Jumaat, 29 Mac 2024

Dua pegawai bank jual akaun bank dan kad ATM kepada sindiket 'scam' ditahan

Dua pegawai bank jual akaun bank dan kad ATM kepada sindiket 'scam' ditahan


Kejahatan dua pegawai bank bersekongkol dalam sindiket pembelian dan penjualan akaun bank bagi tujuan aktiviti 'scam' sejak enam bulan lalu terbongkar selepas ditahan polis, baru-baru ini.


Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, 16 individu yang berusia 20-an hingga 30-an itu ditahan menerusi serbuan di beberapa lokasi di sekitar Gombak antara 20 Mac hingga 22 Mac lalu.


Katanya, individu yang ditahan terdiri daripada 15 warga tempatan termasuk empat wanita serta seorang wanita Nigeria.


"Hasil daripada siasatan mendedahkan ada dalam kalangan tangkapan berperanan sebagai 'collector' kad bank, 'runner' yang mencari individu yang mahu membuka akaun serta orang tengah antara sindiket dengan pegawai bank tempatan.


"Hasil tangkapan, polis merampas sebanyak 31 unit telefon bimbit, 30 keping kad ATM pelbagai bank, satu unit mesin pencetak, satu unit komputer riba dan satu fail mengandungi pelbagai dokumen.


"Hasil semakan mendapati suspek warga tempatan dipercayai dalang sindiket mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) pada 2021," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.


Beliau berkata, sindiket dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan menawarkan secara 'one off' antara RM500 hingga RM1,500 kepada individu yang membuka akaun dan menjualnya kepada mereka.


Katanya, akaun bank dan kad ATM yang dibeli kemudian disewakan atau dijual kepada sindiket yang melakukan kegiatan penipuan di seluruh negara untuk penerimaan wang hasil penipuan.


"Siasatan terhadap dua pegawai bank bekerja sebagai Mobile Deposit Specialist (MDS) mendapati mereka berbuat sedemikian bagi mencapai KPI yang ditetapkan.


"Mereka bertindak menerima pendaftaran akaun bank daripada individu tanpa membuat semakan menyeluruh. Hasil siasatan dapati sebanyak 40 akaun sudah dibuka oleh dua pegawai bank itu," katanya.


Hussein berkata, polis juga mengenalpasti lima akaun bank yang dikesan semasa serbuan terbabit dalam 15 kes penipuan atas talian membabitkan kerugian RM2.3 juta di seluruh Malaysia.


Menurutnya, kesemua transaksi berlaku di antara Februari sehingga Mac lalu. Tambahnya, polis akan turut memanggil pemilik akaun yang terbabit untuk siasatan lanjut.


Beliau menegaskan, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada pegawai bank lain yang bersubahat dengan sindiket tersebut dan usaha memburu suspek lain sedang giat dilakukan polis.


"Kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KPJ) dengan kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan," katanya.


Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan tawaran yang diberi oleh sindiket ini untuk menyewa dan menyerahkan akaun bank dan kad ATM dengan bayaran yang lumayan yang diiklankan di media sosial.


Hussein (tengah) menunjukkan kad bank yang dirampas ketika sidang media berkaitan kejayaan anggota polis menumpaskan sindiket jual beli akaun bank dan pengedaran kad ATM untuk tujuan penipuan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. - Foto Bernama.
Misteri ribuan ubur-ubur terdampar di pantai gemparkan penduduk di Sabah

Misteri ribuan ubur-ubur terdampar di pantai gemparkan penduduk di Sabah


Peningkatan kadar pembiakan ubur-ubur disebabkan peningkatan suhu di perairan punca kehadiran hamparan haiwan laut itu di sepanjang pesisir pantai Kampung Jangkit, Kuala Penyu, Sabah.


Ubur-ubur jenis 'tomato jellyfish' atau nama saintifiknya Lobonemoides Robustus dilihat terdampar di sepanjang kira-kira tiga kilometer di persisir pantai tersebut tular di media sosial sejak Rabu (27/3/2024).


Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Azhar Kassim, fenomena itu berkait rapat dengan faktor peningkatan suhu air laut serta pasang dan surut air yang mendadak.


"Kepadatan luar biasa populasi ubur-ubur, berlaku disebabkan peningkatan kadar pembiakannya susulan peningkatan suhu laut, sementara faktor pasang dan surut air yang mendadak menyebabkan haiwan itu terperangkap dan terdampar di tepi pantai.



"Kejadian itu juga berkait rapat dengan kewujudan sumber makanan zooplankton, krustasia kecil dan anak ikan di laut.


"Jabatan Perikanan Sabah telah menghantar anggota dari pejabat Kuala Penyu ke kawasan kejadian, untuk memantau dan menyiasat damparan ubur-ubur yang begitu luar biasa dan padat," katanya dalam kenyataan, semalam.


Azhar berkata pihaknya mengenal pasti jenis ubur-ubur itu sebagai Lobonemoides robustus dan ia bukan jenis berbisa atau merbahaya, namun boleh memberi kesan gatal di badan sekiranya tersentuh kulit.


Beliau berkata orang ramai tidak perlu terlalu risau, kerana ubur-ubur itu mudah mati dan hancur serta hanya mengakibatkan bau tidak selesa, namun ia akan cepat hilang dalam sehari atau dua hari.


Azhar berkata orang ramai diminta untuk mengelakkan mandi di kawasan perairan dengan populasi ubur-ubur yang tinggi.


Ribuan ubur-ubur Tomato ditemui terdampar di Pantai Kampung Jangkit, Kuala Penyu. - Foto Jabatan Perikanan Sabah.

Khamis, 28 Mac 2024

Wanita tergamak ketuk kepala ibu dengan kuali hingga mati

Wanita tergamak ketuk kepala ibu dengan kuali hingga mati


Seorang wanita di Bronx, Amerika Syarikat tergamak mengetuk kepala ibunya dengan periuk masak hingga mati dan kemudian menelefon pihak kecemasan dengan mengakui melakukan pembunuhan kejam itu.


Bagaimanapun, suspek, Skydajah Patterson, 26, telah dibebaskan polis dan mendapat rawatan kesihatan mental selepas didakwa memukul ibunya, Selma Mclean berusia 46 tahun di apartment mereka terletak di Presiden Adams House di Bronx pada jam 3.40 pagi (waktu tempatan).


Sumber berkata, Skydajah memberitahu operator kecemasan bahawa dia baharu membunuh ibunya dan semasa pihak berkuasa tiba di apartmen itu mereka mendapati Mclean sudah tidak sedarkan diri dan terdapat kecederaan di muka dan kepalanya.


Malah, wanita muda itu masih memegang periuk masak berlumuran darah.


"Dia mengakui menggunakan peralatan dapur untuk memukul belakang kepala ibunya sehingga pengsan," katanya.


Namun, wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Anak perempuan mangsa telah ditahan, tetapi dia tidak menghadapi sebarang pertuduhan pada lewat petang, kata polis.


Sementara anak baptis Mclean, Danaeyah Reynolds, 26, memberitahu The New York Post bahawa ibunya telah menghantar mesej kepadanya sebelum pembunuhan kejam itu dengan mengatakan dia takut kepada Skydajah yang baharu saja dibebaskan dari wad psikiatari.


"Dia berada di wad psikiatri sejak Februari hingga minggu lalu. Dia mula mendengar suara dan mula bercakap dengan suara seorang lelaki.


"Ibu baptis berkata dia takut kerana Skydajah mengatakan suara di kepalanya memberitahu bahawa ibunya sangat merbahaya," katanya.


Skydajah dikatakan mengalami gangguan mental sejak dia kehilangan bayi lelakinya pada bulan Ogos lalu. - Sumber New York Post.


Anggota polis mengawal pintu masuk apartment didiami Skydajah Patterson dan ibunya yang terletak di Bronx, New York. - Foto Robert Mecea.

Skydajah Patterson, 26, didakwa menggunakan kuali untuk membunuh ibunya. - Foto Facebook/Skydajah Patterson.
Polis sudah 'kutip' lelaki tunggang ala Spiderman di lebuhraya

Polis sudah 'kutip' lelaki tunggang ala Spiderman di lebuhraya


Lelaki yang menayangkan aksi 'superman' ketika menunggang motosikal di lebuh raya ditahan polis di Kampung Pantai, Mersing, semalam.


Suspek berusia 20 tahun ditahan jam 4 pagi selepas aksi dilakukan di Kilometer 139, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara tular di media sosial.


Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata tangkapan itu dilakukan selepas video berdurasi 29 saat dikesan di media sosial.


Beliau berkata, pasukan daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ke rumah suspek sebaik mendapat maklumat mengenainya.


"Semasa ditahan, polis turut merampas motosikal jenis Yamaha 152ZR digunakan ketika mempamerkan aksi spiderman itu.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya hari ini.


Raiz Mukhliz berkata, pada masa sama, suspek turut direman tiga hari bagi membantu siasatan kes itu.


Aksi lelaki menunggang ala Spiderman di lebuhraya sebelum ditahan semalam. - Foto PDRM.
Arab Saudi hantar peserta ratu cantik Miss Universe yang pertama tahun ini

Arab Saudi hantar peserta ratu cantik Miss Universe yang pertama tahun ini


Arab Saudi akan mempunyai peserta ratu cantik dalam pertandingan Miss Universe yang pertama tahun ini dengan penyertaan model terkenal, Rumy Alqahtani, lapor portal berita The New Arab pada 26 Mac 2024.


Alqahtani kelahiran Riyadh telah pun bertanding dan memenangi beberapa pertandingan ratu cantik di seluruh dunia.


Model dan pesohor berusia 27 tahun itu telah pun dinobatkan sebagai Ratu Cantik Arab Saudi, Ratu Cantik Asia Barat, Ratu Cantik Keamanan Dunia Arab dan Ratu Canitk Wanita di Arab Saudi.


Alqahtani kini akan menjadi wakil pertama kerajaan Arab Saudi untuk Miss Universe, pertandingan ratu cantik antarabangsa yang telah berlangsung sejak 1952.


Alqahtani turut mengumumkan berita itu kepada satu juta pengikutnya di Instagram.


"Saya berbesar hati untuk menyertai pertandingan Miss Universe 2024. Ini adalah penampilan sulung Arab Saudi dalam pertandingan itu," tulisnya.


Beberapa negara Arab, seperti Lubnan dan Bahrain, telah mengambil bahagian dalam pertandingan Miss Universe, yang tidak menampilkan bahagian pakaian renang seperti saingan Miss World.


Ia juga mempunyai bahagian pakaian tradisional, di mana peserta boleh mempamerkan pakaian kebangsaan mereka. - Sumber The New Arab.


Rumy Alqahtani. - Foto Instagram.

Rabu, 27 Mac 2024

Pemain remaja maut terkena sepakan di perut

Pemain remaja maut terkena sepakan di perut


Malang menimpa seorang pemain bola sepak remaja berusia 17 tahun apabila menemui ajal akibat terkena tendangan di bahagian perut dalam satu perlawanan, lapor akhbar Metro UK pada 26 Mac 2024.


Wassim Jazzar dari kelab amatur Algeria, mengalami kecederaan itu ketika bertembung dengan pemain pertahanan lawan.


Kejadian berlaku ketika dia cuba mengeluarkan bola dan secara tidak sengaja ditendang di perut oleh pemain lawan sebelum rebah di atas padang.


Permainan kemudian dihentikan dan para pemain kedua-dua pasukan mengerumuninya untuk memberi bantuan.


Wassim selepas itu terpaksa dikejarkan ke hospital dengan kereta awam kerana menurut media tempatan tiada ambulans atau doktor di sekitar kawasan tersebut.


Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia dengan 'sepakan maut' itu didakwa sebagai punca kematian, lapor The Sun.


Media Algeria pula melaporkan bahawa Wassim meninggal dunia sejurus selepas terkena tendangan itu.


Berita sedih itu menyusul selepas arena bola sepak Colombia dikejutkan dengan pemergian Guillermo Beltran yang tumbang ketika latihan. - Sumber Metro UK.


Para pemain mengerumuni Wassim selepas rebah terkena tendangan di perut oleh pihak lawan. - Foto Twitter.
Lelaki dirasuk selepas tebang pokok tanpa izin

Lelaki dirasuk selepas tebang pokok tanpa izin


Seorang lelaki dari Klungkung, wilayah Bali dirasuk ketika membonceng motosikal, dipercayai akibat menebang pokok tanpa meminta izin, lapor laman berita Detik pada 21 Mac 2024.


Berdasarkan video yang tular di media sosial, lelaki tidak berbaju itu dilihat merangkak di atas jalan raya dan meracau-racau.


Sebilangan penduduk cuba menenangkan lelaki itu. Bagaimanapun, lelaki itu terus merangkak, melompat ke atas dan ke bawah dalam keadaan tidak sedarkan diri.


Ketua Polis Dawan, Asisten Komisioner Polis I Komang Susiawan berkata, lelaki bernama Ananda Pratama Laritembun tersebut merupakan buruh bangunan berasal dari Banyuwangi, wilayah Jawa Timur.


"Lelaki yang meracau itu ialah buruh bangunan yang bekerja di Kampung Besan," katanya sambil menambah, kejadian berlaku pada Jumaat lalu (15/3/2024).


Tambah Komang, Ananda dan rakannya sebelum itu menebang sebatang pokok yang akan digunakan untuk membuat rumah.


Ketika mereka menaiki motosikal melalui Kampung Dawan Kaler, Ananda yang membonceng tiba-tiba meronta-ronta.


Disebabkan keadaannya tidak terkawal, rakannya menghentikan motosikal dan berhenti di tepi jalan.


"Ananda kemudian dibawa ke lokasi dia tinggal (di Bali) dan dirawat mengikut adat agama Hindu sebelum kembali sedar," ujarnya. - Sumber Detik Bali.


Ananda merangkak di atas jalan raya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan meracau-racau. - Foto Detik.
Penumpang terkejut jumpa kala jengking berkeliaran di lapangan terbang

Penumpang terkejut jumpa kala jengking berkeliaran di lapangan terbang


Para penumpang terkejut apabila menemui seekor kala jengking berkeliaran di Lapangan Terbang Heathrow, London, lapor akhbar Daily Express pada 26 Mac 2024.


Haiwan artropod itu dipercayai masuk ke dalam beg milik penumpang sebelum ia tiba di lapangan terbang tersebut.


Setakat ini masih tidak diketahui kala jengking yang berwarna hitam dan bergerak di sekitar kaki penumpang itu datang dari negara mana.


Namun, haiwan itu sering ditemui di Afrika Selatan, Asia Timur, Eropah Selatan dan Australia.


Spesies itu tidak berasal dari Britain kerana negara itu hanya mempunyai kala jengking yang mempunyai ekor berwarna kuning.


Haiwan itu tidak boleh membawa maut namun ia mempunyai sengatan yang kuat seperti tebuan.


Bagaimanapun, seorang jurucakap Lapangan Terbang Heathrow berkata: "Kala jengking ini selamat ditangkap dan dibawa keluar dari terminal (lapangan terbang) oleh kakitangan terlatih khas.


"Ia akan dinilai dan dikenal pasti, sebelum dibawa ke rumah baharu yang sesuai."


Apabila haiwan ditemui berkeliaran di terminal lapangan terbang Heathrow, mereka mempunyai Pusat Penerimaan Haiwan Heathrow sendiri yang mana pasukan dipanggil untuk menyelamatkan makhluk itu. - Sumber Daily Express.


Kala jengking yang berkeliaran di dalam Terminal Lapangan Heathrow baru-baru ini. - Foto Twitter @UB1UB2.

Selasa, 26 Mac 2024

Netizen terkejut temui 'ular berkaki' di rumahnya

Netizen terkejut temui 'ular berkaki' di rumahnya


Seorang pengguna media sosial di Thailand berkongsikan gambar seekor haiwan aneh yang kelihatan seperti ular kecil tetapi mempunyai empat kaki, lapor laman berita Thaiger pada 25 Mac 2024.


Menurut individu tersebut, haiwan itu ditemui di rumahnya.


"Haiwan apakah ini? Ia kelihatan seperti ular tetapi mengapa mempunyai kaki," soalnya dalam hantaran yang dimuat naik di laman media sosial.


Pengguna media sosial yang lain kemudian tampil menjelaskan bahawa haiwan tersebut dikenali sebagai Lygosoma quadrupes iaitu sejenis reptilia kecil dalam kumpulan skink.


Ia dikenali dengan badannya yang panjang, kepala panjang dan rata serta berkaki pendek.


Skink tersebut biasanya mempunyai badan berwarna kelabu dan hitam atau coklat muda. 


Disebabkan kakinya yang pendek, ia cenderung merayap dan bersembunyi di dalam tanah yang gembur atau di bawah kayu yang mereput dan sering disalah anggap sebagai ular. - Sumber The Thaiger.


Haiwan ini kelihatan seperti ular, namun mempunyai empat kaki. - Foto Khaosod.
Gara-gara terlanggar bahu, lelaki maut ditumbuk warga asing

Gara-gara terlanggar bahu, lelaki maut ditumbuk warga asing


Gara-gara terlanggar bahu, seorang lelaki maut ditumbuk lelaki warga asing dalam kejadian di sebuah pusat hiburan, di Sea Park, Petaling Jaya pada Sabtu lalu.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, dalam kejadian 1 pagi itu, lelaki warga asing berusia 40-an terlanggar badan mangsa berusia 40-an sebelum berlaku pertengkaran.


"Suspek yang tidak berpuas hati selepas mangsa ada menendangnya sedikit selepas terlanggar bahu menyebabkan dia terus melepaskan satu tumbukan.


"Akibat tumbukan itu mangsa terjatuh dan cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, hari ini.


Beliau berkata, susulan itu polis menahan lelaki warga asing terbabit bagi membantu siasatan dan direman sehingga 29 Mac ini.


"Rakan mangsa yang terbabit dalam pergaduhan itu juga ditahan bagi membantu siasatan.


"Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.


Video tular rakaman insiden pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya, pada Sabtu lalu. - Foto Harian Metro.