Khamis, 14 Mac 2024

Lelaki ditahan cuba ganti kad pengenalan palsu di JPN

Lelaki ditahan cuba ganti kad pengenalan palsu di JPN


Seorang lelaki ditahan selepas disyaki menggunakan kad pengenalan palsu, Isnin lalu.


Lelaki terbabit ditahan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika cuba membuat permohonan bagi penggantian dokumen tersebut di kaunter JPN cawangan Sandakan.


Jabatan Pendaftaran Negeri Sabah dalam satu kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan, semakan oleh pegawai JPN mendapati kad pengenalan yang digunakan oleh lelaki terbabit tidak sepadan dengan maklumat dalam pangkalan data JPN.


"Berdasarkan kepada kuasa yang diberikan, lelaki terbabit ditahan oleh pegawai JPN.


"Lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," kata kenyataan itu, semalam.


Lelaki ditahan di Pejabat JPN Sandakan disyaki miliki kad pengenalan palsu. - Foto Facebook JPN.

Rabu, 13 Mac 2024

Bongkah keluli makhluk asing setinggi 3 meter muncul lagi

Bongkah keluli makhluk asing setinggi 3 meter muncul lagi

 

Kemunculan monolit setinggi tiga meter secara tiba-tiba di sebuah kawasan bukit di Hay-on-Wye, Wales di United Kingdom (UK) mencetuskan tanda tanya, lapor akhbar Daily Mail pada 11 Mac 2024.


Penduduk di bandar Powys terkejut selepas melihat bongkah keluli yang berbentuk seperti coklat Toblerone gergasi di Hay Bluff pada akhir minggu lalu.


Richard Hayens yang mengambil gambar objek misteri itu memberitahu WalesOnline tentang penemuan aneh tersebut.


Menurutnya, monolit tersebut tiada di lokasi tersebut sebelum ini malah rakannya yang melalui kawasan itu kira-kira dua minggu lalu juga mengesahkan perkara berkenaan.


"Ia muncul di Google baru-baru ini, namun 'hilang' beberapa hari kemudian," ujarnya lagi.


Penampakan monolit tersebut turut mencetuskan pelbagai teori malah ada yang percaya ia adalah 'hasil kerja' makhluk asing.


Selain itu, ada juga yang mendakwa ia mungkin karya unik seperti dihasilkan artis seni jalanan, Banksy.


Pada 2020, kemunculan monolit misteri pernah dilaporkan di kawasan luar bandar seluruh Eropah termasuk di Isle of Wigh dan lingkaran batu Merry Maidens di Cornwall. - Sumber Daily Mail.


Monolit tersebut dikatakan tiada di lokasi tersebut sebelum ini. - Foto Media Wales.
Lelaki didakwa curang maut ditikam kekasih, polis rampas pisau

Lelaki didakwa curang maut ditikam kekasih, polis rampas pisau


Polis merampas sebilah pisau disyaki digunakan oleh seorang wanita yang merupakan seorang model sambilan untuk menikam kekasihnya di sebuah unit kondominium di Kota Kemuning, Kuala Langat, pada Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, senjata itu dirampas bagi membantu siasatan.


"Kita rampas pisau yang disyaki digunakan suspek dalam kejadian itu," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.


Ahmad Ridhwan berkata, wanita itu direman enam hari bermula Selasa hingga Ahad untuk siasatan lanjut.


Semalam, media melaporkan seorang lelaki maut ditikam kekasihnya yang merupakan seorang model sambilan dalam kejadian tersebut.


Difahamkan, punca kejadian dipercayai bermotifkan cemburu kerana mangsa yang merupakan jurufoto sambilan itu didakwa curang.


Suspek berusia 26 tahun yang juga bekas pelajar perubatan itu berjaya diberkas anggota polis di sekitar kawasan Hospital Cyberjaya pada jam 12.30 tengah hari, selepas dipercayai membawa kekasihnya itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.


Laporan sebelum itu, dibuat pada jam 9.41 pagi oleh doktor yang menerima mangsa di hospital.


Doktor berkenaan mendapati mangsa dibawa dari sebuah klinik swasta. Doktor itu kemudiannya memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa namun tiada sebarang tindak balas.


Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 7.25 pagi akibat kecederaan luka tikaman di pergelangan tangan kiri dan kaki kiri. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Mangsa maut ditikam kekasihnya dalam kejadian di sebuah unit kondominium di Kota Kemuning, Kuala Langat, pada Isnin. - Gambar hiasan.

Selasa, 12 Mac 2024

Hotel angkasa pertama dibuka 2025, harga bilik RM257 juta

Hotel angkasa pertama dibuka 2025, harga bilik RM257 juta

 

Hotel angkasa lepas pertama di dunia dengan pemandangan luar biasa planet Bumi akan dibuka pada tahun depan, lapor akhbar The Sun UK pada 10 Mac 2024.


Syarikat angkasa lepas berpangkalan di Amerika Syarikat, Above Space menyasarkan untuk melancarkan dua stesen penginapan pelancong di angkasa lepas, setiap satu dinamakan Voyager dan Pioneer.


Pioneer digambarkan oleh syarikat berkenaan sebagai hotel atau penginapan angkasa lepas pertama di mana aktiviti perdagangan, penyelidikan dan riadah boleh beroperasi seawal tahun depan.


Stesen tersebut dikatakan versi yang lebih kecil berbanding Voyager yang dijangka dibuka pada tahun 2027. Pioneer boleh menempatkan 28 orang sahaja berbanding kapasiti Voyager seramai 400 orang.


Kedua-duanya dilaporkan menyerupai roda berputar yang mengorbit Bumi, manakala dekorasi dalaman tidak jauh berbeza dengan sebuah hotel mewah.


Above Space berkata di laman webnya bahawa tetamu kini boleh menempah percutian resort mewah di angkasa lepas di stesen Pioneer.


Perjalanan empat hingga 18 jam ke stesen itu akan menelan kos sekurang-kurangnya AS$55 juta (RM257.6 juta). - Sumber The Sun UK.


Foto: Orbital Assembly.

Foto: Orbital Assembly.
Lelaki rakam UFO keluar asap bentuk cincin di langit

Lelaki rakam UFO keluar asap bentuk cincin di langit


Seorang lelaki dan anaknya mengesan objek terbang tidak dikenali (UFO) mengeluarkan cahaya di langit Bandar Oklahama, lapor portal berita Daily Mail pada 8 Mac 2024.


Menurut Steve Aragona, dia berada di laman depan rumahnya pada pukul 7.29 malam (waktu tempatan), Isnin minggu lalu apabila objek itu menerangi langit malam.


Menerusi video yang dimuat naik di platform TikTok, seorang anak Steve didengari berkata, objek itu kelihatan seperti meteorit, namun bergerak terlalu perlahan.


Tiba-tiba, satu bulatan seperti asap keluar daripada objek tersebut semasa ia bergerak.


"Nampaknya UFO tersebut terpisah daripada dirinya sendiri," kata Steve sebelum anaknya berkata bahawa cincin itu kelihatan seperti gelombang bunyi.


Sebilangan netizen yang melihat video itu meneka bahawa ia mungkin roket Space X yang berlepas kira-kira waktu sama dari Florida.


Bagaimanapun, pelancaran roket dimaksudkan adalah lewat satu jam setengah daripada waktu video itu dirakam.


Video itu juga dirakam menghadap ke barat, manakala Florida berada di sebelah timur Oklahoma. - Sumber Daily Mail.


Steve merakam video UFO tersebut dari halaman depan rumahnya. - Foto TikTok.

Isnin, 11 Mac 2024

Akibat terdesak, dua wanita angkut mayat ke bank untuk keluarkan wang

Akibat terdesak, dua wanita angkut mayat ke bank untuk keluarkan wang


Dua wanita di Amerika Syarikat (AS) berdepan pertuduhan bagi kes kecurian pelik selepas didakwa membawa mayat lelaki ke bank untuk mengeluarkan AS$900 (kira-kira RM4,216) daripada akaun mangsa.


Menurut lapor New York Post pada 8 Mac 2024, Loreen Bea Feralo, 55, dan Karen Casbohm, 63, didakwa pada 4 Mac lalu kerana membawa mayat Douglas Layman, 80, ke laluan pandu masuk bank di bandar Ashtabula di Ohio.


Selepas mengeluarkan wang, wanita itu menurunkan mayat itu di bilik kecemasan di Pusat Perubatan Daerah Ashtabula.


Salah seorang wanita menghubungi hospital beberapa jam kemudian dan memberikan beberapa maklumat peribadi mengenai Layman sebelum pihak berkuasa mengenal pastinya, kata Ketua Polis Ashtabula Robert Stell pada 7 Mac, menurut Fox News.


Pegawai kemudian bercakap dengan dua wanita itu, yang mengatakan Layman sudah meninggal dunia di rumahnya di Ashtabula, pada hari kejadian.


Punca kematian Layman belum diketahui, dan pegawai memaklumkan bedah siasat untuk menentukan kematiannya mungkin mengambil masa lapan bulan.


Suspek dipercayai tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Layman tetapi tinggal bersama lelaki itu.


Mereka dipercayai memindahkan mayat lelaki itu ke dalam kenderaan dengan bantuan individu ketiga yang tidak disebutkan namanya.


Ketua Stell berkata, mayat Layman diletakkan di tempat duduk hadapan kenderaan supaya kakitangan bank dapat melihatnya untuk membuat pengeluaran wang.


AP pula melaporkan bahawa wanita itu terdorong untuk melakukan perbuatan berkenaan kerana terdesak untuk membayar tunggakan bil.


Polis Ohio memaklumkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes itu. Kedua-dua wanita itu boleh berdepan hukuman penjara sehingga setahun bagi kesalahan itu.


Dalam pada itu, New York Post melaporkan Feralo dan Casbohm mempunyai rekod lampau kerana pernah disabitkan dengan kesalahan memiliki dadah, menceroboh dan mencuri. - Sumber New York Post


Loreen Bea Feralo (kiri) dan Karen Casbohm. - Foto Polis Ashtabula.
Bekas anggota polis buat onar selepas dibuang kerja diberkas

Bekas anggota polis buat onar selepas dibuang kerja diberkas


Seorang bekas anggota polis yang sudah dibuang kerja diberkas Jumaat lalu kerana disyaki menggunakan uniform pasukan itu untuk melakukan jenayah di sekitar ibu negara.


Difahamkan, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan anggota unit kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang sedang membuat rondaan berhampiran Plaza Tol Duta, di Kuala Lumpur.


Terdahulu, satu klip video berdurasi 14 saat tular di media sosial memaparkan suspek yang memakai pakaian seragam lengkap dengan pangkat koperal dan vest Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan dua anggota MPV terbabit.


Difahamkan suspek yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha cuba menahan sebuah kereta bagi tujuan 'pemeriksaan' sebelum kelakuannya yang mencurigakan itu dikesan anggota yang sedang membuat rondaan.


Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi berkata suspek adalah bekas anggota polis yang sudah dibuang kerja.


"Ini kes menyamar sebagai anggota polis yang mana suspek berkenaan adalah bekas anggota yang sudah dibuang kerja pada tahun 2022.


"Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota polis," katanya.


Tangkap layar video tular menunjukkan bekas anggota polis yang sudah dibuang kerja diberkas Jumaat lalu kerana disyaki menyamar.

Ahad, 10 Mac 2024

9 maut, 78 lagi dimasukkan ke hospital selepas makan daging penyu

9 maut, 78 lagi dimasukkan ke hospital selepas makan daging penyu


Sembilan orang maut termasuk lapan kanak-kanak selepas makan daging penyu di Pulau Pemba di kepulauan Zanzibar iaitu wilayah separa autonomi di negara Afrika Timur Tanzania, lapor NBC News pada 9 Mac 2024.


Sebanyak 78 individu lain telah dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut, kata pihak berkuasa pada Sabtu.


Pegawai perubatan daerah Mkoani, Dr Bakari berkata, mangsa dewasa yang maut merupakan ibu kepada salah seorang kanak-kanak yang turut mati akibat chelonitoxism.


Bakari turut memberitahu, ujian makmal telah mengesahkan semua mangsa makan daging penyu pada Selasa lalu.


Daging penyu dianggap sebagai makanan eksotik di Zanzibar, namun ia boleh menyebabkan kematian jika dimakan selalu akibat chelonitoxism, sejenis keracunan makanan.


Justeru, pihak berkuasa di Zanzibar menghantar pasukan pengurusan bencana bagi menggesa orang ramai mengelak daripada makan daging penyu.


Pada November 2021, tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, meninggal dunia di Pemba selepas makan daging penyu, manakala tiga yang lain dimasukkan ke hospital. - Sumber NBC News.


Pulau Pemba, Kepulauan Zanzibar. - Foto Agensi.

Sabtu, 9 Mac 2024

Warga emas terkejut ular sawa sepanjang 5 meter telan kambing dalam kandang

Warga emas terkejut ular sawa sepanjang 5 meter telan kambing dalam kandang


Seorang warga emas terkejut menemui seekor ular sawa batik yang kekenyangan selepas menelan kambing di sebuah kandang di Kampung Sungai Limau, Baling hari ini.


Menurut Hamidah Halid, 65, dia menemui reptilia tersebut kira-kira pukul 10 pagi tadi ketika mahu melepaskan kambing dari kandang.


Katanya, dia percaya ular sama sepanjang kira-kira lima meter dengan berat 50 kilogram itu yang menghampiri kandang tersebut empat hari lalu.


"Ular sawa itu memasukkan kepala dalam pagar kandang yang mempunyai kira-kira 20 ekor kambing.


"Ular itu sempat tangkap seekor kambing tapi anak lelaki saya berjaya menghalangnya masuk ke kawasan semak berhampiran," ujarnya.


Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz memberitahu, reptilia tersebut dibawa ke pejabat APM Baling sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).


Sehubungan itu, APM menasihatkan orang awam supaya menjaga persekitaran rumah bagi mengelakkan kehadiran reptilia berkenaan.


"Perubahan cuaca pada masa sekarang menyebabkan kehadiran ular meningkat namun orang ramai dinasihatkan berhati-hati jika ternampak reptilia ini memasuki kediaman mereka," katanya.


Anggota APM menangkap ular sawa batik yang menelan seekor kambing di Kampung Sungai Limau, Baling hari ini. - Foto APM.

Jumaat, 8 Mac 2024

Tikam, kelar leher rakan kerana hutang RM30

Tikam, kelar leher rakan kerana hutang RM30


Gara-gara hutang RM30, seorang lelaki di bawah pengaruh dadah tergamak menikam rakannya ketika datang ke rumah mangsa di Sungai Way, Petaling Jaya, pada Rabu.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, kejadian berlaku pada jam 12.15 tengah malam apabila suspek berusia lingkungan 20-an itu datang ke rumah mangsa untuk menuntut hutang.


Menurutnya, berlaku pergelutan semasa kejadian sebelum suspek mengeluarkan pisau dan menikam dada kiri serta mengelar leher mangsa.


"Mangsa menjerit kesakitan dan lari masuk ke dalam rumah meminta bantuan rakan serumah.


"Kejadian berlaku apabila suspek yang tidak berpuas hati kerana mangsa enggan membayar baki hutang RM30 menyebabkan dia marah sebelum bertindak di luar kawalan menikam mangsa," katanya hari ini.


Shahrulnizam berkata, susulan itu polis menahan suspek pada jam 1 pagi kelmarin di rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa.


"Mangsa dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dalam keadaan stabil. Luka kecederaan juga sudah dijahit.


"Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah syabu dan dia direman sehingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.


Seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak menikam rakannya kerana hutang RM30. - Foto Sinar Harian.