Ahad, 1 Oktober 2023

Warga emas ditahan disyaki tebang 'pokok Robin Hood' yang sudah berdiri hampir 200 tahun

Warga emas ditahan disyaki tebang 'pokok Robin Hood' yang sudah berdiri hampir 200 tahun

 

Lelaki berusia 60 tahun ditahan untuk membantu siasatan kes penebangan pokok Sycamore Gap salah satu pokok terkenal di Northumberland, United Kingdom (UK), kata polis.


Pokok itu terletak di sebelah tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), Tembok Hadrian di timur laut England.


Pokok yang berdiri selama hampir 200 tahun itu di Taman Negara Northumberland ditebang antara Rabu dan Khamis yang diklasifikasikan oleh pasukan penyiasat sebagai 'tindakan vandalisme yang disengajakan'.


Pokok itu terkenal di peringkat antarabangsa apabila ia digunakan untuk adegan dalam filem blockbuster pada 1991, Robin Hood: Prince of Thieves, yang dibintangi Kevin Costner.



Tinjauan AFP mendapati, tunggul pokok itu dilihat dengan kesan cat putih dan kelihatan seolah-olah dipotong dengan gergaji.


Terdahulu, seorang remaja berusia 16 tahun ditahan kerana disyaki melakukan jenayah kerosakan pada Khamis berhubung kejadian itu dan dibebaskan dengan ikat jamin.


Polis Northumbria berkata lelaki berusia 60-an itu ditahan pada petang Jumaat dan masih dalam tahanan polis bagi membantu siasatan.



Theguardian melaporkan, Ketua Deketif Polis Rebecca Fenney-Menzies, dari polis Northumbria, berkata kemusnahan yang tidak masuk akal terhadap mercu tanda terkenal di dunia dan khazanah tempatan itu menimbulkan kemarahan orang ramai.


"Penahanan kedua ini menunjukkan betapa seriusnya kami terhadap kes ini dan komitmen berterusan kami untuk mencari mereka yang bertanggungjawab dan membawa mereka ke muka pengadilan.


"Walaupun seorang lagi suspek ditahan, namun siasatan masih di peringkat awal, dan kami meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung dengan pihak polis," katanya.


National Trust berkata pokok itu ditanam antara 1860 dan 1890 serta diundi sebagai Pohon Terbaik Inggeris pada 2016.


Pokok Sycamore itu, yang memenangi Woodland Trust's Tree of the Year pada 2016 adalah tarikan utama hingga gambarnya dirakam jutaan pelawat. - Sumber The Guardian.


Pokok Sycamore Gap yang ditebang pihak tidak bertanggungjawab. - Foto AFP.
Disangka digigit biawak, rupanya anak buaya tersesat masuk rumah

Disangka digigit biawak, rupanya anak buaya tersesat masuk rumah


Seorang warga emas terkejut apabila mendapati kaki kirinya digigit seekor anak buaya sepanjang kira-kira 30 sentimeter di rumahnya di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Alor Gajah, pada pagi tadi.


"Mak cik baru melangkah keluar pintu rumah sebelum terkejut apabila terasa ada 'benda' menggigit kaki kiri," kata Faridah Abd Ghani, 65, mengenai kemunculan anak buaya di rumahnya.


Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika dia mahu mengemas beranda rumahnya.


Katanya, pada mulanya dia menyangka digigit biawak kerana keadaan masih gelap sebelum anak lelakinya yang datang memeriksa mendapati ia adalah anak buaya.


"Jika biawak sudah tentu ia lari, tapi anak buaya itu hanya mengangakan mulut sebelum anak mak cik menekupnya dengan tudung saji dan menghubungi APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia)," katanya ketika dihubungi.


Faridah berkata, berikutan rumahnya berdekatan pantai, dia memang pernah melihat kelibat buaya berenang di kawasan pantai di situ.


"Namun, ini kejadian pertama kali anak buaya naik ke rumah dan mujur saya tidak mengalami luka," katanya lagi.


Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Unit Masjid Tanah (UMT), Leftenan (PA) Shahrul Riza Saiful Bahry berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.04 pagi sebelum sepasukan empat anggota bergegas ke lokasi.


Menurutnya, anggota berjaya menangkap anak buaya yang dipercayai tersesat lalu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.


Anggota APM menangkap anak buaya yang memasuki sebuah rumah di Tanjung Bidara. - Foto APM UMT.
Suami, anak tiri memenggal kepala wanita, jari dipotong, gigi dihancurkan

Suami, anak tiri memenggal kepala wanita, jari dipotong, gigi dihancurkan


Seorang wanita mati dalam keadaan tragis apabila dia bukan sahaja dicekik hingga mati, malah kepala turut dipenggal dan empat jari serta rambutnya turut dipotong.


Tidak cukup dengan itu, gigi mangsa turut dihancurkan dipercayai dalam usaha menyembunyikan identiti wanita berkenaan, lapor India Today pada 30 September 2023.


Kejadian ngeri itu berlaku di daerah Banda, dekat sini, selepas polis Uttar Pradesh menemui mayat seorang wanita tanpa kepala, pada Jumaat.


Wanita dianggarkan berusia antara 35 hingga 40 tahun ditemui separuh bogel dan kepalanya ditemui agak jauh dari badannya, menurut Penguasa Polis Ankur Agarwal.


Mayat itu dikenali sebagai Maya Devi, isteri kepada Ramkumar Ahirwar, seorang penduduk daerah Chhatarpur di Madhya Pradesh.


Selain jari yang hilang, polis mendapati rambut wanita itu dipotong dan giginya dihancurkan untuk menyembunyikan identitinya.


Susulan siasatan, polis mengesyaki ahli keluarga wanita terbabit terbabit dalam pembunuhan itu.


Semasa soal siasat, Ramkumar; dua anak lelakinya Suraj Prakash dan Brijesh, dan anak saudara Udaibhan, mengaku membunuh wanita itu.


Menurut keterangan Ramkumar, Maya Devi adalah isteri keduanya, dan dia mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan salah seorang anak lelakinya, kata Agarwal.


Berang dengan ini, keempat-empat tertuduh membawa Maya Devi ke kampung Chamraha, mencekiknya hingga mati dan memotong kepalanya dengan kapak. Mereka juga memotong empat jarinya.


Kenderaan dan kapak yang digunakan dalam jenayah itu sudah ditemui polis. Polis berjaya menyelesaikan kes itu dalam tempoh 24 jam.


Agrawal berkata semua tertuduh dalam kes itu sudah ditangkap dan akan dihantar ke penjara. Tindakan undang-undang lanjut sedang diambil terhadap mereka. - Sumber India Today.

Sabtu, 30 September 2023

Pasangan pengantin selamat dalam kebakaran tragis yang mengorbankan 113 orang di Iraq

Pasangan pengantin selamat dalam kebakaran tragis yang mengorbankan 113 orang di Iraq


Pasangan pengantin yang bersanding pada majlis perkahwinan yang berakhir dengan tragedi kebakaran di bandar Qarapish, utara Iraq pada Selasa lalu sempat melarikan diri menerusi pintu dapur, lapor portal berita metro UK pada 29 September 2023.


Kebakaran di sebuah dewan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 113 orang dan 130 yang lain cedera. Ibu pengantin lelaki antara yang terbunuh dalam kebakaran itu.


MailOnline melaporkan bahawa 'seluruh keluarga' pengantin perempuan meninggal dunia secara tragis dalam tragedi itu termasuk tiga abangnya, semua bapa saudaranya dan sepupu muda.


Pada mulanya, pengantin perempuan, Haneen dan suaminya, Revan Esho dipercayai meninggal dunia tetapi mereka kini dirawat di sebuah hospital di Erbi.


Kebakaran bermula sejam selepas majlis perkahwinan berlangsung apabila bunga api dihalakan ke siling dewan, manakala pasangan pengantin pula sedang menari dengan rakaman video menunjukkan Haneen ketakutan melihat dinding terbakar dan bumbung mula runtuh.


Pasangan pengantin itu kemudian melarikan diri melalui pintu dapur, lapor stesen penyiar Rudaw.


Mangsa yang cedera dipindahkan untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital di beberapa buah bandar termasuk Erbil, Mosul dan Duhok.


Kementerian Dalam Negeri Iraq berkata, seramai 14 orang ditangkap termasuk pemilik dewan tempat majlis perkahwinan tersebut berlangsung. Pihak berkuasa juga menjanjikan siasatan pantas dengan keputusan akan diumumkan dalam tempoh 72 jam.


Bapa pengantin lelaki berkata, dia percaya pemilik dewan itu bertanggungjawab terhadap kebakaran itu ketika bercakap kepada saluran berita CNN.


Tiga orang yang menghadiri majlis perkahwinan itu berkata, dewan itu tiada alat pemadam api dan pintu kecemasan manakala maklumat awal menunjukkan bangunan berkenaan mempunyai bahan binaan yang sangat mudah terbakar. - Sumber Metro UK.


Haneen dan suaminya dirawat di hospital selepas dewan tempat mereka melangsungkan majlis perkahwinan terbakar di bandar Qarapish, utara Iraq, Selasa lalu. - Foto INA.

Jumaat, 29 September 2023

Ramai orang terkejut matahari tiba-tiba bertukar warna biru

Ramai orang terkejut matahari tiba-tiba bertukar warna biru


Peminat astronomi di Britain terkejut pagi semalam apabila mereka melihat matahari menjadi biru dengan gambar keganjilan itu membanjiri aplikasi Twitter, lapor portal berita Daily Mail pada 28 September 2023.


Sebilangan netizen membincangkan fenomena ganjil tersebut. Walaupun ia pasti kelihatan ghaib, terdapat penjelasan mudah di sebalik fenomena 'ngeri' itu.


Seorang netizen berkata: "Tidak pernah melihat matahari biru sebelum ini. Saya masih ingat matahari (berwarna) oren gelap dan merah apabila Ribut Ophelia 2017 mengubah haluan asap kebakaran hutan Portugal ke Britain. Mengapa warna biru kali ini?"


Seorang lagi netizen menulis di laman Twitter: "Kita mempunyai matahari biru yang menakutkan hari ini (semalam) di Twickenham."


Bagaimanapun, menurut Timbalan Ketua Kaji Cuaca Pejabat Meteorologi Britain, Dan Harris berkata: "Pengaruh angin Barat yang kuat terhadap cuaca Britain pada masa ini. Ia membawa udara dari Amerika Utara ke Eropah.


"Udara ini mengandungi asap dari kebakaran hutan Kanada. Gabungan asap dan awan tinggi di atmosfera menyerakkan cahaya matahari serta mewujudkan anjakan warna yang luar biasa," katanya.


Fenomena aneh itu bukan kali pertama berlaku. Pada tahun 1950, matahari kelihatan biru di Ontario, Kanada berikutan ribut api Chinchaga iaitu salah satu kebakaran terbesar yang pernah direkodkan di Amerika Utara. - Sumber Daily Mail.


Matahari bertukar daripada warna putih menjadi biru (gambar kecil) di Twickenham pada pagi semalam. - Foto twitter.com/ruthwadey.

Khamis, 28 September 2023

Wanita mahu jadi makhluk asing, mengecat wajahnya warna biru dan belajar bahasa Klingon

Wanita mahu jadi makhluk asing, mengecat wajahnya warna biru dan belajar bahasa Klingon


Seorang wanita yang obses dengan hidupan angkasa lepas menghabiskan masa berjam-jam setiap minggu untuk mengecat wajah dan badannya menjadi biru agar kelihatan seperti makhluk asing, lapor akhbar Mirror UK pada 27 September 2023.


Lhouraii Li dari Bradford, United Kingdom berkata, dia mula berbuat demikian sejak lima tahun lalu selain turut mempelajari bahasa Klingon. Ia merupakan bahasa digunakan dalam filem sains fiksyen popular, Star Trek terbitan tahun 1960-an.


Sering berkongsi penampilan uniknya di laman Instagram, Lhouraii, 33, kini mempunyai lebih 10,000 pengikut.


"Saya mengambil masa kira-kira satu hingga dua jam untuk bersiap. Saya memakai kanta lekap sebelum menyapu cat berwarna biru dan diakhiri dengan solekan," katanya.



Diilhamkan oleh gaya Jepun, Lhouraii menjadi obses dengan penampilannya, memakai rambut palsu, kanta lekap, telinga bunian dari kertas mache dan tanduk untuk melengkapkan penampilannya.


Dia membelanjakan kira-kira £30 (RM171) setahun untuk cat badan dan menggunakan asas putih untuk menjadikan kulitnya lebih berpigmen serta mendapatkan rupa biru seperti itu.


"Saya mahu menjadi seseorang seperti anda apabila dewasa," tulis seorang pengguna diruangan komen gambar tersebut.


Beberapa pengguna lain turut memuji penampilan Lhouraii sangat cantik, comel dan lucu. - Sumber Mirror UK.


Lhouraii mengambil masa kira-kira satu hingga dua jam untuk bersolek menjadi makhluk asing. - Foto Barcroft Media via Getty Images.
Orang ramai cari berlian selepas tular khabar angin permata itu jatuh atas jalan rupa-rupanya palsu

Orang ramai cari berlian selepas tular khabar angin permata itu jatuh atas jalan rupa-rupanya palsu


Orang ramai berkumpul di beberapa jalan di daerah Surat, negeri Gujarat untuk mencari berlian selepas mendengar khabar angin mengenai seseorang yang dikatakan tidak sengaja menjatuhkan sebungkus permata itu, lapor laman berita Wion News pada 25 September lalu.


Surat yang digelar sebagai 'kota berlian India' ialah pasaran terbesar di dunia bagi aktiviti mengilat, memotong dan mengukir berlian.


Video memaparkan orang ramai mencari berlian dengan teliti di kawasan Varaccha tular di media sosial India.


Menurut laman berita Ahmedabad Mirror, khabar angin mengenai kehilangan berlian bernilai jutaan rupee itu merebak pantas pada 24 September lalu.


Orang ramai dikatakan sanggup mengumpul habuk dari jalan untuk mencari berlian. Seorang penduduk dilihat membersihkan kawasan itu dengan penyapu dan berharap dapat mencari berlian dalam debu yang terkumpul.


Seorang penduduk dikatakan berjaya menemui berlian, namun hampa apabila mendapati ia sebenarnya berlian Amerika (bukan berlian asli).


Arvind Panseria yang turut mencari berlian itu berkata, seorang lelaki menemui sebutir berlian tetapi ia adalah berlian Amerika yang digunakan sebagai barang kemas tiruan.


Seorang pegawai polis dari balai polis Varachha, Alpesh Gabani, memberitahu BOOM Live bahawa seseorang telah menjatuhkan berlian Amerika di atas jalan.


Tetapi khabar angin yang tersebar mendakwa ia berlian sebenar. Gabani juga menjelaskan bahawa kejadian itu tidak berkaitan dengan kegawatan pasaran berlian. - Sumber Wion News.


Orang ramai berkumpul di jalan untuk mencari berlian. - Foto Ary News.
Lelaki kerat alat sulit selepas kecewa kekasihnya ingin berpisah

Lelaki kerat alat sulit selepas kecewa kekasihnya ingin berpisah


Seorang lelaki Russia cuba mengerat alat sulitnya sendiri selepas kecewa ditinggalkan teman wanita, lapor akhbar Daily Star pada 26 September 2023.


Lelaki yang dikenali sebagai Ruslan, 37, itu cuba melakukan perbuatan tersebut pada 4 September lalu sejurus selepas kekasihnya, Natalia, 36, meminta untuk menamatkan hubungan mereka ketika bertengkar di sebuah unit apartmen di Daerah Biryulyovo Zapadnoye, di Moscow.


Ruslan yang kecewa kemudian berkata jika Natalia meninggalkannya, dia "tidak memerlukan alat sulitnya lagi" sebelum mengeluarkan sebilah pisau dapur untuk mengerat organ itu.


Lelaki itu kemudian mula mengerat di pangkal alat sulitnya. Natalia yang ketakutan melarikan diri dari unit apartmen tersebut sambil diekori oleh Ruslan menuruni tangga dalam keadaan terdedah dan berlumuran darah.


Seorang jiran yang melihat darah menitis dari kemaluan lelaki itu telah menghubungi ambulans. Ruslan kemudian dibawa ke hospital.


Menurut laporan, alat sulit lelaki itu telah dijahit tetapi tidak dijelaskan sama ada doktor dapat mencegah kerosakan kekal pada anggota berkenaan. - Sumber Daily Star.


Ruslan cuba mengerat zakarnya selepas dia ditinggalkan kekasihnya di Moscow baru-baru ini. - Foto Newsflash.

Selasa, 26 September 2023

Hulk Hogan kahwin kali ketiga pada usia 70 tahun, isteri baharunya seorang guru yoga

Hulk Hogan kahwin kali ketiga pada usia 70 tahun, isteri baharunya seorang guru yoga


Bekas bintang terkenal World Wrestling Entertainment (WWE), Hulk Hogan dilaporkan selamat berkahwin dengan kekasihnya dalam sebuah majlis kecil yang berlangsung di Clearwater, Florida pada Jumaat lalu.


Memetik laporan New York Post pada 25 September 2023, Hogan atau nama sebenarnya Terry Gene Bollea memilih guru yoga yang berusia 45 tahun sebagai isteri baharunya bernama Sky Daily.


Difahamkan, upacara perkahwinan mereka diadakan secara ringkas hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak sahaja.


Pasangan pengantin itu juga memakai busana ringkas dengan Hogan menyarung tuxedo warna hitam dan Daily memakai gaun putih.



Hogan mendedahkan dia dan kekasihnya bertunang pada Julai lalu. Mereka berkenalan selepas Hogan membeli minuman buat wanita itu sebelum keluar sebagai kekasih.


Ini merupakan perkahwinan ketiga Hogan. Dia pertama kali berkahwin dengan Linda Hogan dari tahun 1983 hingga 2007 dan memiliki dua anak iaitu Brooke Hogan, 35, dan Nick Hogan, 33.


Dia kemudian berkahwin buat kali kedua dengan Jennifer McDaniel pada 2010 tapi bercerai pada Oktober 2021.


Walaupun Brooke tidak dapat hadir pada hari perkahwinan bapanya itu, adiknya Nick hadir bersama pasangannya Tana Lea dan tiga anak Daily juga turut dilihat di majlis tersebut, menurut Daily Mail. - Sumber New York Post.


Hulk Hogan atau nama sebenarnya Terry Bollea berusia 70 tahun berkahwin dengan pasangannya yang merupakan guru yoga pada Jumaat lalu. - Foto Green Pearl Photography.
Rumpai laut coklat ditemui di Australia Selatan mampu lambatkan kesan penuaan

Rumpai laut coklat ditemui di Australia Selatan mampu lambatkan kesan penuaan


Rumpai laut yang hanya ditemui di Australia Selatan dipercayai menyimpan rahsia antipenuaan, menurut kajian baharu yang diterbitkan saintis di Universiti Flinders SA semalam, 25 September 2023.


Kajian itu mendapati, rumpai laut coklat Australia Selatan mempunyai ciri antipenuaan yang kaya dan boleh melindungi daripada kemerosotan kedua-dua kolagen serta elastin pada manusia.


Pengarang bersama kajian dari Kolej Perubatan dan Kesihatan Awam di Flinders University, Wei Zhang, berkata pihaknya mendapati ekstrak daripada rumpai laut coklat Australia Selatan mempunyai potensi besar digunakan untuk membantu melambatkan kesan penuaan pada kulit.


"Kolagen bertindak sebagai blok binaan untuk tulang, gigi, otot, kulit, sendi dan tisu penghubung, manakala elastin memberikan kulit keanjalan dan kekuatannya.


"Kedua-dua protein ini adalah popular dan dipromosikan oleh industri kecantikan sebagai penting untuk penampilan kulit yang sihat.


"Penyelidik menilai sifat antipenuaan ekstrak daripada tiga spesies rumpai laut coklat dan mendapati bahawa ia merangsang pertumbuhan kolagen serta menghalang proses glikasi, yang menyebabkan degenerasi kolagen dan elastin," katanya.


Menurut kajian itu, Australia Selatan mempunyai kepelbagaian rumpai laut tertinggi di dunia dengan sehingga 1,500 spesies yang diketahui, lebih separuh daripadanya adalah endemik di kawasan terbabit.


Institut Rumpai Laut Australia (ASI) meramalkan industri penanaman rumpai laut domestik boleh bernilai 1.5 bilion dolar Australia (AS$963.9 juta) setiap tahun menjelang 2040 dan menggaji 9,000 orang.


Australia Selatan mempunyai potensi besar untuk membangunkan industri rumpai laut bertaraf dunia, dibina di atas kepelbagaian biologi rumpai laut yang terkaya dan kapasiti inovasi bioproduk marin. 


"Rumput laut adalah sumber hebat pelbagai bahan bioaktif dengan potensi aplikasi dalam kesihatan semula jadi dan produk penjagaan kulit.


"Penemuan kami akan membantu mengisi jurang pengetahuan dan membangunkan kemajuan rumpai laut coklat secara mampan dalam produk penjagaan kulit topikal dan tambahan," kata Zhang semalam. - Sumber PHYS.org.


Rumpai laut Australia Selatan dipercayai menyimpan rahsia antipenuaan. - Foto Unsplash/CC0 Public Domain.