Ahad, 26 November 2023

Kuat online shopping & tak pandai masak, suami pulangkan isteri kepada orang tuanya semula

Kuat online shopping & tak pandai masak, suami pulangkan isteri kepada orang tuanya semula


Tular kisah seorang suami dari Indonesia yang memulangkan isterinya kembali ke pangkuan orang tuanya mencuri tumpuan netizen selepas sebuah video tersebar di TikTok baru-baru ini.


Menerusi video itu, lelaki berkenaan bertindak sebegitu rupa kerana isterinya dikatakan tidak pandai memasak, tidak pandai mencuci baju dan tidak pandai melakukan kerja rumah lainnya hanya pandai 'online shopping' sahaja.


Walaupun lelaki itu dikhabarkan seorang kaya dan berkemampuan, baginya itu bukan alasan untuk isterinya tidak mahir dalam melakukan kerja rumah.


"Saya kembalikan kamu kepada ibu kamu ya. Saya menikah dengan kamu tak pandai apa-apa. Tak pandai masak, tak pandai mencuci, tak pandai semuanya.


"Saya menyesal menikah dengan anak ibu, saya sudah habis banyak duit. Dia tak pandai buat apa-apa, cuma pandai berbelanja online. Apa yang saya dapat?" kata lelaki itu.


Malah, lelaki itu juga lantang bersuara dan berkata kepada ibu mentuanya yang tidak mengajar anak perempuannya tentang cara menguruskan rumah seperti memasak, mencuci pinggan dan mengemas rumah.


Ibu mentua lelaki itu memarahinya kerana menyangkakan bahawa anaknya harus diperlakukan seperti orang gaji tetapi lelaki itu meluahkan apa yang terbuku di hati.


Katanya dia teringin untuk merasai air tangan isterinya dan bukan hanya dipersembahkan dengan wajah cantik semata-mata kerana mereka mahu hidup sehingga ke hari tua.


"Dulu kamu tergila-gila dan mencintai dia seadanya tapi apa sekarang ini? Kamu ingat dia pembantu?" kata ibu mentua lelaki itu.


Ketika artikel ini ditulis, video yang dimuat naik di TikTok sejak 8 November 2023 itu kini telah meraih 11.5 juta tontonan, lebih 284,000 tanda suka dan 5,700 komen.


Seorang suami memulangkan semula isteri ke pangkuan orang tua isterinya. - Foto @dipandang_sebelah_mata /TikTok.
Budak lelaki dimasukkan ke hospital 3 kali sejak makan cicak tokek goreng

Budak lelaki dimasukkan ke hospital 3 kali sejak makan cicak tokek goreng


Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di Brazil beberapa kali dikejarkan ke hospital selepas diberi makan cicak tokek goreng, lapor portal berita Daily Mail pada 24 November 2023.


Budak lelaki itu pada awalnya jatuh sakit pada 7 November lalu ketika menghabiskan waktu hujung minggu di rumah bapanya di bandar Formosa.


Dia dilaporkan meminta pertolongan daripada ibu tiri dan nenek tirinya untuk menyediakan hidangan cicak tokek selepas hampir membunuh seekor reptilia itu ketika bermain di taman.


Ibu tiri budak lelaki itu memberitahu polis bahawa dia bersetuju menyediakan hidangan yang diminta selepas memberi syarat kepadanya untuk menangkap lebih banyak cicak tokek.


Selepas membawa pulang empat ekor cicak tokek, wanita itu membersihkan reptilia tersebut, menyalut perasa dan menggorengnya.


Ibu kandung mangsa, Raquel de Souza berkata, dia membawa anaknya ke Hospital Negeri Formosa selepas dia mengalami sakit kepala, bengkak lidah, cirit-birit, muntah dan air kencingnya berwarna gelap.


Kanak-kanak lelaki itu dibenarkan pulang tiga hari kemudian tetapi kesihatannya bertambah buruk pada 13 November lalu. Dia dipantau di unit rawatan rapi sebelum dibenarkan pulang selepas beberapa jam.


Dia jatuh sakit lagi pada malam Rabu, 15 November lalu dan dimasukkan ke hospital buat kali ketiga.


Menurut De Souza, usus anaknya mengalami masalah disebabkan kandungan bakteria berbahaya dalam badannya.


"Kesejahteraan budak lelaki itu mungkin terancam jika cicak berkenaan dijangkiti parasit. Anda perlu berhati-hati apabila memakan beberapa haiwan liar," kata doktor pakar penyakit berjangkit Marcelo Daher. - Sumber Daily Mail.


Budak lelaki itu dimasukkan ke hospital selepas makan hidangan cicak tokek pada 6 November lepas. - Foto Raquel de Souza.

Sabtu, 25 November 2023

Enggan bawa bercuti ke Dubai, suami mati ditumbuk isteri

Enggan bawa bercuti ke Dubai, suami mati ditumbuk isteri


Seorang lelaki di India maut akibat ditumbuk pada hidung oleh isterinya kerana enggan membawa wanita itu bercuti ke Dubai bagi menyambut hari lahirnya, lapor stesen penyiaran NDTV, hari ini.


Kejadian berlaku di apartmen pasangan itu, yang terletak di kawasan perumahan mewah di kawasan Pune Wanwadi, pada Jumaat, 24 November.


Mangsa yang dikenali sebagai Nikhil Khanna, 36, bekerja sebagai seorang ahli perniagaan dalam industri pembinaan. Dia dilaporkan berkahwin dengan isterinya, Renuka, 38, enam tahun lalu.


Menurut anggota balai polis Wanavdi, pasangan itu bergaduh kerana Nikhil tidak membawa Renuka ke Dubai bagi menyambut hari lahirnya selain tidak memberikan hadiah yang mahal.


Renuka juga kecewa dengan Nikhil kerana tidak memberikan maklum balas yang baik terhadap hasratnya untuk pergi ke Delhi untuk meraikan hari lahir bersama saudara-maranya.


Semasa pergaduhan mereka, Renuka menumbuk muka Nikhil. Tumbukan itu dikatakan sangat kuat sehingga hidung dan beberapa gigi Nikhil patah.


Akibat mengalami pendarahan yang berterusan, mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia. - Sumber NDTV.


Mangsa dikenali sebagai Nikhil Khanna merupakan seorang ahli perniagaan dalam industri pembinaan. - Foto NDTV.

Jumaat, 24 November 2023

Wanita ditinggalkan, hidup melarat selepas suami menang loteri RM1.5 juta

Wanita ditinggalkan, hidup melarat selepas suami menang loteri RM1.5 juta


Seorang wanita berusia 26 tahun di Thailand mendedahkan dia terpaksa menjalani kehidupan yang sukar selepas suaminya memenangi hadiah loteri berjumlah 12 juta baht (RM1.5 juta), lapor laman berita Thaiger pada 21 November 2023.


Wanita yang dikenali sebagai Janya dari wilayah Buriram itu berkata, dia telah berkahwin selama empat tahun dengan seorang pemandu lori dari daerah Nong Phai, wilayah Phetchabun.


Kehidupan mereka bagaimanapun berubah secara drastik apabila anak perempuan mereka secara rawak memilih nombor loteri 196, menyebabkan pasangan tersebut menerima hadiah tempat pertama.


Bagaimanapun, wang loteri itu hanya dipindahkan ke akaun bank suaminya dan selepas kemenangan tersebut, Janya berpindah ke Phetchabun, kampung halaman suaminya dengan mengharapkan kehidupan yang sejahtera.


Namun, kegembiraan itu tidak lama kerana suaminya berubah menjadi kaki botol dan seorang yang kasar.


Suaminya juga berbelanja besar, membina rumah bernilai 2 juta baht (RM264,588) dan membeli tanah dengan harga 3 juta baht (RM396,882).


Dalam masa sama, Janya ditinggalkan dengan hutang yang semakin meningkat dan terpaksa pulang ke rumah ibunya di Buriram, menganggur serta tidak berduit.


Suaminya juga tidak menunaikan janji membahagikan wang itu, hanya memberi Janya hanya 20 (RM2.6) hingga 100 baht (RM13) sehari dan tidak menyimpan wang untuk anak perempuan mereka seperti yang dipersetujui.


Lebih mengecewakan Janya apabila suaminya didapati mempunyai isteri baharu dan meninggalkan dia bersama anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun. - Sumber The Thaiger.


Janya ditinggalkan suami selepas dia mendapat wang loteri sebanyak RM1.5 juta di Thailand baru-baru ini. - Foto KhaoSod.
Kecoh pengantin lelaki menendang pengantin perempuan selepas mengetahui hamil

Kecoh pengantin lelaki menendang pengantin perempuan selepas mengetahui hamil


Sebuah majlis perkahwinan di wilayah Jiujiang, China menjadi huru-hara apabila pengantin lelaki menendang pengantin perempuan sehingga jatuh ke lantai selepas mengetahui wanita itu hamil.


Laman berita Thaiger pada 23 November melaporkan, pengantin lelaki dikatakan terkejut dengan berita kehamilan tersebut kerana mereka berkenalan hanya sebulan sebelum berkahwin.


Pengantin lelaki pada awalnya menerima mesej daripada bekas teman lelaki pengantin perempuan semasa majlis berlangsung. Mesej itu mendedahkan bahawa pengantin perempuan sebenarnya hamil. 


Pengantin lelaki kemudiannya berhadapan dengan pengantin perempuan di hadapan tetamu. Dia ingin menuntut penjelasan tentang bapa kandung bayi itu kerana mereka baru sahaja berkenalan.


Selepas mengaku tidak bersalah, pengantin perempuan cuba menceritakan perkara sebenar namun tidak diberi peluang. Dia berusaha meyakinkan bahawa bayi itu bukan anak bekas teman lelakinya.


Ketegangan semakin memuncak apabila pengantin lelaki menendang pasangannya sehingga jatuh ke lantai. Dia terus memarahinya, menyatakan ketidakpercayaannya terhadap dakwaan wanita itu dan mempersoalkan penjelasannya.


Pengantin lelaki kemudiannya membatalkan perkahwinan kerana tidak dapat menanggung malu dan enggan membesarkan anak lelaki lain.


Situasi semakin tegang akibat pembatalan perkahwinan itu. Keluarga pengantin lelaki menuntut bayaran balik mas kahwin daripada pengantin perempuan kerana tidak dapat menerima wanita itu. - Sumber The Thaiger.


Pengantin lelaki menendang pasangannya sehingga jatuh ke lantai di hadapan tetamu. - Foto KhaoSod.
Lelaki ditahan selepas kantoi tukar cincin berlian RM1 juta dengan replika

Lelaki ditahan selepas kantoi tukar cincin berlian RM1 juta dengan replika


Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan selepas dia didakwa menukar sebentuk cincin berlian berharga SGD$318,000 (RM1.11 juta) di sebuah kedai di Marina Bay Sands, Singapura dengan menggantikannya dengan replika.


Portal berita The Straits Times pada 21 November 2023 melaporkan, polis menerima laporan mengenai kes penipuan itu sekitar pukul 1.15 tengah hari (waktu tempatan) pada 20 November.


Siasatan awal mendapati lelaki itu berpura-pura berminat untuk membeli cincin berlian tersebut di sebuah kedai barang kemas. 


Sambil memegang cincin dengan tangan kiri, dia mengalihkan perhatian pekerja kedai kepada barang kemas lain lalu menukarnya dengan sebuah replika menggunakan tangan kanan.


Kakitangan itu kemudian menyedari bahawa tanda harga pada cincin replika itu mempunyai tekstur yang berbeza dan memaklumkan kepada pegawai keselamatan.


Mereka kemudian menemui cincin berlian asli yang dicuri lelaki berkenaan sebelum dia ditahan oleh polis di lokasi kejadian.


Lelaki itu akan didakwa di mahkamah, jika didapati bersalah menipu, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda. - Sumber The Straits Times.


Cincin berlian asli (kiri) ditukar dengan replika (kanan). - Foto Pasukan Polis Singapura.

Khamis, 23 November 2023

Wanita mabuk cendawan berbogel di lapangan terbang cetus kekecohan

Wanita mabuk cendawan berbogel di lapangan terbang cetus kekecohan


Seorang wanita mencetuskan kekecohan di sebuah lapangan terbang di Santiago, Chile kerana berjalan dalam keadaan tidak berpakaian, lapor akhbar Daily Star pada 21 November 2023.


Berdasarkan video yang dirakam di Lapangan Terbang Antarabangsa Arturo Merino Benitez, wanita itu dilihat berlari di sekeliling lapangan terbang di hadapan penumpang tanpa seurat benang.


Dia juga dilihat terus-menerus menjerit serta menyerang orang ramai yang lalu lalang dan turut didakwa telah memukul seorang pegawai polis semasa ditahan.


Pada satu ketika dia dilihat berpaut pada lengan seorang lelaki tidak dikenali yang sedang menolak troli. Lelaki itu dilihat menolaknya sebelum melarikan diri.


Wanita berkenaan kemudian ditahan polis dan dibawa pergi dari tempat kejadian. Dia dilaporkan mengambil alkohol dan dadah tetapi siasatan terhadapnya masih diteruskan.


Menurut agensi Emol, wanita itu didakwa telah memakan cendawan halusinogen di sebuah pesta di Barrio Republica di Chile. Laporan tambahan mencadangkan dia tiba di lapangan terbang di bawah pengaruh alkohol dan bahan psikoaktif, termasuk cendawan.


Bahan sedemikian boleh menyebabkan halusinasi visual dan pendengaran yang sengit, yang berpotensi menyebabkan tingkah lakunya tidak menentu. Komen rasmi mengenai situasi itu masih belum dikeluarkan. - Sumber Daily Star.


Wanita itu ditahan polis selepas membuat kekacauan di lapangan terbang. - Foto Jam Press.

Selasa, 21 November 2023

Ular sawa seberat 100 kg telan 3 ekor kambing berjaya ditangkap

Ular sawa seberat 100 kg telan 3 ekor kambing berjaya ditangkap


Seekor ular sawa sepanjang enam meter yang disyaki pernah menelan tiga ekor kambing peliharaan seorang penternak berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Kubang Puyu Chalok di Setiu, hari ini.


Haiwan reptlilia seberat kira-kira 100 kilogram (kg) itu berjaya dijinakkan sebelum ditangkap pada pukul 9.15 pagi.


Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu, Mohd. Nizu Husien berkata, sepasukan anggota APM bergegas ke kandang kambing tersebut sebaik dimaklumkan kehadiran ular sawa tersebut.


"Penternak kambing tersebut, Shukri Ab. Rashid, 49, memberitahu menyedari kehadiran ular sawa itu sewaktu melihat kandang kambingnya pada pagi ini.


"Dia mengesyaki haiwan reptilia sama yang menelan tiga ekor kambing peliharaannya termasuk dua ekor anak kambing yang telah hilang sebelum ini.


"Anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap haiwan terbabit yang sedang terdampar kekenyangan," katanya ketika dihubungi hari ini.


Mohd. Nizu berkata, haiwan reptilia berkenaan akan diserahkan kepada, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya pada masa terdekat.


Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan kehadiran haiwan liar dan reptilia sepanjang musim tengkujuh ini.


"Biasanya haiwan-haiwan ini akan keluar mencari kawasan berlindung termasuk sekitar rumah dan kandang haiwan ternakan setelah habitat mereka dilimpahi banjir pada waktu ini," katanya.


Anggota APM sedang menangkap seekor ular sawa seberat 100 kg di Kampung Kubang Puyu, Chalok, Setiu, hari ini. - Foto APM.
Lelaki Australia kencing di tiang parkir kereta akhirnya serah diri

Lelaki Australia kencing di tiang parkir kereta akhirnya serah diri


Seorang lelaki warga Australia tampil serah diri di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini, selepas video dirinya membuang air kecil pada tiang di tempat parkir sebuah pusat beli-belah tersebar di media sosial.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek ditahan di IPD Subang Jaya pada pukul 11.15 pagi tadi.


"Suspek merupakan warga Australia berusia 32 tahun.


"Hasil semakan mendapati suspek datang ke Malaysia untuk melawat keluarganya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Wan Azlan, suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan akan ditahan untuk siasatan lanjut.


Terdahulu, tular seorang lelaki pemandu Mazda yang membuang air kecil di tiang tempat parkir kereta sebuah pasar raya di Subang dalam kejadian 16 November lalu.


Perlakuan individu terbabit mendapat kecaman ramai setelah sebuah video berdurasi 50 saat dimuat naik di media sosial.


Wan Azlan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).


Suspek warga Australia serah diri di IPD Subang Jaya pagi tadi. - Foto Facebook.
Suami bakar isteri hidup-hidup selepas 'kantoi' berasmara di atas timbunan jerami

Suami bakar isteri hidup-hidup selepas 'kantoi' berasmara di atas timbunan jerami

Gambar hiasan.

Seorang wanita di Bareilly, negeri Uttar Pradesh, India dibakar hidup-hidup oleh suaminya selepas ditangkap sedang bermadu kasih dengan teman lelakinya di atas timbunan jerami, lapor akhbar Deccan Herald pada 19 November 2023.


Mayat mangsa yang hangus dikenali sebagai Anjali, 35, ditemui lewat kelmarin di sebuah kawasan padang berhampiran kampung Gotiya.


Polis kemudian menahan suami mangsa, Nepal Singh atas dakwaan membunuh selepas keluarga mangsa membuat laporan.


Semasa disoal siasat, Nepal mengaku membunuh isterinya kerana wanita itu menjalin hubungan luar nikah bersama lelaki lain.


Menurut polis, ketika kejadian pada malam Sabtu, suspek melihat mangsa sedang berbaring di atas timbunan jerami bersama teman lelakinya.


Dia kemudian membakar jerami tersebut lalu melarikan diri.


Mayat mangsa dihantar untuk menjalani bedah siasat, manakala nasib teman lelakinya tidak dinyatakan. - Sumber Deccan Herald.


Suspek menemui isterinya sedang bermadu kasih dengan teman lelakinya di atas jerami. - Foto Snappy Goat.