Khamis, 13 Jun 2024

'Mayat' hidup semula, lari 3 kilometer pulang ke rumah

'Mayat' hidup semula, lari 3 kilometer pulang ke rumah


Seorang lelaki dari rantau Isaan, Thailand berlari pulang ke rumahnya sejauh 3 kilometer dalam keadaan tidak berbaju dan berkaki ayam setelah kembali bernyawa selepas disahkan meninggal dunia, lapor laman berita Thaiger pada 11 Jun 2024.


Anggota penyelamat daripada Yayasan Menyelamat Sawang Arom, Worrasethtakorn Sakdasakunkunakorn berkata, lelaki berusia 59 tahun itu dikenali sebagai Prueang Enmak.


Kata Worrasethtakorn, pasukan penyelamat bergegas ke rumah Prueang selepas menerima laporan ahli keluarganya mengatakan bahawa dia rebah dan tidak sedarkan diri.


Sejurus tiba, petugas kecemasan memberikan bantuan penafasan kepada Prueang meskipun lelaki itu sudah tidak bernafas.


Kira-kira 20 minit kemudian, Prueang kembali bernyawa dan pasukan kecemasan membuat keputusan untuk membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Semasa berada di dalam ambulans, Prueang tiba-tiba mengamuk dan mahu pulang ke rumah. Seorang jururawat cedera ringan ketika cuba menahannya.


Lelaki itu keluar daripada ambulans dan mengancam petugas kecemasan menggunakan kayu agar mereka tidak menghalangnya.


Prueang seterusnya berlari sejauh 3 kilometer sehingga dia tiba di rumahnya, menyebabkan keluarganya terkejut.


Ketika menjelaskan perkara itu kepada media tempatan, Prueang berkata, dia berasa penat selepas berlari sejauh itu dan hairan bagaimana dia berupaya bertindak demikian.


Namun ujarnya, dia ketika itu hanya berfikir mahu segera sampai ke rumah, dan bukannya hospital. - Sumber The Thaiger.


Prueang berlari pulang ke rumahnya sejauh 3 kilometer dalam keadaan tidak berbaju dan berkaki ayam. - Foto PPTV HD.

Rabu, 12 Jun 2024

Polis buru pasangan bakar kamera perangkap had laju

Polis buru pasangan bakar kamera perangkap had laju


Polis Britain sedang memburu dua individu yang membakar sebuah kamera perangkap had laju menggunakan sejenis cecair mudah terbakar sebelum melarikan diri, lapor akhbar Daily Mail pada 11 Jun 2024.


Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di platform Facebook memaparkan dua pelaku meletakkan tiang pada kamera berkenaan di A10 di Setchey, Norfolk pada pagi Sabtu lalu. 


Menerusi klip video itu, dua individu tersebut dilihat menutup kepala mereka dengan kain. Mereka keluar dari sebuah kenderaan berwarna hitam yang diletakkan di tepi jalan berhampiran kamera itu.


Mereka kemudian memasang satu objek besar berbentuk cincin pada tiang tersebut lalu membakarnya menggunakan cecair mudah terbakar untuk menghasilkan api yang besar. 


Setelah bertindak demikian, mereka segera menaiki kereta dan memecut laju meninggalkan kawasan itu.


"Polis dikerahkan ke A10 di Setchey pada pukul 7.23 pagi (waktu tempatan) pada Sabtu, 8 Jun, berikutan laporan yang mendakwa seorang lelaki dan wanita membakar kamera perangkap had laju," kata jurucakap Norfolk Constabulary. 


Sementara itu, polis tempatan turut memaklumkan bahawa tiada kecederaan dilaporkan dan siasatan sedang dijalankan. - Sumber Daily Mail.


Tangkap layar menunjukkan kamera perangkap had laju itu terbakar. - Foto Facebook.

Selasa, 11 Jun 2024

Lebih 1,000 haiwan pelbagai spesies mati terbakar di pasar popular

Lebih 1,000 haiwan pelbagai spesies mati terbakar di pasar popular


Beribu-ribu haiwan pelbagai spesies mati terbakar di sebuah pasar yang popular dalam kalangan pelancong asing di Bangkok, lapor portal berita Bangkok Post pada 11 Jun 2024.


Pejabat daerah Chatuchak melaporkan bahawa kebakaran bermula kira-kira 4.10 pagi di pasar Sri Somrat, di mana terdapat 118 kedai haiwan peliharaan di kawasan seluas 1,400 meter persegi. Pasar ini terletak di belakang pusat beli-belah JJ Mall di Jalan Kamphaeng Phet 3.


Lebih 10 jentera dari banyak balai Bomba tempatan bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memadamkan kebakaran. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.



Seorang pekerja kedai burung memberitahu pasukan penyelamat bahawa dia menyedari tentang kebakaran itu akibat bunyi kuat burung.


Katanya, asap tebal kemudian muncul dan menyukarkan pernafasannya. Dia kemudian bertindak melompat dari tingkat dua kedainya untuk menyelamatkan diri.


Seorang lagi berkata kebakaran bermula di kedai anjing di mana pemilik biasanya membiarkan kipas elektrik dihidupkan sepanjang malam untuk memastikan keselesaan haiwan itu.


Penjual itu percaya beribu-ribu haiwan telah mati dalam kebakaran itu, yang merebak di kawasan pasar.


Zon haiwan itu menempatkan pelbagai haiwan termasuk anjing, kucing, burung yang jarang ditemui, ikan dan haiwan eksotik yang mahal.


Punca kejadian masih disiasat pihak berkuasa. - Sumber Bangkok Post.


Kebakaran berlaku di zon haiwan Pasar Chatuchak, Bangkok hari ini. - Foto JS 100 radio.

Isnin, 10 Jun 2024

Sejenis ikan 'aneh' dari laut dalam bersaiz gergasi terdampar di pantai

Sejenis ikan 'aneh' dari laut dalam bersaiz gergasi terdampar di pantai


Sejenis ikan laut dalam yang besar dan berbentuk bulat ditemui terdampar di pantai negeri Oregon buat pertama kali dalam sejarah, lapor akhbar Metro UK pada 8 Jun 2024.


Menurut pengurusan Akuarium Seaside yang terletak di bandar Seaside, ikan dikenali sebagai Hoodwinker sunfish berukuran 222.50 sentimeter itu ditemui pada 3 Mei lalu di pantai Gearhart.


"Pada mulanya, ikan gergasi aneh ini menimbulkan kekecohan di media sosial dan orang ramai berpusu-pusu ke pantai untuk melihat spesies luar biasa ini meskipun dalam keadaan ribut," katanya di akaun Facebook.


Ikan tersebut dipercayai hidup di perairan sederhana tetapi sebahagiannya dihanyutkan ke darat dari California ke Alaska baru-baru ini, di mana perairannya lebih sejuk.


Tambah Akuarium Seaside, penemuan tersebut berkemungkinan adalah ikan terbesar yang pernah dilihat atau terdampar di pantai Barat Laut Pasifik.


"Ikan itu berkemungkinan akan kekal di pantai selama beberapa hari atau minggu lagi. Kulitnya yang keras menyukarkan pemulung untuk menusuk.


"Ia adalah ikan yang luar biasa dan kami menggalakkan orang ramai datang untuk melihatnya sendiri," kata Akuarium Seaside. - Sumber Metro UK.


Hoodwinker sunfish dihanyutkan ke pantai Gearhart, utara Oregon pada 3 Mei lalu. - Foto AP.

Ahad, 9 Jun 2024

10 GRO sanggup berpanas dan berhimpit dalam bilik rahsia mengelak dicekup

10 GRO sanggup berpanas dan berhimpit dalam bilik rahsia mengelak dicekup


Gara-gara ingin mengelak dicekup pihak berkuasa, 10 wanita warga Vietnam disyaki pelayan pelanggan (GRO) sanggup bersesak dalam sebuah bilik rahsia tanpa pengudaraan sempurna.


Bagaimanapun, cubaan mereka itu gagal apabila berjaya dikesan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam serbuan yang dijalankan di sebuah pusat hiburan di Pasir Puteh, Ipoh semalam.


Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata, kecekapan anggota telah berjaya mengesan dan menggagalkan taktik licik wanita warga asing itu untuk meloloskan diri.


Katanya, bilik rahsia yang digunakan itu didapati menggunakan pintu automatik kawalan jarak jauh selain tiada sistem pengudaraan yang sempurna.



"Kesemua wanita warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditemui dalam keadaan berpeluh dan lemah setelah hampir satu jam bersembunyi di dalam bilik tersebut.


"Pemeriksaan mendapati, kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya hari ini.


Menurut beliau, operasi sama turun dijalankan di empat premis perniagaan dan dua kediaman di sekitar Ipoh bermula pukul 8.30 malam semalam hingga 12.30 tengah malam tadi.


Katanya, dalam serbuan itu, pemeriksaan dijalankan terhadap 79 orang warga asing dari pelbagai negara.


"Daripada jumlah itu, seramai 42 orang warga asing ditahan. Mereka terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita serta seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia, 15 wanita warga Vietnam, tujuh wanita warga Thailand dan dua lelaki warga Myanmar.


"Kesemua yang ditahan berusia antara dua hingga 50 tahun," katanya.


Tambah beliau, kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.


Operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Perak berjaya membongkar bilik rahsia di sebuah pusat hiburan di Pasir Puteh pada Sabtu. - Foto Imigresen Perak.
Warga emas rugi RM44,500 selepas layan panggilan video wanita bogel

Warga emas rugi RM44,500 selepas layan panggilan video wanita bogel


Perkenalan seorang lelaki warga emas dengan seorang wanita warga Indonesia melalui media sosial bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia diugut untuk sebarkan video bogelnya.


Malah mangsa berusia 61 tahun itu turut mengalami kerugian RM44,500 apabila terpaksa membayar suspek bagi mengelakkan videonya disebarkan.


Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata mangsa yang juga pesara kerajaan pada mulanya berkenalan dengan suspek itu menerusi aplikasi Messenger Facebook ketika berada di rumahnya pada 29 Mei lalu.


Katanya, susulan perkenalan itu, pada 3 Jun lalu kira-kira jam 4.30 petang mangsa menerima panggilan video daripada suspek berkenaan ketika sedang memandu kereta.


"Mangsa menjawab panggilan itu dan mendapati suspek dalam keadaan bogel, sebelum meminta mangsa turut menanggalkan pakaian.


"Mangsa kemudian membuka seluar dan menunjukkan kemaluannya kepada suspek dan melayan panggilan video dalam tempoh kira-kira satu minit.


"Tidak lama selepas itu mangsa menerima satu rakaman video berdurasi seminit yang memaparkan muka dan kemaluan mangsa sebelum bertindak memadamkan video itu kerana tidak mahu diketahui orang lain," katanya.


Chang Hook berkata, pada 4 Jun lalu mangsa masih menerima video yang sama sebelum mangsa diugut supaya membayar Rupiah 15 juta (RM45,000) bagi memadamkan video berkenaan.


Katanya, selepas berunding suspek meminta mangsa membayar wang RM2,000 dan sebaik menerima bayaran itu suspek tidak lagi menghubungi mangsa.


Bagaimanapun, katanya dari 5 Jun sehingga 7 Jun lalu, mangsa masih lagi menerima ugutan untuk menyebarkan video bogelnya daripada suspek.


"Mangsa kemudian membuat lima transaksi pada tiga nombor akaun bank berlainan berjumlah RM42,500 melalui kiriman wang di dua buah kaunter kiriman wang di Bahau.


"Semalam, mangsa masih lagi menerima ugutan dan diminta memasukkan wang sebanyak RM58,500 bagi menyelesaikan masalah itu, namun pesara itu tidak berbuat demikian kerana sudah tidak mempunyai wang," katanya.


Chang Hook berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Jual rakaman video lucah, 3 lelaki dikenal pasti bantu wanita promosi aktiviti persundalan

Jual rakaman video lucah, 3 lelaki dikenal pasti bantu wanita promosi aktiviti persundalan


Wanita yang ditahan terbabit dengan aktiviti promosi seks dan penjualan ubat kuat di laman sosial dibantu tiga lelaki untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral itu.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, seorang lagi lelaki yang ditahan itu dikenal pasti teman lelaki kepada wanita yang berasal dari negeri utara tanah air terbabit.


"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 292(a) kanun sama, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63," katanya semalam.


Media tempatan kelmarin melaporkan wanita terbabit ditahan polis di Bandar Bukit Mahkota, Bangi di Selangor, selepas disyaki terbabit aktiviti terbabit di laman sosial sehingga mampu meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.


Aktiviti persundalan itu dilakukan wanita terbabit bersama empat lagi suspek yang turut ditahan.


Siasatan mendapati kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan dua wanita itu menjalankan aktiviti mempromosikan aktiviti seks di laman sosial, menjual rakaman video lucah dan menjual ubatan seks melalui laman sosial.


Suspek yang ditahan polis. - Foto Utusan Malaysia.

Jumaat, 7 Jun 2024

Dua lelaki warga tempatan ditahan bertumbuk di kedai runcit

Dua lelaki warga tempatan ditahan bertumbuk di kedai runcit


Dua lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 40-an itu ditahan antara jam 2.30 petang hingga 11 malam, Khamis.


"Kedua-dua suspek ditahan di sekitar Bukit Mertajam untuk membantu siasatan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Jelas beliau, salah seorang daripada suspek mengalami sedikit kecederaan di bahagian muka manakala seorang lagi tidak mengalami kecederaan.


Mengulas mengenai kejadian tersebut, Helmi berkata, hasil siasatan polis mendapati, kejadian berlaku pada jam 11.50 malam, 3 Jun lalu.


"Kejadian berlaku di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya. Ketika kejadian, seorang jurujual kedai runcit tersebut didatangi dua pelanggan lelaki.


"Salah seorang pelanggan tersebut telah meminta jurujual kedai itu mengambil minuman keras untuknya. Perkara itu telah mencetuskan perselisihan faham lalu berlaku kejadian tumbuk menumbuk," katanya.


Tambah beliau lagi, kejadian itu berlarutan dan salah seorang daripada suspek telah memukul belakang kepala jurujual menggunakan topi keledar ketika berada di luar premis berkenaan.


Sebelum ini, tular video di media sosial mengenai pergaduhan melibatkan dua individu di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya.


Menerusi video berkenaan, kedua-dua lelaki berkenaan didapati saling membuat provokasi selain mengajak untuk bertumbuk 'one by one' sambil diperhatikan oleh pelanggan lain.


Pergaduhan itu akhirnya berjaya dileraikan oleh salah seorang pelanggan yang turut berada ketika kejadian berlaku.


Tangkap layar video kejadian yang tular di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya pada 3 Jun lalu.

Khamis, 6 Jun 2024

Pemandu disaman bawa 4 wanita dalam but kereta

Pemandu disaman bawa 4 wanita dalam but kereta


Seorang pemandu di Wilayah Thai Nguyen, utara Vietnam didenda 4 juta dong (RM735) dan lesen memandunya digantung selama dua bulan selepas dia memandu sambil membawa beberapa wanita berada di dalam but keretanya.


Menurut portal berita VnExpress pada 4 Jun 2024, ketika kejadian, dia memandu bersama empat wanita duduk di dalam but kereta tersebut.


Pada Ahad lalu, satu rakaman video di media sosial menunjukkan sebuah kereta membawa empat wanita di dalam but.



Ketika itu, kenderaan tersebut melalui bandar Hoa Thuong di daerah Dong Hy.


Pemandu berusia 35 tahun yang menetap di Thai Nguyen City itu berkata, wanita-wanita itu berusia antara 18 hingga 20 tahun.


Katanya, mereka memakai pakaian basah selepas berenang.


Akibat takut bahagian dalaman kereta itu basah, mereka mengambil keputusan untuk duduk di dalam but. - Sumber VN Express.


Empat wanita duduk di dalam but sebuah kereta di WilayahThai Nguyen baru-baru ini. - Foto Tuoi Tre News.

Rabu, 5 Jun 2024

Kereta buruk 30 tahun terbiar dalam bangsal akan dijual pada berharga RM1.3 juta

Kereta buruk 30 tahun terbiar dalam bangsal akan dijual pada berharga RM1.3 juta

 

Sebuah kereta Aston Martin keluaran tahun 1962 akan dijual pada harga £227,000 (RM1.3 juta) selepas 30 tahun dibiarkan berhabuk di dalam sebuah bangsal, lapor akhbar The Sun UK pada 3 Jun 2024.


Aston Martin DB4 itu ditemui di sebuah lokasi di New York selepas dibiarkan oleh pemiliknya.


Jika diubah suai dan berada dalam keadaan baik, kereta itu dijangka boleh mencapai nilai melebihi £780,000 (RM4.6 juta).



Model DB4 tersebut mengetengahkan enjin berkuasa 3.7 liter dan merupakan kereta untuk kegunaan jalan raya pertama dunia yang mencapai kelajuan 161 kilometer sejam dalam masa kurang 30 saat.


Kenderaan ikonik itu dikatakan unik kerana masih mengekalkan nombor enjin yang sepadan dan tidak pernah dibaik pulih sebelum ini. Ia bermaksud semua ciri asalnya kekal utuh.


Kisah menarik disebalik penemuan kenderaan klasik ini datang hasil daripada pemilik sebelumnya yang kembali dari Vietnam pada tahun 1970-an.


Dia Kembali bekerja di bengkel badan kereta tempatan, dia ditanya oleh pengurus kedai itu sama ada dia boleh membantu membaiki keretanya.



Selepas bekerja pada kereta itu selama beberapa minggu, bosnya menghadiahkan Aston Martin DB4 kepadanya setelah siap.


Dia kemudiannya menunda kereta itu ke rumahnya, di mana dia bercadang untuk memulihkannya. Namun, ia kekal diletakkan di bangsal selama tiga dekad.


"Penemuan magis dalam bangsal yang sebenar. Sebuah Aston Martin dari Era Emas yang jarang ditemui," demikian menurut iklan promosi jualan kereta itu. - Sumber The Sun UK


Aston Martin DB4 ini boleh mencapai nilai melebihi RM4.6 juta jika dibaik pulih. - Foto mediadrumimages.