Dua orang pekerja nekad membunuh majikannya selepas mereka tersinggung dengan kata-kata mangsa ketika mereka mahu meminjam wang daripadanya, lapor laman berita Tribun News pada 25 Julai 2024.
Mangsa dikenali Abdullah, 54, penjual mi Aceh di Jalan Makmur, Pasar VII Tembung, Daerah Percut Seituan, Deli Serdang, maut dibunuh dua pekerjanya pada hari Ahad awal bulan lalu (2/6/2024).
Kes pembunuhan itu terbongkar selepas ahli keluarga mangsa berasa curiga kerana gagal menghubunginya sebelum mereka menemui mayat lelaki terbabit di rumahnya. Keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis di balai polis Deli Serdang.
Pelaku bernama, Reza Adrian Siregar alias Reza, 34, penduduk Jalan Letda Sujono, Kampung Bandar Selamat, Daerah Medan Tembung berjaya ditangkap. Dia terpaksa menahan sakit di kedua-dua kaki, selepas ditembak polis kerana melawan ketika ditahan.
Sambil duduk di atas kerusi roda dan menahan kesakitan di kedua-dua belah kaki, dia mengakui nekad membunuh mangsa kerana berasa sakit hati dengan kata-kata peniaga mi Aceh itu.
"Saya sakit hati, sebab saya bekerja dengan dia kemudian minta IDR 100 ribu dan diberi IDR 50 ribu 'kerja belum siap, awak tak ada otak'," kata Reza kepada Tribun-medan, Khamis (25/7/2024).
Video amatur menunjukkan bagaimana ahli keluarga mangsa menemui mayat lelaki itu yang dijumpai sudah mereput di dalam bilik rumahnya di Jalan Makmur, Desa Sumber Jaya Timur, Deli Serdang, Sumatera Utara, beberapa hari selepas gagal menghubunginya.
Ketua Polis Medan Tembung Kompol Jhonsin Mangara Sitompul berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dibunuh oleh dua orang pekerjanya sendiri.
Menurut pengakuan Reza, dia tidak membunuh mangsa seorang diri, tetapi bersama seorang lagi rakan.
"Saya pukul dia dengan botol sos tomato sekali di kepala, apabila dia meronta-ronta, saya tarik dia masuk ke dalam bilik. Kawan saya pun pukul dia dengan botol sirap," katanya.
Reza berkata, selepas kejadian rakannya yang kini menjadi buruan, mengambil motosikal mangsa dan menjualnya. Selepas itu, rakannya melarikan diri ke Kemboja. - Sumber Tribun News.
Polis menahan Reza Adrian Siregar yang membunuh seorang peniaga mi Aceh bernama Abdullah di Jalan Makmur, Daerah Percut Sei Tuan, Deli Serdang. - Foto Tribun News.