Selasa, 16 Januari 2024

Berang pesawat lewat, seorang penumpang lelaki tampar juruterbang

Berang pesawat lewat, seorang penumpang lelaki tampar juruterbang


Seorang penumpang syarikat penerbangan India, IndiGo Airlines, ditahan kerana menampar juruterbang selepas berang apabila pesawat itu lewat berlepas akibat cuaca buruk, lapor media India.


Menurut Hindustan Times, Insiden itu berlaku pada 14 Januari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi.


Pesawat itu, dijadualkan terbang dari Indira Gandhi ke Goa, lewat 13 jam kerana kabus tebal menyelubungi kawasan besar di bahagian utara India.


Lebih 100 penerbangan ditangguhkan di Delhi, pada 14 Januari lalu, tetapi ia kembali beroperasi pagi keesokannya.


Video dimuat naik oleh pengguna Instagram (IG) @EvgeniaBelskaia pada hari kejadian menunjukkan juruterbang membuat pengumuman apabila seorang penumpang memakai hoodie kuning meluru laju ke arahnya.


Penumpang itu menghayun tangannya dan menampar juruterbang, menyebabkan lelaki itu terjatuh ke belakang.


Dua pramugari kemudian bergegas untuk menghentikan tindakan penumpang daripada menyerang juruterbang, dengan seorang kedengaran berkata: "Tuan, kamu tidak boleh melakukan ini!"


Seorang lagi penumpang memakai hoodie biru kelihatan menahan penumpang yang berang, menenangkannya dan berjalan bersamanya.


Indian Express melaporkan bahawa penumpang terbabit telah ditahan selepas Syarikat Penerbangan IndiGo memfailkan aduan terhadapnya.


Menurut polis, siasatan dijalankan dan lelaki itu mungkin dihukum kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.


Sementara itu, IndiGo juga membentuk jawatankuasa dalaman untuk menangani insiden itu dan mungkin mempertimbangkan untuk meletakkan nama penumpang terbabit pada senarai larangan terbang.


Menurut laman web penerbangan Flightradar24, sekurang-kurangnya 168 penerbangan dijadualkan berlepas dari bandar tersebut ditangguhkan, manakala 56 yang lain dibatalkan pada pagi 15 Januari.


Selain perkhidmatan penerbangan, sekurang-kurangnya 18 kereta api ke bandar ini dari pelbagai kawasan di India juga tertangguh akibat kabus tebal. - Sumber The Straits Times.


Gambar tular menunjukkan insiden berkenaan. - Foto The Straits Times.

Isnin, 15 Januari 2024

3 buruh didakwa rompak 6 ekor ayam guna pistol, pedang

3 buruh didakwa rompak 6 ekor ayam guna pistol, pedang


Tiga sekawan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan menggunakan pistol dan pedang sebelum melarikan enam ekor ayam sabung milik seorang lelaki, November lalu.


Ketiga-tiga tertuduh, Muhammad Shafie Mukhtar, 31, Mohd. Ariffadilan Ismail, 38, dan Mohd. Zurmi Mat Hassan, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.


Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki yang bekerja sebagai buruh itu didakwa dengan niat bersama melakukan rompakan berkumpulan bersenjata pistol dan pedang ke atas Muhamad Faris Norhalim, 24, sebelum melarikan enam ekor ayam milik lelaki itu.


Perbuatan itu dilakukan oleh mereka di sebuah rumah di Kampung Lubok Jambu, Kota Bharu, kira-kira pukul 11.30 malam pada 18 November lalu.


Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin dan tertuduh pertama diwakili peguam, Mohd Khairul Azwan Azhan, manakala tertuduh kedua dan ketiga tidak diwakili peguam.


Abu Arsalna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun Mohd Khairul Azwan memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM25,000 setiap seorang, masing-masing dengan seorang penjamin dan syarat tambahan supaya mereka tidak mengganggu saksi.


Hakim menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bahru selepas pertuduhan merompak secara berkumpulan. - Foto Harian Metro.

Ahad, 14 Januari 2024

Lelaki ada 13 rekod jenayah maut ditembak selepas berbalas tembakan dengan polis

Lelaki ada 13 rekod jenayah maut ditembak selepas berbalas tembakan dengan polis


Lelaki yang ditembak mati dalam kejadian di Puchong Prima hari ini adalah individu dikehendaki polis yang mempunyai 13 rekod lampau.


Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek adalah seorang lelaki tempatan mempunyai tujuh rekod jenayah, enam rekod kesalahan narkotik dan satu rekod dikehendaki.


Menurutnya, pihaknya menerima laporan kejadian berbalas tembakan antara suspek dan anggotanya di hadapan Apartment Sri Acasia, Taman Puchong Prima kira-kira jam 3.49 petang, hari ini.


Katanya, laporan terbabit dibuat oleh anggota bertugas di Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya.


"Siasatan lanjut masih dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Subang Jaya.


"Polis juga terkesan satu rakaman video berkait kejadian ini tular di media sosial, justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan video berkenaan bagi mengelak kegusaran masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu, penduduk sekitar kawasan Jalan Puchong Prima 3 gempar apabila bunyi letupan kedengaran dipercayai susulan kejadian tembakan tersebut.


Satu klip video berdurasi 39 saat memaparkan beberapa lelaki menjerit lalu kedengaran bunyi dipercayai tembakan dilepaskan.


Mengulas lanjut Hussein meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil bagi membantu siasatan.


Anggota forensik berada di lokasi selepas kejadian berbalas tembakan petang tadi. - Foto Kosmo Online.

Sabtu, 13 Januari 2024

Janda amuk libas kekasih guna pisau hingga mangsa mengalami kecederaan

Janda amuk libas kekasih guna pisau hingga mangsa mengalami kecederaan


TAWAU - Akibat perselisihan faham, seorang janda berusia 24 tahun bertindak agresif melibas kekasihnya menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di Batu 4, Jalan Apas pada Ahad lalu.


Tindakan itu mengakibatkan kekasihnya, lelaki yang berusia 30 tahun mengalami cedera di bahagian lengan dan betis kanan dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang dikatakan tinggal bersama sejak lima bulan yang lalu.


Dalam kejadian itu, mangsa bersama teman wanitanya dalam perjalanan ke rumah mangsa dengan menaiki kenderaan e-hailing. ketika berada di dalam kenderaan, berlaku salah faham dan pertengkaran mulut mangsa dengan suspek.


"Setibanya di rumah, teman wanitanya terus berlari masuk ke dapur dalam keadaan menangis dan keluar dari dapur sebelum masuk ke bilik mangsa dengan membawa sebilah pisau.


"Suspek terus bertindak agresif melibas mangsa hingga cedera di bahagian lengan kanan dan kiri serta bahagian betis kanan mangsa.


"Tindakan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan kesan calar. Malah, suspek turut bertindak merosakkan harta benda termasuk beberapa keping cermin tingkap bilik mangsa menggunakan pisau tersebut," katanya dalam satu kenyataan.


Jasmin berkata, mangsa kemudiannya bertindak membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut dan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah menjalankan serbuan dan tangkapan ke atas suspek.


"Ketika kejadian itu, mangsa cuba memujuk teman wanitanya dan cuba merampas pisau daripada suspek. Selepas berjaya merampas pisau, suspek terus diam dan tidak lagi bertindak agresif. Keesokkannya suspek tiada di rumah sebelum mangsa membuat laporan polis," katanya.


Menurut beliau, siasatan mendapati suspek penganggur dan mempunyai tiga jenayah lampau membabitkan dadah dan judi.


Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.


Jasmin Hussin.
Penghuni kondominium di Bukit Jalil cederakan pengawal keselamatan sudah didakwa

Penghuni kondominium di Bukit Jalil cederakan pengawal keselamatan sudah didakwa


Polis mengesahkan seorang lelaki yang terbabit dalam video tular mencederakan pengawal keselamatan kondominium di Bukit Jalil telah didakwa di Mahkamah Jalan Duta, semalam.


Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi dan suspek adalah lelaki tempatan yang juga penduduk di kondominium terbabit.


Semakan polis mendapati dua rakaman video yang tular menunjukkan seorang lelaki cuba melanggar seorang pengawal keselamatan dan mencederakan pekerja sebuah kondominium di Bukit Jalil, Cheras, berlaku pada 5 Januari lalu.


"Suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati tentang penghalang yang diletakkan di laluan keluar bangunan tersebut.


"Lelaki itu telah bertengkar dengan pengawal keselamatan dan mencederakan seorang pekerja yang kebetulan berada di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sehubungan itu, Ridzuan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan suspek telah dituduh di bawah seksyen yang sama di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.


"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam," tegasnya.


Tangkap layar video tular seorang lelaki mencederakan pengawal keselamatan warga asing di sebuah kondominium di Bukit Jalil, Cheras, Kuala Lumpur, 5 Januari lalu.
Tular beberapa gambar 'makhluk asing' sedang dibedah siasat di makmal

Tular beberapa gambar 'makhluk asing' sedang dibedah siasat di makmal


Beberapa gambar tular di media sosial memaparkan bangkai didakwa makhluk asing, dibedah siasat di makmal kemudahan Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai Area 51, lapor akhbar Metro UK pada 11 Januari 2024.


Gambar pertama memaparkan anggota badan kelihatan seperti saraf tunjang berukuran 2 meter panjang yang bersambung dengan beratus-ratus saraf dan saluran darah.


Gambar kedua menunjukkan anggota badan yang kelihatan terbahagi kepada dua sistem dengan setiap satunya didakwa untuk sisi badan berbeza.


Gambar ketiga pula lebih jelas iaitu memaparkan sistem saraf yang kelihatan seperti ranting pokok, ia kelihatan sangat realistik.


Bagaimanapun, sebilangan netizen menyatakan bahawa semua imej itu palsu. Kata mereka, foto tersebut dihasilkan menggunakan aplikasi kepintaran buatan, Midjourney.


Midjourney, salah satu program kepintaran buatan (AI) generatif terkemuka dan pencetus banyak penipuan internet.


Siri foto itu dikongsikan oleh seorang pengguna platform Reddit menerusi akaun shaner4042. - Sumber Metro UK.


Gambar ketiga ini memaparkan sistem saraf yang kelihatan seperti ranting pokok. - Foto shaner4042.
Lelaki menembak mati rakannya disangka tikus

Lelaki menembak mati rakannya disangka tikus


Seorang lelaki menembak dan membunuh rakannya di ladang tebu dalam insiden di wilayah Chaiyaphum kerana menyangka mangsa seekor tikus, lapor portal berita Thaiger pada 11 Januari 2024.


Anggota-anggota polis menyerbu ladang tebu berkenaan di daerah Kasetsombun pukul 12.45 tengah malam (waktu tempatan) pada 10 Januari selepas menerima aduan mengenai satu kejadian tembakan.


Mereka menemui seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Adisak, 31, terbaring dalam keadaan berlumuran darah. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Polis berkata, Adisak mempunyai beberapa kesan tembakan pada muka dan badannya. Rakannya yang bernama Banterng, 34, mengaku melepaskan tembakan yang mengenai mangsa.


Banterng menegaskan tembakan itu adalah satu kemalangan. Ketika kejadian, Banterng menyatakan bahawa mereka sedang memburu tikus.


Menurut Banterng, dia melihat sesuatu bergerak di belakang tebu dan segera melepaskan tembakan ke arahnya, menyangka ia adalah tikus. Dia kemudian menyedari sasarannya adalah rakannya dan cuba menyelamatkannya.


Banterng berkata, dia menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan tetapi Adisak meninggal dunia ketika polis dan pegawai perubatan dalam perjalanan ke tempat kejadian.


Dia menyerahkan sepucuk pistol yang digunakan dalam kejadian tersebut kepada polis.


Walaupun tembakan itu disahkan sebagai kemalangan, Banterng masih berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 288 Undang-undang Jenayah iaitu membunuh dengan niat.


Jika sabit kesalahan, dia boleh dijatuhi hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara selama 15 hingga 20 tahun. - Sumber The Thaiger. 


Adisak ditembak oleh rakannya di ladang tebu di wilayah Chaiyaphum pada 10 Januari lepas. - Foto Matichon.

Khamis, 11 Januari 2024

Nyawa melayang selepas sering larang isteri rakam video Instagram Reels, TikTok

Nyawa melayang selepas sering larang isteri rakam video Instagram Reels, TikTok


Seorang wanita di negeri Bihar, India ditahan kerana disyaki merancang pembunuhan suaminya selepas mangsa sering melarang dia merakam video untuk dimuat naik di Instagram Reels, lapor laman berita India Today pada 9 Januari 2024.


Menurut polis, suspek yang dikenali sebagai Rani Kumari, merancang komplot itu bersama kekasih gelap, Mohammad Sajjad serta dua saudara perempuannya, Rozi dan Sonali Kumari.


Rani dikatakan obses merakam video untuk dimuat naik di platform media sosial seperti TikTok dan Instagram. Bagaimanapun, mangsa, Maheshwar Kumar Rai, 25, tidak menyukai sikapnya itu.


Pasangan itu sudah berkahwin hampir tujuh tahun. Maheshwar pernah bekerja sebagai buruh di Kolkata, dan baru-baru ini pulang ke rumah untuk bertemu isterinya.


Dia mendapati isterinya terobsesi untuk membuat banyak video di platform media sosial, yang tidak disukai dan ditentang oleh Maheshwar, menyebabkan mereka sering bertengkar mengenai perkara tersebut. 


Dalam kejadian malam Ahad lalu sekitar 9 malam, Rani dikatakan mengajak Maheshwar pergi ke rumah iparnya sebelum membunuh lelaki itu dengan mencekiknya.


Jenayah itu terbongkar sekitar jam 10.30 malam apabila abang mangsa, Rudal, menelefonnya dari Kolkata, namun panggilan tersebut dijawab oleh individu lain.


Mengesyaki sesuatu yang tidak kena ketika bercakap di telefon, Rudal meminta bapanya pergi ke kampung Fafout di negeri Bihar bagi memastikan keadaan mangsa.


Bapa mangsa yang tiba di rumah berkenaan terkejut apabila menemui mayat anaknya sebelum dia membuat laporan polis.


Berdasarkan aduan, polis membuka kertas siasatan ke atas lima individu. Rani dan dua saudara perempuannya telah ditahan untuk disoal siasat, manakala dua individu lain masih diburu. - Sumber India Today.


Rani obses merakam video untuk dimuat naik di platform-platform media sosial seperti TikTok dan Instagram. - Foto Aaj Tak.
Lelaki rakam wanita mandi diikat pada tiang elektrik, dibelasah orang ramai

Lelaki rakam wanita mandi diikat pada tiang elektrik, dibelasah orang ramai


Seorang lelaki yang disyaki merakam wanita mandi diikat pada sebatang tiang elektrik sebelum dia dipukul oleh penduduk tempatan di India, lapor portal berita Indian Today pada 9 Januari 2024.


Kejadian berlaku pada hari Isnin di daerah Hubballi, negeri Karnataka. Tertuduh yang dikenali sebagai Lad Saab telah diikat pada tiang elektrik dan dibelasah orang ramai.


Lad Saab bekerja di tapak pembinaan berhampiran rumah wanita itu. Dia telah meletakkan telefon bimbitnya di tingkap bilik air rumah jirannya itu.


Ketika kejadian, mangsa yang sedang mandi, menjerit apabila menyedari diirinya diintai.


Jeritan itu menyebabkan penduduk berdekatan bergegas ke lokasi kejadian dan menangkap lelaki berkenaan. Mereka mengikatnya pada sebatang tiang elektrik sebelum memukul suspek.


Lelaki itu kemudian diserahkan kepada polis di Hubballi. Polis masih menyiasat kejadian itu. - Sumber India Today.


Seorang lelaki ditangkap dan diikat pada sebatang tiang elektrik di Hubbali, Isnin lalu. - Foto Indian Today.
'Komet syaitan' bertanduk lebih besar daripada Gunung Everest sedang hampiri Bumi

'Komet syaitan' bertanduk lebih besar daripada Gunung Everest sedang hampiri Bumi


Sebuah komet yang dikatakan bersaiz lebih besar daripada gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest kini sedang bergerak menghampiri Bumi, lapor laman berita UNILAD pada 9 Januari 2024.


Komet 12P/Pons-Brooks turut dikenali sebagai 'komet syaitan'. Ia diberikan gelaran itu kerana bentuknya kelihatan seperti tanduk. Para saintis percaya 'tanduk' tersebut terdiri daripada gas dan habuk.


Komet itu dijangka berada pada jarak dekat dengan Bumi pada 2 Jun depan, manakala ahli-ahli astronomi berharap ia boleh dilihat menerusi mata kasar.


Bagaimanapun, walaupun ia melintas pada titik terdekat dengan Bumi, ia masih akan berada lebih jauh daripada Matahari.



Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berkata: "NASA mengesahkan tiada asteroid atau komet berada dalam laluan perlanggaran dengan Bumi. Oleh itu, kemungkinan akan berlaku perlanggaran besar adalah kecil.


"Secara faktanya, tiada objek besar akan menghentam Bumi dalam tempoh beberapa ratus tahun akan datang."


Para saintis juga membuat pemerhatian menarik tentang komet itu baru-baru ini. Apabila diamati sekali lagi, nampaknya tanduk pada komet itu sudah tidak ada lagi.


Komet selebar 10.5 batu itu sebenarnya adalah cryovolcanic, bermakna ia adalah gunung berapi yang sejuk. Tanduk itu telah hilang selepas letusan terbarunya ketika ia meluncur melalui angkasa.


Live Science melaporkan komet itu telah menjadi bentuk bulat, berwarna hijau dan muncul bayangan panjang ketika ia meluncur di angkasa. - Sumber UNILAD.


Gambar fail menunjukkan Komet Syaitan. - Foto Persatuan Astronomi Britain.