Rabu, 17 Julai 2024

Demi fantasi seksual, remaja lelaki ubah gambar berpuluh kawan wanita jadi bogel guna AI

Demi fantasi seksual, remaja lelaki ubah gambar berpuluh kawan wanita jadi bogel guna AI


Seorang lelaki dari Desa Suci, Kecamatan Manyar, Kabupaten Gresik, Indonesia berjaya ditahan polis selepas dipercayai menyunting gambar kawan perempuannya menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) bagi tujuan tidak baik.


Media tempatan melaporkan, sekitar 20 gadis perempuan telah diubah gambar mereka kepada foto bogel.


Ketua Polis Daerah Gresik AKBP Adhitya Panji Anom melalui Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Gresik, Ipda Komang Andhika Haditya Prabu menjelaskan, motif utama pelaku yang dikenali sebagai ARB itu hanyalah untuk tujuan suka-suka dan peribadi.


Setakat ini satu laporan polis telah dibuat mangsa terhadap pelaku yang berusia 18 tahun tersebut, namun ia mewakili puluhan mangsa yang datang ke Ibu Pejabat Polis Gresik semalam.


"Pelaku memperoleh gambar mangsa menerusi media sosial yang merupakan rakan-rakan perempuannya di sekolah," kata polis daerah Gresik.


Semua mangsa kini mengalami trauma yang teruk kerana gambar yang disunting itu telah disebarkan oleh pelaku di media sosial.


"Jadi suspek ini menyunting dan memanipulasi gambar mangsa supaya kelihatan berbogel. Kemudian muat naik di media sosial. Dari keterangan tersangka, ini kerana fantasi seksualnya," kata Ipda Komang, Selasa (16/7/2024).


Di hadapan penyiasat, ARB mengakui semua tindakannya. Ternyata perbuatan nakalnya itu telah dilakukan sejak Ogos 2023. Berpuluh-puluh wanita muda menjadi mangsanya.


ARB bakal dikenakan hukuman menurut Undang-Undang Indonesia, Pasal 45 Ayat (1) Juncto Pasal 27 Ayat (1) UU tentang Informasi dan Transaksi Elektronik (ITE), jika disabitkan kesalahan dia bakal dikenakan hukuman enam tahun penjara. - Sumber Info Gresik.


ARB ketika dibawa polis. Foto Info Gresik.

Selasa, 16 Julai 2024

Wanita rakam gambar makhluk misteri dipercayai anak Bigfoot hendap rusa

Wanita rakam gambar makhluk misteri dipercayai anak Bigfoot hendap rusa


Seorang wanita berjaya merakam imej dipercayai anak Bigfoot sedang menghendap beberapa ekor rusa, lapor portal berita Daily Star pada 14 Julai 2024.


Wanita berkenaan, Stephanie Wood pada mulanya menyangka makhluk tersebut ialah seorang kanak-kanak yang memakai kostum Bigfoot.


Bagaimanapun, dia kini berpendapat bahawa imej yang dirakam adalah sesuatu yang lebih serius.


"Reaksi kami ialah ia mungkin seorang kanak-kanak. Namun, selepas menganalisis gambar ini untuk seketika, kami tidak begitu pasti lagi.


"Adakah ia anak Sasquatch (Bigfoot) atau salah seorang daripada orang kecil berbulu?" tulis wanita itu di laman Facebook.


Foto itu telah menarik minat pengguna di media sosial sekaligus mendapat banyak ulasan.


Robert Anthony berkata: "Sejujurnya, rusa dalam foto menjadikan ini 99.9% boleh dipercayai. Ini kelihatan seperti sasquatch remaja yang saya lihat dalam mimpi."


Richard Mckenzie menambah: " Bigfoot? Rusa di latar depan itu lebih besar daripada kanak-kanak berkostum itu."


Mona Hernandez turut mengulas: "Tangan itu kelihatan sangat manusia. Cara rambut diikat di pergelangan tangan juga. Saya fikir ia adalah satu penipuan, ia sebenarnya manusia."


Lokasi gambar itu dirakam tidak didedahkan tetapi pada kebiasaannya, Bigfoot dilaporkan hidup di rantau Amerika Utara. - Sumber Daily Star.


Anak seekor Bigfoot menghendap beberapa ekor rusa yang berjaya dirakamkan. - Foto Stephanie Wood/Facebook.

Isnin, 15 Julai 2024

Anggota polis trafik cedera, patah tulang pinggul dilanggar pemandu mabuk

Anggota polis trafik cedera, patah tulang pinggul dilanggar pemandu mabuk


Seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk di Kilometer 3.6 Jalan Pantai di Johor Bahru, semalam.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian jam 7.05 pagi itu, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan yang berusia 30-an itu sedang mengawal aliran trafik selepas berlaku satu kemalangan di lokasi terbabit.


"Kemalangan berlaku ketika mangsa sedang membuat kawalan lalu lintas berikutan satu kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas sendiri di lorong kanan menghala ke Permas Jaya.


"Ketika proses penundaan dilakukan, tiba-tiba datang sebuah kereta Proton Wira warna Perak dari arah belakang mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri lalu melanggar anggota polis trafik yang sedang berdiri di sebelah trak tunda," katanya menerusi kenyataan media, semalam.


Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke atas cermin hadapan Proton Wira berkenaan sebelum melambung dan terjatuh di tengah jalan.


Menurutnya, mangsa patah tulang pinggul sebelah kiri, luka di muka dan dagu selain luka di bahagian tangan kanan.


Manakala, katanya, pemandu kereta berkenaan yang berusia 30-an pula luka pada tangan sebelah kiri.


"Hasil ujian pernafasan mendapati pemandu kereta berkenaan positif alkohol dalam darah, manakala hasil ujian saringan awal air kencing mendapatinya negatif dadah," jelasnya.


Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini membenarkan reman selama empat hari terhadap lelaki tersebut hingga Khamis depan.


Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.


Permohonan reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bawah Seksyen 44 (1A)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu bawah pengaruh alkohol.


Seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk di Kilometer 3.6 Jalan Pantai, Johor Bahru, semalam. - Foto Harian Metro.
Penumpang wanita buka pintu kecemasan pesawat disangka pintu tandas

Penumpang wanita buka pintu kecemasan pesawat disangka pintu tandas


Seorang penumpang wanita membuka pintu keluar kecemasan dalam penerbangan pesawat China CA2754 dari Quzhou ke Chengdu ketika ia sedang bersedia untuk berlepas pada Khamis, 4 Julai lalu.


Kejadian itu menyebabkan penerbangan tersebut segera dibatalkan dan kesemua penumpang dipindahkan ke sebuah hotel serta diberi pampasan sebanyak 400 yuan (RM257) bagi setiap penumpang.


Media China melaporkan, difahamkan wanita itu bertindak sedemikian kerana percaya bahawa pintu keluar kecemasan itu merupakan pintu ke tandas.


"Dia baru pertama kali menaiki pesawat, dia membuka pintu itu secara diam-diam tanpa ada penumpang lain yang melihatnya.


"Mendengar pintu itu dibuka, ada penumpang lain menjerit dan menangis kerana pesawat segera dibatalkan penerbangannya," kata Cheng salah seorang penumpang seperti dilaporkan SCMP baru-baru ini.


Penumpang berkenaan kini disiasat polis berhubung tindakannya itu.


Sementera itu, tindakan kurang bijak penumpang itu menuai kritikan meluas di platform media sosial China.


Seorang pengguna Weibo menulis bahawa tiada alasan dia bertindak sedemikian kerana perkara itu mengundang bahaya kepada pesawat tersebut.


"Tiada alasan yang mengatakan bahawa dia pertama kali naik pesawat bertindak sedemikian, tidak boleh kah dia bertanya kepada kru pesawat di mana letakknya tandas," ujarnya.


Di China tindakan membuka pintu keluar kecemasan secara sengaja boleh dikenakan denda yang tinggi dan dianggap tindakan menyalahi undang-undang negara. - Sumber South China Morning Post.


Penumpang dan kru kabin terkejut apabila gelongsor pemindahan digunakan. - Foto Eastern Business News.

Ahad, 14 Julai 2024

1,000 ikan paus iringi seorang lelaki mendayung secara solo rentas Lautan Atlantik

1,000 ikan paus iringi seorang lelaki mendayung secara solo rentas Lautan Atlantik


Lebih 1,000 ikan paus mengiringi seorang lelaki yang mendayung secara solo merentasi Lautan Atlantik untuk program kutipan sumbangan badan amal, lapor akhbar Metro UK pada 13 julai 2024.


Tom Waddington, seorang jurulatih ski membuat pengembaraan di lautan sejauh lebih 2,000 kilometer (km) dari Newfoundland ke Penzance berseorangan bagi mengumpul wang untuk sebuah badan amal kesihatan mental, Mind.


Sebuah video yang dimuat naik ke akaun Instagramnya sebagai mendokumentasikan perjalanan itu menunjukkan dia disertai sekumpulan ikan paus.


"Ini sangat menakjubkan. Sungguh istimewa. Saya sukakannya tetapi saya takut mereka (paus) akan terlanggar kemudi," katanya dalam video.


Tidak lama selepas menyatakan kebimbangannya, berlaku pelanggaran di tepi botnya namun kemudi itu kekal utuh membolehkan Waddington meneruskan perjalanannya.


Menggambarkan pertemuan dengan sekumpulan paus selepas itu, dia berkata: 'Mereka hanya bermain dan pergi ke bawah bot dan saya sedang merakam video.


Selepas kira-kira dua jam, ikan paus berenang, meninggalkan Waddington apa yang disifatkannya sebagai 'adrenalin yang didorong oleh ikan paus' untuk sepanjang pelayarannya.


'Akhirnya, mereka meninggalkan Tom sendirian,' katanya dalam catatan di Instagramnya. - Sumber Metro UK.


Antara ikan paus yang mengiringi Tom Waddington yang mendayung secara solo merentasi Lautan Atlantik. - Foto Tom Waddington.
Lelaki tiba-tiba pengsan ketika menghadiri majlis perkahwinan bekas kekasih

Lelaki tiba-tiba pengsan ketika menghadiri majlis perkahwinan bekas kekasih


Seorang pengantin wanita terkejut apabila bekas teman lelakinya yang tidak diundang, tiba-tiba hadir dan pengsan semasa majlis perkahwinan berlangsung, lapor saluran berita Tribunnews semalam.


Menerusi lapor Sanook.com pada Jumaat (12/7/2024) kejadian itu diketahui berlaku di sebuah majlis perkahwinan yang diadakan di Provinsi Hunan, China.


Pada mulanya majlis perkahwinan berjalan dengan lancar dan tiada sebarang kekecohan berlaku.


Semua tetamu yang hadir turut seronok dengan majlis perkahwinan tersebut dan memuji betapa harmoninya pasangan pengantin.


Tuan rumah juga meminta beberapa tetamu dan keluarga mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin.


Tuan rumah turut meminta pasangan pengantin untuk mengucapkan sepatah dua kata di hadapan tetamu.


Sedang pasangan pengantin berbual, tiba-tiba salah seorang lelaki pengsan di tengah-tengah tetamu yang hadir.


Majlis yang berjalan dengan lancar pada awalnya, bertukar huru-hara apabila tetamu lari dalam ketakutan kerana terkejut.


Nasib baik salah seorang bridesmaid berlari dan melakukan CPR dan menghubungi perkhidmatan kecemasan.


Selepas itu, lelaki itu dikejarkan ke hospital yang hanya 10 minit dari lokasi tersebut.


Menurut laporan, lelaki yang pengsan itu adalah bekas teman lelaki pengantin perempuan. Lebih mengejutkan apabila lelaki terbabit tidak menerima undangan.


Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan rata-rata, netizen berang dengan tindakan lelaki itu.


"Seharusnya dia tidak hadir ke majlis perkahwinan bekas kekasihnya. Bukankah dia tidak diundang?" kata netizen.


"Dia sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan pengantin wanita. Dia hanya burukkan suasana," kata netizen lain. - Sumber Tribun-Medan.


Lelaki pengsan di majlis perkahwinan bekas kekasihnya. Seorang bridesmaid berlari dan melakukan CPR dalam usaha membantu lelaki itu. - Foto Tribun-Medan.

Jumaat, 12 Julai 2024

Lelaki ditangkap ketika cuba seludup lebih 100 ular dalam seluar

Lelaki ditangkap ketika cuba seludup lebih 100 ular dalam seluar


Lelaki ditangkap ketika cuba menyeludup lebih 100 ular hidup ke tanah besar China dengan memasukkan reptilia itu ke dalam seluarnya, menurut pihak berkuasa kastam.


Pengembara yang tidak dinamakan itu dihalang oleh pegawai kastam ketika dia cuba menyelinap keluar dari Hong Kong ke bandar sempadan Shenzhen, kata Kastam China dalam satu kenyataan pada 10 Julai.


"Selepas diperiksa, pegawai kastam mendapati poket seluar yang dipakai penumpang itu dibungkus dengan enam beg bertali kanvas dan dilekatkan dengan pita.


"Sebaik dibuka, setiap beg didapati mengandungi ular hidup dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna," kata kenyataan itu.



Kenyataan itu berkata, pegawai merampas 104 reptilia bersisik itu termasuk ular susu dan ular jagung, kebanyakannya adalah bukan spesies tempatan.


Video yang disertakan menunjukkan dua pegawai di sempadan mengintai ke dalam beg plastik lut sinar yang dipenuhi ular merah, merah jambu dan putih yang menggeliat.


China adalah satu daripada hab pemerdagangan haiwan terbesar di dunia, tetapi pihak berkuasa sudah giat membanteras perdagangan haram itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Undang-undang biosekuriti dan kawalan penyakit negara melarang orang ramai daripada membawa masuk spesis bukan tempatan tanpa kebenaran.


"Mereka yang melanggar peraturan akan... bertanggungjawab mengikut undang-undang," kata pihak berkuasa kastam, tanpa menyatakan hukuman terhadap lelaki itu. - Sumber BBC News.


Ular yang disembunyikan dalam seluar lelaki berkenaan. - Foto CHINA CUSTOMS.

Khamis, 11 Julai 2024

Curi bateri lampu isyarat, dua individu diberkas polis

Curi bateri lampu isyarat, dua individu diberkas polis


Polis memberkas dua individu setelah mereka mencuri bateri di dalam kabinet alat kawalan lampu isyarat di bandar Palembang, wilayah Sumatera Selatan, lapor laman berita Sumsel Akurat pada 8 Julai 2024.


Video perbuatan dua suspek itu dirakam oleh sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di Simpang Patal, Jalan Residen Abdul Rozak.


Dalam kejadian tersebut, kedua-dua suspek dilihat membuka kabinet tersebut sekitar pukul 5.04 pagi (waktu tempatan).


Mereka memakai topeng muka bagi mengelakkan identiti terbongkar.


Tidak sampai 20 minit, kedua-dua pelaku yang menggunakan besi pencungkil dapat membuka jeriji dan mengeluarkan bateri pencawang.


Namun, belum sempat membawa keluar barang yang curi, Polis IT II yang menerima laporan daripada pegawai Pusat Kawalan CCTV Polis Sumatera Selatan segera menahan kedua-dua suspek.


Ketua Polis Daerah Ilir Timur II, Komisioner Polis Desi Arianti berkata, kedua-dua suspek sudah empat kali melakukan perbuatan serupa.


"Setelah disoal siasat, mereka mengaku melakukan tindakan serupa sebanyak empat kali. Malah, salah seorang suspek mencuri papan tanda dekat Kambang Iwak beberapa hari lalu," jelasnya pada Isnin (8/7/2024).


Polis turut merampas bahan bukti seperti besi pencungkil dan playar pemotong. - Sumber Sumsel Akurat.


Kedua-dua suspek membuka kabinet tersebut sekitar pukul 5.04 pagi (waktu tempatan). - Foto Akurat.

Rabu, 10 Julai 2024

Seorang mekanik menjalankan kerja penyelenggaraan maut disedut enjin Boeing 737

Seorang mekanik menjalankan kerja penyelenggaraan maut disedut enjin Boeing 737


Seorang mekanik maut selepas disedut ke dalam enjin sebuah pesawat di Lapangan Terbang Chabahar Konarak, Iran, lapor laman berita Daily Star pada 9 Julai 2024.


Kejadian berlaku ketika mangsa cuba mengambil peralatan yang tertinggal selepas kerja-kerja pembaikan dilakukan.


Mangsa dikenal pasti sebagai Abolfazl Amiri. Dia menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan rutin pada pesawat Boeing 737-500 milik syarikat penerbangan dari Iran, Varesh Airline.


Enjin kanan pesawat dilaporkan dihidupkan semula dengan penutupnya terbuka untuk menjalani ujian.


Ketika itu, Abolfazl bergegas kembali ke pesawat dan melalui kawasan keselamatan untuk mengambil peralatan yang ditinggalkan secara tidak sengaja, lapor akhbar Bild.


Semasa dia kembali ke situ, Abolfazl tidak dapat menahan daya tarikan enjin pesawat tersebut, menyebabkan dia disedut ke dalamnya sebelum ia meletup.


Pasukan bomba lapangan terbang kemudian bertindak balas ke lokasi kejadian dan menemui mayat Abolfazl.


Satu siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa penerbangan Iran bagi menyiasat kejadian itu. - Sumber Daily Mail.


Seorang mekanik telah meninggal dunia secara tragis semasa bertugas apabila dia disedut ke dalam enjin sebuah pesawat di Iran. - Foto @FlightModeBlog/Z.

Selasa, 9 Julai 2024

Lelaki mengigit balik ular yang mematuknya hingga mati, percaya jadi penawar racun

Lelaki mengigit balik ular yang mematuknya hingga mati, percaya jadi penawar racun


Tindakan seorang lelaki di India yang percaya apabila dia mengigit balik ular yang mematuknya untuk melemahkan bisa reptilia itu telah berjaya menyelamatkannya dari ajal.


Bagaimanapun, mangsa Santosh Lohar, 35, bernasib baik apabila dia yang dipatuk dua kali, sempat dibawa ke hospital oleh rakan-rakannya yang melihat kejadian itu.


Semasa kejadian, Lohar sedang bekerja sebagai buruh memasang rel kereta api di hutan Rajauli dekat bandar Nawada di wilayah Bihar pada Selasa lalu.


Ketika dia sedang tidur, ular berbisa itu tiba-tiba menyerangnya dan kemudian bertindak balas cepat dengan menangkap reptilia itu dan menggigit kepalanya sebanyak dua kali sehingga mati.


Difahamkan di beberapa bahagian di India, terdapat kepercayaan karut bahawa tindakan menggigit ular akan memindahkan racun itu kepada haiwan itu semula.


"Di kampung saya terdapat kepercayaan bahawa apabila ular menggigit anda, anda perlu mengigitnya sebanyak dua kali untuk meneutralkan racun tersebut," kata Lohar kepada India Today.


Namun, sehingga hari ini spesies ular yang mematuknya itu belum dikenal pasti.


Selepas kejadian, Lohar diberikan suntikan anti-venom oleh doktor untuk rawatan lanjut.


Kisah itu tular di media sosial di seluruh India di mana ramai netizen menganggap ular tersebut tidak berbisa atau dia mungkin meninggal dunia jika dipatuk ular tedung senduk. - India Today.


Lohar (kanan) mempercayai bahawa jika dia menggigit balik ular yang mematuknya dapat memindahkan semula bisa ke reptilia itu. - Foto India Today.