Sebuah kereta elektrik Tesla terbakar ketika disimpan di dalam sebuah garaj yang dimasuki air masin akibat Taufan Helene di negeri Florida, lapor akhbar New York Post pada 29 September 2024.
Dalam satu rakaman video kejadian, api kelihatan bermula di bawah kenderaan elektrik (EV) itu sebelum menyambar ke seluruh bahagian kereta dalam masa kurang satu minit.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) garaj menunjukkan ruang garaj itu dipenuhi asap tebal.
Beberapa pegawai pentadbiran Pinellas County menyiarkan video itu pada Sabtu lalu sebagai amaran kepada pemilik-pemilik EV agar waspada ketika Taufan Helene melanda Florida, Carolina Utara dan beberapa negeri lain di tenggara Amerika Syarikat.
Amaran turut dikeluarkan bagi menggesa pemilik kereta dan basikal elektrik supaya mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi gelombang ribut air masin, termasuk tidak meletakkan kenderaan mereka di dalam rumah atau garaj.
Pemilik turut diarah memindahkan EV pada jarak 15 meter dari mana-mana bahan mudah terbakar lain.
Sekurang-kurangnya 118 orang maut akibat Taufan Helene dan angka tersebut dijangka meningkat. - Sumber New York Post.