sehingga saintis mendapati ia berbeza secara genetik dan morfologi dengan spesies dikaitkan dengannya. - Sumber NBC News.


Saintis di New Zealand berkata mereka telah menemui spesies baru jerung hantu atau 'spookfish' yang berkeliaran di dasar Lautan Pasifik memburu mangsa jauh ke dalam laut. - Foto AFP.

Selasa, 24 September 2024

Ular sawa gergasi 'mengganas' kawasan penempatan penduduk berjaya ditangkap

Ular sawa gergasi 'mengganas' kawasan penempatan penduduk berjaya ditangkap


Seekor ular sawa gergasi sepanjang 7 meter berjaya ditangkap ketika memasuki kawasan penempatan penduduk di wilayah Sulawesi Selatan, lapor portal berita Detik Sulsel pada 24 September 2024.


Ular itu ditangkap oleh anggota-anggota bomba dan penduduk tempatan di Bacukiki Barat, Kota Parepare pada pukul 5.30 petang (waktu tempatan) semalam.


Ular sawa itu hampir menyerang penduduk apabila ditangkap. Alat pengapit ular yang digunakan anggota bomba beberapa kali tidak dapat menahan badan besar ular itu.


"Alat penangkap itu longgar sehingga petugas berlawan beberapa kali ketika mahu dipindahkan," kata Ketua Jabatan Bomba Parepare, Fransiskus.


Selepas berhempas pulas selama kira-kira 30 minit, ular sawa itu berjaya diamankan. Pegawai Bomba Parepare dibantu penduduk ketika mengangkat ular berkenaan.


Sebahagian penduduk yang melihat reptilia itu menjerit 'histeria' ketika anggota-anggota tersebut memegang ular tersebut yang panjang.


"Kita memindahkan ular sepanjang 7 meter," kata Fransiskus.


Ular itu kemudian dibawa ke Pejabat Jabatan Bomba Parepare sebelum dibawa ke hutan. Ular itu dilepaskan jauh dari kawasan perumahan.


Seramai sembilan anggota bomba yang mengangkat ular sawa tersebut dan tiada laporan tentang kecederaan ketika proses menangkapnya dilakukan. - Sumber Detiksulsel.


Anggota-anggota bomba memegang seekor ular sawa yang terlalu Panjang. - Foto detikSulsel.

Isnin, 23 September 2024

Polis buru lelaki gemar membuang air besar di laluan jirannya

Polis buru lelaki gemar membuang air besar di laluan jirannya


Polis Britain masih memburu seorang lelaki yang gemar membuang air besar di laluan milik jirannya, demikian menurut laman berita Daily Mail pada 21 September 2024.


Kampung Camber di Sussex, England digemparkan oleh tindakan lelaki tersebut yang meninjau kawasan itu untuk membuang air besar.


Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) pada Khamis lalu menunjukkan seorang lelaki berdiri di satu sudut garaj dengan membawa bersama gulungan kertas tandas.


Dia kemudian mencangkung sambil melondehkan seluarnya untuk membuang air besar di hadapan orang yang mungkin lalu lalang ketika dia melakukan perbuatan tidak senonoh tersebut.


Selepas melepaskan hajat, lelaki itu berjalan meninggalkan tempat kejadian tetapi masih membawa kertas tandasnya.


Laman berita Sussex News melaporkan kisah aneh itu dengan menulis: "Hantu pembuang air besar beraksi sekali lagi di Camber!"


Ia kemudian mendapat reaksi daripada pengguna media sosial.


Seorang netizen berkata: "Dia pasti mempunyai alasan tersendiri. Sangat menyedihkan seseorang terpaksa melakukan perkara ini." - Sumber Daily Mail.


Seorang lelaki diburu polis kerana suka membuang air besar di tempat awam. - Foto Sussex News.