Rabu, 21 Ogos 2024

Mula-mula perang mulut akhirnya bergaduh di sebuah restoran

Mula-mula perang mulut akhirnya bergaduh di sebuah restoran


Bermula dengan pertengkaran mulut akhirnya telah membawa kepada pergaduhan yang menyebabkan seorang cedera dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tok Ungku, Seremban, pada Ahad.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima aduan daripada remaja berusia 17 tahun pada pukul 4.25 petang, Isnin lalu menyatakan dia telah dipukul dua lelaki yang dikenalinya.


Menurutnya, kejadian pada jam 11 malam itu berlaku ketika mangsa sedang berada di restoran berkenaan.


"Semasa mangsa berada di sebuah restoran itu, dia telah dipukul oleh dua rakannya berusia 16 dan 18 dengan menggunakan tangan dan kerusi di bahagian badan dan kepala.


"Mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian badan dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan diklasifikasikan sebagai kes mendatangkan kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Sejak semalam tular sebuah video pergaduhan berdurasi 41 saat membabitkan sekumpulan lelaki dipercayai berlaku di sebuah restoran.


Setakat ini dua suspek berusia 16 dan 18 tahun telah dikenal pasti dan usaha mengesan serta menangkap mereka sedang giat dijalankan.


Tangkap layar video tular berkenaan. - Foto Kosmo Online.

Selasa, 20 Ogos 2024

Padah curi coli milik remaja 16 tahun, lelaki yang masih bujang didenda RM2,500

Padah curi coli milik remaja 16 tahun, lelaki yang masih bujang didenda RM2,500


Seorang lelaki bujang didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di Muar, hari ini atas pertuduhan mencuri pakaian dalam milik seorang remaja, Sabtu lalu.


Majistret Suzana Mokhtar menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Kh'ng Poh Siang, 30, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mencuri sehelai pakaian dalam wanita milik seorang remaja berusia 16 tahun pada pukul 4.30 pagi di sebuah rumah beralamat di Lorong Haji Jabbar dalam daerah Muar pada 17 Ogos lalu.


Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.


Mengikut fakta kes, tertuduh yang masih bujang mencuri pakaian dalam itu di sebuah rumah yang pernah disewanya sebelum ini.


Suspek ditangkap melalui siasatan rakaman televisyen litar tertutup dan pakaian dalam berwarna hitam itu telah ditemui dalam milikan lelaki tersebut.


Terdahulu, tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan perlu menjaga bapa yang uzur dengan pendapatan hanya RM1,200 sebulan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Arif Marzuki bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira tertuduh mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.


Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara lima bulan jika gagal bayar.


Tertuduh diiringi anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret Muar, Johor, hari ini. - Foto Kosmo Online.

Isnin, 19 Ogos 2024

Kompresor aircond tiba-tiba jatuh hempap kepala remaja

Kompresor aircond tiba-tiba jatuh hempap kepala remaja

 

Seorang remaja berusia 18 tahun di India meninggal dunia selepas sebuah kompresor penyaman udara jatuh dan menghempap kepalanya, lapor stesen penyiaran NDTV pada 18 Ogos 2024.


Kejadian berlaku sekitar pukul 6.40 petang (waktu tempatan) di kawasan Doriwala di jalan Desh Bandhu Gupta Delhi.


Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) lokasi kejadian memaparkan mangsa yang bernama Jitesh, 18, sedang duduk di atas sebuah skuter, sambil berbual dengan rakannya.


Ketika kedua-duanya bertukar pelukan, sebuah kompresor penyaman udara dari tingkat dua jatuh dan mengenai mereka. 


Jitesh meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya Pranshu, 17, mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital berdekatan.


Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. - Sumber NDTV.


Tangkap layar menunjukkan mangsa yang terbaring selepas kepalanya dihempap pemampat penyaman udara. - Foto NDTV.

Ahad, 18 Ogos 2024

Penyelidikan terkini cadangkan ada takungan air bawah permukaan Marikh

Penyelidikan terkini cadangkan ada takungan air bawah permukaan Marikh


Hasil penyelidikan terkini mencadangkan kemungkinan terdapat takungan air di bawah permukaan Marikh, dengan jumlahnya berpotensi membentuk lautan global di planet merah itu.


Air dianggarkan berada pada kedalaman tujuh hingga 12 batu (11.5 hingga 20 km) di bawah kerak Marikh, tersembunyi dalam retakan batuan bawah tanah, lapor laman berita Xinhua pada 13 Ogos 2024.


Penemuan itu berasaskan pengukuran seismik daripada Mars InSight lander milik NASA yang menggunakan seismometer bagi mengesan bahagian dalam Marikh antara 2018 dan 2022.


Menurut saintis, Vashan Wright dari Scripps Institution of Oceanography, University of California, San Diego yang juga pengarang utama kajian dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences, air di Marikh dipercayai pernah wujud secara sementara di permukaan lebih 3 bilion tahun lalu.


"Ketika itu Marikh mempunyai sungai, tasik dan lautan.


"Bagaimanapun, apabila atmosfera Marikh semakin menipis, ia dianggap kehilangan air pada permukaan.


"Penemuan baharu itu menunjukkan bahawa air telah meresap ke dalam kerak Marikh.


"Memahami kitaran air Marikh adalah penting untuk memahami evolusi iklim, permukaan dan bahagian dalamnya," kata Wright. - Sumber Xinhua.


Menurut penyelidikan baharu yang dikeluarkan pada hari Isnin (12/8/2024), terdapat takungan air di bawah permukaan Marikh. - Foto Space Frontiers/Hulton Archive/Getty Images.

Sabtu, 17 Ogos 2024

Lelaki yang melepaskan tembakan kerana putus cinta sudah ditangkap polis

Lelaki yang melepaskan tembakan kerana putus cinta sudah ditangkap polis


Seorang lelaki ditangkap di Pattaya, Thailand kerana melepaskan tembakan ke udara dalam keadaan marah kerana putus cinta dengan teman wanitanya, lapor portal berita The Pattaya News pada 16 Ogos 2024.


Lelaki itu turut mengancam penduduk tempatan selepas dia bertengkar dengan wanita berkenaan.


Suspek dikenal pasti sebagai Panuwat Thamthawon, 29, juga dikenali sebagai Guy. Dia ditahan polis Pattaya pada pukul 9.36 malam (waktu tempatan) kelmarin (15/8/2024).


Polis mengarahkan Panuwat menyerah diri selepas dia dituduh melepaskan beberapa das tembakan ke udara dan mengancam penduduk di Soi Bongkot, Pattaya.



Menurut polis, lelaki itu berang kerana wanita berkenaan menghina ibu bapanya.


Panuwat menegaskan bahawa dia menggunakan pistol kosong, bukan menggunakan peluru hidup untuk melepaskan tembakan tetapi hanya untuk membuat bising dan melepaskan kemarahannya.


Lelaki berkenaan menjelaskan bahawa dia tidak mencederakan bekas teman wanitanya atau penduduk tempatan secara fizikal.


Panuwat telah ditahan bersama pistol kosong yang digunakan dalam kejadian itu. Dia menghadapi pertuduhan kerana menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan membuat ugutan, dan akan didakwa mengikut prosedur undang-undang. - Sumber The Pattaya News.


Panuwat ditangkap polis kerana melepaskan tembakan ke udara. - Foto The Pattaya News.
Wanita paling subur di dunia, hamil 15 kali lahirkan 44 anak

Wanita paling subur di dunia, hamil 15 kali lahirkan 44 anak


Seorang ibu telah melahirkan 44 orang anak tetapi dia hamil cuma sebanyak 15 kali, lapor portal berita Daily Star pada 16 Ogos 2024.


Mariam Nabantanzi dikenali sebagai Mama Uganda kerana menghidap sindrom hiperovulasi yang menyebabkan dia sangat subur. Ibu itu memiliki lima set kembar lima, lima set kembar tiga dan selebihnya adalah kembar dua.


Pesohor YouTube, Drew Binsky, yang melawat setiap negara di dunia telah datang ke Uganda untuk menyelidiki sejarah keluarga wanita itu. Lelaki itu terkejut apabila mendapati Mariam mengasuh anak-anaknya secara bersendirian.


"Sungguh menakjubkan apabila anda melihat dia berjalan dengan semua anak-anaknya. Terdapat begitu ramai (anak-anaknya)," ujarnya.


Salah seorang penterjemah yang mengiringi Drew berkata: "Mariam melahirkan ramai anak. Lebih daripada 42 orang. Dia menjaga anak-anaknya dan memberi makanan, kesihatan serta perubatan. Dia seorang wira."


Suami wanita itu meninggalkannya kerana dia melahirkan terlalu ramai anak. Anak-anaknya adalah zuriat lelaki itu.


"Sebab utama lelaki itu meninggalkannya adalah kerana dia melahirkan ramai anak. Dia mempunyai seorang lagi isteri dan dia hanya melahirkan seorang," kata penterjemah tersebut.


Pada tahun 2019, pada usia tua mencecah 40 tahun, Mama Uganda akhirnya mendapatkan bantuan perubatan supaya dia tidak lagi dapat melahirkan anak. - Sumber Daily Star.


Mariam lahirkan 44 anak, hamil 15 kali. - Foto Drew Binsky/Youtube.

Jumaat, 16 Ogos 2024

Wanita catat rekod baharu Guinness lidah paling lebar di dunia

Wanita catat rekod baharu Guinness lidah paling lebar di dunia


Seorang wanita di negeri Texas menempa nama dalam Guinness World Records kerana memiliki lidah paling lebar di dunia, lapor agensi berita United Press International (UPI) pada 15 Ogos 2024.


Brittany Lacayo mencatatkan rekod dunia tersebut selepas Guinness mengesahkan dia mempunyai lidah dengan ukuran lebar 7.89 sentimeter (3.10 inci).


Dia berjaya mengalahkan pemegang rekod sebelumnya yang juga seorang wanita, Emily Schlenker.


Emily mempunyai ukuran lebar lidah 7.34 sentimeter (2.89 inci).


Lacayo mendapati lidahnya lebih lebar berbanding panjang, selepas diukur dari epiglotis yang terletak di belakang lidah.


"Ia kemas dan agak lucu," kata Lacayo kepada Guinness World Records.


Bagi kategori lelaki pula rekod Guinness milik Brian Thompson dari Amerika, lidahnya berukuran 8.86 sentimeter (3.49 inci) lebar. - Sumber UPI.


Brittany Lacayo mencatatkan rekod dunia dengan ukuran lebar 7.89 sentimeter. - Guinness World Records.
Macam aksi dalam filem, lelaki panjat lori bergerak curi rim tayar

Macam aksi dalam filem, lelaki panjat lori bergerak curi rim tayar


Sebuah video menunjukkan seorang lelaki sedang mencuri rim kereta dari sebuah lori yang sedang bergerak di Jalan Yos Sudarso, Kampung Mabar, Bandaraya Medan, wilayah Sumatera Utara, tular di media sosial sejak Khamis lalu (15/8/2024).


Dalam video tersebut, lelaki berbaju hitam masuk ke dalam sebuah lori yang sedang bergerak. Lelaki itu kemudian dilihat mengambil rim kereta dan membalingnya ke atas jalan raya.


Sementara itu, seorang rakan subahatnya dilihat mengekori lori tersebut menggunakan motosikal.


Ketua Polis Daerah Medan Labuhan, Komisioner Polis Panggil Sarianto Simbolon berkata, insiden itu berlaku pada Rabu (14/8/2024), manakala kedua-dua suspek berjaya ditahan.


"Kami segera bertindak balas selepas mendapat maklumat daripada media sosial mengenai pencurian ini.


"Siasatan dan penahanan dilakukan dalam masa tiga jam dari maklumat yang diperoleh," kata Panggil Sarianto Simbolon.


Polis Medan Labuhan berjaya mendapatkan barang bukti berupa rim yang dicuri, sepasang seluar pendek kuning, dan sebuah motosikal jenis Yamaha Legenda Z yang digunakan penjenayah ketika melakukan aksi tersebut.


Jika disabit bersalah, kedua-dua suspek yang dikenali sebagai Fikram, 24, dan Fanes, 32, berdepan hukuman penjara lima tahun. - Sumber DetikSumut.


Salah seorang pencuri tersebut memanjat ke atas lori dan mencuri rim tayar. - Foto Detik.

Rim kereta yang dicuri suspek. - Foto Istimewa.

Rabu, 14 Ogos 2024

Pecah rumah curi telefon bimbit, suami lari tinggalkan isteri yang dikejar penduduk

Pecah rumah curi telefon bimbit, suami lari tinggalkan isteri yang dikejar penduduk


Seorang lelaki di Mojokerto, wilayah Jawa Timur tergamak meninggalkan isterinya yang dikejar orang ramai ketika mereka cuba mencuri telefon bimbit milik seorang penduduk, lapor laman berita Mili pada 12 Ogos 2024.


Suspek dikenali sebagai Rosidi, 47, ketika kejadian sedang menunggu isterinya, Sumiyah di atas motosikal jenis Honda Supra.


Dalam kejadian awal pagi Ahad (11/8/2024), Sumiyah memasuki sebuah rumah secara senyap-senyap bagi melarikan telefon bimbit milik seorang lelaki yang sedang tidur.


Ketika kejadian, mangsa masih tidur di ruang tamu rumah dengan telefon bimbit jenama Vivo Y19 diletakkan di sebelah badannya.


Bagaimanapun, tindakan Sumiyah itu disedari isteri mangsa yang baru pulang dari membeli-belah sekitar jam 04.30 WIB. Isteri mangsa yang melihat aksi itu menjerit, membuatkan mangsa terjaga daripada tidur.


"Isteri mangsa melihat seorang wanita mengambil telefon bimbit, lalu dia menjerit dan mangsa bangun untuk mengejar suspek di samping beberapa penduduk," kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Dawarblandong, Inspektor Agus Shodikin.


Sumiyah gagal melarikan diri kerana penduduk setempat mengepungnya di segenap penjuru. Dia kemudian ditangkap betul-betul di hadapan rumah mangsa.


Suaminya yang melihat keadaan itu dengan pantas melarikan diri dan meninggalkan Sumiyah. Penduduk kemudian cuba mengejar lelaki itu, namun gagal.


Sumiyah dibawa ke balai polis terdekat untuk disoal siasat, manakala suaminya masih diburu. - Sumber Mili.id.


Sumiyah ditangkap penduduk setempat. - Foto Istimewa.

Selasa, 13 Ogos 2024

Pertandingan menatap wajah bekas kekasih paling lama

Pertandingan menatap wajah bekas kekasih paling lama

 

Menjelang sambutan kemerdekaan Indonesia yang disambut pada 17 Ogos ini, masyarakat di Jawa Barat mengisinya dengan pelbagai aktiviti, ini termasuk mengadakan pertandingan yang pelik dan unik.


Antara pertandingan yang pelik termasuklah penganjur mengadakan pertandingan menatap wajah bekas kekasih paling lama.


"Perlumbaan itu berlangsung pada 11 Ogos lalu di desa Salam Jaya Kecamatan Pabuaran Subang Provinsi Jawa Barat," lapor portal berita Sumeks.co yang memetik hantaran Instagram penduduk.


Menerusi klip video hantaran itu memperlihatkan peserta yang kesemuanya lelaki masing-masing berlumba menatap foto wanita cantik yang dianggap bekas teman wanita mereka.



Mereka masing-masing ditemani oleh isteri yang terlihat memberi sokongan bagi membolehkan pasangan mereka memenangi pertandingan berkenaan.


Memang luar biasa, namun pertandingan unik memeriahkan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ini mengundang gelak tawa orang ramai yang melihatnya.


Bagaimanapun hadiah kepada pemenang tidak didedahkan kepada umum.


Tarikh 17 Ogos setiap tahun merupakan ulang tahun Hari Kemerdekaan Indonesia daripada pemerintahan kolonial Belanda pada 1945.


Seperti tahun-tahun sebelumnya, sambutan kemerdekaan atau dikenali sebagai 'tujuhbelasan' oleh penduduk tempatan disambut dengan pelbagai aktiviti antaranya pertandingan menangis paling lama.


Para peserta kelihatan bersemangat memegang gambar seorang wanita cantik dan menatapnya. - Foto Sumeks.co.