Sabtu, 4 Mei 2024

Objek misteri dipercayai UFO terbang di langit waktu malam

Objek misteri dipercayai UFO terbang di langit waktu malam


Penduduk yang tinggal di barat daya Amerika Syarikat (AS) hingga ke rantau Scandinavia dan Eropah Timur menyiarkan rakaman video cahaya misteri dipercayai objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar New York Post pad 3 Mei 2024.


Mereka melihat objek misteri itu meluncur dalam keadaan melingkar di langit pada malam Khamis lalu.


"Langit benar-benar cerah dan saya melihat cahaya putih yang sangat kabur (tiada cahaya lampu seperti kapal terbang) datang terus ke arah saya secara mendatar.


"Ia kemudian terus (bergerak) ke atas dan hilang," kata netizen di platform X berserta rakaman video objek tersebut.


"Tolong beritahu saya bahawa ini bukannya UFO," kata netizen lain.


Satu lagi rakaman video objek ganjil tersebut menunjukkan sebuah UFO terbang di atas pokok palma di California Selatan, AS.


Seorang penduduk Canoga Park di bandar raya Los Angeles turut menyiarkan rakaman video itu.


Dalam pada itu di Finland, seorang pengguna media sosial Reddit menyiarkan gambar objek yang kelihatan terang pada waktu senja.


"Tidak tahu apakah benda itu," katanya.


Bagaimanapun, laman Space.com mungkin boleh merungkai misteri itu apabila ia melaporkan terdapat dua pelancaran roket SpaceX, Falcon 9 di pantai timur dan pantai barat AS pada Khamis. - Sumber New York Post.


Objek terbang misteri yang dirakam oleh pengguna laman X dibarat daya AS dan Eropah Timur kelmarin. - Foto X.

Jumaat, 3 Mei 2024

Buah pinggang rosak serta mengalami beberapa kegagalan organ selepas digigit tikus

Buah pinggang rosak serta mengalami beberapa kegagalan organ selepas digigit tikus


Seorang lelaki berusia 76 tahun nyaris maut selepas digigit seekor tikus yang ditemui bersembunyi dalam mangkuk tandas di rumahnya di Montreal, Kanada, baru-baru ini, lapor akhbar New York Post pada April lalu.


Semasa kejadian lelaki yang tidak didedahkan identitinya dikejarkan ke hospital selepas tikus menggigit dua jarinya ketika cuba menarik keluar haiwan itu dari tandas.


Setibanya di hospital, dia diberi suntikan tetanus oleh doktor sebelum dibenarkan pulang ke rumahnya.


Bagaimanapun selepas 18 hari, lelaki itu kembali semula ke hospital sama kerana dia mengalami pelbagai gejala termasuk demam, sakit kepala dan sakit perut yang berterusan selama beberapa hari.


Walaupun luka akibat gigitan tikus didapati sembuh sepenuhnya, doktor yang memeriksanya mendapati degupan jantungnya berdegup kencang.


Kemudian doktor yang melakukan ujian awal mendapati buah pinggang lelaki itu telah rosak selain mempunyai platelet darah rendah.


Kadar jantungnya tinggi, tekanan darahnya rendah dan buah pinggangnya rosak, menurut laporan perubatan yang diterbitkan dalam Canadian Medical Association Journal.


Mereka menjalankan ujian darah dan air kencing dan mendapati lelaki itu menghidap leptospirosis, jangkitan kuman yang sering ditularkan kepada manusia oleh haiwan seperti tikus dan boleh membawa maut dalam kes yang jarang berlaku dan teruk.


Dia dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami beberapa kegagalan organ. - Sumber New York Post.


Tikus menggigit dua jari warga emas itu ketika mangsa cuba menarik keluar haiwan berkenaan dari tandas. - Gambar hiasan 123RF.
Tayar meletup ketika diisi angin, pekerja pusat servis kenderaan maut, rakan parah

Tayar meletup ketika diisi angin, pekerja pusat servis kenderaan maut, rakan parah


Seorang pekerja pusat servis kenderaan maut, manakala seorang lagi parah selepas tayar jentolak meletup ketika sedang diisi angin dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, pada Selasa lalu.


Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika kedua-dua mangsa sedang mengisi angin tayar sebuah jentolak.


"Bagaimanapun, tayar berkenaan tiba-tiba meletup sehingga terkena kedua-dua mangsa mengakibatkan salah seorang maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi parah.


"Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Menurut beliau, semakan mendapati kedua-dua mangsa berusia 19 dan 21 tahun merupakan lelaki warga tempatan.


Mengulas lanjut, Mohd. Hafiz memaklumkan kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR) dan satu kertas siasatan dibuka.


"Siasatan sebelum ini mendapati kejadian terbabit telah ditularkan menerusi satu gambar kejadian berserta rakaman suara.


"Orang ramai diminta tidak membuat atau menyebarkan spekulasi berhubung kejadian ini," katanya.


Pada Khamis, tular gambar serta rakaman suara berkaitan kejadian melibatkan tayar meletup di sebuah pusat servis kenderaan di Sungai Buloh, Selangor.


Tangkap layar video tular memaparkan dua lelaki berlumuran darah selepas tayar jenis jentolak meletup secara tiba-tiba dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Selasa lalu. - Foto Kosmo Online.

Khamis, 2 Mei 2024

11 ditahan, kegiatan kutip, paksa pemandu bayar parkir di sekitar ibu negara

11 ditahan, kegiatan kutip, paksa pemandu bayar parkir di sekitar ibu negara


Polis menahan 11 individu termasuk warga asing yang mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram di sembilan lokasi sekitar ibu negara, pada 24 April lalu.


Lokasi yang diserbu ialah Jalan Beremi, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tengah Changkat Bukit Bintang, Persiaran Dutamas G3 Street, Jalan Berangan, Jalan Walter Granier, Jalan Mesui, Jalan Doraisamy serta Jalan Kamunting.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi Op Parkir Haram yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur bermula jam 9 malam pada Rabu, 24 April.


"Dalam operasi itu, kami berjaya menahan 11 individu berusia antara 19 hingga 60 tahun dengan lima daripada mereka adalah warga asing dari India dan Bangladesh.


"Selain itu, dua tangkapan warga tempatan juga didapati memiliki dua rekod lampau bersabit kes dadah serta orang dikehendaki.


"Siasatan awal polis mendapati suspek terbabit melakukan kesalahan mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram serta merampas wang tunai yang diambil dari pemandu-pemandu secara paksaan," katanya hari ini.


Beliau berkata, mereka ini mengenakan caj antara RM10 hingga RM20 untuk setiap kenderaan yang diparkir.


Katanya, ada antara kegiatan ini mula aktif sejak sebulan hingga dua bulan lalu.


"Siasatan masih dijalankan dan tindakan akan diambil di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mendesak mana-mana orang lain yang berkenaan dengan penjagaan kenderaan," ujarnya.


Antara yang ditahan JSPT Kuala Lumpur menerusi Op Parkir Haram di sekitar ibu negara, baru-baru ini. - Foto Sinar Harian.

Rabu, 1 Mei 2024

Sebuah penempatan yang 'hilang' lebih 50 tahun muncul semula

Sebuah penempatan yang 'hilang' lebih 50 tahun muncul semula


Sebuah penempatan lama berusia hampir 300 tahun yang tenggelam disebabkan pembinaan empangan di utara Filipina, muncul semula selepas paras takungan menurun akibat kemarau, lapor akhbar The Sun UK pada 30 April 2024.


Sisa runtuhan di tengah-tengah Empangan Pantabangan dalam wilayah Nueva Ecija, kini menjadi tarikan pelancong walaupun kawasan itu dilanda panas melampau.


Ia merupakan kali keenam pekan lama itu muncul semula sejak empangan tersebut dibina pada 1970-an.


Bangunan perbandaran dan tanah perkuburan bersama-sama dengan 20,000 ekar tanah ladang semuanya ditenggelami di bawah tasik baharu itu.



Kira-kira 1,300 orang penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi sebelum pekan itu hilang di bawah takungan.


Empangan Pantabangan diwujudkan bagi menyediakan sistem pengairan untuk petani tempatan dan menjana kuasa hidro.


"Ini adalah masa paling lama (sisa runtuhan boleh dilihat) berdasarkan pengalaman saya," kata Marlon Paladin, seorang jurutera dari agensi kerajaan yang mengendalikan empangan berkenaan.


Paras air empangan itu berkurang sebanyak hampir 50 meter daripada paras tinggi biasa iaitu 221 meter, demikian menurut angka daripada peramal cuaca negeri.


Selepas berbulan-bulan tanpa hujan, separuh daripada wilayah di negara ini mengalami kemarau dengan suhu terik mencecah 50 darjah celsius.


Pekan ini kekal tersembunyi di bawah air sepanjang tahun. Tetapi pada musim panas dan kering, tinggalan kampung yang hilang dapat dilihat oleh pelancong yang mengunjungi tapak tersebut.


Pekan berusia hampir 300 tahun itu dianggap sebagai zon warisan budaya dan pelawat boleh membayar yuran sederhana sebanyak $5 untuk memasuki tapak selama 40 minit.


Mereka juga perlu membayar untuk menaiki bot yang membawa mereka ke pusat takungan. - Sumber The Sun UK.


Sisa-sisa runtuhan boleh dilihat pada musim panas dan kering. - Foto Getty.

Pekan yang tenggelam itu muncul semula selepas paras air menurun akibat kemarau. - Foto Getty.

Kampung yang hilang ditenggelami air pada tahun 1970-an. - Foto Getty.

Empangan Pantabangan yang kering dikunjungi oleh ramai pelancong. - Foto Getty.
Netizen terpukau budak tiga tahun boleh 'mengaum' seperti singa

Netizen terpukau budak tiga tahun boleh 'mengaum' seperti singa


Video seorang budak perempuan berusia tiga tahun meniru suara singa mengaum tular di media sosial baru-baru ini.


Gelagat Riley Kay Scott, yang dimuat naik dalam platform X oleh ibunya mencetuskan pelbagai komen lucu apabila kanak-kanak itu mengaum seperti singa seperti dilihat dalam televisyen atau zoo.


Dalam video itu kanak-kanak itu menerangkan satu persatu cara dia mengaum seperti menyedut udara menerusi hidung dan kemudian mengeluarkan secara serentak melalui mulut.


Video itu mendapat tontonan lebih satu juta sejak ia dimuat naik pada 25 April lalu.


Ramai netizen memberi komen mengenai kebolehan Scott meniru suara singa sebenar dan segelintir menyatakan kemahiran itu mudah ditiru kanak-kanak berbanding orang dewasa.


"Kanak-kanak belajar dengan cepat dan mampu melakukan apa saja yang mereka fikirkan.


"Itulah, sebagai ibu-bapa anda perlu ingat apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di dunia ini supaya mereka dapat membesar dengan sihat," kata netizen yang mengagumi kaletah kanak-kanak itu bercakap. - Sumber NDTV.


Seorang budak perempuan berusia tiga tahun boleh meniru suara singa. - Foto TikTok.

Selasa, 30 April 2024

Saintis ramal tarikh 'kiamat' kepupusan manusia dan spesies mamalia di bumi

Saintis ramal tarikh 'kiamat' kepupusan manusia dan spesies mamalia di bumi


Satu kajian baharu meramalkan bahawa manusia akan pupus dalam masa 250 juta tahun lagi dan jauh lebih awal sekiranya aktiviti pembakaran bahan api fosil tidak dikekang, lapor portal berita Daily Mail.


Kajian berdasarkan simulasi komputer oleh pasukan saintis Universiti Bristol itu menyatakan, Bumi berdepan kepupusan sejagat yang juga akan menghapuskan semua hidupan mamalia.


"Paras karbon dioksida juga dijangka melonjak dua kali ganda berbanding sekarang. Manusia bersama spesies mamalia lain akan pupus disebabkan ketidakupayaan untuk mengeluarkan haba melalui peluh bagi menyejukkan badan," kata penyelidik kanan merangkap ketua kajian tersebut, Dr. Alexander Farnsworth.


Menurutnya, dalam masa 250 juta tahun lagi, semua benua di Bumi akan bercantum untuk membentuk sebuah benua 'super' dikenali sebagai Pangea Ultima.


Pangea Ultima hanyalah satu unjuran yang mungkin tentang rupa benua besar Bumi sebaik sahaja plat tektonik bergabung.


Walau apa pun penjajaran yang tepat, saintis pasti benua Bumi perlahan-lahan akan bergabung untuk membentuk satu jisim panas, kering dan sebahagian besarnya tidak boleh didiami.


Proses tektonik dalam kerak bumi yang menyatukan benua akan membawa kepada letusan gunung berapi yang lebih kerap, yang akan menghasilkan pelepasan besar karbon dioksida ke atmosfera, seterusnya memanaskan planet ini.


Hasil kajian turut mendapati hanya sekitar lapan hingga 16 peratus daripada tanah di Bumi sesuai untuk didiami spesies mamalia ketika itu, namun kebarangkalian besar bahawa semua spesies tersebut akan pupus.


"Hanya mamalia yang benar-benar unik berpotensi untuk terselamat," jelas Farnsworth, kajian itu diterbitkan dalam jurnal Nature Geoscience.


Ahli akademik itu berkata manusia mungkin boleh bertahan jika kita membina 'tempat perlindungan terkawal alam sekitar dengan penghawa dingin'.


"Tetapi kami mungkin perlu membina kemudahan lain untuk menempatkan pengeluaran makanan juga," katanya.


Satu lagi harapan untuk manusia ialah membentuk tamadun di planet lain dalam sistem suria lain, tetapi perkara itu pada masa ini hanya bahan fiksyen sains. - Sumber Daily Mail.


Imej menunjukkan geografi Bumi hari ini (kiri) dan geografi Bumi yang dijangkakan dalam 250 juta tahun, apabila semua benua berkumpul menjadi satu benua besar (Pangea Ultima). - Foto University of Bristol.

Imej menunjukkan suhu purata bulan paling panas (darjah Celsius) untuk Bumi dan benua super yang diunjurkan (Pangea Ultima) dalam 250 juta tahun, apabila hampir mana-mana mamalia sukar untuk hidup. - Foto University of Bristol.
Bas membawa lebih 50 penumpang terjunam ke dalam gaung sedalam 300 meter

Bas membawa lebih 50 penumpang terjunam ke dalam gaung sedalam 300 meter


Sekurang-kurangnya 25 orang maut dan 13 lagi cedera apabila sebuah bas terjunam ke dalam gaung dari jalan pergunungan di utara Peru pada malam Ahad, kata pihak berkuasa tempatan pada Isnin.


Pegawai tempatan Olga Bobadilla memberitahu radio RPP bahawa kejadian berlaku kira-kira jam 10.10 malam waktu tempatan di jalan tanah berlubang di wilayah Andes Cajamarca. Bas itu jatuh ke dalam jurang sedalam kira-kira 200 meter (650 kaki).


Ketua polis di wilayah Celendin, Hugo Uriarte, yang memberitahu media tempatan berkata, bas itu berlepas dengan 35 penumpang tetapi mengambil lebih ramai individu di sepanjang laluan itu.


Operasi menyelamat masih diteruskan yang menghadapi kesukaran untuk akses ke lokasi insiden akibat jurang yang dalam, kata Uriarte.


Ketua Komunikasi wilayah Celendin, Jaime Herrera memberitahu TV Peru yang dikendalikan kerajaan bahawa bas itu yang terdampar di Sungai Sendamal, menyebabkan beberapa penumpang hanyut dibawa arus.


Sebahagian daripada mangsa yang terselamat termasuk pemandu bas, mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke hospital di Celendin dan Cajamarca.


Pihak berkuasa sedang mengumpulkan maklumat daripada mangsa yang terselamat untuk menentukan punca kemalangan.


Bandar Celendin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dalam satu kenyataan dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh. Ia juga mengisytiharkan tempoh berkabung selama 72 jam di seluruh wilayah itu. - Sumber South China Morning Post.


Bas itu berlepas dengan 35 penumpang tetapi mengambil lebih ramai individu di sepanjang laluan itu. - Foto AFP.

Isnin, 29 April 2024

Wanita lintas jalan di lebuhraya sehingga akibatkan kemalangan maut disambung reman

Wanita lintas jalan di lebuhraya sehingga akibatkan kemalangan maut disambung reman


Seorang wanita yang memberhentikan kenderaan dipandu sebelum melintas jalan sehingga mengakibatkan kemalangan maut di KM98.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah Timur di Temerloh pada 26 April lalu disambung reman, hari ini (Isnin).


Terdahulu, wanita berusia 35 tahun itu ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan memberitahu, tempoh tahanan reman disambung untuk melengkapkan siasatan.


"Hari ini baru sambung (reman), belum ada keputusan (tempoh tahanan)," katanya hari ini.


Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki berusia 34 tahun yang bertugas sebagai pemuzik di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh sebuah pikap jenis Mitsubishi Triton.


Menurutnya, tindakan wanita tersebut menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton terpaksa menekan brek secara mengejut.


Pada masa yang sama, mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki GSX-R1000 dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut.


"Mangsa terjatuh di lorong laju, manakala motosikalnya tercampak ke bahagian belakang Mitsubishi Triton yang dirempuhnya," katanya.


Ujarnya, akibat kemalangan itu, mangsa yang parah di bahagian dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku sejurus pemandu kenderaan pacuan empat roda menekan brek mengejut selepas wanita yang memandu kenderaan jenis utiliti sukan berhenti di bahu kiri jalan sebelum melintas ke kanan laluan itu.
Lelaki langgar, tikam penunggang curi basikal kesayangannya

Lelaki langgar, tikam penunggang curi basikal kesayangannya


Berang terlihat basikalnya yang baru dicuri ditunggang orang tidak dikenali, seorang lelaki bertindak menikam penunggang basikal itu dari belakang, lapor akhbar Mirror UK pada 27 April 2024.


Reece Lowndes, 23, bengang apabila dia melihat James Gregory menunggang basikalnya di St Helens, lalu bertindak menendang dan menikam mangsa.


Sebelum kejadian tikaman itu, mangsa dirempuh dengan kereta BMW 1 Series hitam milik Lowndes dari arah belakang.


Ketika rempuhan, kereta Lowndes itu dipandu rakannya Connor Richards yang dirujuk sebagai defendan bersama manakala Lowndes di tempat duduk penumpang hadapan.


Mahkamah Liverpool Crown pada Jumaat diberitahu, berdasarkan rakaman dari kawasan berhampiran kejadian kira-kira jam 4 petang 12 September tahun lalu itu, selepas mangsa dirempuh kereta dan semasa kenderaan itu masih bergerak, Lowndes melompat keluar dari keretanya dan terus menendang mangsa.


Lowndes dari Chiltern Road itu kemudian menikam James ketika mangsa terbaring tidak berdaya, lapor Liverpool Echo.


Pendakwa Raya Stella Hayden, menggambarkan bagaimana Lowndes mendekati pengadu (mangsa) dan segera melancarkan sepakan kuat yang menjatuhkan mangsanya ke lantai jalan.


Selepas itu, Lowndes mula memberi tendangan dan tumbukan ke atas James sebelum menikamnya dari belakang.


Hakim Anil Murray menjatuhi hukuman penjara selama 33 bulan terhadap Lowndes selepas tertuduh mengaku mencederakan dan memiliki senjata dalam serangan di tempat awam.


Richards sebagai defendan bersama, yang tidak pernah disabitkan kesalahan sebelum ini juga sepatutnya mengetahui nasibnya serentak keputusan terhadap Lowndes, tetapi kesnya ditangguhkan untuk mendapatkan laporan lanjut sebelum hukuman ditetapkan.


Dia akan dibawa semula ke mahkamah pada 17 Mei, dibebaskan dengan ikat jamin selepas turut mengaku bersalah melakukan kecederaan parah. - Sumber Mirror UK.


Reece Lowndes dijatuhi hukuman 33 bulan. - Foto Liverpool Echo.