Sabtu, 10 Ogos 2024

Pesawat penumpang terhempas, 61 terkorban

Pesawat penumpang terhempas, 61 terkorban


Sebuah pesawat penumpang terhempas di kawasan pedalaman Sao Paulo, Brazil pada Jumaat, mengorbankan kesemua 61 orang di dalam pesawat dan disahkan oleh syarikat penerbangan Voepass, menurut Xinhua.


Syarikat penerbangan itu memaklumkan jumlah mangsa terkorban adalah 61, bukan 62 seperti yang dilaporkan pada awalnya.


Voepass dalam satu kenyataan menjelaskan pesawat yang terhempas di bandar Vinhedo itu membawa 57 penumpang dan empat anak kapal.


Pesawat syarikat penerbangan serantau Brazil itu sedang dalam perjalanan dari bandar Cascavel di selatan Parana ke Lapangan Terbang Antarabangsa Guarulhos di Sao Paulo.


Pesawat yang mempunyai kapasiti untuk membawa 68 penumpang itu terhempas ke atas rumah di kawasan kejiranan Capela de Vinhedo.


Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, ketika menghadiri satu acara di pelabuhan Itajaí, di selatan Santa Catarina turut meminta semua hadirin bertafakur seketika sebagai tanda penghormatan.


Presiden menyatakan 'solidariti sepenuhnya terhadap keluarga dan rakan mangsa' di platform sosial X. - Sumber Xinhua.


Lokasi sebuah pesawat syarikat penerbangan Voepass terhempas mengorbankan 61 penumpang dan anak kapal. - Foto AFP.

Khamis, 8 Ogos 2024

29 ular sawa ditangkap dalam saliran longkang berdekatan sebuah restoran

29 ular sawa ditangkap dalam saliran longkang berdekatan sebuah restoran


Sejumlah 28 ekor anak ular sawa dan seekor induk ditangkap dalam saliran longkang berdekatan sebuah restoran di Seksyen 20 dekat Shah Alam, malam tadi.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan jam 9.56 malam.


Didapati 28 anak ular sawa yang dipercayai baru menetas serta seekor induk berada dalam saliran longkang berkenaan.


"Bomba kemudian menangkap semua anak ular serta induknya menggunakan penjerut.


"Anak-anak ular berkenaan dianggarkan sepanjang setengah meter manakala induknya sekitar dua meter," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, operasi menangkap ular itu mengambil masa 12 minit dan semua tangkapan dilepaskan ke tempat yang selamat.


Sejumlah 28 ekor anak ular sawa dan seekor induk ditangkap dalam saliran longkang berdekatan sebuah restoran di Seksyen 20 Shah Alam, malam tadi. - Foto JBPM Selangor.
Bimbang lukakan perasaan Isteri, pencuri seluar dalam rayu dakwaan terhadap dirinya ditarik balik

Bimbang lukakan perasaan Isteri, pencuri seluar dalam rayu dakwaan terhadap dirinya ditarik balik


Seorang lelaki Thailand yang dituduh mencuri seluar dalam wanita dari sebuah kampung di wilayah Nonthaburi, Bangkok merayu agar dakwaan terhadap dirinya ditarik balik.


Hal ini kerana, suspek bernama Sanit Cherdchoo itu bimbang jika isterinya berasa kecewa dan menganggap dia menyukai seluar dalam orang lain berbanding seluar dalam milik pasangannya.


Menerusi laporan yang dibuat oleh mangsa, Sanit Cherdchoo dikatakan mencuri 12 seluar dalamnya yang digantung di luar rumah.


Sanit Cherdchoo kemudiannya ditahan selepas rakaman CCTV yang memperlihatkan dirinya mencuri seluar dalam diteliti oleh pihak berkuasa.


Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan pada 7 Ogos lalu dan mengakui bersalah. Sanit Cherdchoo memberitahu, dia berbuat demikian kerana berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.


Dia turut mengaku menggemari gaya seluar dalam seksi yang diperbuat daripada renda dan bergaris nipis di bahagian tepi. Isterinya tidak mempunyai seluar dalam seperti itu, jadi dia terpaksa mencuri.


Sungguhpun Sanit Cherdchoo merayu supaya dakwaan digugurkan, namun, mangsa berkeras untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dirinya.


Selain didakwa kerana mencuri harta milik orang lain, Sanit Cherdchoo turut menghadapi pertuduhan penggunaan dadah. - Sumber The Thaiger.


Sanit Cherdchoo juga memberitahu polis bahawa dia paling suka seluar dalam warna merah jambu. - Foto MGR Online.

Rabu, 7 Ogos 2024

Pemuda diliwat ketika minta kerja, lelaki warga asing direman 5 hari

Pemuda diliwat ketika minta kerja, lelaki warga asing direman 5 hari


Seorang lelaki warga Pakistan direman lima hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas didakwa meliwat seorang pemuda yang datang untuk mencari kerja kosong di sebuah kedai perabot semalam.


Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, suspek ditahan oleh sepasukan polis kira-kira pukul 6.30 petang semalam selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh mangsa yang berusia 22 tahun.


"Tangkapan terhadap suspek ini dibuat berhampiran sebuah kedai perabot di Taman Tanjung Minyak Setia, Tanjung Minyak pada petang semalam.


"Mangsa dikatakan datang ke premis berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam untuk minta kerja sebelum suspek meminta pengadu naik ke tingkat atas bagi berjumpa dengan pengurus.


"Bagaimanapun tiada sesiapa ditingkat atas dan suspek kemudian bertindak menarik pengadu ke dalam sebuah bilik sebelum mencium pengadu di mulut, dada, leher, punggung dan betis sebelum meliwat pengadu," katanya dalam kenyataan di sini.


Difahamkan, mangsa telah dirujuk ke Hospital Melaka dan pemeriksaan lanjut mangsa mendapati ada kesan koyakan baharu pada duburnya.


Mengulas lanjut Zainol berkata, mangsa cuba melepaskan diri tetapi telah dihalang oleh suspek.


"Hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK) iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii.


"Suspek berdepan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan," katanya.


Suspek berusia 36 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini. - Foto Astro Awani.

Selasa, 6 Ogos 2024

Pecah masuk rumah bekas suami, pempengaruh media sosial ditahan reman 6 hari

Pecah masuk rumah bekas suami, pempengaruh media sosial ditahan reman 6 hari


Pempengaruh media sosial direman enam hari bagi membantu siasatan kes pecah masuk rumah bekas suami dan bekas madunya, di Kota Bharu, bulan lalu.


Perintah tahanan reman ke atas wanita berusia 20-an itu dikeluarkan Majistret Amin Rashidi Ramli bermula hari ini sehingga Ahad.


Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut, susulan barang milik pengadu yang didakwa hilang.


Beliau berkata, terdahulu pihak polis menerima satu laporan daripada bekas madu wanita itu pada jam 9.47 malam kelmarin mengenai kejadian pecah rumah di Kota Bharu yang didakwa berlaku kira-kira jam 11.30 malam 22 Julai lalu.


"Berdasarkan laporan itu, wanita berkenaan (bekas madu) menyedari rumahnya dipecah masuk dan mendapati 'sliding door' (pintu gelongsor) hadapan berada dalam keadaan terbuka.


"Beberapa barangan juga didapati hilang dan pengadu juga menjumpai satu beg plastik ubat di atas meja di dalam biliknya, tertulis nama perempuan yang dikenali olehnya dan suami," katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, bertindak di atas maklumat, suspek berjaya ditangkap pada 11.30 malam semalam.


Katanya, hasil siasatan mendapati terdapat kesan umpil pada pintu jeriji keselamatan dan pintu cermin hadapan rumah, selain suspek mengaku masuk ke dalam rumah semasa ketiadaan pengadu.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama enam hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.


"Kes masih di peringkat siasatan dan pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya.


Terdahulu, tular video rakaman siaran langsung di TikTok yang memaparkan wanita berkenaan dan bekas madunya bercerita kisah rumah tangga mereka sebelum ini.


Menerusi video itu, wanita berkenaan mendakwa sering dikasari oleh bekas suaminya sehingga dia tidak sanggup lagi untuk hidup bersama dengan lelaki itu.


Ketika bersiaran langsung, kira-kira 50,000 orang yang melihatnya dan video berkenaan tular serta mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.


Pempengaruh media sosial ditahan reman, didakwa pecah masuk rumah bekas suami. - Foto Nik Abdullah Omar.

Isnin, 5 Ogos 2024

Penjual jus seksi halau pelanggan yang mahu bergambar dikecam netizen

Penjual jus seksi halau pelanggan yang mahu bergambar dikecam netizen


Seorang penjual jus di Thailand yang sebelum ini menempa populariti kerana wajahnya yang jelita, didakwa mula bersikap sombong sehinggakan sanggup menghalau pelanggan yang datang ke kedainya.


Laman berita Detik melaporkan, Join Ploychanok Puathanyawong mula menjadi sensasi internet pada 2022 disebabkan penampilannya yang menarik dan seksi.


Disebabkan itu, kedai jus miliknya mula diserbu ramai pelanggan dari dalam dan luar negara sehinggakan Join terpaksa mengupah pengawal peribadi.


Namun, wanita tersebut baru-baru ini menerima banyak kecaman pelanggan selepas dia menolak permintaan untuk bergambar.


Menurut majalan online 8days, ramai netizen mengeluh kerana penjual digelar 'wanita tembikai' itu tidak lagi ramah dan sopan seperti sebelumnya.


Join dikatakan sering mengusir pengunjung yang merakam gambar tanpa membeli daripada kedainya.


Dia juga kerap membelakangi pelanggan yang merakam kandungan di premis itu selain pengawal peribadi turut diarah menghalau pengunjung yang tidak membeli.


Tambah pelanggan, mereka perlu membeli sekurang-kurangnya satu jus minuman berharga minimum 150 baht (RM18.83) sebelum dibenarkan merakam gambar.


"Harga sudah menjadi mahal. Dia seperti polis yang menghalang orang merakam gambar," kata seorang netizen.


"Dia sudah tidak seramah dulu. Popularitinya membuatkan dia besar kepala," kata pengguna media sosial lain. - Sumber Detik Sumut.


Join Ploychanok Puathanyawong mula dikenali ramai pada 2022. - Foto TikTok.

Ahad, 4 Ogos 2024

Taktik GRO, warga asing sembunyi di bilik rahsia dalam tandas terbongkar

Taktik GRO, warga asing sembunyi di bilik rahsia dalam tandas terbongkar


Taktik 11 warga asing termasuk sembilan wanita pelayan pelanggan (GRO) bersembunyi bilik rahsia di sebuah pusat hiburan di Ipoh, pada awal pagi tadi terbongkar apabila mereka berjaya dicekup pihak berkuasa.


Pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa menggunakan penukul dan pemotong besi untuk membuka pintu di sebalik dinding jubin dalam tandas premis berkenaan.


Operasi memotong jubin dan pintu konkrit itu mengambil masa hampir sejam untuk membuka dan menahan kesemua warga asing terdiri sembilan wanita warga China dan dua lelaki warga Bangladesh.



Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, berkata 11 individu itu antara 53 warga asing yang ditahan dalam operasi yang dijalankan serentak di dua pusat hiburan berasingan di Greentown dan Taman Canning, Ipoh.


Menurut beliau, mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 45 tahun.


"Operasi yang dijalankan hampir lima jam bermula jam 1.30 pagi melibatkan 26 pegawai termasuk polis telah memeriksa 175 warganegara asing dan tempatan.


"Daripada jumlah itu, 53 orang yang ditahan terdiri daripada 25 wanita warga China, 16 wanita Vietnam, seorang wanita Thailand, seorang wanita Indonesia dan 10 lelaki Bangladesh," katanya.


Meor Hezbullah berkata, kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.


"Siasatan dan tindakan lanjut dilakukan mengikut proses undang-undang kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah.


"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana telah tinggal atau berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang telah dikeluarkan," katanya.


Tambah beliau, pihaknya berharap masyarakat membuat laporan atau aduan bagi membantu membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam negara ini.


Wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai GRO antara 53 yang ditahan dalam Op Gegar di Ipoh. - Foto ihsan Imigresen.

Sabtu, 3 Ogos 2024

Duduk di tepi jalan tawar khidmat 'teman wanita cantik untuk disewa' serendah RM0.63 sen

Duduk di tepi jalan tawar khidmat 'teman wanita cantik untuk disewa' serendah RM0.63 sen


Satu klip video tular di media sosial di China memaparkan wanita-wanita yang menawarkan perkhidmatan 'teman wanita cantik untuk disewa', lapor saluran berita Tribun News pada 1 Ogos 2024.


Teman wanita sewaan ini telah menjadi fenomena baharu dan sedang hangat diperkatakan di China. Di Bandar Shenzhen, wanita muda duduk di tepi jalan sambil mempamerkan tulisan.


Tawaran itu dibuka kepada lelaki yang kesepian dan mahukan peneman atau perkhidmatan tertentu.


Dalam posting tular, sebilangan wanita didakwa tawarkan perkhidmatan peluk, cium atau sekadar berkawan sehari dengan harga mampu milik.


Salah seorang daripada mereka berkata 1 yuan (RM0.63) untuk pelukan, 10 yuan (RM6.30) untuk ciuman, 15 yuan (RM9.39) menemani pelanggan menonton wayang bersama.


Terdapat juga wanita lain yang tawarkan perkhidmatan lain iaitu 20 yuan (RM12) untuk membantu kerja rumah dan 40 yuan (RM24) untuk minum bersama.


Rakaman juga memaparkan wanita-wanita berkenaan menawarkan perkhidmatan itu di tepi jalan sambil mengenakan pakaian seksi untuk menarik pelanggan.


Bagaimanapun, mereka tetap dengan pendirian untuk tidak menerima sebarang permintaan seksual. - Sumber Tribun News.


Tangkap layar memaparkan wanita-wanita yang menawarkan perkhidmatan itu di bandar Shenzhen. - Foto Tribunnews.

Jumaat, 2 Ogos 2024

Berang kerap ditanya 'bila nak kahwin' lelaki nekad pukul jiran hingga mati

Berang kerap ditanya 'bila nak kahwin' lelaki nekad pukul jiran hingga mati


Seorang lelaki berusia 45 tahun di Indonesia ditahan selepas nekad membunuh jirannya kerana kerap ditanya bila hendak berkahwin, lapor saluran berita Tribun News semalam.


Kejadian berlaku di Pasar Simangambat, wilayah Sumatera Utara pada Isnin 29 Julai lalu.


Suspek bernama Parlindungan Siregar dilaporkan memukul mangsa, Asgim Irianto, 60, menggunakan kayu sehingga meninggal dunia.


Menurut pegawai polis tempatan, AKP Maria, suspek dipercayai memukul mangsa akibat berang kerana ditanya bila hendak berkahwin.


"Mangsa sempat melarikan diri tetapi dikejar oleh suspek dan dipukul berkali-kali di bahagian kepala. 


"Pembunuhan itu berhenti selepas seorang individu meleraikan mereka dan mengambil kayu tersebut," kata AKP Maria.


Walaupun telah dibantu, nyawa mangsa tidak dapat diselamatkan.


"Masyarakat membantu mangsa untuk dibawa ke pusat kesihatan masyarakat.


"Setibanya di puskesmas, pihak puskesmas menyatakan mangsa sudah meninggal dunia," kata Maria, Rabu (31/7/2024).


Polis berjaya menahan suspek dan dibawa ke Balai Polis Tapanuli Selatan untuk disoal siasat. - Sumber Tribun News.


Suspek dipercayai memukul mangsa gara-gara berang kerana kerap ditanya bila hendak berkahwin. - Foto Tribunnews.

Khamis, 1 Ogos 2024

Ditikam 15 kali kerana tak dapat jawap soalan ayam atau telur keluar dahulu

Ditikam 15 kali kerana tak dapat jawap soalan ayam atau telur keluar dahulu


'Apa yang keluar dahulu? Ayam atau telur?' Siapa sangka teka-teki berunsur jenaka yang biasa diajukan untuk menguji minda individu ini akhirnya membawa maut.


Gara-gara berang dengan soalan itu tidak dapat dijawap, seorang lelaki di Indonesia dikenali sebagai Kadir Markus, 47, tergamak menikam rakannya sebanyak 15 kali dengan badik dalam kejadian menggemparkan di sebuah desa di daerah Tongkuno, kabupaten Muna di Sulawesi Tenggara pada Rabu (24/7/2024).


Ketua Polis Sektor Tongkuno atau Kapolsek, Inspektor Abdul Hasan mengesahkan kejadian tikaman itu.


Menurutnya, kedua-dua lelaki itu berada di bawah pengaruh alkohol ketika insiden tersebut. Motif pembunuhan adalah kerana mangsa tidak dapat menjawab soalan pelaku.


"Kadir Markus telah mengajukan soalan paradoksikal tersebut kepada rakannya yang dikenali sebagai DR, hingga berlaku pertengkaran tidak lama selepas itu.


"Kerana tidak dapat menjawab, mangsa meminta izin untuk pulang, namun tindakannya mengundang kemarahan pelaku yang berlari ke rumahnya untuk mengambil sebilah badik lalu menikam mangsa," ujarnya.


Penduduk membantu mangsa dengan membawanya ke Hospital Wakuru, namun nyawanya tidak dapat diselamatkan.


Sementara itu, pelaku Kadir Markus, kemudian menahan sebuah motosikal dan menyerah diri kepada polis.


Abdul Hasan mengesahkan suspek telah diberkas malah senjata berbahaya dan sepasang seluar miliknya turut dirampas.


"Dia telah didakwa dengan kes pembunuhan dan bakal dihukum penjara sehingga 18 tahun jika disabitkan kesalahan," jelasnya lagi. - Sumber Tribun News.


Kadir Markus ,47, warga desa Lakapera, Kecamatan Gu, Kabupaten Buton Tengah, Sulawesi Tenggara membunuh temannya, berinisial DR di jalan sumbu Raha-Lakapera, Desa Labasa, Kecamatan Tongkuno, Kabupaten Muna, Rabu (24/7/2024) petang. Motif pembunuhan ini kerana mangsa tidak dapat menjawab soalan pelaku tentang mana yang keluar dulu, telur atau ayam. - Foto Serambi News.