Dua angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang terkandas di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) berkemungkinan tidak akan kembali ke Bumi sehingga Februari 2025, lapor akhbar Daily Mail pada 8 Ogos 2024.
Sunita Williams, 58, dan Butch Wilmore, 61, terkandas selepas kapal angkasa keluaran Boeing, Starliner yang mereka naiki menuju ke ISS rosak lebih dua bulan lalu.
Kakitangan di Bumi bergelut untuk menyelesaikan isu tersebut. Bagaimanapun, pendedahan kelmarin menyatakan bahawa mereka mungkin tidak dapat pulang sehingga Februari tahun depan.
NASA berkongsi pelan kecemasan untuk menghantar dua angkasawan dalam misi syarikat aeroangkasa SpaceX, Crew-9 pada September ini. Namun, ia tidak akan membawa pulang dua angkasawan tersebut sehingga beberapa bulan kemudian.
Sunita dan Butch pada asalnya dijadualkan pulang ke Bumi pada 13 Jun lalu. Mereka sepatutnya menghabiskan masa tidak lebih seminggu di ISS.
Namun, kapal angkasa Starliner berdepan pelbagai masalah semasa penerbangan selama 25 jam itu. Rentetan itu, misi mereka telah dilanjutkan selama dua minggu lagi.
Bagaimanapun, kedua-dua angkasawan tersebut telah berada di angkasa lepas selama 63 hari kerana kapal angkasa Starliner dilanda masalah kegagalan pendorong dan kebocoran gas helium.
Masalah itu memaksa mereka berada di orbit lebih lama kerana bimbang perjalanan pulang ke bumi dengan menaiki kapal angkasa sama akan berakhir dengan bencana.
Memetik laporan NDTV News, NASA menegaskan bahawa angkasawan itu dan lapan angkasawan lain di dalam ISS adalah selamat.
Menurut Boeing, Starliner boleh kekal berlabuh dengan stesen angkasa selama maksimum 90 hari, selepas itu bateri di dalam kapal angkasa mungkin habis.
Akibatnya, ahli teknologi angkasa AS mempunyai lebih kurang 35 hari lagi untuk menentukan sama ada Sunita dan Butch Wilmore akan kembali ke Bumi dengan Boeing Starliner yang terjejas, atau jika mereka akan menggunakan SpaceX's Crew Dragon atau kapal angkasa Soyuz Rusia.
Kedua-dua kenderaan siap sedia ini sudah pun berlabuh di stesen angkasa, jadi Sunita mahupun lapan angkasawan yang lain tidak benar-benar terkandas di angkasa.
Dalam satu kenyataan, NASA berkata, ujian tanah untuk pendorong Sistem Kawalan Reaksi (RCS) selesai dan pembongkaran dan pemeriksaan menyimpulkan, pasukan Starliner sedang menyemak data yang akan membantu dalam misi masa depan dan membuka jalan bagi angkasawan NASA Butch Wilmore dan Sunita Williams untuk kembali ke Bumi. - Sumber Daily Mail.
Foto yang disediakan oleh NASA ini menunjukkan kapal angkasa Starliner Boeing yang melancarkan angkasawan Butch Wilmore dan Sunita Williams ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). - Foto AP.
Sunita Williams dan Butch Wilmore kini telah berada di angkasa selama 63 hari. - Foto AFP.