Isnin, 8 Julai 2024

Viral lelaki berusia 75 tahun kahwin gadis 15 tahun

Viral lelaki berusia 75 tahun kahwin gadis 15 tahun

 

Seorang warga emas berusia 75 tahun melangsungkan perkahwinan dengan seorang gadis yang hanya berumur 15 tahun di wilayah Riau, Indonesia, lapor saluran berita Tribunnews pada 7 Julai 2024.


Perbezaan usia 60 tahun itu tidak menghalang pasangan tersebut untuk mendirikan rumah tangga.


Mereka bernikah pada Sabtu, 29 Jun lalu di Desa Air Tawar, Kecamatan Kateman, Kabupaten Indragiri Hilir, Riau.


Menerusi klip video yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @abouthetic pada Rabu (3/7/2024), pasangan pengantin yang mengenakan pakaian berwarna hitam itu kelihatan ceria di atas pelamin.


Mereka juga santai bergambar dan bersalaman dengan tetamu undangan.


Difahamkan, pengantin lelaki itu dikenali sebagai Mbah Sejuang.


Meskipun pengantin perempuan itu masih di bawah umur, perkahwinan mereka mendapat persetujuan daripada ahli keluarga dan pihak berkuasa. - Sumber TribunJabar.


Tangkap layar menunjukkan Mbah Sejuang bersama isterinya yang berusia 15 tahun. - Foto @abouthetic.

Ahad, 7 Julai 2024

Koperal tembak mati lelaki jalin hubungan sulit dengan isterinya

Koperal tembak mati lelaki jalin hubungan sulit dengan isterinya


Seorang lelaki ditembak mati dalam satu pergaduhan kerana mangsa dipercayai jalin hubungan sulit dengan isteri suspek, lapor laman berita Thaiger pada 6 Julai 2024.


Mangsa dikenali sebagai Thanawat, 27, ditembak mati di belakang sebuah pasar di Ranong, Thailand kelmarin, 5 julai.


Saksi melaporkan berlaku pertengkaran fizikal antara mangsa dan seorang lelaki berbaju hitam sebelum tembakan dilepaskan.


Penyerang dilaporkan melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki sebuah kereta sedan honda berwarna putih.


Polis menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.42 petang (waktu tempatan) dan segera menghantar pegawai dan kakitangan perubatan ke tempat kejadian.


Mangsa ditemui di kawasan parkir, memakai seluar hijau dan jaket syarikat berwarna merah.  Dia telah mengalami dua kesan tembakan di kepala dan satu di lengan kanannya.


Siasatan awal mendapati, mangsa bekerja di sebuah syarikat penghantaran bungkusan swasta, tidak jauh dari tempat kejadian.


Polis mengesyaki suspek merupakan seorang anggota polis berpangkat Koperal, yang bergabung dengan Polis Peronda Sempadan.


Pergaduhan antara mereka berdua dipercayai melibatkan isteri suspek, yang turut bekerja di syarikat sama dengan mangsa.


Polis sedang berusaha untuk menahan suspek dan sudah mengenal pastinya.  Motif dipercayai cemburu dan dendam peribadi berkaitan hubungan sulit membabitkan mangsa dan isteri suspek. - Sumber The Thaiger.


Anggota polis mengawal lokasi kejadian di Ranong semalam. - Foto KhaoSod.

Sabtu, 6 Julai 2024

Lelaki rakam objek ganjil memanjang bergerak di langit lintasi Bulan

Lelaki rakam objek ganjil memanjang bergerak di langit lintasi Bulan

 

Seorang lelaki mencetuskan perdebatan hangat di internet selepas menyiarkan rakaman video memaparkan objek misteri meluncur di langit kota raya London, lapor portal berita Daily Star pada 5 Julai 2024.


Dalam rakaman itu, objek itu kelihatan memanjang dan merentasi langit London.


Klip berdurasi 40 saat itu dikongsi di platform Reddit. Ia menunjukkan objek terbang tidak dikenali (UFO) tersebut bergerak sangat perlahan dari arah kiri menuju ke kanan sekitar pukul 11 malam (waktu tempatan).


Rakaman itu memaparkan bulan berwarna oren terang dan berada pada kedudukan rendah di langit ketika kejadian.


Namun, terdapat seperti satu garisan ganjil di bahagian tengahnya.


Individu yang menghasilkan klip video itu berkata: "Saya melihat objek ini bergerak melintasi bulan (bulan oren yang cantik). Saya boleh memberitahu anda bahawa ia tepat pada pukul 11.06 malam (waktu tempatan)."


"Saya melihat sesuatu yang hampir serupa beberapa hari lalu di timur laut England tetapi dari sudut pandangan lebih dekat," kata netizen lain. - Sumber Daily Star.


Satu objek ganjil seperti warna hitam yang memanjang melintasi bulan di London. - Foto Reddit/r/UFO's.

Jumaat, 5 Julai 2024

Lelaki warga asing tak mengaku rogol anak tiri berusia 12 tahun

Lelaki warga asing tak mengaku rogol anak tiri berusia 12 tahun


Seorang peniaga kedai runcit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini atas pertuduhan merogol anak perempuan tirinya berusia 12 tahun bulan lalu.


Tertuduh yang merupakan warga Bangladesh berusia 47 tahun mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.


Lelaki asing itu didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah rumah di Ipoh pada pukul 1 tengah hari, 23 Jun lalu.


Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwaan Raya, Qurratu’aini Khalifah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan alasan mempunyai hubungan dengan mangsa, namun jika mahkamah membenarkannya, beliau memohon jumlah maksimum dikenakan.


Peguam C. Kaladevi memberitahu mangsa kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan akan dihantar kepada datuk dan neneknya di Sabah untuk dijaga.


Malah katanya, tertuduh menetap di Malaysia selama 29 tahun dan tinggal berasingan dengan keluarganya di Buntong. Mahkamah juga dicadang mengambil pasport tertuduh selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran.


"Dengan cara menahan pasport, tiada cara anak guam saya pergi ke Sabah untuk mengganggu mangsa," katanya.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 berserta syarat tambahan dipohon. Tertuduh tidak dibenarkan menghubungi dan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Sebutan semula kes pada 12 Ogos ini.


Seorang lelaki warga Bangladesh (dua dari kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merogol anak tiri perempuan berusia 12 tahun, bulan lalu. -Foto Kosmo Online.

Khamis, 4 Julai 2024

Warga asing tersenyum lepas tumbuk maskot hijau hingga pengsan

Warga asing tersenyum lepas tumbuk maskot hijau hingga pengsan


Seorang lelaki memohon bantuan orang ramai untuk menjejaki warga asing yang menyerangnya dengan sengaja ketika dia memakai kostum maskot di Bangkok, Thailand, lapor laman berita Thaiger pada 4 Julai 2024.


Insiden itu menyebabkan mangsa, Nantawat Palawat tidak sedarkan diri, menandakan serangan paling teruk yang pernah dia hadapi dalam kerjanya selama 10 tahun.


Nantawat memuat naik hantaran video kejadian di laman Facebook.


Menurutnya, pada hari kejadian, dia memakai maskot berwarna hijau ketika bertugas di daerah Phra Khanong.


"Mohon bantuan semua. Saya tidak tahu nama, kewarganegaraan atau apa-apa berkaitan individu ini. 


"Seorang lelaki asing meminta untuk bersalaman dengan saya. Seperti biasa, saya menghulurkan tangan, namun dia menggenggamnya dengan kuat sebelum menumbuk muka saya.


"Saya pengsan seketika dan mengalami kecederaan ringan akibat tindakan itu," katanya.


Tambah Nantawat, dia membawa kegembiraan dengan menjadi maskot selama hampir 10 tahun, namun insiden itu membuatkan dia terkejut dan tidak tahu tindakan yang perlu dilakukan.


"Saya keliru kerana penyerang ialah warga asing. Jika dia ditangkap, ia amat bagus, namun saya mahu dia meminta maaf," kata Nantawat. - Sumber The Thaiger.


Lelaki asing itu menggenggam tangan Nantawat dengan kuat sebelum menumbuk mukanya. - Foto Khaosod.

Rabu, 3 Julai 2024

Buaya gergasi berkeliaran tengah jalan cari makanan

Buaya gergasi berkeliaran tengah jalan cari makanan


Seekor buaya gergasi dirakam berkeliaran di jalan raya yang sibuk pada waktu malam di daerah Ratnagiri, India, lapor laman berita Wion News pada 1 Julai 2024.


Seorang lelaki yang memandu beca bermotor merakam pergerakan buaya tersebut menggunakan kamera telefon bimbit.


Menurut orang ramai, mereka melihat kelibat reptilia sepanjang lapan kaki (2.43 meter) itu berjalan melalui kawasan Chiplun selepas hujan turun. 


Hujan lebat melanda kawasan pantai Ratnagiri, menyebabkan ramai penduduk mengesyaki bahawa buaya itu mendiami sebatang sungai berdekatan iaitu Sungai Shiva.


Hujan turun di Ratnagiri sejak beberapa hari lalu dan Jabatan Meteorologi India meramalkan hujan yang sama akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya 2 Julai di rantau ini.


Sungai Shiva dalam masa sama sememangnya terkenal sebagai habitat buaya. - Sumber Wion News.


Seekor buaya berkeliaran di atas jalan raya di Ratnagiri. - Foto x.com/ParveenKaswan.
Penduduk gempar temui ampaian seluar dalam wanita di ladang

Penduduk gempar temui ampaian seluar dalam wanita di ladang


Seorang lelaki Thai memberi amaran kepada penduduk tempatan khususnya wanita supaya berwaspada susulan penemuan sejumlah besar pakaian dalam wanita di sebuah ladang pokok kayu putih di wilayah Nakhon Ratchasima.


Lelaki berusia 49 tahun bernama Banlaeng Sukkratoke berkongsi klip video menunjukkan dua ampaian kayu dipenuhi bra dan seluar dalam wanita di tengah ladang berkenaan.


Dia menyiarkan rakaman video itu dalam akaun Facebook dan TikTok miliknya pada Ahad lepas.


"Amaran kepada wanita di luar sana, berhati-hati apabila menjemur pakaian dalam," katanya.


Banlaeng berkata, salah seorang pekerjanya menemui semua pakaian itu dan melaporkan kepadanya.


Dalam satu wawancara bersama Saluran 8, Banlaeng bertegas bahawa semua pakaian dalam itu tidak diusik dan ditemui dalam keadaan sedemikian.


Banlaeng juga membawa sekumpulan wartawan ke lokasi di mana dia dan pekerjanya menemui pakaian itu.


Saluran 8 mewawancara penduduk sekitar mengenai pencuri seluar dalam itu tetapi tiada seorang pun mengaku ada kehilangan pakaian dalam baru-baru ini.


Balai Polis Khonburi kemudian menyiasat kes tersebut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pencuri itu supaya tampil membantu siasatan. - The Thaiger.


Penemuan sejumlah besar pakaian dalam wanita di sebuah ladang pokok kayu putih di wilayah Nakhon Ratchasima. - Foto DailyNews.

Selasa, 2 Julai 2024

Pesawat Boeing bergegar tempat duduk tercabut, 30 penumpang cedera

Pesawat Boeing bergegar tempat duduk tercabut, 30 penumpang cedera


Sekurang-kurangnya 30 penumpang cedera selepas sebuah penerbangan Air Europa dari Sepanyol menuju ke Uruguay dilanda pergolakan udara yang teruk, lapor akhbar Metro UK semalam.


Pesawat Boeing 787-9 Dreamliner tersebut terpaksa mendarat cemas di lapangan terbang Natal, timur laut Brazil kira-kira pukul 2.30 pagi (waktu tempatan) pada Isnin, 1 Julai 2024.


Rakaman video dikongsikan di internet menunjukkan penumpang pesawat yang berlepas dari Madrid itu panik dan menjerit.


Seorang lelaki dilihat memanjat bahagian peti simpanan di atas tempat duduk, dengan kakinya tergantung keluar.


Beberapa gambar yang dimuat naik di laman sosial menunjukkan banyak tempat duduk tercabut, manakala peti penyimpanan terkeluar dan rosak teruk.


Berpuluh-puluh penumpang dibawa ke hospital berikutan insiden yang dialami penerbangan menuju ke Montevideo tersebut.


Sebilangan penumpang mengalami patah tulang pangkal serviks dan kepala terhantuk semasa pergolakan udara, lapor laman Berita G1.


Sekurang-kurangnya dua penumpang dilaporkan masih berada di hospital setakat petang semalam (waktu tempatan).


Penerbangan UX045 meminta untuk mendarat cemas pada pukul 2.32 pagi (waktu tempatan) di lapangan terbang Natal, yang terletak lebih 4,000 kilometer dari Montevideo, demikian menurut pengendalinya, Lapangan Terbang Zurich Brazil.


"Pesawat tersebut mendarat seperti biasa dan kecederaan ringan yang dilaporkan telah pun dirawat.


"Petang ini (semalam), sebuah pesawat akan berlepas dari Madrid untuk mengambil penumpang dan meneruskan perjalanan ke Uruguay," kata syarikat penerbangan Air Europa di platform X. - Sumber Metro News.


Penerbangan UX045 mengalami pergolakan udara yang teruk. - Foto Reuters.

Isnin, 1 Julai 2024

Pemain badminton China rebah sebelum meninggal dunia ketika beraksi menentang Jepun

Pemain badminton China rebah sebelum meninggal dunia ketika beraksi menentang Jepun


Pemain perseorangan China, Zhang Zhi Jie meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) di Yogyakarta, Indonesia malam Ahad.


Kejadian berlaku ketika pemain muda itu beraksi menentang Jepun dalam saingan peringkat kumpulan pada jam 12.20 malam.


Sebelum kejadian Zhi Jie dilihat menunggu pukulan servis daripada pemain lawan, sebelum tiba-tiba rebah di gelanggang.


Berita sedih itu dikongsi menerusi kenyataan bersama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI).


"Pemain perseorangan China, Zhi Jie rebah di atas gelanggang ketika beraksi. Doktor kejohanan dan pasukan perubatan kemudian bergegas memberi bantuan awal.


"Dia kemudian dikejarkan ke hospital menerusi ambulans, namun meninggal dunia pada jam 23.20 waktu tempatan semalam (Ahad)," kata kenyataan tersebut.


Badminton Asia, PBSI dan Jawatankuasa Penganjur merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Zhi Jie dan Persatuan Badminton China (CBA).


"Dunia badminton kehilangan pemain berbakat," katanya.


Pertandingan kategori berpasukan bermula sejak 28 Jun hingga 2 Julai. Selepas acara berpasukan saingan akan bersambung dengan pertandingan kategori individu.


Zhang Zhi Jie merupakan salah seorang pelapis perseorangan lelaki yang dimiliki China sekali gus diharapkan boleh meneruskan legasi negara Tembok Besar itu setelah era Chen Long, Lin Dan, dan Shi Yuqi.


Zhang Zhi Jie lahir di Jiaxing pada 2007. Kemampuan Zhi Jie di arena badminton membuatnya masuk ke pasukan utama muda China pada 2023.


Zhang Zhi Jie membuktikan kebolehannya di pentas remaja dengan menjadi juara kategori B-15 tahun pada 2022.


Setelah itu Zhi Jie juga mengikuti pelbagai kejuaraan seperti Kejuaraan Badminton Remaja 2023, baik di kategori perseorangan mahupun beregu.


Pada Mac 2024 Zhang Zhi Jie menjadi juara dalam kategori beregu lelaki Kumpulan B dalam Kejuaraan Badminton Kebangsaan 2024.


Bukan sahaja di peringkat kebangsaan, Zhi Jie juga turut muncul di kejuaraan-kejuaraan luar negeri. Zhi Jie menjadi juara di Kejuaraan Junior di Belanda pada 2024.


Mendiang Zhang Zhi Jie merupakan salah seorang pelapis perseorangan lelaki yang dimiliki China. - Foto Sinar Harian.

Sabtu, 29 Jun 2024

4 cahaya misteri muncul di Banjaran Himalaya berjaya dirakam

4 cahaya misteri muncul di Banjaran Himalaya berjaya dirakam


Himalaya, yang terkenal dengan puncak yang dilitupi salji dan landskap yang menakjubkan, sentiasa menjadi sumber daya tarikan dan misteri.


Pada minggu lalu, empat jaluran cahaya yang terang di Banjaran Himalaya di antara Bhutan dan China berjaya dirakam, lapor portal berita India TV pada 27 Jun 2024.


Kamera khas berkelajuan tinggi milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berjaya merakamkan empat cahaya terang itu.


Foto komposit ini, yang dikeluarkan minggu lalu oleh NASA sebagai Astronomi Picture of the Day, menunjukkan empat jalur panjang. Cahaya itu sukar dirakamkan kerana terpancar selama beberapa milisaat sahaja.


Menurut Weather.com, cahaya itu atau dikenali sebagai 'jet gigantic' ialah sejenis kilat atmosfera yang berlaku di mesosfera, pada ketinggian kira-kira 50 hingga 90 kilometer di atas permukaan Bumi.


Menurut NASA, sambaran petir ini, yang hanya dilihat pada abad kedua puluh satu, menghubungkan ribut petir ke ionosfera - bahagian atmosfera yang terion oleh sinaran suria dan kosmik.


Salah satu sebab utama mengapa Jet Gigantic sangat sukar difahami adalah kerana ia mencabar untuk ditangkap dalam gambar. Tidak seperti kilat biasa, yang boleh diperhatikan dan diambil gambar dari jauh, Jet Gigantic terletak di atmosfera atas, menjadikannya sukar untuk menangkapnya dengan kamera tradisional.


Imej yang dikongsi oleh NASA itu dirakam menggunakan kamera berkelajuan tinggi khas yang dipasang pada kapal terbang yang terbang di atas ribut. - Sumber India TV News.


Empat jaluran cahaya yang terang berjaya dirakamkan menerusi kamera milik NASA. - Foto APOD/NASA/GOV.