Isnin, 23 September 2024

Warga asing sengaja lompat depan kereta mengakibatkan kemalangan sudah ditahan

Warga asing sengaja lompat depan kereta mengakibatkan kemalangan sudah ditahan

 

Seorang warga asing ditahan kerana disyaki dengan sengaja melompat ke arah kenderaan yang sedang bergerak sehingga mengakibatkan kemalangan di Bandar Sungai Long, Kajang pada Selasa lalu.


Kejadian itu tular selepas rakaman kamera papan pemuka memaparkan seorang lelaki berbaju merah berdiri di bahu jalan dan tiba-tiba melompat ke arah sebuah kenderaan yang sedang bergerak lalu terjatuh akibat dilanggar kenderaan terbabit.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata suspek yang juga seorang pekerja pembersihan ditahan di sekitar Bandar Sungai Long, jam 6 petang semalam.


"Kejadian dipercayai berlaku pada 11.53 pagi, 17 September lalu membabitkan seorang lelaki berbaju merah dan berseluar hitam.


"Suspek yang hanya cedera ringan meninggalkan tempat kejadian sebelum sempat diambil butiran atau pengenalan dirinya," katanya dalam kenyataan semalam.


Dua kenderaan rosak akibat perbuatan lelaki warga asing berusia 32 tahun berkenaan.


Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan dan tahap kesihatan mental suspek berkenaan belum dapat ditentukan setakat ini manakala ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif.


"Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain yang boleh dihukum penjara tiga bulan atau dengan RM500 atau keduanya sekali.


"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri," katanya.


Lelaki warga asing ditahan selepas disyaki sengaja melompat ke arah kenderaan yang sedang bergerak sehingga mengakibatkan kemalangan. - Foto PDRM.

Ahad, 22 September 2024

Salji tebal turun di Afrika Selatan, kenderaan terperangkap lebih 13 jam di laluan utama

Salji tebal turun di Afrika Selatan, kenderaan terperangkap lebih 13 jam di laluan utama


Salji tebal luar biasa telah menyebabkan gangguan kepada laluan utama di Afrika Selatan pada Sabtu yang turut menyaksikan ramai mangsa terperangkap dan terpaksa bermalam di dalam kenderaan masing-masing.


Lebuh raya N3 yang menghubungkan Johannesburg dan bandar Durban antara yang paling teruk terjejas hingga mengakibatkan beberapa bahagian terpaksa ditutup malah laluan yang dilencongkan juga tidak dapat diakses.


"Perkhidmatan kecemasan berusaha keras untuk sampai ke lokasi mangsa terkandas. Selimut dan bekalan makanan diberikan kepada mereka," ujar jurucakap pemerintah di wilayah KwaZulu-Natal.


Difahamkan, banyak trak yang diparkir di tepi jalan sejak Jumaat lalu dan ada perkhidmatan bas antara wilayah terkandas di stesen petrol selama kira-kira tujuh jam akibat salji tebal tersebut.



Salah seorang mangsa, Muhammad Goolam turut berkongsi kisah bermalam di dalam kereta selama lebih 13 jam bersama anaknya di pinggir bandar Harrismith yang terletak kira-kira 270 kilometer (km) di tenggara Johannesburg.


Catatan mangsa terkandas dikongsikan di platform X mendakwa beberapa kawasan diselubungi salji setebal dua meter.


Sementara itu, Pihak Berkuasa Pengurusan Sempadan memaklumkan ia menutup tiga pos sempadan dengan Lesotho berikutan situasi yang semakin berbahaya.


"Ancaman salji tebal dengan amaran peringkat jingga bakal dilaksanakan di beberapa bahagian di seluruh negara," jelas jurucakap Perkhidmatan Cuaca Afrika Selatan, Luthando Masimini yang menyifatkan ia sebagai 'keadaan ekstrem'.


Fenomena jarang berlaku itu turut menarik minat segelintir penduduk tempatan termasuk Justin Nadasem Baker yang sanggup memandu selama tiga jam dari Johannesburg ke Warden yang terletak kira-kira 50km dari Harrismith.


"Kami sekeluarga sangat teruja untuk melihat dan bermain salji," katanya. - Sumber NST.


Beberapa pengguna lalu lintas membantu kereta yang terperangkap di dalam salji tebal di Oliviershoekpass berhampiran Harrismith. - Foto AFP.

Jumaat, 20 September 2024

Lelaki terkejut rumahnya yg bernilai RM16.9 juta kini jadi milik orang lain

Lelaki terkejut rumahnya yg bernilai RM16.9 juta kini jadi milik orang lain

 

Lelaki di Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS) mendakwa seorang wanita yang tidak pernah ditemuinya sebelum ini memfailkan tuntutan pemilikan rumahnya yang bernilai AS$4 juta (kira-kira RM16.9 juta) dan berjaya mendapatkan surat ikatan penyerahan hak ke atas hartanya.


Oddity Central pada 18 September 2024 melaporkan, Dr Craig Adams yang juga doktor gigi baru-baru ini mengetahui bahawa rumah seluas 0.08 hektar itu yang didiaminya selama bertahun lamanya bukan lagi atas namanya.


Sebaliknya, ada individu tidak dikenali yang didakwa memfailkan surat ikatan tuntutan jaminan palsu terhadap rumah itu dan pada dasarnya cuba mencuri aset Dr Adams.


Dr Adams hanya mengetahui dia bukan lagi pemilik selepas seorang jiran menghubunginya untuk bertanya sama ada dia menjualnya dan memaklumkan kepadanya bahawa seorang wanita bernama Dawn Mangum meminta kod akses pintu masuk.



Lebih mengejutkan, wanita itu juga menunjukkan surat ikatan undang-undang atas namanya. Dr Adams terkejut apabila surat ikatan itu sememangnya diperoleh secara sah daripada Daftar Surat Ikatan dan tidak boleh dibatalkan.


"Mereka mengatakan tiada apa yang boleh dilakukan untuk memperbetulkan keadaan.


"Apabila ia difailkan satu-satunya penyelesaian yang ada adalah saya perlu melantik peguam dan sebut harga pertama saya dapat bernilai kira-kira AS$8,000 (kira-kira RM33,660) untuk memfailkan saman sivil terhadap wanita itu," kata Dr Adams kepada media tempatan.


Doktor gigi itu mengesyaki bahawa niat Mangum adalah untuk tinggal di dalam rumah dan menggunakan surat ikatan untuk melambatkan proses pengusiran.


Bagaimanapun, wanita itu memberitahu ABC 7 Chicago bahawa dia hanya memfailkan kertas kerja untuk surat ikatan itu kerana fikir ia ditinggalkan dan undang-undang menyatakan bahawa seseorang boleh menuntut harta yang dirampas.


Mangum juga menegaskan yang dia mahu mengembalikan pemilikan kepada Dr Adams, tetapi undang-undang tidak membenarkannya. Ia kerana mereka tidak boleh mengalih keluar dokumen setelah ia direkodkan.


Menurut Dr Adams, apa yang berlaku terhadapnya perlu menjadi peringatan kepada semua warga Carolina Utara kerana sesiapa sahaja boleh pergi ke pusat bandar dan membuat tuntutan palsu untuk harta orang lain. - Sumber Oddity Central.


DR Craig Adams nendakwa wanita tidak dikenali memfailkan tuntutan pemilikan ke atas rumahnya. - Foto ABC11.

Khamis, 19 September 2024

Ahli sindiket along simbah cat merah dihukum penjara setahun, denda RM2,000

Ahli sindiket along simbah cat merah dihukum penjara setahun, denda RM2,000


Seorang ahli sindiket along dipenjara setahun dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas dua kesalahan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah di kediaman mangsa, Julai lalu.


Majistret, S Punitha menjatuhi hukuman tersebut selepas tertuduh, Chee Wei Leong, 44, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit dan menetapkan hukuman penjara selama setahun bermula dari tarikh tangkapan iaitu 15 Julai lalu.


Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat merah pada pagar dan pintu sebuah rumah di Kampung Baru Bukit Merah, Lahat, yang menyebabkan kerugian RM500 pada jam 6.01 pagi, 13 Julai lalu.


Dia turut didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah rumah di Taman Utama Bercham yang menyebabkan kerugian lebih RM25 pada pukul 7 pagi, 8 Julai 2024.


Pertuduhan bagi kedua-dua kes dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Izawani Ahmad Jalaludin.


Sementara itu, dalam prosiding berasingan, tertuduh membuat pengakuan bersalah atas empat pertuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat melibatkan empat kediaman berbeza antara 3 Jun hingga 13 Julai 2024.


Bagaimanapun, Majistret, Noor Azreen Liana Mohd Darus menetapkan 18 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukum dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini dan tertuduh diwakili Peguam YBGK, Ng Yun Khong.


Wei Leong dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas kesalahan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah. - Foto Sinar Harian.

Rabu, 18 September 2024

Penyewa lari tinggalkan timbunan sampah sarap, air kencing dalam botol

Penyewa lari tinggalkan timbunan sampah sarap, air kencing dalam botol


Seorang wanita di Indonesia terkejut apabila menemui timbunan sampah sarap dan botol berisi air kencing ketika membersihkan rumah yang disewakan, lapor laman berita Detik pada 18 September 2024.


Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @mazi8557, rumah dua tingkat itu dipenuhi dengan longgokan sampah sarap dan barangan peribadi yang berselerak di atas lantai.


Bahkan setiap bilik tidur, tandas, dapur, ruang tamu kelihatan sangat kotor kerana tidak pernah dicuci oleh penyewa iaitu pasangan suami isteri selama empat tahun.


"Saya sangkakan akan melakukan kerja-kerja pembersihan biasa tetapi saya terkejut apabila tiba di sana. Sampah penuh satu rumah! Rupanya mereka tidak pernah membersihkan rumah selama empat tahun," kata perakam video.


Lebih mengejutkan adalah penyewa telah melarikan diri dan hanya membayar sewa sebanyak 8 juta rupiah (RM2,200) daripada 25 juta rupiah (RM6,900) untuk setahun.


Menurut wanita itu, pembersihan tersebut memakan masa dua hari dan mereka menemui botol plastik berisi air kencing di atas katil. Rakaman itu menjadi tular dan mencatatkan lebih 2.1 juta tontonan.


"Saya yang tengok pun berasa mual dan pening kepala," kata seorang netizen.


"Macam rumah terbengkalai," kata pengguna media sosial lain. - Sumber Detik.com.


Tangkap layar menunjukkan sampah sarap yang berselerak di atas lantai dan keadaan rumah 2 tingkat itu yang kotor. - Foto TikTok.

Selasa, 17 September 2024

Impian miliki RXZ punah, remaja ditipu RM2,000 beli motosikal di TikTok

Impian miliki RXZ punah, remaja ditipu RM2,000 beli motosikal di TikTok


Seorang remaja berputih mata apabila bukan sahaja gagal membeli motosikal Yamaha RXZ diidamkan, tetapi turut menanggung kerugian RM2,000 selepas menjadi mangsa penipuan menerusi aplikasi TikTok.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata kejadian bermula apabila remaja lelaki berusia 18 tahun itu melihat penjualan motosikal Yamaha RXZ dengan harga RM4,000 yang diiklankan di aplikasi TikTok oleh akaun 'motosikal trusted malay', pada jam 3 petang kelmarin.


Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan iklan itu kemudian berurusan dengan nombor yang disediakan di aplikasi WhatsApp sebelum bersetuju untuk membeli motosikal berkenaan.


Beliau berkata, mangsa membuat pembayaran RM2,000 sebagai bayaran deposit pada jam 4 petang hari yang sama ke dalam satu akaun yang diberikan.


"Bagaimanapun, mangsa berasa curiga apabila penjual memintanya membuat bayaran penuh bagi pembelian sebelum membuat semakan akaun kedai itu.


"Hasil pemeriksaan mendapati, ia adalah 'scammer' dan mangsa yang berasa tertipu dalam urusan itu kemudian membuat laporan polis pada hari yang sama untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataannya, hari ini.


Katanya, siasatan lanjut dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Isnin, 16 September 2024

Labu gergasi seberat 817 kg, pecah rekod kebangsaan di Rusia

Labu gergasi seberat 817 kg, pecah rekod kebangsaan di Rusia


seorang penanam sayur amatur dari Rusia, telah memecahkan rekod kebangsaan dengan menanam labu 'gergasi' menyamai berat purata seekor lembu jantan.


Alexander Chusov, menanam benih labu itu yang kemudian membesar sehingga beratnya menjadi 817 kilogram (kg).


Dia menerima pengiktirafan itu pada satu pertandingan di taman botani tertua Rusia iaitu Taman Apoteker, Sabtu lalu (13 September).


Selain labu gergasi, pelbagai jenis sayur-sayuran lain turut dipamerkan untuk pengunjung.


Menurut penganjur, pencapaian Chusov melepasi rekod sebelumnya iaitu 771 kg sekali gus menjadikan labu paling berat pernah dihasilkan di negara itu.



Pertandingan itu adalah sebahagian daripada acara tahunan Festival Musim Luruh di taman berkenaan.


Dalam temu bual dengan Reuters, Chusov menjelaskan bahawa fokus utamanya adalah pada keseronokan dalam menanam dan mempamerkan tumbuh-tumbuhannya, walaupun hobi ini memerlukan usaha yang besar, terutamanya semasa musim bunga yang sejuk.


"Anda perlu memanaskan tanah dan udara, menutup tumbuhan dan melindunginya daripada fros," kata Chusov. Dia menambah bahawa labunya menambah berat sehingga 20 kg sehari pada tahun ini.


Seorang tetamu, guru Lyubov Yesenko, meluahkan kekaguman terhadap para peserta, mengatakan: "Saya mengagumi orang-orang ini yang menanam semua ini. Saya faham betapa besarnya pekerjaan ini, betapa banyak perhatian, kemahiran, dan penjagaan yang diperlukan untuk mendapatkan keindahan musim luruh seperti ini."


Alexander Chusov bergambar di sebelah labunya yang seberat 817 kg. - Foto Reuters.
Kehadiran paus spesies Humpback whale petunjuk ekosistem marin Malaysia sihat

Kehadiran paus spesies Humpback whale petunjuk ekosistem marin Malaysia sihat


Kehadiran paus di perairan negara menjadi indikator penting sekiranya ekosistem marin Malaysia adalah sihat dan mampu menyokong hidupan megafauna itu.


Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Muhammad Amirul Siddiq Abdul Rashid berkata, penampakan mamalia marin terutamanya dari spesies Humpback whale atau paus bongkok di perairan Pulau Redang, Kuala Terengganu pada Sabtu lepas, membolehkan pihaknya membuat pendokumentasian pola migrasi hidupan laut itu.


"Kehadiran paus daripada spesies ini jarang berlaku di Malaysia, tidak seperti spesies paus bryde. Jadi, ia memberi peluang untuk penyelidik menjalankan dokumentasi migrasi mereka selain memberi data sokongan tentang kepelbagaian biologi serta habitat yang ada di kawasan tersebut.


"Setakat ini, belum dikenal pasti lagi faktor ia muncul di Malaysia. Bagaimanapun, berdasarkan spesies Humpback whale seluruh dunia, ada kemungkinan ia merantau jauh sedikit daripada jarak biasa dari habitat asalnya di perairan dingin seperti Laut Artik atau Laut Antartika," katanya.


Amirul Siddiq berkata, paus berkenaan berdepan beberapa risiko ancaman dari aspek persekitaran lautan Malaysia iaitu berkemungkinan 'tersangkut' di kawasan cetek dan sekiranya itu berlaku, ia berpotensi tidak dapat berenang semula ke lautan dalam dan akhirnya berisiko lemas.


"Pencemaran plastik dan bahan kimia berbahaya juga boleh menjejaskan kesihatan paus serta sumber makanan mereka manakala perubahan suhu air akibat pemanasan global pula boleh mempengaruhi ketersediaan makanan dan pola migrasi paus serta mengubah habitat penting seperti kawasan spesies ini bersosial," katanya.


Mengenai langkah mengatasi risiko dihadapi hidupan itu berpunca daripada komuniti nelayan, beliau berkata, DOF telah menyelenggara program pendidikan dan latihan mengenai kepentingan memelihara mamalia marin kepada kumpulan terbabit.


"Antaranya menawarkan sumber dan alat praktikal untuk membantu nelayan mengurangkan kesan aktiviti penangkapan ikan terhadap hidupan laut serta penyediaan garis panduan amalan penangkapan ikan yang bertanggungjawab, mengelakkan tangkapan sampingan dan maklumat titik panas habitat spesies mamalia marin dan haiwan terancam lain," katanya.


Sementara itu, Penyelidik Ekologi dan Ekosistem Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Maizah Mohd Abdullah berkata sebagai universiti yang berfokus marin dan sumber akuatik, UMT sedang membuat persiapan mengukuhkan kerangka ekonomi biru bersesuaian dengan sektor ekonomi maritim Malaysia dalam usaha memastikan kelestarian ekosistem lautan.


"Kita berharap perkara ini akan turut dibincangkan dalam perbincangan meja bulat Ekonomi Biru yang akan berlangsung di Putrajaya melibatkan pemain industri dan pihak berkepentingan termasuk wakil kerajaan tidak lama lagi.


"Kehadiran mamalia marin ini sebenarnya menyuntik semangat kami untuk bekerja keras menyelidik serta mendidik masyarakat berkaitan literasi lautan menerusi kumpulan Marine Endangered Species (MES) yang dianggotai penyelidik dari dalam dan luar negara," katanya.


Beliau berkata buat masa ini pihaknya tidak mempunyai bukti mencukupi untuk menyatakan sekiranya perairan Pulau Redang merupakan kawasan laluan paus itu memandangkan penemuan spesies berkenaan berkemungkinan adalah kali pertama.


Justeru, Maizah berkata adalah penting untuk sebarang kemunculan Humpback whale atau mana-mana spesies mamalia marin dilaporkan kepada pihak berkaitan agar pengumpulan data boleh dibuat untuk memerhati sekiranya terdapat perubahan pola migrasi hidupan marin terancam itu.


"Tanpa data lengkap, sukar untuk penyelidik menjangka sama ada kemunculan ini menggambarkan situasi positif atau sebaliknya. Bagaimanapun, diingatkan jika terserempak dengan hidupan ini, sila jarakkan hingga 100 meter seperti garis panduan asas yang diamalkan. Segera matikan enjin bot dan jangan lakukan provokasi atau mengejarnya," katanya.


Maizah berkata haiwan marin bersaiz besar penting untuk ekosistem lautan kerana Humpback whale misalnya mampu menyerap purata 30 tan karbon dioksida (CO2) dan mengeluarkannya dari atmosfera selama berabad-abad berbanding sebatang pokok yang hanya menyerap hingga 48 paun CO2 setahun.


Tangkap layar penampakan mamalia marin dari spesies Humpback whale atau paus bongkok di perairan Pulau Redang, Kuala Terengganu pada Sabtu lepas.

Ahad, 15 September 2024

Aneh, puluhan ribu pepatung tiba-tiba muncul kerumun 10 pemancing

Aneh, puluhan ribu pepatung tiba-tiba muncul kerumun 10 pemancing


Pemancing-pemancing di atas sebuah kapal nelayan di luar pantai Pulau Jeju berdepan cabaran luar biasa apabila segerombolan besar pepatung hinggap pada tubuh mereka, lapor akhbar The Korea Times hari ini.


Menurut Kapten kapal Jeju Bless, Lee Dong-hyun, puluhan ribu pepatung mula berkerumun sekitar tengah malam pada 8 September lalu ketika dia membawa kumpulan pemancing itu menangkap ikan di luar pantai Gimnyeong, Bandar Jeju.


Serangga itu menutupi seluruh badan kapal selama lebih dua jam dan hinggap pada tubuh 10 pemancing dan menyebabkan ketidakselesaan yang ketara.



"Apabila kita menggunakan lampu untuk memancing pada waktu malam, serangga itu sering berkumpul.


"Namun, saya tidak pernah melihat perkara seperti ini.


"Berpuluh-puluh ribu datang serentak. Pepatung melekat pada muka dan badan menjadikannya mustahil untuk memancing dengan betul," ujarnya.


Pepatung itu pada kebiasaannya dilihat dari bulan April hingga Oktober di Korea Selatan. - Sumber The Korea Times.


Puluhan ribu pepatung membanjiri Bless, sebuah bot nelayan, ketika ia sedang memancing di luar pantai Bandar Jeju pada Ahad lalu. - Foto Jeju Bless.

Sabtu, 14 September 2024

Pesohor Instagram kahwin diri sendiri akhirnya bercerai, kini mahu cari suami baharu

Pesohor Instagram kahwin diri sendiri akhirnya bercerai, kini mahu cari suami baharu


Pesohor Instagram yang juga seorang model fesyen mengumumkan telah menamatkan perkahwinan dengan dirinya sendiri, lapor akhbar New York Post pada 12 September 2024.


Suellen Carey pernah menjadi tajuk berita tahun lalu apabila dia mengikat tali pertunangan dalam majlis pelik dengan dirinya sendiri di London, Britain.


"Malah, komitmen kepada diri sendiri juga memiliki cabarannya.


"Saya meletakkan banyak tekanan pada diri sendiri dan kadang-kadang, ini membuatkan saya letih. Saya faham bahawa walaupun dalam perkahwinan dengan diri kita sendiri, adalah penting untuk menerima ketidaksempurnaan kita," ujarnya.


Suellen yang berusia 36 tahun itu dilahirkan di Brazil tetapi kini menetap di London.


Katanya, selepas menjalani 10 sesi terapi, dia memutuskan sudah tiba masanya untuk bercerai, mengakui bahawa dia kadang-kadang berasa kesepian dalam hubungannya, menurut The Mirror.


Dalam hantaran di akaun Instagramnya, dia berkongsi tentang perceraiannya dan menulis kapsyen: "Saya perlukan suami baharu."


Suellen, yang mempunyai kira-kira 433,000 pengikut di Instagram, mengumumkan perkahwinannya pada 21 September 2023, menyiarkan foto dirinya dalam gaun pengantin putih, mengatakan ia adalah "salah satu hari paling gembira" dalam hidupnya.


"Hari ini saya menghargai dan menyayangi diri saya sendiri, saya berkahwin sendiri di sini di London.


"Sambutan ini penting kerana saya belajar untuk mengutamakan kesejahteraan dan kesihatan mental. Dalam ikrar saya, saya menulis dan menyatakan komitmen saya untuk menjaga dan menghargai cinta diri saya," katanya. - Sumber New York Post.


Suellen Carey menjadi tajuk berita tahun lalu kerana berkahwin dengan diri sendiri. - Foto Suellen Carey/Instagram.