Rabu, 4 September 2024

Guna taktik letak lipas dalam pinggan restoran demi makan secara percuma

Guna taktik letak lipas dalam pinggan restoran demi makan secara percuma


Sebuah keluarga di Mexico dikenal pasti sebagai penipu kerana meletakkan lipas di atas pinggan restoran untuk makan secara percuma, lapor laman berita Oddity Central pada 2 September 2024.


Perbuatan empat sekeluarga itu terbongkar selepas pengurusan sebuah restoran di Puerto Chale, Guadalajara melihat semula rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.


Dalam rakaman itu, seorang wanita berambut perang dalam keluarga tersebut mengeluarkan bekas kecil dari dompetnya lalu cuba mengalihkan 'objek' di dalam bekas ke atas pinggan.


Apa yang kelihatan seperti lipas itu enggan keluar dari bekas tersebut, menyebabkan wanita berkenaan mengambil garpu dan cuba memaksa ia keluar.


Selepas serangga itu keluar, keluarga tersebut memanggil pelayan lalu berpura-pura marah dengan kehadiran lipas tersebut.


Selepas mengadu tentang kejadian itu, keluarga tersebut meninggalkan restoran dengan semua makanan yang mereka pesan, dibungkus tanpa membuat sebarang bayaran.


Pihak pengurusan restoran itu kemudian memuat naik klip video itu di internet sebagai peringatan kepada pemilik perniagaan lain.


Selepas video itu menjadi tular, sebilangan pengguna platform X tampil menuduh keluarga tersebut sebagai menipu beberapa restoran lain di Guadalajara dengan menggunakan taktik serupa. - Sumber Oddity Central.


Klip video menunjukkan sebuah keluarga makan di sebuah restoran menjadi tular di internet. - Foto X (Twitter).
Perkampungan muncul semula selepas 30 tahun hilang

Perkampungan muncul semula selepas 30 tahun hilang


Suhu pecah rekod dan kemarau berpanjangan di Greece, menjadikan sebuah perkampungan yang tenggelam di empangan utama Athens, kembali dilihat buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.


Kampung Kallio ditenggelami air pada akhir 1970-an apabila Empangan Mornos dibina, 200 kilometer (km) di barat ibu negara. Ia membentuk tasik buatan daripada sumber air Sungai Mornos dan Sungai Evinos.


Paras air di tasik itu merosot 30 peratus dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menurut pengendali air negara, EYDAP. Ia menyebabkan sebuah runtuhan sekolah dan rumah di Kampung Kallio, kelihatan.



"Paras Tasik Mornos menurun sebanyak 40 meter," kata Yorgos Iosifidis, seorang pesara berusia 60 tahun yang terpaksa meninggalkan rumahnya ketika masih muda, bersama penduduk lain di Kampung Kallio, apabila kawasan itu dinaiki air.


"Kamu lihat tingkat satu yang tinggal di rumah dua tingkat (milik) bapa mentua saya... dan di sebelahnya, kamu boleh melihat apa yang tinggal di rumah sepupu saya," kata Iosifidis, yang kini tinggal di kawasan lebih tinggi di atas bukit, kepada AFP.


Kemarau bertambah buruk tahun ini di negara Mediterranean itu yang sudah terbiasa dengan gelombang musim panas.


Selepas musim sejuk paling sederhana, Greece mencatatkan suhu paling panas pada Julai menurut data cuaca awal dari Balai Cerap Negara.


Hampir 80 rumah di Kallio, sebagai tambahan kepada gereja dan sekolah itu terpaksa 'dikorbankan' untuk pembinaan empangan berkenaan.


Ia adalah kali kedua Kampung Kallio kembali dilihat, selepas satu tempoh kemarau pada awal 1990-an, kata Iosifidis.


"Sekiranya hujan tidak turun dalam masa terdekat, paras tasik akan menurun lagi dan masalahnya akan menjadi lebih meruncing daripada sebelum ini," katanya.


Anastasis Papageorgiou, 26, seorang doktor yang tinggal di Amygdalia, sebuah kampung berhampiran Mornos, berkata kawasan itu mengalami sedikit hujan dalam tempoh dua tahun lepas.


"Keadaan sukar pada masa ini, jadi kami perlu berhati-hati (tidak membazir) dengan air," katanya. - Sumber Daily Mail.


Gambar menunjukkan sisa-sisa rumah yang kelihatan apabila paras tasik buatan Mornos menurun berikutan kemarau, berhampiran perkampungan Lidoriki, kira-kira 240 km barat laut Athens, pada 1 September 2024. - Foto AFP.

Sisa-sisa bangunan perkampungan Kallio yang tenggelam kelihatan kerana paras air tasik buatan Mornos yang surut, berhampiran perkampungan Lidoriki di wilayah Fokida, kira-kira 240 km barat laut Athens, Greece, 29 Ogos 2024. - Foto EPA.

Yiorgos Iosifidis, pesara, 67, yang tinggal di rumah yang baru dibina semula di Kallio, berjalan melepasi tasik buatan Mornos. - Foto AFP.

Selasa, 3 September 2024

'Pintu ke neraka' di Siberia membesar 3 kali ganda boleh dilihat dari angkasa lepas

'Pintu ke neraka' di Siberia membesar 3 kali ganda boleh dilihat dari angkasa lepas


Sebuah lubang gergasi dikenali sebagai 'pintu ke neraka' membesar sebanyak tiga kali ganda saiz asalnya dalam tempoh 30 tahun di Siberia, Russia, lapor portal berita Daily Star pada 2 September 2024.


Lubang itu menjadi tiga kali ganda lebih besar sejak 1991 dan kini boleh dilihat dari angkasa lepas.


Ia pertama kali dikesan oleh penduduk tempatan di Yauktia.


Mereka mendakwa mendengar bunyi ngeri seperti letupan kuat atau jeritan dari lubang itu.



Bunyi menyeramkan menjadi punca mereka menggelarnya sebagai 'pintu ke neraka' atau Batagay.


Tanah di lokasi itu membeku secara kekal sejak zaman ais, kira-kira 2.58 juta tahun lalu.


Apabila kawasan hutan itu mula dibersihkan pada tahun 1960-an, cahaya matahari mula menyinari tanah, menyebabkan ia menjadi semakin panas.


Ahli geofizik Universiti Washington, Roger Michaelides memberitahu Business Insider: "Saya rasa banyak yang boleh kita pelajari daripada Batagay, tentang bagaimana ciri serupa mungkin berkembang di Artik." - Sumber Daily Star.


Gambar lubang 'pintu ke Neraka' membesar sebanyak tiga kali ganda sejak 1991. - Foto VoL News.

Isnin, 2 September 2024

Lelaki saman hotel selepas alat sulit disengat kala jengking, mangsa kini mati pucuk

Lelaki saman hotel selepas alat sulit disengat kala jengking, mangsa kini mati pucuk

 

Seorang lelaki menyaman sebuah hotel di Las Vegas kerana mendakwa bahawa kehidupannya 'musnah' selepas alat sulitnya disengat seekor kala jengking ketika menginap di situ, lapor akhbar Metro UK pada 31 Ogos 2024.


Kejadian berlaku apabila Michael Farchi, 62, bersama isterinya menginap di The Venetian Resort pada 25 Disember tahun lalu.


Menurut Farchi, dia bangun dalam kesakitan dan menyedari bahawa tangan serta celah pahanya disengat oleh serangga itu.


Gambar-gambar yang dimuat naik oleh peguam pasangan tersebut menunjukkan bangkai kala jengking yang masih melekat pada seluar dalam Farchi.


"Rasanya seperti pisau tajam atau kaca menikam diri saya," katanya.


Pasangan itu memfailkan tuntutan pada Selasa lalu, di mana Farchi mendakwa kejadian ngeri tersebut menyebabkan dia mengalami gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) dan mati pucuk.


Isterinya juga berkata bahawa hubungan intim mereka semakin terjejas.


"Kakitangan hotel tidak mengambil serius tentang sengatan itu. Mereka hanya memegang paha saya dan ketawa mengenainya. Ia benar-benar memalukan," kata Farchi. - Sumber Metro UK.


Gambar fail menunjukkan bangkai kala jengking yang melekat pada seluar dalam Farchi. - Foto Brian Virag.

Ahad, 1 September 2024

Lelaki bertuah umurnya masih panjang walau disengat 240 tebuan

Lelaki bertuah umurnya masih panjang walau disengat 240 tebuan

 

Seorang lelaki di United Kingdom bertuah kerana umurnya masih panjang walaupun menanggung 240 sengatan tebuan, lapor laman berita Oddity Central pada 27 Ogos 2024.


Dia bagaimanapun terpaksa bergantung morfin untuk beberapa ketika bagi meredakan kesakitan, selain menanggung trauma akibat tragedi itu.


Kejadian malang berlaku 18 Ogos lalu ketika Andrew Powell, 57, mahu meninjau ladang keluarganya di Brecon, Wales.


Katanya, sebaik berjalan keluar rumah, dia melihat segerombolan tebuan terbang ke arahnya dan mengesyaki ada individu atau mungkin petani yang mengusik sarang tebuan itu.


"Tebuan itu meluru terus ke arah saya dan saya berlari ke arah rumah sepantas mungkin, tetapi dalam beberapa saat ia sudah mengepung dan menyengat saya.


"Saya dapat merasakannya hingga dalam seluar saya, ia ada di mana-mana.


"Ketika masuk ke dalam rumah, saya terlupa menutup pintu dan tebuan masuk ke dalam serta turut menyerang isteri," katanya kepada BBC yang dipetik Oddity Central.


Powell bernasib baik apabila jirannya segera datang membantu dan membawanya ke Hospital Memorial Perang Brecon untuk mendapatkan rawatan.


"Saya terpaksa diberi morfin kerana kesakitan yang melampau dan mengalami reaksi alahan pada badan. Kakitangan hospital beritahu, jika saya lewat lima minit, mungkin sengatan itu membunuh saya," katanya.


Lebih seminggu tragedi itu, Powell berkata, dia masih terasa perit bisa sengatan dan lemah kerana sebelum ini tidak boleh tidur disebabkan kesakitan yang melampau.


"Kesakitannya masih mencengkam. Setiap hari saya menemui banyak bekas sengatan. Ada 50 sengatan di sebelah punggung, 20 di belakang kepala dan 20 di leher saya, manakala isteri saya pula lebih 80 pada setiap lengannya.


"Sehingga kini saya tidak berani keluar rumah kerana takut diserang lagi," katanya. - Sumber Oddity Central.


Bekas sengatan tebuan pada belakang badan Andrew Powell. - Foto News In 60 Mins.
Bermula dengan pergaduhan mulut, lelaki tikam rakan sekerja

Bermula dengan pergaduhan mulut, lelaki tikam rakan sekerja


Seorang lelaki maut apabila ditikam dengan sebilah pisau dalam satu insiden perkelahian yang berlaku di pinggir jalan raya Pamulang, Banten, Indonesia pada Jumaat (30/08/2024).


Mengesahkan insiden itu, Ketua Polis Tangerang Selatan, AKBP V Inkiriwang berkata, kejadian bermula dengan pergaduhan mulut antara kedua-dua mereka.


"Sebelum itu, mereka bergaduh mulut dan ada perkataan mangsa yang menggores hati suspek yang diungkapkan ketika mereka bersama kawan-kawan yang lain.


"Oleh kerana itu suspek naik berang lalu berniat mahu membunuh mangsa," katanya dalam satu sidang media pada Sabtu.


Mangsa sebelum itu sempat dikejarkan ke hospital berdekatan, bagaimanapun dilaporkan sudah meninggal dunia.


Sementara itu, klip video yang memaparkan pergaduhan mereka tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya.


Difahamkan kedua-dua mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang dan saling mengenali.


Menurut seorang pekerja kilang yang mengenali kedua-dua pengawal keselamatan itu berkata, kekecohan itu didakwa dicetuskan oleh pergaduhan yang telah berlaku di kilang tersebut. Bagaimanapun, dia mengakui tidak mengetahui secara pasti punca pergaduhan itu berlaku.


"Selalunya masalah kerja, semalam bergaduh. Saya tidak faham masalah yang jelas, setahu saya bergaduh semalam," jelasnya.


Menurutnya, Suspek disyaki menunggu mangsa pulang selepas bekerja syif malam di kilang. Mangsa telah dipintas dan ditikam oleh suspek sehingga dia terbaring berlumuran darah.


"Pada pukul 7 pagi itu saya melihat mangsa masih berada di kilang, bersiap-siap untuk pulang ke rumah," katanya.


Menurutnya, kekecohan itu telah menarik perhatian pengguna jalan raya. Suspek yang cuba melarikan diri segera dikejar penduduk dan berjaya ditahan. 


Suspek kini sudah ditahan polis berserta barang bukti iaitu sebilah pisau yang digunakan suspek ketika membunuh mangsa. - Sumber iNews.id.


Mangsa sempat dikerjakan di hospital berdekatan sebelum dilaporkan meninggal dunia. - Foto Istimewa.

Sabtu, 31 Ogos 2024

20 letupan kedengaran selepas 31 kenderaan di atas bumbung bangunan terbakar

20 letupan kedengaran selepas 31 kenderaan di atas bumbung bangunan terbakar


Lebih 20 letupan kedengaran selepas 31 buah kenderaan terbakar di atas bumbung Menara Golden Mile, Beach Road, Singapura tengah hari tadi, lapor portal berita AsiaOne.


Sejumlah kenderaan yang mempunyai jenama sama itu terbakar dalam kejadian tersebut. Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dilihat berada di lokasi kejadian.


AsiaOne bercakap dengan saksi dikenali sebagai Chua yang pejabatnya Welcab.sg terletak di tingkat 14 Menara Golden Mile. Pejabatnya menghadap tempat letak kereta itu di tingkat 7 sebuah bangunan berdekatan.



"Saya datang dari makan tengah hari kira-kira pukul 12.40 tengah hari (waktu tempatan) apabila saya perasan tiga buah kereta yang diletakkan di sudut kanan terbakar.


"Ketika itu, kenderaan polis pertama sudah berada di tempat kejadian dan anggota-anggota dilihat pantas membuat panggilan. Kami mula berpindah tidak lama kemudian," kata Chua.


Tambahnya, lebih 20 letupan kedengaran dalam kejadian itu.


SCDF berkata dalam satu kenyataan di laman Facebook bahawa pihaknya berjaya memadamkan kebakaran itu. Ia menjelaskan, penemuan awal menunjukkan kereta-kereta itu bukan kenderaan elektrik.


Seramai 45 orang dipindahkan dari premis itu oleh polis dan SCDF, dengan tiga mangsa terhidu asap tetapi enggan dihantar ke hospital.


Gambar yang diserahkan kepada AsiaOne menunjukkan sebanyak 31 kenderaan rosak akibat kebakaran itu. Punca kejadian masih dalam siasatan. - Sumber Asia One.


Sebanyak 31 kenderaan terbakar di Menara Golden Mile, Singapura. - Foto Facebook/Masterpiece Collectibles, Welcab.sg/ Chua.

Jumaat, 30 Ogos 2024

Motosikal berkuasa tinggi hilang kawalan tersangkut celah pagar kedai kopi

Motosikal berkuasa tinggi hilang kawalan tersangkut celah pagar kedai kopi


Sebuah motosikal berkuasa tinggi tersangkut di celah pagar sebuah kedai kopi di Pattaya, Thailand, namun tiada mangsa yang cedera, lapor portal berita Thaiger pada 29 Ogos 2024.


Dalam kejadian yang berlaku pada Isnin lalu, motosikal tersebut ditunggang oleh dua pelancong China.


Polis Pattaya menerima laporan mengenai kemalangan tersebut sebelum anggota-anggotanya bergegas ke tempat kejadian di samping pasukan penyelamat sukarelawan.


Menurut laporan polis, dua pelancong China dipercayai pasangan suami isteri, hilang kawalan sebelum merempuh pagar kedai kopi berkenaan.



Ia menyebabkan tayar hadapan motosikal tersebut tersangkut di celah pagar. Pembonceng wanita dilaporkan terjatuh di atas jalan tetapi dia diselamatkan individu lain.


Pemilik kedai kopi itu berkata, pasangan berkenaan bersetuju untuk membayar ganti rugi ekoran kerosakan pagar tersebut.


"Mereka telah bersetuju untuk menampung kos, dan kami sedang merundingkan pampasan," katanya.


Seorang pemandu teksi motosikal berusia 49 tahun, yang enggan dikenali, menyaksikan keseluruhan kejadian itu.


"Saya nampak motosikal itu merempuh pagar dan wanita itu terjatuh ke kaki lima. Saya segera berlari menolongnya," katanya. - Sumber The Thaiger.


Sebuah motosikal tersangkut ada palang sebuah pagar di Pattaya. - Foto Pattaya News.
Sepasang suami isteri jual anak mereka RM5,663 kerana terdesak

Sepasang suami isteri jual anak mereka RM5,663 kerana terdesak


Sepasang suami isteri di barat laut India tergamak menjual bayi mereka berusia lima hari dengan nilai 1.10 lakh (RM5,663.96) kepada pasangan tiada anak.


Mereka antara enam individu ditahan polis Nagpur dalam satu operasi dikendalikan Skuad Anti-Pemerdagangan Manusia (AHTS).


Polis mendedahkan, kes pemerdagangan kanak-kanak haram membabitkan bukan hanya penjual dan pembeli, namun dua individu lain sebagai orang tengah.


Menurut pihak berkuasa itu, suspek dikenali sebagai Sunil@Bhondu Dayaram Gendre dan isterinya, Shweta masing-masing berusia 31 dan 27 tahun serta pasangan tiada anak iaitu Pournima Shelke, 32, dan suaminya Snehdeep Dharamdas Shelke, 45, yang menetap di Badlapur, Thane.


Katanya, kedua-dua orang tengah itu dikenal pasti sebagai Kiran Ingle dan suaminya, Pramod Ingle masing-masing berusia 41 dan 45 tahun yang menetap di bandar Nagpur di Maharashtra.


Dilaporkan pasangan suami isteri itu nekad menjual anak kerana mempunyai masalah kewangan.


"Sunil dan Shweta Gendre menjual anak lelaki mereka yang baru lahir kepada pasangan Shelke melalui Kiran dan Pramod Ingle pada 22 Ogos.


"Pasangan Shelke, yang juga saudara kepada Kiran Ingle, didakwa membayar 1.10 lakh (RM5,663.96) untuk mendapatkan bayi itu sebelum membawanya ke rumah mereka tanpa melalui prosedur pengambilan anak angkat di bawah undang-undang sah," katanya.


Polis berkata, sebaik menerima maklumat itu, AHTS menahan enam individu terbabit mengikut Seksyen 75 dan 81 Akta Keadilan Juvana (Penjagaan dan Perlindungan Kanak-Kanak).


"Bayi itu kini ditempatkan sementara di rumah anak yatim tempatan," kata pegawai polis itu. - Sumber India TV News.

Rabu, 28 Ogos 2024

Misteri jutaan 'ikan terbang' pada waktu malam mungkin petanda gempa besar dan tsunami

Misteri jutaan 'ikan terbang' pada waktu malam mungkin petanda gempa besar dan tsunami


Kemunculan jutaan ikan di pesisir pantai mencetuskan pelbagai spekulasi dan ada yang mengaitkannya dengan petanda gempa besar dan tsunami.


Kejadian 'ikan terbang' itu dilaporkan di sepanjang pantai Selatan Priangan Timur dan Pantai Cipatujuh, Kabupaten Tasikmalaya, Jawa Barat di Indonesia pada minggu lalu.


Ia turut menjadi tular di media sosial setelah ada rakaman video pada waktu malam itu memaparkan sekumpulan penduduk cuba menangkap 'ikan terbang' berkenaan.


Dalam rasa seronok dengan rezeki berlimpah-limpah, timbul juga rasa takut jika bencana lebih dahsyat bakal berlaku.


"Bukan hanya di pesisir Cipatujah, ia turut terjadi di sepanjang pesisir Pangandaran, Tasikmalaya hingga ke Santolo, Garut," kata wakil Himpunan Nelayan Seluruh Indonesia (NHSI) Kabupaten Tasikmalaya, Jawa Barat, Dedi Mulyadi pada Selasa (27/8/2024).


Menurutnya, fenomena pelik seperti itu adalah perkara biasa, namun tidak 'sebanyak' yang dirakamkan memandangkan ia berlaku ketika musim kemarau panjang.


"Ada mula khuatir jika ia mungkin memberi amaran awal tentang fenomena aneh lain di dasar laut," ujarnya.


Pada 2020, Ketua Bidang Mitigasi Gempa dan Tsunami (BMKG), Daryono pernah menyatakan fenomena ikan naik ke darat bukan petanda akan berlaku gempa.


"Ramalan sedemikian adalah tidak benar sama sekali," ujarnya. - Sumber Tribun News.


Kemunculan jutaan ikan di pesisir pantai mencetuskan pelbagai spekulasi dan ada yang mengaitkannya dengan petanda gempa besar dan tsunami. - Foto Tribun News.