Seorang pembantu rumah warga Thailand yang bekerja di Koh Samui mungkin menjadi jutawan 'segera' apabila majikannya warga Perancis yang sebelum ini menjadikannya proksi dalam syarikat, meninggal dunia dipercayai membunuh diri.
Wanita dikenali sebagai Nutwalai Phupongta, 49, yang berasal dari daerah Wanorn Niwas di wilayah Sakon Nakhon berkata, beliau masih terkejut dan sedih dengan kematian tragis majikannya, Catherine Delacote, 59 tahun.
"Saya mengenali bos Catherine selama lebih 17 tahun, diperkenalkan kepada puan oleh seorang rakan dan mula bekerja sebagai pembantu di rumah sewanya.
"Puan kemudiannya mengembangkan perniagaannya daripada hartanah sewa kepada resort dan vila, dan saya terus bersama dengannya," katanya.
Ahli perniagaan Perancis itu didakwa menamatkan riwayat di vila mewahnya pada minggu lalu, tindakan itu dibuat kerana kesengsaraan menanggung penyakit kanser dihadapinya.
Bangkok Post melaporkan, Nutwalai kini dalam penilaian pihak berkuasa Thai sama ada dia boleh mewarisi aset bernilai 100 juta baht (kira-kira RM12.9 juta) ditinggalkan mendiang majikannya.
Ketua Polis Koh Samui Pol Kol Krairoek Ngamsri-on berkata dengan perintah mahkamah, seorang wasi (orang yang dilantik dalam wasiat untuk urus) harta pusaka boleh memperuntukkan aset mendiang wanita itu mengikut kehendaknya.
"Wanita Perancis itu dilaporkan membunuh diri. Mendiang meninggalkan aset berjumlah kira-kira 100 juta baht kepada Nutwalai Pupongta, pembantu rumah yang sudah berkhidmat selama 17 tahun dengan mendiang.
"Setakat ini siasatan kematian menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah. Siasatan juga dilakukan terhadap pembinaan hotel gaya vila milik Catherine Delacote di Mae Nam di pulau Koh Samui di wilayah Surat Thani.
"Pemeriksaan awal mendapati hotel itu dibina secara sah tetapi pegawai belum menyiasat pegangan saham dalam syarikat mendiang wanita Perancis yang memiliki hotel itu," katanya.
Sementara itu, menurut Kolonel Dusit Kaysornkaew, ketua daratan Tentera Ke-4 unit penyiasatan berkata, pihak berkuasa menyiasat sama ada pembantu rumah yang berkenaan boleh mewarisi aset bernilai kira-kira 100 juta baht itu.
Syarikat yang disiasat, GVNE, mempunyai tiga pemegang saham.
Catherine mempunyai 49 peratus kepentingan dan dua warga Thailand memegang bakinya; seorang lelaki Thai dari Ubon Rattchhani mempunyai 35 peratus kepentingan dan seorang wanita Thailand dari Nakhon Si Thammarat mempunyai 16 peratus pegangan saham.
Kolonel Dusit berkata, pegawai penyiasat kelak akan mengetahui sama ada syarikat itu ditubuh secara haram membabitkan proksi Thailand.
Menurut sumber, GVNE diasaskan untuk menjalankan perniagaan hotel pada April 2012. Mendiang wanita Perancis itu adalah pengarah tunggal syarikat yang diberi kuasa.
Wanita Perancis itu, yang sudah bercerai dengan suami juga lelaki warga Perancis, ditemui mati berhampiran kolam renang di perkarangan vila mewahnya pada 29 April lalu.
Mayat itu mempunyai kesan lubang peluru dan pistol turut ditemui di tempat kejadian.
Presiden Persatuan Pelancongan Koh Samui, Ratchapol Pulsawasdi berkata dua pemegang saham warga Thai dalam syarikat Catherine mungkin perlu meluluskan sebarang pemindahan pemilikan aset yang ditinggalkan.
Peguam dan bekas ahli politik Niphit Intharasombat berkata, jika sebuah syarikat secara haram memasukkan pemegang saham proksi, Kementerian Dalam Negeri boleh menjual asetnya.
Sementara itu menurut Nutwalai, majikannya itu ada meninggalkan mesej perpisahan di dalam peti keselamatan.
Surat itu menyatakan bahawa Catherine mewariskan vilanya, kereta mewah, barang kemas, cincin, berlian yang disimpan dalam peti besi, dan semua wang tunai di bank kepada Nutwalai.
Pembantu rumah warga Thailand yang mempunyai empat anak itu turut mendedahkan majikannya itu telah memindahkan 500,000 baht kepadanya untuk menampung perbelanjaan pengebumiannya. - Sumber
The Star, New Straits Times, Bangkok Post.
Nutwalai Phupongta mungkin mewarisi aset bernilai 100 juta baht (kira-kira RM12.9 juta) ditinggalkan mendiang majikannya Catherine. - Bangkok Post.