Seorang lelaki di wilayah Udon Thani, Thailand mendakwa bahawa dia terkena perbuatan sihir sehingga menyebabkan banyak serangga keluar daripada kulit badannya, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Lelaki berusia 43 tahun dan hanya dikenali sebagai Ad itu berkata, sepanjang tempoh dua bulan lalu, dia mendakwa hidup menderita kerana serangga merayap keluar daripada kulitnya. Dia percaya kejadian aneh itu berpunca daripada ilmu sihir.
Masalah itu menyebabkan dia tidak dapat bekerja atau melakukan aktiviti harian seperti biasa.
Selepas berita mengenainya tular, sekumpulan wartawan pergi ke rumah Ad di daerah Mueng, wilayah Udon Thani untuk mendengar ceritanya dan melihat sendiri keadaan lelaki itu.
Di sana, wartawan disambut oleh Ad, yang menceritakan permulaan penderitaannya dengan serangga, bermula dengan apa yang disifatkannya sebagai telur di kepalanya.
Dia pada awalnya menggunakan limau purut di kawasan itu untuk mengusir serangga, tetapi kelegaan itu tidak lama kerana lebih banyak serangga terus muncul.
Katanya, pelbagai jenis serangga daripada kutu hinggalah kepada pepijat penghisap darah terus keluar dari dalam kulitnya, memaksa dia menggunakan ubat topikal secara berkala untuk mengurangkan gejala.
Wartawan kemudian ditunjukkan bagaimana Ad mengekstrak serangga daripada kulitnya menggunakan ubat topika dalam prosedur yang menyerlahkan keadaannya yang teruk.
Sementara itu, bapa saudara Ad, Kamphiw membuat spekulasi bahawa masalah anak saudaranya itu mungkin berkaitan isu psikologi berpunca daripada tekanan akibat masalah keluarga dan pekerjaan.
Menurut Kamphiw, Ad sebelum ini merupakan seorang pekerja rajin yang terlibat dalam sektor pembinaan dan pinjaman wang.
Namun, lelaki itu sangat terkesan sejak berpisah dengan isterinya dua tahun lalu. Ia menyebabkan Ad murung dan terjerumus ke dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Ad bagaimanapun menafikan bahawa dia berhalusinasi, sebaliknya berkata, dia sudah lama tidak mengambil bahan terlarang itu.
Makcik Ad yang berusia 67 tahun, Ratchanee, juga menyatakan keraguan tentang kehadiran serangga, menunjukkan bahawa kepercayaannya boleh menjadi manifestasi gangguan kesihatan mental dan bukannya serangan sebenar atau ilmu sihir. - Sumber The Thaiger.
Sekumpulan wartawan melihat sendiri keadaan Ad. - Foto Khaosod.