Sabtu, 9 Mac 2024

Warga emas terkejut ular sawa sepanjang 5 meter telan kambing dalam kandang

Warga emas terkejut ular sawa sepanjang 5 meter telan kambing dalam kandang


Seorang warga emas terkejut menemui seekor ular sawa batik yang kekenyangan selepas menelan kambing di sebuah kandang di Kampung Sungai Limau, Baling hari ini.


Menurut Hamidah Halid, 65, dia menemui reptilia tersebut kira-kira pukul 10 pagi tadi ketika mahu melepaskan kambing dari kandang.


Katanya, dia percaya ular sama sepanjang kira-kira lima meter dengan berat 50 kilogram itu yang menghampiri kandang tersebut empat hari lalu.


"Ular sawa itu memasukkan kepala dalam pagar kandang yang mempunyai kira-kira 20 ekor kambing.


"Ular itu sempat tangkap seekor kambing tapi anak lelaki saya berjaya menghalangnya masuk ke kawasan semak berhampiran," ujarnya.


Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz memberitahu, reptilia tersebut dibawa ke pejabat APM Baling sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).


Sehubungan itu, APM menasihatkan orang awam supaya menjaga persekitaran rumah bagi mengelakkan kehadiran reptilia berkenaan.


"Perubahan cuaca pada masa sekarang menyebabkan kehadiran ular meningkat namun orang ramai dinasihatkan berhati-hati jika ternampak reptilia ini memasuki kediaman mereka," katanya.


Anggota APM menangkap ular sawa batik yang menelan seekor kambing di Kampung Sungai Limau, Baling hari ini. - Foto APM.

Jumaat, 8 Mac 2024

Tikam, kelar leher rakan kerana hutang RM30

Tikam, kelar leher rakan kerana hutang RM30


Gara-gara hutang RM30, seorang lelaki di bawah pengaruh dadah tergamak menikam rakannya ketika datang ke rumah mangsa di Sungai Way, Petaling Jaya, pada Rabu.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, kejadian berlaku pada jam 12.15 tengah malam apabila suspek berusia lingkungan 20-an itu datang ke rumah mangsa untuk menuntut hutang.


Menurutnya, berlaku pergelutan semasa kejadian sebelum suspek mengeluarkan pisau dan menikam dada kiri serta mengelar leher mangsa.


"Mangsa menjerit kesakitan dan lari masuk ke dalam rumah meminta bantuan rakan serumah.


"Kejadian berlaku apabila suspek yang tidak berpuas hati kerana mangsa enggan membayar baki hutang RM30 menyebabkan dia marah sebelum bertindak di luar kawalan menikam mangsa," katanya hari ini.


Shahrulnizam berkata, susulan itu polis menahan suspek pada jam 1 pagi kelmarin di rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa.


"Mangsa dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dalam keadaan stabil. Luka kecederaan juga sudah dijahit.


"Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah syabu dan dia direman sehingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.


Seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak menikam rakannya kerana hutang RM30. - Foto Sinar Harian.
Nepal bakal uji kehebatan Harimau Malaya

Nepal bakal uji kehebatan Harimau Malaya


Kerisauan terhadap persediaan Harimau Malaya akhirnya ternoktah apabila dijadualkan menentang Nepal pada aksi persahabatan tertutup sebelum terbang ke Oman untuk hadapi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman, 22 Mac ini.


Walaupun ia hanya menentang pasukan di ranking ke 175, kesempatan itu dilihat menjadi peluang terbaik buat Harimau Malaya 'asah taring' sebelum hadapi Oman yang kini huni tangga ke 80 dunia.


Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menjelaskan aksi berdepan Nepal akan berlangsung secara tertutup di Lembah Klang pada 15 Mac ini.


"Kita ada satu perlawanan sebelum ke Oman iaitu menentang Nepal pada 15 Mac ini. Ia sebahagian daripada persiapan pasukan untuk berdepan Oman," katanya.


Pan-gon berkata demikian kepada media sebelum sesi pertama kem latihan pusat di Wisma FAM pada Jumaat.


Selepas memulakan dua aksi awal Kumpulan D dengan rekod bersih, Oman bakal jadi ujian sebenar buat Harimau Malaya namun Pan-gon mula berkira-kira untuk cuba 'mencuri' sekurang-kurangnya satu mata bagi mengekalkan kedudukan selaku pendahulu kumpulan.


Pan-gon kini berdepan cabaran untuk merangka pendekatan terbaik memandangkan saingan Liga Malaysia (Liga M) hanya akan buka tirai Mei ini.


Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berdepan cabaran untuk merangka strategi terbaik sebelum hadapi Oman, 22 Mac ini. - Foto Facebook/FAM.

Khamis, 7 Mac 2024

Lelaki 'berlakon' pengemis jana pendapatan RM46,000 sebulan

Lelaki 'berlakon' pengemis jana pendapatan RM46,000 sebulan


Seorang penghibur digelar pengemis terkaya di China kerana mampu menjana pendapatan sehingga 70,000 yuan (RM46,069) sebulan dengan berlakon sebagai pengemis, lapor laman berita Oddity Central pada 5 Mac 2024.


Lu Jingang, menjadi perhatian ramai kerana berlakon sebagai pengemis secara profesional di sekitar kawasan tumpuan pelancong, Qinming Shanghe Garden, wilayah Henan.


Dia melakukan pekerjaan tersebut selama 12 tahun sekali gus mencetuskan perdebatan ramai yang menuduhnya sebagai penyamar.


Namun, Jingang mendakwa bahawa dia sekadar berlakon menjadi pengemis kerana menyukai bidang kerja tersebut. Ia memberi peluang kepadanya menjadi penghibur tanpa perlu menghadiri sesi uji bakat.


Dengan mukanya yang dipenuhi kotoran, renungan mata yang sedih dan pakaian compang-camping, Jingang melakonkan watak pengemis untuk menarik perhatian pelancong yang bermurah hati mendermakan wang kepadanya.


"Dia lebih bahagia daripada saya, sayalah pengemis sebenar," tulis seorang netizen.


"Saya mahu berhenti kerja dan menjadi pengemis," kata seorang lagi pengguna media sosial. - Sumber Oddity Central.


Jingang berlakon menjadi pengemis selama 12 tahun. - Foto Oddity Central.
Lelaki 'skodeng' bini orang mandi dicekup polis

Lelaki 'skodeng' bini orang mandi dicekup polis


Tindakan seorang lelaki mengintai wanita mandi di kediamannya di Kampung Jawa, Klang mengundang padah selepas dicekup, pada Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian itu diketahui suami wanita terbabit selepas menerima panggilan daripada jirannya kira-kira jam 9.30 malam apabila melihat suspek menghendap di tingkap tandas rumah teres itu.


Menurutnya, suami wanita terbabit yang tidak berada di rumah segera menghubungi isterinya berusia 28 tahun itu sebelum dimaklumkan baru selesai mandi.


"Suspek yang dihampiri oleh jiran mangsa kemudian terus melarikan diri.


"Suami mangsa segera pulang ke rumah sebelum berusaha mengesan suspek terbabit berdasarkan butiran yang diterima daripada jirannya hingga berjaya menangkapnya di belakang sebuah restoran di kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.


Beliau berkata, polis yang menerima maklumat telah ke lokasi terbabit untuk membuat tangkapan bagi tindakan lanjut.


Katanya, suspek warga tempatan berusia 20 tahun direman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.


"Pegawai penyiasat kes dalam usaha untuk melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut," ujarnya.


Tegasnya, polis mengingatkan orang ramai agar menjaga tingkah laku dan keharmonian hidup bermasyarakat supaya ketenteraman awam terpelihara.


Tindakan seorang lelaki mengintai wanita mandi di kediamannya di Kampung Jawa, Klang mengundang padah selepas dicekup, pada Isnin. (Gambar kecil: Hoong Fong). - Foto Sinar Harian.

Rabu, 6 Mac 2024

Ferrari milik bintang F1 ditemui selepas 28 tahun dicuri

Ferrari milik bintang F1 ditemui selepas 28 tahun dicuri


Polis Britain akhirnya menemui sebuah kereta Ferrari yang dicuri daripada pemandu Formula Satu (F1) Austria, Gerhard Berger, di Itali hampir tiga dekad lalu, lapor laman berita NBC News pada 4 Mac 2024.


Ferrari F512M berwarna merah itu adalah salah satu daripada dua supercar yang dicuri semasa pemandunya berada di Imola untuk menyertai acara Grand Prix San Marino pada April 1995.


Pasukan Polis Metropolitan London dimaklumkan oleh pengeluar kereta itu pada bulan Januari lalu bahawa sebuah Ferrari dalam proses dijual kepada pembeli Amerika Syarikat (AS) oleh seorang broker dari Britain.


Siasatan yang dilakukan oleh Unit Jenayah Kenderaan polis mendapati kereta itu telah dibawa ke Britain dari Jepun pada akhir 2023.


Anggota polis kemudian merampas kereta itu, yang dikatakan bernilai hampir £350,000 (RM2.1 juta).


Bagaimanapun, sebuah lagi Ferrari yang dicuri masih belum ditemui.


Ferrari mengeluarkan 501 model F512M antara 1994 dan 1996. Kereta itu mempunyai kelajuan tertinggi 315 Kilometer sejam. - Sumber NBC News.


Sebuah Ferrari F512M ditemui semula 28 tahun selepas ia dicuri daripada bekas pemandu Formula Satu Gerhard Berger. - Foti Polis Metropolitan/AP.

Selasa, 5 Mac 2024

Dibelasah isteri kerana ditangkap curang, suami lapor polis

Dibelasah isteri kerana ditangkap curang, suami lapor polis


Seorang lelaki di Palembang, wilayah Sumatera Selatan membuat laporan polis selepas dia dibelasah isterinya kerana berlaku curang, lapor laman berita GoRiau pada minggu lepas.


Mangsa yang dikenali sebagai IR berkata, si isteri memukulnya dengan menggunakan batang besi panjang sehingga menyebabkan dia cedera di kepala.


Wanita itu bertindak demikian selepas mendapati mangsa curang kepadanya.


"Kami dalam proses bercerai," kata IR ketika membuat laporan di Balai Polis Palembang pada 29 Februari lalu.


Tambah IR, dalam kejadian pada Khamis, 29 Februari itu, si isteri memarahinya selepas mendapat tahu dia curang bersama wanita lain di rumah mereka di kawasan Talang Jambe, Bandaraya Palembang.


"Isteri marah dan kami bertengkar. Saya kemudian masuk ke dalam bilik sebelum dia (isteri) mengambil besi dan memukul saya," ujarnya.


Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan rasmi yang dibuat oleh pihak polis berhubung insiden itu. - Sumber GoRiau.


IR membuat laporan di Balai Polis Palembang pada 29 Februari lalu. - Foto iNews.
Penduduk terkejut temui tapak kaki 'gergasi' di tepi pantai

Penduduk terkejut temui tapak kaki 'gergasi' di tepi pantai


Sekumpulan penduduk terkejut apabila menemui kesan tapak kaki bersaiz besar di tepi sebuah pantai di Devon, England, lapor akhbar Metro UK pada 3 Mac 2024.


Sebilangan netizen berpendapat ia merupakan tapak kaki makhluk dikenali sebagai Bigfoot.


Menurut kumpulan yang menemui tapak kaki tersebut, jejak itu datang dari kawasan hutan berhampiran dan mengikuti laluan pantai sejauh kira-kira 20 meter. Ia kemudian kembali ke kawasan hutan.


"Kesan jejak itu besar. Saya bersaiz (kaki) 11 dan ia bersaiz separuh lebih besar. Jelas sekali ia tapak kaki dengan setiap jejak amat sempurna seperti yang anda boleh lihat dalam gambar yang dirakam," kata salah seorang daripada kumpulan tersebut.


Sebelum ini, terdapat beberapa laporan mengenai penemuan kesan tapak kaki bersaiz gergasi di Britain yang dipercayai Bigfoot.


Pada tahun 2006 penampakan makhluk hutan tersebut berlangsung selama kira-kira enam minggu, dengan 15 saksi di UK mendakwa mereka melihat Bigfoot.


Mereka menggambarkan makhluk seperti beruk, sekitar lima kaki tinggi, dengan rambut coklat menutupi badannya, muka hijau dan tidak berekor.


Beberapa pakar mendakwa bahawa makhluk berbadan besar dan berbulu yang disebut dalam cerita rakyat itu wujud di Britain. - Sumber Metro UK.


Kesan tapak kaki ini datang dari kawasan hutan dan mengikuti laluan pantai sejauh kira-kira 20 meter. - Foto DevonLive/BPM.

Tapak kaki gergasi itu ditemui di laluan pantai Torquay. - Foto Philip Halling/Geograph.co.uk.
Penduduk gempar penemuan 2 bungkusan mirip pocong

Penduduk gempar penemuan 2 bungkusan mirip pocong


Sebanyak dua bungkusan mirip pocong ditemui penduduk sebuah kampung di daerah Purwokerto Selatan, wilayah Jawa Tengah pada Ahad, lapor portal berita Detik pada 3 Mac 2024.


Bungkusan itu ditemukan oleh seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Darso dalam keadaan terikat di bahagian atas, bawah, tengah dan atas.


Penduduk tempatan, Arif, 42, berkata, bungkusan itu pada mulanya ditemui Darso yang sedang mencangkul di halaman rumahnya. Semasa mencangkul dia menjumpai dua helai kain putih berbentuk seperti pocong.


"Rumah Pak Darso bersebelahan dengan lokasi. Biasanya lokasi itu dijadikan tempat pembuangan sampah. Jadi ada bau kuat seperti bau bangkai," kata Arif kepada pemberita, Ahad (3/3/2024).


Arif berkata, Darso biasanya mencangkul lokasi ini untuk menimbun sampah. Selain itu, Darso juga sering menanam tanaman seperti ubi keledek dan ubi kayu.


"Dia ambik, niat nak tanam ubi kayu. Lepas tu jumpa dua bungkusan, tapi tak ada yang berani buka, sebab berbalut macam pocong, menyangkakan itu janin," jelasnya.


Berita penemuan bungkusan seperti pocong itu kemudian didengari oleh penduduk setempat menyebabkan ramai penduduk datang ke lokasi kerana ingin tahu.


"Ia menimbulkan kekecohan sebelum ini. Malah orang dari kampung lain juga datang ke sini kerana ingin tahu," katanya.


Kerana tiada sesiapa yang berani membukanya, penduduk kemudian melaporkannya kepada polis, kerana ramai yang mengesyaki dua bungkusan itu mengandungi janin bayi.


Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Purwokerto Selatan, Puji Nurochman berkata, penemuan tersebut bukan pocong ataupun janin bayi.


Sebaliknya, hanya dua ekor bangkai kucing yang dibungkus seperti pocong, katanya. - Sumber Detikjateng.


Keadaan dua bungkusan mirip pocong yang ditemui penduduk. - Foto Detik.

Isnin, 4 Mac 2024

Wanita hamil terkejut hantu penanggal masuk rumah

Wanita hamil terkejut hantu penanggal masuk rumah


Penduduk sebuah kampung di Barito, wilayah Kalimantan Tengah gempar apabila makhluk didakwa hantu penanggal masuk ke sebuah rumah yang mempunyai wanita hamil, lapor portal berita Okezone pada 1 Mac 2024.


Berdasarkan maklumat penduduk, hantu penanggal dikatakan masuk ke rumah tersebut melalui tingkap bilik.


Seorang penghuni rumah yang merupakan wanita hamil menjerit sejurus melihat makhluk tersebut, membuatkan jiran-jiran berkumpul bagi menyiasat perkara itu.


Berdasarkan sebuah video yang tular, beberapa penduduk dilihat cuba mencari hantu penanggal yang didakwa muncul itu menggunakan lampu suluh ketika waktu malam.


Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) pula memaparkan susuk didakwa hantu penanggal yang hanya mempunyai kepala dan organ dalaman masuk ke rumah berkenaan.


Video tersebut menjadi tular dengan ramai netizen memberikan pelbagai pendapat.


"Pelbagai jenis ilmu hitam diamalkan oleh orang dahulu di tempat saya di pedalaman Kalimantan. Antaranya adalah panguluh (manusia separa kerbau), sandah (gadis separuh hantu) dan penanggal. Waktu saya kecil dahulu banyak kejadian dikejar (makhluk-makhluk misteri)," kata seorang netizen.


"Daripada jual buah pinggang, lebih baik buru penanggal. Dapat juga usus, limpa dan hati," kata netizen lain secara berseloroh. - Sumber Okezone.


Seorang penduduk menunjukkan lokasi hantu penanggal didakwa mula dilihat dalam rakaman CCTV. - Foto Metro Indo.