Jumaat, 2 Ogos 2024

Berang kerap ditanya 'bila nak kahwin' lelaki nekad pukul jiran hingga mati

Berang kerap ditanya 'bila nak kahwin' lelaki nekad pukul jiran hingga mati


Seorang lelaki berusia 45 tahun di Indonesia ditahan selepas nekad membunuh jirannya kerana kerap ditanya bila hendak berkahwin, lapor saluran berita Tribun News semalam.


Kejadian berlaku di Pasar Simangambat, wilayah Sumatera Utara pada Isnin 29 Julai lalu.


Suspek bernama Parlindungan Siregar dilaporkan memukul mangsa, Asgim Irianto, 60, menggunakan kayu sehingga meninggal dunia.


Menurut pegawai polis tempatan, AKP Maria, suspek dipercayai memukul mangsa akibat berang kerana ditanya bila hendak berkahwin.


"Mangsa sempat melarikan diri tetapi dikejar oleh suspek dan dipukul berkali-kali di bahagian kepala. 


"Pembunuhan itu berhenti selepas seorang individu meleraikan mereka dan mengambil kayu tersebut," kata AKP Maria.


Walaupun telah dibantu, nyawa mangsa tidak dapat diselamatkan.


"Masyarakat membantu mangsa untuk dibawa ke pusat kesihatan masyarakat.


"Setibanya di puskesmas, pihak puskesmas menyatakan mangsa sudah meninggal dunia," kata Maria, Rabu (31/7/2024).


Polis berjaya menahan suspek dan dibawa ke Balai Polis Tapanuli Selatan untuk disoal siasat. - Sumber Tribun News.


Suspek dipercayai memukul mangsa gara-gara berang kerana kerap ditanya bila hendak berkahwin. - Foto Tribunnews.

Khamis, 1 Ogos 2024

Ditikam 15 kali kerana tak dapat jawap soalan ayam atau telur keluar dahulu

Ditikam 15 kali kerana tak dapat jawap soalan ayam atau telur keluar dahulu


'Apa yang keluar dahulu? Ayam atau telur?' Siapa sangka teka-teki berunsur jenaka yang biasa diajukan untuk menguji minda individu ini akhirnya membawa maut.


Gara-gara berang dengan soalan itu tidak dapat dijawap, seorang lelaki di Indonesia dikenali sebagai Kadir Markus, 47, tergamak menikam rakannya sebanyak 15 kali dengan badik dalam kejadian menggemparkan di sebuah desa di daerah Tongkuno, kabupaten Muna di Sulawesi Tenggara pada Rabu (24/7/2024).


Ketua Polis Sektor Tongkuno atau Kapolsek, Inspektor Abdul Hasan mengesahkan kejadian tikaman itu.


Menurutnya, kedua-dua lelaki itu berada di bawah pengaruh alkohol ketika insiden tersebut. Motif pembunuhan adalah kerana mangsa tidak dapat menjawab soalan pelaku.


"Kadir Markus telah mengajukan soalan paradoksikal tersebut kepada rakannya yang dikenali sebagai DR, hingga berlaku pertengkaran tidak lama selepas itu.


"Kerana tidak dapat menjawab, mangsa meminta izin untuk pulang, namun tindakannya mengundang kemarahan pelaku yang berlari ke rumahnya untuk mengambil sebilah badik lalu menikam mangsa," ujarnya.


Penduduk membantu mangsa dengan membawanya ke Hospital Wakuru, namun nyawanya tidak dapat diselamatkan.


Sementara itu, pelaku Kadir Markus, kemudian menahan sebuah motosikal dan menyerah diri kepada polis.


Abdul Hasan mengesahkan suspek telah diberkas malah senjata berbahaya dan sepasang seluar miliknya turut dirampas.


"Dia telah didakwa dengan kes pembunuhan dan bakal dihukum penjara sehingga 18 tahun jika disabitkan kesalahan," jelasnya lagi. - Sumber Tribun News.


Kadir Markus ,47, warga desa Lakapera, Kecamatan Gu, Kabupaten Buton Tengah, Sulawesi Tenggara membunuh temannya, berinisial DR di jalan sumbu Raha-Lakapera, Desa Labasa, Kecamatan Tongkuno, Kabupaten Muna, Rabu (24/7/2024) petang. Motif pembunuhan ini kerana mangsa tidak dapat menjawab soalan pelaku tentang mana yang keluar dulu, telur atau ayam. - Foto Serambi News.

Rabu, 31 Julai 2024

Kecoh anak kambing mata satu kelihatan seperti 'makhluk asing' lahir di Cianjur

Kecoh anak kambing mata satu kelihatan seperti 'makhluk asing' lahir di Cianjur


Seorang penternak haiwan di Cianjur, wilayah Jawa Barat terkejut apabila seekor kambing betina peliharaannya melahirkan anak bermata satu, lapor saluran berita Tribun Jabar pada 30 Julai 2024.


Anak kambing itu memiliki satu mata di bahagian tengah dahinya, sehingga kelihatan seperti 'makhluk asing'.


Kambing putih milik Amad, 60, itu dikatakan mempunyai kelainan genetik ketika dilahirkan oleh induknya pada pagi Isnin (19/7/2024).


Haiwan itu turut dilahirkan tanpa hidung dan dubur, demikian disampaikan oleh Ketua Kampung Sindangresmi, Imas.


"Sebenarnya ada tiga ekor tetapi dua (anak kambing) dilahirkan secara normal. Anak kambing ini bermata satu dan tidak ada hidung serta dubur," kata Imas.


Pemilik kambing Amad berkata, dia belum pernah menyaksikan kelahiran sedemikian walaupun sudah menjadi penternak selama bertahun-tahun.


Bagaimanapun, anak kambing itu dilaporkan meninggal dunia 24 jam selepas ia dilahirkan disebabkan keadaan fizikal haiwan itu tidak dapat menyusu daripada ibunya.


"Pagi tadi dia meninggal dunia kerana langsung tidak mendapat makanan," katanya Imas.


Tambahan Imas, kehadiran kambing itu mengejutkan penduduk. Malah, penduduk sengaja datang beramai-ramai ke lokasi sangkar berkenaan untuk melihatnya secara langsung. - Sumber Tribun News.


Kelahiran anak kambing bermata satu itu menarik perhatian orang ramai. - Foto TribunJabar.
Viral seorang pencuri buang air besar dalam kereta polis

Viral seorang pencuri buang air besar dalam kereta polis


Seorang pencuri di Wajo, Sulawesi Selatan, Indonesia dirakam membuang air besar ketika ditahan oleh polis, lapor saluran berita Tribunnews pada 29 Julai 2024.


Menerusi rakaman kejadian yang dimuat naik di platform Instagram, suspek bernama Messa membuang air besar dalam seluar ketika berada di dalam kereta polis.


Kesemua anggota polis terbabit dilihat menutup hidung mereka, kerana tidak tahan dengan bau itu sambil menurunkan tingkap kereta. 


Seorang pegawai polis, Alvin Aji berkata, lelaki itu ditahan atas kesalahan mencuri telefon bimbit.


"Kami menahan suspek kerana mencuri telefon bimbit. Dia kemudian membuang air besar ketika anggota-anggota polis membawanya ke Balai Polis Wajo," kata Alvin.


Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan rata-rata netizen terhibur dengan kejadian itu.


"Polis turunkan tingkap, jadi ada peluang untuk pencuri itu melarikan diri. Tapi sayang tangannya digari," kata netizen.


"Kesian yang duduk di belakang, mesti bau 'pekat' bukan main lagi," kata netizen lain. - Sumber Tribun News.


Tangkap layar menunjukkan pencuri itu membuang air besar di tempat duduk belakang semasa ditahan polis. - Foto Instagram @infopalembangterbaru.

Selasa, 30 Julai 2024

Polis sahkan dua lelaki maut dalam pembetung disyaki pencuri kabel

Polis sahkan dua lelaki maut dalam pembetung disyaki pencuri kabel


Dua lelaki yang ditemui maut selepas terperangkap dalam lubang pembetung di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Kamunting, pagi tadi adalah pencuri kabel.


Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, hasil siasatan polis menemui kesan kabel dari sebuah syarikat telekomunikasi telah dipotong sebelum kedua-dua suspek terperangkap di dalam lubang sedalam enam meter.


"Kejadian disedari orang awam yang ternampak penutup lubang itu dalam keadaan terbuka pada jam 8 pagi tadi dan memaklumkan kejadian itu kepada polis.


"Berikutan itu, pihak polis menghubungi syarikat telekomunikasi terbabit dan pihak Bomba untuk memaklumkan perkara itu.


"Hasil pemeriksaan yang dijalankan menemui dua lelaki terbabit dipercayai terperangkap dalam lubang sedalam kira-kira enam meter itu.


"Polis memanggil bantuan daripada pihak bomba untuk membawa naik mayat dua lelaki terbabit disebabkan keadaan lubang itu agak dalam dan kekurangan oksigen," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.


Menurut Rodzi, dua lelaki itu dipercayai sudah berjaya memotong kabel syarikat telekomunikasi itu pada lubang pertama yang jaraknya kira-kira 30 meter dari lubang kedua.


Bagaimanapun katanya, ketika hendak memotong kabel di lubang kedua, mereka dipercayai terperangkap dan mati akibat tiada oksigen.


Bagaimanapun setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat kedua-dua lelaki berusia 27 dan 31 tahun itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat," katanya.


Kejadian disedari orang awam yang ternampak penutup lubang dalam keadaan terbuka pada jam 8 pagi tadi sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis. - Foto Astro Awani.
Pura-pura kena culik, rupanya bersekongkol dengan kekasih gelap, isteri dijel 3 bulan dan denda RM2,000

Pura-pura kena culik, rupanya bersekongkol dengan kekasih gelap, isteri dijel 3 bulan dan denda RM2,000


Perbuatan seorang isteri bersekongkol dengan kekasih gelap melakukan peras ugut terhadap suaminya dengan meminta wang RM2,000 membawa padah apabila dikenakan hukukan penjara tiga bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, Pontian hari ini.


Majistret Nur Azzuin Abdul Moati membuat keputusan itu selepas tertuduh, Syuzzana Yahaya, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.


Teman lelakinya, Mohd Feardous Osman, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama.


Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan pemerasan melalui aplikasi WhatsApp kepada Zakaria Mohd Nooh, 41, dengan mendatangkan ketakutan untuk mendorongnya menyerahkan wang tunai.


Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pekan Nanas, Pontian pada pukul 12.14 tengah hari pada 26 Julai lalu.


Mengikut fakta kes, pesanan WhatsApp itu meminta wang sebanyak RM2,000 dipindahkan ke dalam akaun selain ugutan tidak melibatkan polis jika tidak mahu isteri dan anak-anak mati kelaparan atau salah seorang ahli keluarga tidak akan selamat.


Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana hukuman tersebut.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini manakala kedua-duanya tidak diwakili peguam.


Majistret Nur Azzuin kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,000 kepada Syuzzana, jika gagal membayar denda, akan dipenjara tiga bulan lagi.


Mohd Feardous pula dibenar ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 September depan sebagai serahan dokumen dan sebutan semula kes.


Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang disangka hilang bersama tiga anak ketika dalam perjalanan pulang ke kampung rupanya bersekongkol dengan teman lelaki untuk mengugut suami sendiri menyerahkan wang sebanyak RM2,000.


Ketua Polis Pontian Mohammad Shofee Tayib berkata, suami suspek berusia 41 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah membuat laporan polis pada 9.47 malam Jumaat.


Syuzzana (kiri) dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,000 selepas mengaku salah melakukan peras ugut bersama teman lelakinya, Mohd. Feardous (kanan) terhadap suaminya meminta wang tebusan RM2,000 pada 26 Julai lalu. - Foto Kosmo Online.

Isnin, 29 Julai 2024

Jadi mimpi ngeri lepas kena gigit nyamuk, kuku tercabut, rambut gugur, kulit menggelupas

Jadi mimpi ngeri lepas kena gigit nyamuk, kuku tercabut, rambut gugur, kulit menggelupas


Percutian seorang wanita berakhir dengan mimpi ngeri apabila mengalami masalah kulit selain gugur rambut dan kukunya tercabut selepas digigit nyamuk ketika bercuti.


Memetik laporan Metro UK pada 28 Julai 2024, Amy Wells, 37, mengalami masalah itu ketika bercuti di Republik Dominican dekat Caribbean bersama suaminya, Charlie pada 22 Januari 2023.


Selepas sehari berenang bersama ikan lumba-lumba, Amy pada 28 Januari menyedari ada ruam di lehernya selepas bangun tidur, yang dengan cepat merebak ke seluruh badannya.


Amy pergi ke hospital pulau itu di mana dia diberi antibiotik yang dipanggil ceftriaxone, yang tidak biasa digunakan di United Kingdom (UK), katanya.


Amy berakhir di unit kecemasan di mana doktor menemui luka yang menunjukkan ruam pertama disebabkan oleh gigitan nyamuk.



Pekerja kawalan kualiti berkata kulitnya mula menggelupas, dengan sebahagian daripadanya melekat pada kakinya, menyebabkan luka terdedah dan parut.


"Ruam itu menutupi seluruh badan termasuk mata dan bibir saya. Ia amat menyakitkan. Pengalaman ini ibarat neraka di dunia.


"Ia sangat ganjil. Saya tidak pernah mengalami sebarang reaksi alahan terhadap apa-apa," katanya.


Menurutnya lagi, pasukan perubatan ada memaklumkan bahawa keadaannya adalah disebabkan reaksi terhadap antibiotik dan dia juga terkena gigitan nyamuk Zika.


Amy yang ditahan di hospital dibenarkan pulang ke rumah pada 1 Februari kerana penanda jangkitan menurun, tetapi dia mempunyai sedikit ruam muncul di badannya.


Katanya, antibiotik yang diberikan di hospital pulau itu bertindak balas dengan ubat lain yang dimakannya sebelum kulitnya dipenuhi dengan ruam yang menyakitkan beberapa hari selepas kembali ke United Kingdom (UK).


Pehanya membengkak kepada dua kali ganda saiz biasa semasa penerbangan sepuluh jam, dan ia berasa seperti terbakar, katanya.


Dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital William Harvey di Ashford.


Kakinya mengambil masa tiga minggu untuk sembuh dan dia kini mempunyai parut yang menutupi separuh daripada setiap kaki di bawah lutut. Amy terpaksa mengambil cuti kerja selama sepuluh minggu.


Kuku jari dan kakinya tercabut pada April, manakala rambutnya mula menipis, dan menjelang Mei dia botak sepenuhnya. - Sumber Metro UK.


Amy mendapat alahan teruk selepas reaksi jarang berlaku akibat antibiotik dan gigitan nyamuk. - Foto Amy Wells/SWNS.
Polis trafik parah dirempuh 'mat rempit' lawan arus

Polis trafik parah dirempuh 'mat rempit' lawan arus


Seorang anggota polis trafik dan remaja lelaki parah selepas kedua-dua motosikal ditunggang dipercayai bertembung di Kilometer (KM) 36 (S), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Seremban, awal pagi Ahad.


Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) itu sedang bertugas dalam Ops Samseng Jalanan apabila dikatakan dirempuh remaja berkenaan yang melawan arus.


"Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan anggota polis lelaki berumur 36 tahun dan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun.


"Kemalangan berlaku ketika anggota terbabit yang bertugas di BSPTD Seremban sedang melakukan tugas Ops Samseng Jalanan bersama beberapa anggota lain," kata Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din.


Menurutnya, ketika kejadian, remaja itu menunggang motosikal secara lawan arus sebelum didakwa merempuh anggota yang juga sedang menunggang motosikal.


Ujarnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dibahagian kaki dan kepala telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk menerima rawatan.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadzilah di talian 016-2895801 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 disebabkan penunggang di bawah umur.


"Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih prihatin berkaitan aktiviti anak mereka terutama pada lewat malam yang berkemungkinan terpengaruh dengan gejala tidak sihat seperti lumba haram," katanya.


Polis trafik Seremban dan remaja parah apabila kedua-dua motosikal bertembung di KM36 (S) Lekas. - Foto ihsan polis.

Keadaan motosikal salah seorang mangsa sebaik kejadian. - Foto Sinar Harian.

Ahad, 28 Julai 2024

Batu bentuk anak panah, menunjukkan kemungkinan ada kehidupan mikrob di Marikh

Batu bentuk anak panah, menunjukkan kemungkinan ada kehidupan mikrob di Marikh


Kenderaan Rover Perseverance Mars NASA menemukan batu berbentuk anak panah dengan ciri-ciri yang mungkin menunjukkan kehidupan mikrob berbilion tahun yang lampau di Planet Marikh, lapor Xinhua.


Semasa penerokaannya pada 21 Julai di Neretva Vallis, sebuah lembah sungai purba di Marikh, rover Perseverance menemui batu menarik yang dikenali sebagai "Cheyava Falls."


Pasukan sains Perseverance menganalisis batu berkenaan menggunakan sinar-X dan laser. Analisis mereka mendedahkan kehadiran urat kalsium sulfat putih, kawasan tengah berwarna kemerahan, dan tompok-tompok kecil berwarna putih di atas batu itu.


"Di Bumi, ciri-ciri seperti ini dalam batu sering dikaitkan dengan rekod fosil mikrob yang hidup di bawah permukaan," kata David Flannery, seorang ahli "astrobiologist" di Universiti Queensland Australia dan ahli pasukan sains itu.


Walaupun ciri-ciri yang diperhatikan pada batu itu mencadangkan kemungkinan kehidupan mikrob di Marikh semasa tempoh yang lebih panas dan lembap, penjelasan alternatif seperti suhu tinggi yang menjadikan persekitaran tidak boleh didiami tidak boleh diketepikan.


Untuk mengesahkan sama ada batu itu memang mengandungi bukti kehidupan mikrob, pemeriksaan lanjut di Bumi diperlukan.


Bagaimanapun, misi membawa pulang sampel Marikh NASA menghadapi cabaran, termasuk belanjawan terkurang dan kelewatan yang ketara, menyebabkan jangkaan penyelesaiannya ditolak ke tahun 2040-an.


Berikutan kekangan ini, NASA sedang giat meneroka pendekatan alternatif untuk mempercepatkan usaha membawa pulang sampel Marikh, dengan matlamat untuk mencapai tujuan ini lebih awal dan pada kos yang lebih rendah.


Versi beranotasi imej "Cheyava Falls" menunjukkan tanda bintik harimau bintang, yang telah menarik perhatian saintis dan olivin (sejenis mineral) di dalam batu. Imej itu ditangkap oleh instrumen WATSON pada rover Perseverance Mars NASA pada 18 Julai lalu. - Foto NASA/JPL-Caltech/MSSS.
Dua pekerja bunuh bos, sakit hati disindir ketika mahu pinjam wang

Dua pekerja bunuh bos, sakit hati disindir ketika mahu pinjam wang


Dua orang pekerja nekad membunuh majikannya selepas mereka tersinggung dengan kata-kata mangsa ketika mereka mahu meminjam wang daripadanya, lapor laman berita Tribun News pada 25 Julai 2024.


Mangsa dikenali Abdullah, 54, penjual mi Aceh di Jalan Makmur, Pasar VII Tembung, Daerah Percut Seituan, Deli Serdang, maut dibunuh dua pekerjanya pada hari Ahad awal bulan lalu (2/6/2024).


Kes pembunuhan itu terbongkar selepas ahli keluarga mangsa berasa curiga kerana gagal menghubunginya sebelum mereka menemui mayat lelaki terbabit di rumahnya. Keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis di balai polis Deli Serdang.


Pelaku bernama, Reza Adrian Siregar alias Reza, 34, penduduk Jalan Letda Sujono, Kampung Bandar Selamat, Daerah Medan Tembung berjaya ditangkap. Dia terpaksa menahan sakit di kedua-dua kaki, selepas ditembak polis kerana melawan ketika ditahan.


Sambil duduk di atas kerusi roda dan menahan kesakitan di kedua-dua belah kaki, dia mengakui nekad membunuh mangsa kerana berasa sakit hati dengan kata-kata peniaga mi Aceh itu.


"Saya sakit hati, sebab saya bekerja dengan dia kemudian minta IDR 100 ribu dan diberi IDR 50 ribu 'kerja belum siap, awak tak ada otak'," kata Reza kepada Tribun-medan, Khamis (25/7/2024).


Video amatur menunjukkan bagaimana ahli keluarga mangsa menemui mayat lelaki itu yang dijumpai sudah mereput di dalam bilik rumahnya di Jalan Makmur, Desa Sumber Jaya Timur, Deli Serdang, Sumatera Utara, beberapa hari selepas gagal menghubunginya.


Ketua Polis Medan Tembung Kompol Jhonsin Mangara Sitompul berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dibunuh oleh dua orang pekerjanya sendiri.


Menurut pengakuan Reza, dia tidak membunuh mangsa seorang diri, tetapi bersama seorang lagi rakan.


"Saya pukul dia dengan botol sos tomato sekali di kepala, apabila dia meronta-ronta, saya tarik dia masuk ke dalam bilik. Kawan saya pun pukul dia dengan botol sirap," katanya.


Reza berkata, selepas kejadian rakannya yang kini menjadi buruan, mengambil motosikal mangsa dan menjualnya. Selepas itu, rakannya melarikan diri ke Kemboja. - Sumber Tribun News.


Polis menahan Reza Adrian Siregar yang membunuh seorang peniaga mi Aceh bernama Abdullah di Jalan Makmur, Daerah Percut Sei Tuan, Deli Serdang. - Foto Tribun News.