Kegiatan satu sindiket 'ejen insurans' yang menggunakan taktik kejam membunuh pencarum bagi menuntut pampasan insurans nyawa yang bernilai RM500,000 melibatkan kejadian di Kulai, Johor Bahru bulan lalu terbongkar.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, siasatan mendapati modus operandi sindiket itu adalah dengan merancang pembunuhan dengan kaedah seolah-olah mangsa meninggal dunia akibat terlibat kemalangan jalan raya bagi membolehkan tuntutan insurans dibuat.
"Sindiket ini mencari dan mendekati mangsa yang hidup sebatang kara.
"Kemudian sindiket ini akan mencarum insurans nyawa atas nama mangsa tanpa pengetahuannya dan suspek akan meletakkan nama orang kenalan suspek sebagai pewaris polisi insurans tersebut sebagai penerima pampasan.
"Ejen insurans juga memalsukan tandatangan mangsa semasa urusan permohonan polisi insurans dan suspek akan tunggu sehingga polisi insurans diluluskan.
"Setelah polisi insurans diluluskan dan membayar premium insurans selama beberapa bulan, suspek mula merancang untuk membunuh mangsa," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.
Beliau berkata, sindiket berkenaan akan melanggar mangsa sehingga mati dan menjadikan insiden tersebut seperti kemalangan maut atau langgar lari.
Dalam kejadian pada jam 4.40 pagi di Kulai pada 6 Mei lalu itu, beliau memberitahu, mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 telah dihimpit dan dilanggar dua buah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Senai-Seelong.
Menurutnya, selepas dilanggar mangsa berusia 38 tahun itu terjatuh dan masih hidup menyebabkan empat suspek tersebut memukulnya di lokasi kemalangan.
"Mangsa yang nyawa-nyawa ikan itu telah dilanggar lori jenis Isuzu yang kebetulan melalui jalan itu menyebabkannya mangsa maut di tempat kejadian," katanya.
Kata Kumar, pada mulanya insiden itu dianggap kes kemalangan maut biasa tetapi laporan bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan lain pada tubuh mangsa selain kesan pelanggaran kenderaan.
Ujarnya, hasil siasatan lanjut membongkar kegiatan licik sindiket itu sebelum polis menahan lapan lelaki warga tempatan berusia lingkungan 23 hingga 49 tahun di beberapa lokasi berasingan bagi membantu siasatan.
Tambahnya, semakan mendapati empat daripada yang ditahan mempunyai rekod lampau jenayah selain merampas satu dokumen polisi insurans atas nama mangsa serta tiga kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu.
"Mengikut perancangan, setelah mangsa meninggal dunia, suspek membuat permohonan tuntutan insurans melalui ejen yang juga ahli sindiket.
"Siasatan polis mengesahkan bahawa motif kejadian adalah tuntutan insurans palsu. Ini adalah kes pertama seumpamanya berlaku di negeri ini," katanya.
Walau bagaimanapun ujarnya, tuntutan insurans itu tidak sempat diproses kerana modus operandi sindiket berkenaan terbongkar oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan empat daripada suspek telah dituduh di mahkamah majistret di Kulai pada 19 Jun lalu manakala empat lagi diberi bon jaminan.
"Kita sedang giat mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas untuk membantu siasatan," katanya. - Sumber Sinar Harian.
Kumar menunjukkan modus operandi yang digunakan sindiket 'ejen insurans' palsu, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, pada Isnin. - Foto Sinar Harian.