Ahad, 23 Jun 2024

Isteri nekad bunuh suami kerana sakit hati hidup miskin

Isteri nekad bunuh suami kerana sakit hati hidup miskin


Seorang isteri dari daerah Rejang Lebong, di Bengkulu, Indonesia telah bertindak kejam dengan membunuh suaminya hanya kerana tidak berpuas hati dia hidup dalam kemiskinan.


Mangsa ditemui maut dengan luka parah di bahagian belakang leher, selepas diserang dengan sebilah parang oleh suspek pada Khamis (20 Jun).


Menurut laporan media tempatan, kejadian bermula apabila berlaku pentengkaran mulut antara mereka berdua, hingga membawa insiden salah menyalah antara satu sama lain.


Sementara polis yang mengesahkan kejadian itu berkata, kejadian pembunuhan dipercayai berlaku pada pukul 6 pagi Khamis, waktu tempatan di sebuah kebun berhampiran dengan rumah mangsa dan pelaku.


"Pelaku adalah isterinya sendiri iaitu Asmaul Husna yang berusia 38 tahun, sementara mangsa yang dikenali sebagai Wandra Haifs berusia 44 tahun.


"Mayat mangsa kemudian kami bawa ke hospital untuk dilakukan bedah siasat," kata Ketua Balai Polis Selupu Rejang, Inspektor Ibnu Sina Alfaraobi.


Katanya lagi, menerusi keterangan saksi pelaku acap kali bertelagah dan sentiasa berselisif faham dengan mangsa akibat tekanan kewangan keluarga.


Suspek kini telah ditahan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Rejang Lebong untuk siasatan lanjut.


Dalam pada itu, Ibnu Sina berkata, polis juga kini mencari barang bukti iaitu sebilah parang yang dipercayai telah dibuang suspek selepas kejadian.


Sementara itu, jenazah mangsa telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Umum yang terletak tidak jauh dari kediaman mangsa pada Khamis. - Sumber Detik.com.


Polis tiba dilokasi dan kemudian membawa mayat ke hospital untuk bedah siasat. - Foto Istimewa/Polres Rejang Lebong.

Jumaat, 21 Jun 2024

Penumpang jumpa 'najis' manusia dalam tren MRT

Penumpang jumpa 'najis' manusia dalam tren MRT


Seorang gadis mendakwa menemui najis manusia di dalam sebuah gerabak tren Transit Aliran Massa (MRT) di Singapura, lapor portal berita MSNews semalam.


Dia menemui najis di atas lantai gerabak itu ketika MRT bergerak dari stesen Maxwell ke Orchard pada pagi Rabu (19 Jun).


Gadis berusia 27 tahun itu berkongsi penemuannya di platform laman sosial tempatan. Penemuan itu mencetuskan kekecohan di media sosial.


Gadis menggunakan nama Payton Pangleton di media sosial itu berkata, najis itu tidak berbau 'segar' sekali gus memberi gambaran bahawa ia sudah lama berada di lantai.


Dalam foto itu, ketulan misteri bahan perang boleh dilihat di sebelah pintu tren.


"Haha kelakar. Saya patut mengambil gambarnya. Perkara ganjil untuk dilihat pada waktu pagi, anda tidak akan melihatnya lagi selepas hari ini," kata Payton Pangleton mengenai penemuannya.


Akaun media sosial popular, @sgfollowsall turut menyiarkan semula gambar tersebut di akaun Instagramnya. - Sumber MS News.


Najis didakwa ditemui dalam gerabak MRT di Singapura pada 19 Jun lalu. - Foto Reddit.

Khamis, 20 Jun 2024

Monolit misteri 'makhluk asing' muncul lagi, kini di tengah gurun Nevada

Monolit misteri 'makhluk asing' muncul lagi, kini di tengah gurun Nevada


Kemunculan sebuah monolit seperti cermin di tengah gurun Nevada di Amerika Syarikat (AS) sekali lagi mengundang tanda tanya kepada banyak pihak selepas objek misteri itu ditemui di beberapa lokasi di Amerika Utara dan Eropah sejak beberapa tahun lalu.


Penemuan itu dibuat polis Las Vegas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan pendakian yang terletak kira-kira sejam dari utara Sin City pada akhir minggu lalu.


"Kita pernah lihat banyak benda pelik, namun cuba lihat objek aneh ini pula!" menurut catatan dikongsi mereka di media sosial pada Isnin lalu.


Struktur segi empat tepat yang memantulkan cahaya itu turut menarik perhatian pentaksub teori konspirasi selepas ia mula muncul di beberapa lokasi seluruh dunia pada 2020.


Monolit pertama dijumpai di gurun Utah ketika seluruh dunia sedang bergelut dengan pandemik Covid-19, malah ia mendapat liputan meluas media antarabangsa.


Ada pihak yang cuba mengaitkan objek misteri itu dengan 'monolit makhluk asing' seperti dipaparkan dalam filem sains fiksyen hasil garapan Stanley Kubrick berjudul 2001: A Space Odyssey.


Struktur monolit serupa kemudiannya ditemui di Belanda, Poland, Romania, Kanada dan Britain hingga menyebabkan kewujudan laman web khas yang bertujuan untuk menjejaki objek tersebut.


Menerusi penemuan terbaharu itu, beberapa pengguna media sosial sekali lagi mengaitkannya dengan makhluk asing.


"Sudah jelas, ia adalah makhluk asing!" ujar pengguna akaun @NWK1WAYS.


Seorang lagi pengguna, @Nstynick cuba berjenaka dengan mencadangkan objek tersebut dibuka kerana mungkin terdapat 'hadiah' di dalamnya. - Sumber NST.


Monolit yang ditemui polis Las Vegas ketika operasi SAR di kawasan pendakian pada akhir minggu lalu. -  Pic courtesy of Las Vegas Police Department /AFP.

Rabu, 19 Jun 2024

Bangkai ular kecil ditemui dalam masakan kari untuk pelajar di kolej

Bangkai ular kecil ditemui dalam masakan kari untuk pelajar di kolej


Seekor bangkai ular kecil ditemui dalam masakan kari untuk pelajar sebuah kolej kejuruteraan di negeri Bihar, India, lapor laman berita The Indian Express pada 17 Jun 2024.


Ia mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 kes keracunan makanan di pusat pengajian tinggi itu.


Gambar yang memaparkan bangkai ular kecil di dalam kari itu menjadi tular di media sosial.


Seorang pengguna, Rishi Singh menulis di platform media sosial yang berbunyi: "Seekor ular mati ditemui dalam makanan di kolej kejuruteraan Bihar.


"Sejurus selepas makan makanan tersebut, pelajar mengalami muntah dan loya. Walaupun selepas lawatan pihak berkuasa tempatan dilakukan, tiada tindakan sewajarnya yang diambil."


Pelajar kolej itu menyatakan bahawa banyak kejadian serangga ditemui dalam makanan tetapi ia diabaikan oleh pentadbiran kolej.


Pada tahun 2022, seramai 100 pelajar di sekolah kerajaan di daerah Araria Bihar jatuh sakit selepas makan tengah hari di mana seekor ular mati ditemui.


Dalam satu lagi tragedi makan tengah hari di Bihar, seramai 23 kanak-kanak maut akibat keracunan makanan selepas makan hidangan yang dihidangkan kepada mereka di sebuah sekolah kerajaan di Chhapra. - Sumber The Indian Express.


Bangkai ular kecil ditemui dalam masakan kari di sebuah kolej di Bihar. - Foto News24.

Selasa, 18 Jun 2024

Wanita ditahan di lapangan terbang kerana bawa hati lamanya dalam beg tangan

Wanita ditahan di lapangan terbang kerana bawa hati lamanya dalam beg tangan


Seorang wanita ditahan oleh pengawal keselamatan sebuah lapangan terbang di Australia kerana membawa hati miliknya di dalam beg yang dipegang, lapor laman berita Mirror UK pada 18 Jun 2024.


Jessica Manning, 30, yang berpindah dari New Zealand ke Australia, telah memberitahu bagaimana dia diberhentikan oleh beberapa pegawai.


Jessica menjalani pemindahan jantung dan hati berganda lapan tahun lalu selepas mengalami komplikasi sejak lahir. Dia dilahirkan dengan enam kecacatan jantung dan menjalani lebih daripada 200 pembedahan sebelum akhirnya menjalani pemindahan.


Dia pada asalnya mendermakan hatinya kepada sains tetapi selepas 10 bulan dia diberitahu bahawa ia tidak lagi diperlukan dan oleh itu dia memutuskan untuk menyimpannya dalam beg plastik di rumahnya.


Menurutnya, pasukan keselamatan sempadan Australia mahu mencegah sebarang ancaman pencemaran atau bahaya kesihatan yang mungkin ditimbulkan oleh hati lamanya itu.


Namun, Jessica berkata, selepas dia menjelaskan situasi dan sejarah perubatannya, pegawai berkenaan membenarkan dia membawa hati tersebut.


"Isu utamanya adalah saya (berpotensi) membawa penyakit baharu ke negara ini (Australia) dan dia (pegawai) tidak mahu saya membawa sesuatu yang membahayakan Australia.


"Saya ditahan selama kira-kira sejam kerana cuba membawa hati ke Australia. Namun kini, ia selamat berada di dalam almari," katanya.


Jessica berkata, dia mempunyai enam kecacatan jantung semasa dilahirkan sehingga menyebabkannya terpaksa menjalani beberapa pembedahan.


"Ketika berumur 19 tahun, saya mengalami kegagalan jantung dan saya disahkan menghidap penyakit hati pada umur 22 tahun sehingga menyebabkan saya perlu menjalani pemindahan organ," katanya. - Sumber Mirror UK.


Pihak berkuasa Australia mahu mencegah sebarang ancaman pencemaran atau bahaya kesihatan yang mungkin ditimbulkan oleh hati Jessica Manning. - Foto Jessica.elenanz/ CATERS NEWS.

Isnin, 17 Jun 2024

Tiga remaja mendakwa dilarikan, dipukul dan dirakam gambar bogel

Tiga remaja mendakwa dilarikan, dipukul dan dirakam gambar bogel


Tiga remaja lelaki mendakwa dilarikan oleh sekumpulan lelaki dari sebuah pasar raya di Johor Bahru sebelum dipukul serta dirakam gambar bogel, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 6.45 pagi semalam.


"Mangsa mendakwa didatangi 10 lelaki termasuk seorang dikenali dan dilarikan dengan tiga kereta ke sebuah lokasi yang tidak dapat dipastikan.


"Suspek memukul dan merakam gambar bogel mangsa serta mengugut akan menularkan gambar itu sekiranya kejadian itu terbongkar.


"Suspek kemudiannya melarikan diri bersama-sama dengan barangan peribadi milik mangsa dan meninggalkan mangsa di lokasi yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, mangsa yang cedera iaitu lebam di bahagian muka dan tangan berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam dan dihantar ke hospital untuk rawatan.


Katanya, mangsa kemudian ke balai polis untuk membuat laporan.


Susulan itu, katanya polis menahan empat lelaki warga tempatan termasuk tiga juvana berusia antara 15 hingga 20 tahun di kawasan Skudai pada 8 malam tadi.


"Turut dirampas kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini, polis turut menemui semula barangan milik mangsa.


"Keempat-empat suspek direman empat hari bermula hari ini hingga Khamis," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dengan senjata.


Katanya, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.


"Usaha mengesan beberapa suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan," katanya.

Ahad, 16 Jun 2024

Disangka mayat terapung 5 jam, rupanya lelaki tidur dalam kolam kerana cuaca panas

Disangka mayat terapung 5 jam, rupanya lelaki tidur dalam kolam kerana cuaca panas


Penduduk sebuah bandar di negeri Telangana, India terkejut apabila melihat 'mayat' seorang lelaki terapung di sebuah kolam, lapor laman berita India Today pada 11 Jun 2024.


Pihak polis bergegas ke kolam di daerah Warangal negeri Telangana selepas menerima laporan bahawa terdapat mayat terapung di dalam air.


Lelaki itu, memakai seluar jeans dan tidak berbaju, ditarik keluar dari air oleh seorang polis.


Lelaki itu, yang berasal dari daerah Nellore, dilihat terbaring di dalam air selama berjam-jam, selepas itu penduduk tempatan memaklumkan polis, bimbang dia telah meninggal dunia.


Sejurus tiba di lokasi tersebut, mereka mendapati 'mayat' berkenaan sebenarnya seorang lelaki yang sedang tidur di atas air.


Menurut polis, pihaknya dimaklumkan bahawa 'mayat' itu terapung di permukaan air selama kira-kira lima jam.


Lelaki itu sebenarnya berada di dalam kolam untuk menyejukkan badan kerana cuaca panas terik.


Lelaki itu kemudian menjelaskan kepada polis bahawa dia telah bekerja selama 12 jam sehari di bawah terik matahari di sebuah kuari granit sejak 10 hari lalu. Dia hanya berehat dan menyejukkan badan dalam kolam tersebut. - Sumber India Today.


Seorang lelaki tidur di dalam sebuah kolam di Telangana. - Foto Telangana Today.

Sabtu, 15 Jun 2024

Dua lelaki disyaki penjenayah mati dalam insiden berbalas tembakan

Dua lelaki disyaki penjenayah mati dalam insiden berbalas tembakan


Dua lelaki dipercayai penjenayah ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Jalan Abad di Johor Bahru, Johor petang semalam.


Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, dalam insiden 5.04 petang itu, seorang suspek berusia 42 tahun disahkan maut di lokasi kejadian bersama seorang lagi rakannya yang berada di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka.


Katanya, hasil siasatan awal, suspek maut berusia 42 tahun itu mempunyai 38 rekod jenayah membabitkan dadah, manakala seorang lagi suspek belum dikenal pasti identitinya kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.


"Insiden semasa sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor mengekori sebuah Toyota Estima berwarna putih di lokasi kejadian yang berada dalam keadaan mencurigakan.


"Apabila menyedari diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat.


"Tindakan suspek menyebabkan pihak polis turut melepaskan tembakan ke arah MPV dinaiki suspek. Kejadian berbalas tembakan berlarutan sehingga keadaan selamat.


"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang berada di dalam Toyota Estima itu terkena tembakan dan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.



Terdahulu, tular beberapa video memaparkan insiden berbalas tembakan itu yang mengejutkan penduduk setempat.


Turut tular, video memaparkan anggota polis menutup beberapa jalan selain melencongkan aliran trafik di kawasan kejadian, dan lokasi insiden itu ditutup buat sementara waktu.


Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Kumar berkata polis turut menjumpai dua pistol di dalam kenderaan itu dan sepucuk pistol pada badan seorang daripada suspek.


Dalam pada itu, polis turut menjumpai pelbagai jenis bahan dipercayai dadah dalam kenderaan berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.


Foto tular menunjukkan insiden dua lelaki dipercayai penjenayah ditembak mati polis di Jalan Abad, Johor Bahru, petang semalam.

Jumaat, 14 Jun 2024

Ribuan ikan mati, lagun kering kontang, lumpur dasar tasik retak

Ribuan ikan mati, lagun kering kontang, lumpur dasar tasik retak


Sebuah lagun di utara Mexico sebahagiannya kering kerana kemarau yang melanda negara itu. Bukan sahaja lagun, tetapi seluruh negeri Chihuahua di negara ini menghadapi kemarau teruk yang telah menghabiskan takungan airnya, lapor laman berita Wion News pada 13 Jun 2024.


Kemarau telah menimbulkan risiko kepada sektor pertanian dan penternakan di rantau ini. Situasi krisis itu menyebabkan kematian beribu-ribu ikan di lagun Bustillos, berhampiran bandar Anahuac di Chihuahua. 


Paras air di Lagun Bustillos susut hingga bawah 50 peratus daripada paras air biasa disebabkan cuaca panas dan kekurangan hujan, kata pihak berkuasa tempatan pada Rabu.


Ini bermakna bahan pencemar lebih tertumpu dan berbahaya kepada spesies yang mendiaminya.



Ikan mati mula berlonggok di dalam lumpur retak dasar tasik sejak seminggu lalu dan bau busuk menyelubungi kawasan ketika pekerja membersihkan sisa ikan yang reput. Keadaan itu juga boleh menyebarkan penyakit.


"Terdapat lebih sedikit air di lagun untuk ikan hidup di dalamnya sehingga mereka mati. Apabila jumlah air berkurangan, bahan pencemar menjadi lebih pekat, dan oleh itu ia juga menjejaskan spesies yang hidup di sini," kata Irma De La Pena ketua jabatan ekologi di bandar Cuauhtemoc, seperti yang dilaporkan oleh Reuters.


Saul Sausameda, yang merupakan presiden komuniti Anahuac, berkata seperti yang dipetik oleh agensi berita itu, "Kami tidak dapat membetulkan fakta bahawa lebih banyak ikan mati, kami memerlukan hujan untuk mengisi lagun dengan air semula. Namun, kebimbangan sekarang adalah isu kebersihan."


Pihak berkuasa kesihatan berkata 125 orang meninggal dunia dalam musim panas semasa, yang bermula pertengahan Mac. - Sumber Wion News.


 

Pandangan dari udara menunjukkan ikan mati akibat kemarau di Lagun Bustillos, berhampiran Anahuac, Negeri Chihuahua, Mexico. - Foto AFP.

Berang ditegur kerana buat bising, pemuda bunuh bapa saudara guna gunting

Berang ditegur kerana buat bising, pemuda bunuh bapa saudara guna gunting


Seorang pemuda di Kuching, Sarawak berdepan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan selepas didakwa atas pertuduhan membunuh bapa saudaranya dengan cara menikam mangsa menggunakan sebilah gunting.


Walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd. Khairulnizam Abdullah, 27, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi hari ini.


Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 Julai ini. Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan diikat jamin sehingga sebutan semula kes itu.


Tertuduh didakwa membunuh mangsa berusia 55 tahun di sebuah rumah di Kampung Haji Baki, Jalan Batu Kitang, Kuching pada pukul 8.30 hingga 8.50 malam, 3 Jun lalu dengan menikam menggunakan dua gunting yang dileraikan.


Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di dada kanan, tangan kiri dan belakang badan.


Kejadian berlaku selepas tertuduh yang berada di bawah pengaruh dadah berang selepas ditegur mangsa kerana membuat bising di belakang rumah.


Akibat tikaman itu, mangsa rebah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Tertuduh yang juga penganggur mempunyai rekod jenayah atas kesalahan mencederakan ibunya selain terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintndan Arman Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret untuk pertuduhan kerana membunuh bapa saudaranya. - Foto Kosmo Online.