Isnin, 18 Mac 2024

Tiga beradik antara 12 lelaki ditahan terlibat judi laga ayam di kebun kelapa sawit

Tiga beradik antara 12 lelaki ditahan terlibat judi laga ayam di kebun kelapa sawit


Tiga beradik antara 12 lelaki ditahan kerana disyaki terlibat judi laga ayam di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Kolam Air Talang, Kampung Station di Kuala Kangsar, semalam.


Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, serbuan itu menahan suspek berusia 33 hingga 64 tahun termasuk penganjur.


Katanya, mereka diberkas dalam Op Dadu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada pukul 4.45 petang.


"Polis merampas seunit kain kanvas, 20 besi pancang, dua taji, penimbang elektronik, 11 sangkar, lima kelambu, 14 ekor ayam laga dan wang tunai sebanyak RM5,852.


"Aktiviti judi laga ayam itu dipercayai mula aktif sejak awal bulan ini dan diadakan pada setiap Ahad bermula pukul 2 hingga 6 petang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Beliau berkata, caj sebanyak RM20 dikenakan terhadap setiap pemilik ayam laga dengan wang pertaruhan dikenakan antara RM300 hingga RM1,000 bagi setiap perlawanan laga ayam.


Ketika serbuan dijalankan, kumpulan lelaki tersebut duduk mengelilingi gelanggang bulat yang dipasang kain kanvas dan pancang besi yang dijadikan lokasi laga ayam.


Apabila melihat kehadiran pasukan polis, kesemua lelaki itu cuba melarikan diri namun gagal dan berjaya ditangkap.


Kesemua tangkapan direman mulai hari ini sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 32(1)(a) dan Seksyen 32(2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.


Antara yang ditahan kerana disyaki terlibat judi laga ayam di kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Kolam Air Talang, Kampung Station di Kuala Kangsar semalam. - Foto ihsan pembaca.
Terjatuh dalam tangki sedalam 3.65 meter, pekerja kilang patah kaki dan bahu

Terjatuh dalam tangki sedalam 3.65 meter, pekerja kilang patah kaki dan bahu


Pekerja kilang patah kaki dan bahu selepas terjatuh dalam tangki sedalam 3.65 meter di kawasan perindustrian Kulim Hi Tech, semalam.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, panggilan kecemasan kejadian diterima pada 8.58 malam.


Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Kulim Hi Tech yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mat Puat Ghazali tiba di lokasi bersama tujuh anggota.


"Setibanya di lokasi, didapati pekerja warga Bangladesh berusia 25 tahun masih berada di dalam tangki berkenaan dipercayai terjatuh dan mengalami patah kaki dan bahu.


"Anggota memberikan rawatan awal sebelum mengeluarkan mangsa dari tangki itu menggunakan 'rope rescue' dan pengusung," katanya dalam kenyataan.


Menurut Azmir, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut dan operasi tamat pada 10.21 malam.


Pekerja asing jatuh dalam tangki sedalam 3.65 meter dikeluarkan anggota bomba. - Foto Bomba.

Ahad, 17 Mac 2024

Seekor kerbau albino dijual pada harga RM2.4 juta

Seekor kerbau albino dijual pada harga RM2.4 juta


Seekor kerbau albino dijual dengan harga 18 juta baht (kira-kira RM2.4 juta) di sebuah pameran di Thailand, baru-baru ini, lapor laman berita Nation Thailand pada 13 Mac 2024.


Kerbau diberi nama Ko Muang Phet itu adalah milik Damrongsak Morakot dari wilayah selatan Phetchaburi.


Walaupun berat untuk berpisah dengan Ko Muang Phet, Damrongsak berharap pemilik baharunya akan terus mempertahankan legasinya dan menyumbang kepada pertumbuhan industri kerbau albino Thailand.


Menurut rekod, Ko Muang Phet memegang gelaran kerbau pembiakan gergasi terkemuka Thailand, kekal tidak tewas dalam pertandingan selama bertahun-tahun. Ia terkenal dengan 'kecantikannya' dan saiz yang sangat besar, pada ketinggian 180 sentimeter.


Kerbau berumur lima tahun itu mempunyai keupayaan pembiakan luar biasa kerana 90 peratus daripada anaknya akan dilahirkan dengan ciri-ciri albino, menjadikannya ia aset penting dalam pembiakan kerbau.


Menambah kemasyhurannya, Ko Muang Phet juga mencatatkan kejayaan dalam dunia hiburan kerana membintangi watak kerbau Ai Khlaow dalam versi terbaru drama televisyen popular, Mon Rak Luk Thung.


Kerbau itu dibeli oleh Ladang Wanasuwan di Chiang Rai semasa Pesta Kerbau Thai Uthai Thani ke-12 yang diadakan pada hujung minggu lalu, pada harga 18 juta baht (kira-kira RM2.4 juta) dan menjadikannya pemerolehan kerbau paling mahal.


Menurut laporan media, Ko Muang Phet sudah 'bersara' daripada pertandingan dan pemiliknya memberikan tumpuan kepada usaha melahirkan generasi baharu kerbau albino.


Damrongsak menerangkan bagaimana semangatnya untuk meneroka potensi industri kerbau Thailand membawanya kepada Ko Muang Phet.


Bermula dengan pembelian dan penternakan kerbau biasa, Damrongsak secara beransur-ansur membina sembilan Ladang Morakot di daerah Tha Yang, Phetchaburi.


Dia membesarkan Ko Muang Phet dan memelihara kerbau itu seperti kanak-kanak serta menjadikannya haiwan kesayangan di ladangnya. - Sumber Nation Thailand.


Kerbau albino yang diberi nama Ko Muang Phet. - Foto The Nation.

Sabtu, 16 Mac 2024

Lelaki dicekup selepas kali ketiga datang curi duit tabung masjid

Lelaki dicekup selepas kali ketiga datang curi duit tabung masjid


Tindakan seorang lelaki mencuri wang daripada tabung Masjid Che Mohid di Guntung, Setiu tidak berhasil apabila dia ditahan pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, perbuatan lelaki berusia 50 tahun itu berjaya dihidu selepas kakitangan masjid berkenaan menerima notifikasi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melalui telefon bimbit, Khamis lalu.


"Imam tersebut menerima notifikasi rakaman CCTV melalui telefon bimbit sekitar jam 5 pagi yang mengesan berlaku pergerakan di dalam masjid.


"Apabila diperiksa dia mendapati seorang lelaki telah memasuki ruang solat dalam masjid dan mengambil duit daripada tabung masjid berkenaan.


"Suspek juga merupakan orang yang sama dilihat melakukan perbuatan itu sehari sebelum kejadian," katanya ketika dihubungi di Setiu, hari ini.


Afandi berkata, selepas dikesan mencuri duit tabung masjid, suspek sekali lagi muncul dalam keadaan mencurigakan di ruangan solat lelaki di masjid itu sekitar jam 3 petang pada Jumaat.


Katanya, suspek cuba melarikan diri selepas terserempak dengan imam dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang cuba mendekatinya.


"Ketika itu berlaku sedikit pergelutan menyebabkan suspek cedera pada bahagian muka sebelum berjaya ditangkap.


"Suspek diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," ujarnya. - Sumber Sinar Harian.


Tindakan seorang lelaki mencuri duit tabung masjid terbongkar apabila perbuatannya itu dirakam CCTV. - Foto Sinar Harian.
Remaja 17 tahun diculik, dipukul beramai-ramai

Remaja 17 tahun diculik, dipukul beramai-ramai


Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun cedera parah selepas dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di Taman Kota Masai, Pasir Gudang di Johor Bahru pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, ekoran kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan di telinga kiri serta lebam di beberapa bahagian termasuk pipi, leher, bahu dan belakang badan.


"Susulan itu, tiga suspek berusia 15 hingga 37 tahun ditahan hari ini bagi membantu siasatan. Kejadian ini yang tular dalam media sosial dipercayai berlaku pada jam 5 petang.


"Berdasarkan rakaman, mangsa telah dipukul menggunakan topi keledar di kawasan perumahan, sebelum dimasukkan ke dalam kereta Proton Satria dan dibawa ke tempat lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dibawa ke sebuah rumah di kawasan berhampiran dan dipukul menggunakan kayu cota serta beberapa objek lain.


Mohd Sohaimi berkata, seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai 26 rekod jenayah lampau selain turut positif dadah jenis methamphetamine.


Motif kejadian katanya, masih dalam siasatan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 363, Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.


"Selain itu, polis masih giat memburu beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut," ujarnya.


Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki dipukul beberapa individu sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan dipercayai berlaku di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor Bahru semalam.
Wanita jumpa wang hampir RM300,000 dalam van mini miliknya

Wanita jumpa wang hampir RM300,000 dalam van mini miliknya


Seorang wanita tidak menyangka menemui sebuah beg mengandungi wang tunai sebanyak 1.2 bilion dong (RM238,958) di dalam van mini miliknya, lapor portal berita VNEXpress pada 15 Mac 2024.


Nguyen Thi Luc, 44, menemui beg tersebut selepas dia menghantar bekalan telur kepada penjaja di sebuah pasar tempatan di Hanoi pada Rabu lalu.


Selepas melakukan penghantaran, dia menemui wang tersebut di dalam beg plastik dan bertanya kepada beberapa orang di sekitar van mini itu tetapi mereka mengaku bukan pemiliknya.


Dia kemudian membawa wang itu ke balai polis terdekat.


Pasukan polis yang melakukan pencarian menyeluruh selama tiga jam akhirnya berjaya mengesan pemilik wang tunai itu yang merupakan seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Le Duc Son.


Dia memperoleh wang itu selepas menjual sebidang tanah pada hari sebelumnya.


"Anak lelaki Son mengambil beg berisi wang itu dan secara tidak sengaja meninggalkannya di sekitar pasar Dinh," kata seorang ketua polis tempatan, Le Duy Hoa.


Polis membuat dokumentasi yang diperlukan sebelum menyerahkan semula wang itu kepada Son. Dia mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Luc dan para pegawai kerana mendapatkan semula wangnya. - Sumber VNExpress.


Nguyen Thi Luc bertanya kepada orang berhampiran selepas menemui beg plastik dengan wang tunai sebanyak 1.2 bilion dong di dalam van mininya pada 13 Mac 2024. - Foto diperoleh oleh VnExpress.
Tiada yang mustahil, inilah doktor terpendek di dunia

Tiada yang mustahil, inilah doktor terpendek di dunia

 

Dr Ganesh Baraiya, pemuda dari Gujarat, India, membuktikan tiada yang mustahil apabila mencapai cita-citanya bergelar doktor terpendek di dunia.


Ia memandangkan Dr Ganesh, 23, hanya mempunyai ketinggian 91.4 sentimeter (sm), menjadikan dia mungkin doktor terpendek di dunia, lapor Oddity Central pada 13 Mac 2024.


Dr Ganesh yang menamatkan pengajiannya dan kini bertugas sebagai pelatih di Hospital Sir-T di Bhavnagar, menyimpan impian bergelar doktor sejak kecil lagi, lalu belajar bersungguh-sungguh mendapatkan gred yang tinggi dalam pelajaran.


Bagaimanapun, laluannya agak sukar kerana pernah memohon menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS), namun ditolak walaupun mendapat keputusan yang baik.


Majlis Perubatan India menolak permohonannya kerana ketinggiannya dengan memberi alasan Ganesh tidak akan dapat melaksanakan tugasnya dalam kes kecemasan.


Dr Ganesh mengakui kecewa namun enggan berputus asa hingga kesnya dibawa ke Mahkamah Agung India.


Pada 2018, Mahkamah Tinggi di India, memutuskan Ganesh berhak untuk mendaftar dalam MBBS, dan dia melakukannya pada tahun berikutnya.


"Saya sangat kecewa tiga tahun lalu, tetapi enggan menerima penolakan mereka. Sekarang saya sangat gembira kerana mendapat keadilan daripada Mahkamah Agung.


"Kini saya dalam perjalanan untuk memenuhi impian yang saya harapkan sejak kecil. Saya tahu saya berbeza, tetapi saya mahu menjalani kehidupan yang baik seperti orang lain dan membanggakan ibu bapa saya," kata Dr Ganesh.


Sehingga kini, Dr Ganesh masih menangani isu diskriminasi kerana ramai pesakitnya enggan bercakap dengannya kerana ketinggiannya. - Sumber Oddity Central.


Dr Ganesh Baraiya. - Foto Oddity Central.

Jumaat, 15 Mac 2024

Sekumpulan mat rempit serang rumah polis

Sekumpulan mat rempit serang rumah polis


Sekumpulan penunggang motosikal bertindak menyerang rumah seorang anggota polis di Bulukumba, wilayah Sulawesi Selatan, lapor portal berita Tribun Trends pada 14 Mac 2024.


Rumah itu juga dibaling batu, menyebabkan atap dan dinding kediaman anggota polis tersebut rosak.


"Geng motor serang rumah polis di Bulukumba, dua pelaku ditangkap," demikian menurut keterangan klip video tentang kejadian tersebut yang tular di media sosial.


Dalam rakaman itu, terdapat seorang penunggang motosikal berdiri di depan rumah tersebut, manakala rakan-rakannya membaling batu ke arah kediaman mangsa.


Mereka juga ketawa setelah melakukan perbuatan itu.


Pegawai kanan polis Bulukumba, Abustam menyatakan, pihaknya sedang melakukan siasatan mengenai kes tersebut.


Menurut Tribun Trends, kejadian itu terjadi di Yos Sudarso, Pantai Merepati, Bulukumba, pada Ahad (10/3/2024). Rumah polis itu milik Aiptu Ilyas.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Ujung Bulu, Aipda Eli Taufan Kardede berkata, anggota kumpulan bermotosikal itu berang selepas ditegur Aiptu Ilyas.


"Mereka telah ditegur kerana menunggang secara melulu dan membuat bunyi bising di hadapan rumahnya.


"Apabila ditegur, geng motorsikal itu berhenti dan menyerang dengan membaling batu ke arah rumah Aiptu Ilyas," kata Aipda Eli Taufan Kardede. - Sumber Tribun Trends.


Sekumpulan mat rempit menyerang rumah seorang anggota polis di Bulukumba, baru-baru ini. - Foto detiksumut.
Suami isteri dicekup guna kad pengenalan palsu kerja di Malaysia sejak 10 tahun lalu

Suami isteri dicekup guna kad pengenalan palsu kerja di Malaysia sejak 10 tahun lalu


Operasi Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kota Damansara, Petaling Jaya semalam berjaya menahan dua warga Filipina yang menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja sejak lebih 10 tahun lalu.


Menurut Bahagian Penguatkuasa JPN, pasangan suami isteri itu dipercayai masuk ke Malaysia melalui Johor Bahru pada 2006.


"Kedua-dua suspek yang berasal dari Filipina itu dipercayai membeli kad pengenalan palsu berkenaan dengan bayaran sekitar RM350 hingga RM500.


"Pasangan itu menggunakan kad pengenalan palsu berkenaan bagi tujuan mencari kerja. Mereka pernah gunakannya untuk bekerja di kilang sabun di Johor dan kini sebagai pengawal keselamatan," katanya.


Menurutnya, pasangan itu mempunyai lima orang anak, kesemuanya warganegara Filipina berusia antara 18 hingga 33 tahun.


Katanya, operasi 6 petang itu dijalankan hasil risikan Bahagian Penguatkuasa JPN bagi memastikan tindakan dapat diambil terhadap individu yang melakukan kesalahan itu.


"Kedua-dua suspek boleh didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.


"Kes terbabit akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut," katanya.


Suami isteri warga Filipina ditahan kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu sejak lebih 10 tahun lalu. - Foto JPN.

Khamis, 14 Mac 2024

Nelayan yang curi kubah masjid bersalut emas bernilai hampir RM1 juta akhirnya dicekup

Nelayan yang curi kubah masjid bersalut emas bernilai hampir RM1 juta akhirnya dicekup


Polis memberkas seorang nelayan berumur 67 tahun kerana disyaki mencuri hiasan bersalut emas pada kubah masjid yang bernilai 3 bilion rupiah (RM902,195), lapor laman berita Tribunnews pada 12 Mac 2024.


Suspek yang dikenali sebagai Amin Gay, ditahan ketika mahu melarikan diri ke Kota Namlea, Pulau Buru dalam wilayah Maluku.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Buru, Inspektor Aditya Bambang Sundawa berkata, suspek mencuri hiasan emas itu untuk membayar hutangnya.


Tambah Aditya, warga emas itu menggunakan pelbagai alat untuk melarikan kubah tersebut termasuk dua tangga kayu dan tali.


Dia melakukan perbuatan itu berseorangan antara pukul 2 pagi hingga 3 pagi (waktu tempatan).


Ujar Aditya, ketika menarik hiasan kubah tersebut menggunakan tali, ia terjatuh lalu patah.


Ia membuatkan suspek menanam sebahagian daripada kepingan hiasan itu di dalam tanah di sebuah kawasan hutan, sebelum ia ditemui penduduk pada Sabtu lalu.


Jika didapati bersalah, suspek boleh dipenjara selama tujuh tahun.


Dalam kejadian pada 4 Mac lalu, hiasan kubah masjid diperbuat daripada emas seberat 2.6 kilogram itu hilang dari Masjid Al-Huda, Buru.


Hiasan tersebut merupakan sumbangan penduduk Kampung Kayeli dan pelombong di Gunung Botak, yang mengunjungi masjid tersebut sejak 2015. - Sumber Tribunnews.


Amin ditahan polis ketika mahu melarikan diri ke Kota Namlea. - Foto Tribunnews.