Seekor spesies ikan laut dalam yang sukar ditemui terdampar di pantai Oregon buat pertama kali dalam sejarah, lapor laman berita Fox News pada 21 Mei 2024.
Menurut Akuarium Seaside yang terletak di bandar Seaside, ikan dikenali sebagai 'footballfish' itu ditemui pada 18 Mei lalu oleh seorang penduduk tempatan berhampiran Pantai Cannon.
"Ia hidup dalam kegelapan sepenuhnya, pada kedalaman antara 609 hingga 1,005 meter. Ikan ini jarang dilihat," jelas pusat akuarium tersebut.
"Malah, hanya 31 spesimen telah direkodkan di seluruh dunia," tambahnya lagi.
Pusat akuarium itu memberitahu saluran berita Fox News Digital bahawa penemuan spesies tersebut merupakan kali ke-32 yang pernah dilihat oleh manusia.
Penemuan ikan berkenaan sebelum ini direkodkan di New Zealand, Jepun, Russia, Hawaii, Ecuador, Chile dan California. Namun, ia merupakan penemuan pertama di pantai negeri Oregon.
Dalam pada itu, Akuarium Seaside berkata, pakarnya tidak pasti faktor ikan itu terdampar di tepi pantai. - Sumber Fox News.