Sabtu, 27 Julai 2024

7 mak nyah berbaju kurung, tudung dan berpakaian seksi ditahan di Terengganu

7 mak nyah berbaju kurung, tudung dan berpakaian seksi ditahan di Terengganu


Gara-gara berpakaian seperti wanita termasuk berbaju kurung dan bertudung, tujuh lelaki ditahan atas kesalahan berpakaian wanita dalam operasi dijalankan di sebuah flat pada malam Jumaat.


Kesemua tujuh lelaki itu berusia dalam lingkungan 17 hingga 54 tahun ditahan pada pukul 12 tengah malam oleh pasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).


Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, serbuan tersebut dijalankan di tiga buah rumah di sebuah flat dekat bandar Kuala Terengganu kira-kira jam 12.15 tengah malam (Sabtu).


Menurutnya, ketika serbuan terdapat antara lelaki berkenaan memakai baju kurung serta berpakaian menjolok mata. Serbuan itu dilakukan berikutan aduan daripada penduduk setempat.


"Mereka mendakwa kurang selesa dengan perlakuan lelaki berpakaian wanita terbabit yang sering berkumpul di beranda rumah masing-masing terutama pada waktu malam.


"Perbuatan itu didakwa menarik ramai lelaki 'berhidung belang' memasuki kawasan flat berkenaan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.


Aizi Saidi berkata, serbuan yang dilakukan di tiga buah rumah di kawasan flat berkenaan dijalankan hasil pemantauan beberapa kali oleh pegawai penguat kuasa syariah sebelum ini.


Mengulas lanjut, Aizi Saidi berkata, mereka ditahan di bawah Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 iaitu lelaki yang berlagak seperti perempuan.


"Mereka telah dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan bon jaminan hadir ke mahkamah," katanya.


Sebahagian lelaki berpakaian wanita yang ditahan JHEAT di sebuah flat di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Sinar Harian.
Wanita yang digelar penunggang motosikal paling cantik maut dalam kemalangan

Wanita yang digelar penunggang motosikal paling cantik maut dalam kemalangan


Seorang YouTuber yang digelar sebagai 'penunggang motosikal paling cantik' di internet, maut dalam kemalangan motosikal ketika bercuti di Turkiye, lapor Mirror UK pada 26 Julai 2024.


Tatyana Ozolina atau lebih dikenali sebagai MotoTanya, 38, meninggal dunia ketika dalam perjalanan antara Mugla dan Bodrum.


Wanita itu dilaporkan menunggang BMW S1000RR berwarna merah apabila motosikalnya dilanggar oleh motosikal rakannya daripada konvoi yang sama.


Dia membrek secara mengejut dan hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori dekat Milas. Tatyana mengalami kecederaan parah termasuk luka di leher.


Dia sedar selepas nahas berlaku tetapi tidak dapat bertahan lama dan meninggal dunia sebelum ambulans tiba.


Seorang penunggang motosikal Turkiye, Onur Obut yang bersamanya parah manakala seorang lagi penunggang tidak cedera.


Tatyana dipercayai mempunyai seorang anak lelaki berusia 13 tahun. Dia berada di Turkiye selepas tidak dapat memasuki Eropah di sempadan Greece kerana halangan peperangan.


Polis masih menyiasat kemalangan itu, tetapi laporan mengatakan bahawa dia hilang kawalan selepas motosikalnya dipintas penunggang motosikal lain.


Ketua Persatuan MotoMoscow, Andrei Ivanov, memberi penghormatan kepada bintang media sosial itu.


"MotoTanya tidak bersama kami lagi. Dia mempunyai kehidupan yang cerah dan indah. Berjuta-juta orang mengikutinya. Mungkin tidak ada seorang penunggang motosikal di negara ini yang tidak peduli dengan Tatyana.


"Dia dipuja, dicemburui, dikagumi, ditiru, dianugerahkan sebagai blogger terkemuka dan, pada masa yang sama, dibincangkan dan difitnah. Kini yang tinggal hanyalah ingatannya. Tidurlah dengan lena," tulisnya.


Tatyana Ozolina mempunyai pengikut dalam talian dengan 5 juta peminat di TikTok, 2 juta di YouTube dan satu juta pengikut Instagram. - Sumber Mirror UK.


Tatyana Ozolina. - Foto Instagram MotoTanya.
Wanita memotong kemaluan suami kerana menikah satu lagi

Wanita memotong kemaluan suami kerana menikah satu lagi


Tindakan seorang lelaki yang mendedahkan bahawa dia berkahwin satu lagi kepada isterinya mengundang padah apabila wanita itu bertindak memotong kemaluannya. Kejadian itu dilaporkan berlaku di rumah mereka di Kecamatan Bayung Lencir, Sumatera Selatan.


Insiden bermula apabila mangsa mendedahkan bahawa dia sudah berkahwin tanpa pengetahuan isterinya itu hingga membawa kepada pertelingkahan mulut yang agak panjang.


"Pada malam itu saya minta dia ceraikan saya atau dia ceraikan isteri mudanya, tetapi dia tidak mahu kerana madu saya itu sedang mengandung.


"Selepas itu, saya terima sahaja kerana memikirkan nasib tiga anak saya jika diceraikan, kemudian suami meminta saya menelefon wanita itu dan saya lakukan dan maklumkan kepadanya bahawa saya merestui hubungan mereka," katanya.


Bagaimanapun kata wanita itu, selepas bangun dan solat Subuh dia kemudiannya menangis dan tidak dapat menerima kenyataan bahawa suaminya berkahwin lagi.


"Saya secara spontan mengambil alat pemotong, kemudian mengerat kemaluannya ketika dia sedang tidur," katanya.


Jelasnya, suaminya bagaimanapun masih selamat kerana telah mendapat pertolongan daripada orang tuanya.


Susulan itu pada 23 Julai, wanita yang dikenali sebagai Lisa Yani itu bakal dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan lima bulan jika disabit kesalahan.


Hakim Mahkamah Negeri Muba, Hakim Silvi Ariani berkata, wanita itu bakal dijatuhkan hukuman berkenaan kerana melanggar Seksyen 44 Ayat (2) Undang-Undang Indonesia Nombor 23 Tahun 2004 mengenai keganasan dalam rumah tangga.


Silvi berkata, hukuman berat dikenakan selepas mengambil kira keadaan mangsa, Rian Hidayat yang mengalami cacat kekal kerana tindakan suspek.


Bagaimanapun Silvi berkata, suspek mungkin dikenakan hukuman yang lebih ringan selepas mengambil kira pendamaian antara kedua-dua mereka selain status pelaku yang masih isteri kepada mangsa.


"Perbicaraan keempat yang diadakan semalam, defendan menyatakan bahawa mangsa yang merupakan suaminya telah memaafkannya dan dia mengatakan bahawa dia telah berbaik semula dengan suaminya," kata pendakwa raya Giovani. - Sumber Tribun News.


Lisa Yani, terdakwa, memotong kemaluan suaminya ketika menghadiri perbicaraan susulan di Mahkamah Daerah Muba, Selasa (23/7/2024). - Foto Tribun News.

Jumaat, 26 Julai 2024

Wanita terselamat jadi mangsa rogol kerana datang haid

Wanita terselamat jadi mangsa rogol kerana datang haid

 

Polis menahan seorang lelaki di wilayah Songkhla, selatan Thailand semalam kerana cuba memperkosa seorang tukang urut sebelum mengubah fikiran dan mencuri telefon bimbit mangsa. Dia berbuat demikian kerana wanita itu datang haid, lapor laman berita Thaiger pada 26 Julai 2024.


Tukang urut berusia 28 tahun itu melarikan diri dan meminta bantuan seorang pemandu di daerah Hat Yai, Songkhla. Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Tung Lung dan menceritakan butiran kejadian.


Tukang urut itu berkata, suspek yang kemudian dikenali sebagai Teeraphat, 20, menghubunginya melalui aplikasi LINE.


Dia mengupah mangsa untuk menyediakan perkhidmatan urut di sebuah resort berhampiran tempat kejadian dan menawarkan bayaran sebanyak 2,000 baht (RM258), baru-baru ini.


Ketika mangsa membonceng motosikal suspek menuju ke resort itu, Teeraphat mendakwa bahawa dia perlu ke tandas dan melencongkan motosikalnya ke sebuah ladang getah di tepi jalan.


Teerafat didakwa mencampakkan mangsa ke tanah dan cuba melakukan perkara tidak senonoh terhadap dirinya.


Teerafat menghentikan niat jahatnya apabila mendapati mangsa benar-benar datang haid. Dia kemudian melarikan telefon bimbit wanita berkenaan.


Polis menahan Teeraphat semalam di rumahnya di daerah Namom, Songkhla. Teeraphat mengaku perbuatannya dan memberi alasan bahawa ketika kejadian, isterinya sedang hamil.


Laman berita DailyNews melaporkan bahawa polis telah mengeluarkan pertuduhan terhadap Teerafat tanpa memberikan butiran lanjut. - Sumber The Thaiger.


Suspek (bulatan merah) ditahan kerana cuba melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang tukang urut. - Foto Thaiger.
Mengamuk sebab bayi jatuh, lelaki kejar ancam isteri dengan gunting tak mengaku bersalah

Mengamuk sebab bayi jatuh, lelaki kejar ancam isteri dengan gunting tak mengaku bersalah


Seorang pekerja pengurusan jenazah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menakutkan isterinya dengan cara mengejar mangsa sambil memegang gunting dalam kejadian pada Sabtu lalu.


Tertuduh, Mohd Ridzuan Mohd Fauzi, 34, tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.


Berdasarkan pertuduhan, Mohd Ridzuan didakwa dengan niat menakutkan isterinya, Siti Najira Abdul Sahak, 39, dengan cara mengejar sambil memegang gunting.


Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di sebuah pangsapuri dekat Kota Laksamana kira-kira jam 8.30 malam pada 20 Julai lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara selama tujuh tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.


Difahamkan tertuduh 'naik hantu' selepas bayi mereka berusia tiga bulan dikatakan terjatuh dan mendakwa kejadian itu berlaku gara-gara mangsa cuai.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Wardah tidak menawarkan jaminan, namun memohon jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan.


Peguam bela tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh berkerja membuat pengurusan jenazah dengan pendapatan RM1,800 dan mempunyai tanggungan dua anak.


"Tertuduh juga bersedia dengan syarat tambahan dan berjanji akan hadir di mahkamah pada tarikh akan datang," katanya.


Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 beserta syarat tambahan tidak akan menganggu mangsa sehingga kes selesai.


Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 Ogos depan untuk lantikan peguam bela dan serahan dokumen.


Tertuduh mengaku tidak bersalah mengejar isterinya sambil memegang gunting ketika didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini. - Foto Berita Harian.

Khamis, 25 Julai 2024

Anak tauke restoran yang hilang Ahad lalu, ditemukan mati akibat dibunuh

Anak tauke restoran yang hilang Ahad lalu, ditemukan mati akibat dibunuh


Misteri kehilangan seorang lelaki sejak Ahad lalu, terjawab apabila mayatnya ditemui dipercayai dibunuh di kawasan semak berdekatan sebuah ladang di Kampung Sungai Memanjang, Sandakan, Sabah, hari ini.


Mayat mangsa dikenali sebagai Naufal Abdul Rashid, 35, dipercayai anak kepada pemilik sebuah restoran terkenal di daerah ini ditemui kira-kira jam 11 pagi ketika sepasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, melakukan pemeriksaan di kawasan tersebut.


Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy Kuppan, berkata pihaknya menerima laporan awal berhubung penemuan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar di kawasan berkenaan.


Beliau berkata, susulan itu sepasukan polis dikejarkan ke tempat berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.


"Setiba di lokasi didapati sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar, namun tiada individu di dalam kenderaan berkenaan.


"Anggota bertugas kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi kenderaan itu sebelum menemui satu mayat lelaki yang disyaki berkaitan satu kes laporan orang hilang pada Ahad lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Ramasamy berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of kent (HDOK) Sandakan untuk tujuan bedah siasat.


"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.


Sebelum ini tular di media sosial berkaitan kehilangan seorang lelaki yang juga anak tauke restoran kira-kira jam 3 petang, Ahad lalu.


Mayat lelaki dibawa ke Unit Forensik HDOK untuk tujuan bedah siasat. - Foto Sinar Harian.
Pelacur pakai baju anime menangis teresak-esak merayu supaya tidak ditahan JIM

Pelacur pakai baju anime menangis teresak-esak merayu supaya tidak ditahan JIM


Seorang pelacur warga Laos memakai baju anime 'Marin Kitagawa' sanggup menawarkan suapan RM16,000 sambil merayu dan menangis teresak-esak supaya tidak ditahan Jabatan Imigresen (JIM) negeri di sebuah hotel di Jalan Zainal Abidin di George Town, malam tadi.


Wanita berkenaan merupakan salah seorang daripada tiga pelacur asing yang diberkas ketika menunggu pelanggan dengan masing-masing memakai kostum anime tarian balet, jururawat serta gadis pejabat.


Dua lagi wanita adalah warganegara Thaliand dan Vietnam itu ditahan dalam operasi bermula pukul 9 malam.



Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim berkata, serbuan ke atas hotel tersebut dijalankan hasil maklumat awam berhubung aktiviti pelacuran yang beroperasi disebalik hotel berkenaan.


Menurutnya, hasil semakan awal mendapati ketiga-tiga wanita berusia 25 hingga 29 tahun itu baru menetap di negara ini sejak dua minggu lalu dan menawarkan khidmat seks menerusi tempahan di laman web bermula pada harga RM240.


"Kita tidak menolak kemungkinan yang wanita terbabit dilindungi oleh sindiket manakala pelanggan pula terdiri dalam kalangan VIP.


"Ketika serbuan, kesemua wanita terbabit berada di dalam bilik masing-masing," katanya.


Turut dirampas dalam serbuan tersebut adaah telefon bimbit, minyak pelincir, kondom, wang tunai, pil perancang yang kesemuanya ditemui dalam bilik tiga wanita berkenaan.


Tambahnya, kesemua tangkapan dibawa ke pejabat imigresen untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.


Salah seorang daripada tiga pelacur yang diberkas JIM Pulau Pinang di hotel Jalan Zainal Abidin, George Town, malam tadi. - Foto Kosmo Online.
Berkat berjimat selama 21 tahun, lelaki bersara usia 45 tahun dengan dana RM4 juta

Berkat berjimat selama 21 tahun, lelaki bersara usia 45 tahun dengan dana RM4 juta


Seorang lelaki Jepun menarik perhatian apabila menjalani kehidupan sangat berjimat cermat selama 21 tahun kerana ingin menabung hingga AS$640,000 (kira-kira RM2.9 juta).


Usahanya dengan matlamat bersara awal itu membuahkan hasil apabila dia baru-baru ini mengumumkan bersara dengan AS$860,000 (kira-kira RM4 juta).


Memetik laporan South China Morning Post, lelaki yang tidak dikenali itu yang berusia 45 memulakan rancangan simpanannya pada awal 2000-an, selepas mendapat pekerjaan yang stabil.


Dia sentiasa bersedia jika syarikat itu memerlukan pekerja bekerja lebih masa, dengan kadang-kadang sehingga lewat malam.



Dalam usaha untuk menjalani gaya hidup 'bebas kewangan, bersara awal', lelaki itu yang memperoleh gaji tahunan kira-kira AS$32,000 (kira-kira RM192,000) merangka rancangan teliti dengan menyimpan 100 juta yen (AS$640,000 atau kira-kira RM2.9 juta), seawal mungkin.


Dia bermula dengan memberi dirinya identiti dalam talian sebagai 'Lelaki Yang Pasti Akan Berhenti Kerja' sebagai motivasi.


Selama lebih dua dekad, dia tinggal di asrama syarikat, membayar AS$190 (kira-kira RM887) sebulan untuk sewa, dan mencari peralatan dan perabot rumah yang dibuang oleh pemilik asal.


Makanannya sangat menjimatkan, dengan makan malam biasa mungkin terdiri daripada plum masam, beberapa sayur masin dan semangkuk nasi.


Kadang-kadang makan malam itu hanyalah minuman tenaga, yang diperolehnya menggunakan mata percuma dari kedai serbaneka.


Dia juga akan mengambil minuman berkarbonat dan biskut sebagai hidangan malamnya sambil menonton filem bertemakan penjara dan bergurau bahawa kehidupannya dalam syarikat itu tidak berbeza dengan menjalani hukuman penjara 20 tahun.


Selepas ketuhar gelombang mikronya pecah, dia juga beralih kepada makan keledek dari musim sejuk ke musim panas, dengan memasaknya menggunakan haba musim panas di cermin depan kereta rakan sekerjanya.


Selain itu, dia tidak pernah menggunakan penyaman udara atau pemanas, sebaliknya memilih untuk menyejukkan badan pada musim panas dengan kemeja-T basah dan memanaskan badan pada musim sejuk dengan melakukan gerakan mencangkung (squat).


Usahanya membuahkan hasil awal tahun ini apabila dia mengumumkan di media sosial bahawa dia akhirnya berjaya mencapai sasaran simpanan AS$860,000 (kira-kira RM4 juta) selepas 20 tahun 10 bulan bekerja untuk syarikat itu.


Selepas mencapai kebebasan kewangan, kehidupannya bertambah baik. Dia kini menikmati empat telur rebus untuk sarapan pagi dan membeli ketuhar gelombang mikro supaya dia boleh menikmati hidangan panas.


Bagaimanapun, kegembiraannya tidak lama, apabila baru-baru ini dia mendedahkan bahawa simpanannya menyusut secara mendadak akibat penyusutan nilai Yen sejak awal tahun ini. - Sumber South China Morning Post.


Lelaki Jepun sanggup berjimat dengan makan makanan yang ringkas untuk menjimatkan wang. - Foto South China Morning Post.

Rabu, 24 Julai 2024

Pemuzik maut terkena renjatan elektrik selepas peluk peminat yang basah kuyup

Pemuzik maut terkena renjatan elektrik selepas peluk peminat yang basah kuyup


Seorang pemuzik Brazil maut akibat terkena renjatan elektrik selepas dipercayai memeluk peminat yang dalam keadaan basah semasa persembahan secara langsung, baru-baru ini, lapor portal Independent pada 22 Julai 2024.


Ayres Sasaki, 35, membuat persembahan di Hotel Solar di Salinopolis, Brazil, pada 13 Julai, apabila dia menyentuh peminat yang basah kuyup. Sentuhan antara kedua-duanya mencetuskan renjatan elektrik.


Walaupun masih tidak jelas mengapa peminat itu dalam keadaan basah, dan kes itu masih dalam siasatan polis.


Dalam pada itu, polis berkata, saksi kejadian sudah memberikan keterangan dan pihak berkuasa sudah meminta laporan daripada pakar.


Walaupun kebanyakan laporan mendedahkan Sasaki mati selepas memeluk peminat, laporan oleh akhbar Brazil, Diario do Para menyatakan Sasaki bermain gitarnya ketika dia terkena renjatan elektrik.


The Solar Hotel berkongsi satu kenyataan di media sosial mengatakan bahawa mereka bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan ke atas kematian Sasaki.


"Kami berdedikasi sepenuhnya untuk memberikan sokongan kepada keluarganya dan mengambil langkah yang perlu.


"Kami mengesahkan komitmen kami untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berwibawa bagi mendapatkan penjelasan yang sewajarnya mengenai insiden itu.


"Ucapan takziah kami bersama keluarga dan rakan Ayres Sasaki pada masa yang sukar ini," tulis hotel itu dalam hantaran di Instagram.


Ibu saudara Sasaki, Rita Matos, memberitahu Istoé Gente: "Kami sedang menghubungi orang yang bersamanya pada masa ini untuk memahami bagaimana segala-galanya berlaku. Kami akan mengumpulkan semua maklumat dalam satu kenyataan yang akan kami keluarkan kepada akhbar".


Sasaki berkahwin 11 bulan lalu dan juga seorang perancang bandar, selain kerjaya nyanyiannya.


Isteri Sasaki, Mariana menyiarkan mesej di Cerita Instagramnya, mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas mesej sokongan mereka. - Sumber Independent.


Penyanyi, Ayres Sasaki meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik di Hotel Solar di Salinopolis, Brazil pada Sabtu lepas. - Foto Instagram/sasaki.
Beruang matahari kelaparan ceroboh rumah, makan 15kg minyak masak terpakai

Beruang matahari kelaparan ceroboh rumah, makan 15kg minyak masak terpakai


Seekor beruang matahari yang sebelum ini pernah menceroboh masuk ke rumah penduduk di Kampung Padang Serai, Setiu berjaya memasuki perangkap yang dipasang pagi Selasa.


Sebelum ini kehadiran beruang itu turut menyebabkan kanak-kanak di kampung berkenaan takut untuk keluar rumah.


Menurut seorang penduduk, Amir Hakim Mohd Zaki, 21, sebelum ini beruang itu pernah menceroboh dan memakan sisa makanan yang berada di dalam singki dapur rumahnya.


"Kejadian ini berlaku bulan lepas dan minyak masak terpakai yang disimpan di bahagian belakang dapur rumah kami juga turut diselongkar.


"Kira-kira 15 kilogram (kg) minyak masak terpakai yang di simpan di dalam botol itu habis dimakan haiwan berkenaan dan ianya disedari apabila kami menjumpai botol minyak tersebut di sekitar kawasan rumah," katanya ketika kepada pemberita, hari ini.


Seorang lagi penduduk, Ramli Jusoh, 63, berkata, penduduk setempat berasa lega selepas haiwan itu berjaya ditangkap.


"Kami bersyukur sebab sebelum ini penduduk kampung diselubungi rasa takut kerana ia beberapa kali dilihat berkeliaran di kawasan rumah penduduk sejak dua bulan lalu.


"Sepanjang tempoh itu kami tak berani untuk keluar rumah kerana bimbang diserang sekiranya terserempak dengan beruang tersebut," katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi berkata, beruang jantan seberat 140 kg itu dikatakan masuk perangkap yang dipasang pihak Perhilitan pada awal pagi semalam.


Menurutnya, perangkap itu dipasang sejurus menerima aduan berhubung gangguan haiwan liar itu oleh penduduk kampung.


"Kita telah menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai gangguan seekor beruang sejak 12 Jun lalu.


"Susulan daripada itu kita berjaya menangkap seekor beruang pada 20 Jun lalu dan semalam (Selasa) seekor lagi ditangkap di kampung yang sama," katanya.


Kean Seong memberitahu, beruang berkenaan telah dilepaskan kembali ke habitat asalnya.


Beruang matahari jantan seberat 140kg yang memasuki perangkap telah dilepaskan ke habitat asalnya. - Foto Sinar Harian.