Isnin, 25 September 2023

Penangkap ular mati dipatuk tedung ketika bonceng motosikal rakannya

Penangkap ular mati dipatuk tedung ketika bonceng motosikal rakannya


Seorang lelaki di daerah Indore, negeri Madhya Pradesh, India meninggal dunia selepas dipatuk seekor ular tedung ketika membonceng motosikal rakannya, lapor laman berita News9live pada 22 September 2023.


Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian itu, tular di media sosial. Mangsa dikenali sebagai Manish dikatakan bekerja sebagai penangkap ular. 


Manish pada awalnya dilihat meminta rakannya memberhentikan motosikal di tepi jalan selepas dia dipatuk seekor ular tedung.


Selepas rakannya memberhentikan motosikal itu dalam keadaan hairan, Manish dilihat tiba-tiba terjatuh dan sempat berdiri beberapa saat sambil memegang ular tersebut pada tangannya. 


Dia kemudian rebah ke tanah semula dan dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Menurut polis, Manish bersama rakannya diminta untuk menangkap seekor ular tedung di sebuah kandang lembu di Kampung Teli Kheda. 


Selepas menangkapnya, Manish membawa ular itu menaiki motosikal bersama rakannya untuk dilepaskan ke dalam hutan. Bagaimanapun, dia dipatuk ketika dalam perjalanan.


Penduduk tempatan berkata Manish memegang ular itu di kedua-dua belah tangannya ketika membonceng motosikal sebelum tiba-tiba ular itu mematuknya. Dia berkemungkinan dipatuk ular itu dua kali selepas itu dia mati.


Ular tedung dan ular berbisa lain telah ditemui dalam jumlah besar di hutan berhampiran di sekitar Indore. - Sumber News9live.


Manish rebah ke atas tanah selepas berhenti di tepi jalan. - Foto Twitter.

Ahad, 24 September 2023

Beratur selama 15 jam, pelanggan bergaduh gara-gara mahu beli iPhone 15

Beratur selama 15 jam, pelanggan bergaduh gara-gara mahu beli iPhone 15


Kekecohan tercetus di sebuah kedai peranti Apple di New Delhi, India selepas orang ramai menyerbu premis tersebut bagi mendapatkan model baharu iPhone 15, kelmarin.


Laman berita The Times Of India pada 23 September melaporkan, pergaduhan tercetus di kedai Apple di Roop Nagar selepas pelanggan tidak berpuas hati kerana berlakunya kelewatan dalam pembekalan peranti tersebut.


Video tular di media sosial menunjukkan pergaduhan berlaku antara pelanggan dan pekerja premis berkenaan sehingga memaksa polis masuk campur.


Dalam satu video, beberapa orang dilihat membelasah seorang pekerja premis tersebut. Polis Delhi berkata bahawa dua lelaki telah ditahan kerana didakwa memukul pekerja itu.


Selain cawangan di New Delhi, beberapa kejadian serupa turut dilaporkan berlaku di kedai Apple di Mumbai serta di sebuah pusat beli-belah di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu dengan orang ramai berebut-rebut untuk menjadi yang terawal membeli iPhone 15.


Menurut beberapa laporan, ada antara pelanggan yang cedera parah akibat terjatuh dalam kekecohan itu.


Turut dilaporkan, sesetengah pelanggan telah menghabiskan masa lebih 15 jam beratur lama untuk mendapatkan telefon pintar baharu keluaran Apple itu.


Siri iPhone 15 dilancarkan pada 12 September lalu dan tempahan awal mula dibuka kelmarin untuk pasaran Malaysia. - Sumber The Times Of India.


Kekecohan turut tercetus di sebuah pusat beli-belah di Dubai. - Foto Twitter.
Penduduk terkejut lihat aligator heret mayat manusia

Penduduk terkejut lihat aligator heret mayat manusia


Seorang lelaki di Florida terkejut apabila melihat seekor aligator sepanjang 4.3 meter sedang mengheret mayat manusia dengan menggunakan mulutnya, lapor akhbar Metro UK pada 23 September 2023.


Pasukan kecemasan dikejarkan ke bandar Largo berhampiran Tampa di Florida, Amerika Syarikat, sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan), Jumaat lalu.


Orang awam, JaMarcus Bullard berkata, dia sedang memancing ikan di sebuah tasik di kawasan kejiranan itu apabila dia ternampak kelibat reptilia itu mengheret badan manusia.


"Saya nampak macam ada badan manusia di dalam mulut (aligator itu), jadi saya terus memanggil bomba," katanya kepada WTVT.


Katanya, dia bimbang sekiranya mayat itu adalah kanak-kanak berikutan kawasan itu berhampiran dengan sebuah sekolah.


Susulan itu, kawasan terbabit ditutup sementara bagi memberi laluan polis dan bomba menjalankan tugas mereka. Anggota bomba terpaksa bergelut dengan aligator itu untuk mengumpan ia keluar dari air supaya mayat dapat dikeluarkan.


Seorang penduduk yang tinggal berhampiran, Jennifer Dean berkata, orang ramai keluar dari rumah mereka apabila mereka mendengar bunyi tembakan.


Sementara itu, Pejabat Syerif Daerah Pinellas mengesahkan, haiwan itu dibunuh secara terhormat.


"Mayat itu adalah jasad individu dewasa dan bedah siasat akan dijalankan dalam masa terdekat untuk mengenal pasti identitinya," kata polis. - Sumber Metro UK.


Pihak berkuasa menangkap aligator yang menarik mayat manusia yang identitinya masih tidak dikenal pasti. - Foto Spectrum News.
Empat maut kerana tersedut udara keranda

Empat maut kerana tersedut udara keranda


Sekurang-kurangnya empat maut di Jepun akibat kes terhidu karbon dioksida daripada ais kering yang digunakan untuk memelihara mayat di dalam keranda, lapor The Straits Times pada 23 September 2023.


Kejadian itu mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran pada Khamis supaya orang ramai jangan berada terlalu dekat dan terlalu lama dengan keranda yang terbuka.


Mangsa yang mati dalam kes itu berumur antara 40 dan 70 tahun dikatakan berdiri terlalu dekat dan terlalu lama di sebelah keranda dengan mayat saudara mereka, lapor Yomiuri Shimbun.


Rekod menunjukkan bahawa kematian seperti itu berlaku di dalam rumah di Aomori pada 2018 dan di Okinawa pada 2020, serta kemudahan pengebumian di Miyagi dan Miyazaki pada 2021.


The Mainichi Shimbun, memetik Agensi Hal Ehwal Pengguna Jepun (CAA), berkata dalam setiap kes, mangsa ditemukan berhampiran keranda yang terbuka.


CAA menasihatkan mereka yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada si mati supaya tidak meletakkan muka mereka dekat keranda untuk jangka masa yang lama dan memastikan bilik mempunyai pengudaraan baik.


Badan pemerhati pengguna Jepun dan All Japan Funeral Directors Co-operation (Zensoren) berpangkalan di Tokyo, pada Khamis lalu, meminta supaya dilaksanakan sistem pengudaraan yang lebih baik semasa majlis pengebumian.


Zensoren berkata, jumlah ais kering yang digunakan untuk mengawet mayat manusia perlu diselaraskan berdasarkan saiz badan dan tempoh pemeliharaan.


Ia meminta ahlinya untuk memeriksa sebarang kematian yang berkaitan dengan ais kering dan menasihati mereka dalam perkhidmatan pengebumian supaya maklum mengenai risikonya.


Ais kering ialah bentuk pepejal karbon dioksida, atau CO2. Dalam keadaan biasa, CO2 ialah gas tidak berwarna dan tidak berbau yang membentuk kira-kira 0.03 peratus daripada udara.


Kepekatan melebihi tiga hingga empat peratus boleh menyebabkan gejala seperti sakit kepala dan pening.


Pada tahap 10 peratus, ia boleh menjejaskan penglihatan, menyebabkan tinitus (bunyi di dalam telinga seperti bunyi berdering, berdengung dan berkerik) dan boleh membawa maut dalam masa seminit.


Menurut kajian oleh CAA dan agensi lain, kepekatan CO2 dalam keranda tertutup boleh mencapai setinggi 90 peratus.


Apabila penutup keranda ditanggalkan, kepekatan mungkin kekal tinggi iaitu kira-kira 30 peratus selama 50 minit.


Profesor Taro Mizutani, yang mengajar di Universiti Tsukuba dan kini pengarah urusan Pusat Perubatan Barat Ibaraki menjelaskan, memandangkan karbon dioksida lebih tumpat daripada udara, ia boleh mendap.


"Walaupun dengan penutup keranda terbuka, dalam ruang terkurung seperti di dalam keranda, terdapat risiko karbon dioksida terkumpul.


Berdekatan dengan keranda, terutamanya jika banyak ais kering digunakan, boleh mendedahkan anda kepada ancaman keracunan karbon dioksida," katanya kepada Yomiuri Shimbun. - Sumber The Straits Times.


Dalam keadaan biasa, CO2 ialah gas tidak berwarna dan tidak berbau yang membentuk kira-kira 0.03 peratus daripada udara. - Foto UNSPLASH.
Polis tangkap anak patung 'Chucky' kerana ugut orang ramai menggunakan pisau sebenar

Polis tangkap anak patung 'Chucky' kerana ugut orang ramai menggunakan pisau sebenar


Polis Mexico mengendalikan kes pelik membabitkan seorang lelaki di Monclova, sebuah bandar di negeri Coahuila pada 11 September lalu yang memeras ugut orang awam dengan menggunakan anak patung, lapor New York Post pada 23 September 2023.


Media tempatan melaporkan, suspek, Carlos N didakwa menggunakan anak patung yang dianggap sebagai "anak patung syaitan" oleh pihak berkuasa di sana, untuk menakutkan orang ramai, sebelum menuntut wang daripada mereka.


Susulan itu, polis menahan lelaki itu bersama anak patung 'Chucky' itu. Polis kemudian menempatkan lelaki itu dan anak patung itu di penjara di sebuah bandar di negeri Coahuila di utara Mexico, awal minggu ini.


Lelaki itu didakwa kerana mengganggu keamanan dan membahayakan integriti orang lain. Carlos dikatakan berada di bawah pengaruh bahan terlarang, Juan Raúl Alcocer, bekas pengarah Polis Monclova, memberitahu outlet itu.


"Dia meletakkan anak patung itu di muka mereka dan menakutkan orang ramai, ia adalah satu kesalahan, atas sebab ini dia ditangkap," kata Juan Raúl Alcocer.


Namun, polis terpaksa memegang dan membongkokkan anak patung itu ketika mahu merakam gambarnya. Anak patung Chucky terkenal dalam filem seram "Child’s Play" pada 1988.


Seorang pegawai di jabatan polis di Monclova, di negeri Coahuila, dilihat ketawa sambil mengangkat pisau panjang yang diambil daripada Chucky.


Media Mexico melaporkan pegawai yang mengendalikan Chucky itu kemudiannya ditegur kerana tidak mengambil serius tugasnya.


Carlos N kemudiannya dibebaskan, namun status dan keberadaan anak patung itu tidak diketahui. - Sumber New York Post.


Polis merakam gambar anak patung Chucky itu. - Foto NRT Mexico/ Reuters.

Jumaat, 22 September 2023

Curi wang penumpang, pegawai pemeriksa telan duit elak ditahan

Curi wang penumpang, pegawai pemeriksa telan duit elak ditahan


Seorang pegawai pemeriksa di lapangan terbang antarabangsa Ninoy Aquino di Manila, Filipina nekad menelan wang tunai bernilai AS$300 (kira-kira RM1,406) yang dicuri daripada seorang penumpang.


Pegawai wanita itu bertindak demikian bagi mengelakkannya daripada ditangkap selepas mencuri daripada dompet seorang penumpang ketika pemeriksaan imbasan badan.


Bagaimanapun, tindakannya dirakam kamera keselamatan (CCTV) lapangan terbang sebelum video berkenaan tular di media sosial.


Laman berita Thaiger melaporkan wang berkenaan adalah dari dompet seorang penumpang warga China dikenali sebagai Cai yang menyerahkan beg sandangnya sebelum menjalani imbasan badan.


Cai memberitahu media tempatan bahawa kecurian berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 8 September ketika dia sedang menjalani pemeriksaan bagasi. Dia perasan seorang pegawai keselamatan wanita memeriksa bagasinya bertindak mencurigakan.


Menurut Cai, pegawai itu memegang sesuatu dengan kuat di tangan kirinya sebelum memasukkannya ke dalam poket seluarnya. Cai kemudian segera memeriksa beg sandangnya dan mendapati tiga keping wang AS$100 telah hilang.


Cai berkata dia bergegas ke ketua pasukan keselamatan dan memberitahunya bahawa pegawai itu mungkin telah mencuri wangnya. Pegawai tertuduh menegaskan bahawa dia tidak melakukan kecurian itu dan tiada bukti boleh mengaitkannya dengan jenayah itu.


Cai memutuskan untuk 'melepaskan' wang itu dan meneruskan perjalanannya. Selepas Cai pergi, pihak berkuasa lapangan terbang menghubunginya berhubung kecurian itu.


Lapangan terbang memberitahunya bahawa rakaman CCTV jelas menunjukkan bahawa pegawai itu telah mencuri wangnya tetapi memusnahkan bukti dengan menelan wang kertas itu.


Pegawai itu kelihatan sangat gementar apabila Cai menyedari kehilangannya. Rakan sekerjanya menghulurkan sebotol air kepadanya. Kemudian, wanita itu berjalan keluar dari kawasan pemeriksaan bagasi, berpatah balik ke kaunter dan memasukkan wang itu ke dalam mulutnya.


Pegawai itu dikenali Irency Morados, lapor agensi berita Filipina yang dikendalikan kerajaan. Dia dilihat sedang minum dari botol air yang diberikan oleh pengendali imbasan badan Regino Allen.


Malah, penyelianya, Abraham de Luna juga kelihatan bercakap dengannya ketika dia kelihatan tersedak akibat menelan wang sambil menutup mulutnya dengan sapu tangan.


Menurut lapangan terbang itu, satu jawatankuasa akan dibentuk untuk menyiasat sama ada wanita itu melakukan jenayah itu secara bersendirian atau bersama rakan sekerja yang lain.


Setiausaha Pengangkutan Filipina Jaime Bautista meminta maaf kepada penumpang warga China itu dan memberi jaminan bahawa pegawai lapangan terbang itu dan orang lain yang terlibat akan berdepan hukuman maksimum. - Sumber The Thaiger.


Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan seorang wanita yang juga pegawai lapangan terbang antarabangsa Manila yang mencuri wang penumpang sebelum menelannya untuk mengelak dari ditangkap. - Foto CNN Filipina.
Lelaki buat perkara tak senonoh dicekup polis, onani atas motor di tempat awam

Lelaki buat perkara tak senonoh dicekup polis, onani atas motor di tempat awam


Seorang lelaki yang melakukan perbuatan tidak senonoh dengan beronani di atas motosikal di Taman Delima, Kluang sudah dicekup polis kira-kira 1.30 tengahari semalam.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pada pukul 1 pagi, 20 September lalu itu dikesan tular melalui Facebook menerusi video berdurasi 34 saat kelmarin.


Hasil siasatan mendapati lelaki tempatan berusia 21 tahun itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain saringan air kencingnya bebas pengaruh dadah.


"Polis melakukan Ops Cantas iaitu menangkap suspek yang melakukan perbuatan tidak senonoh itu di tempat awam selepas mengesan satu video tular.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.


"Siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti tujuan lelaki itu melakukan perbuatan tidak senonoh tersebut di tempat terbuka," katanya hari ini.


Menurut Bahrin lagi, perintah tahanan reman ke atas pemuda itu dibuat hari ini.


Tangkap layar video seorang lelaki melakukan onani di atas motosikal di Taman Delima, Kluang yang tular sejak kelmarin. - Foto Kosmo! Online.

Ketam masak cili, pelancong Jepun terkejut bil lebih RM3K, wanita itu panggil polis

Ketam masak cili, pelancong Jepun terkejut bil lebih RM3K, wanita itu panggil polis


Terkedu melihat jumlah bil hidangan ketam dimakan di sebuah restoran di Singapura yang mencecah AS$680 (kira-kira RM3,186), pelancong Jepun memanggil polis untuk campur tangan, lapor New York Post pada 19 September 2023.


Wanita itu, Junko Shinba memberitahu pegawai polis, dia dan rakannya tidak dimaklumkan dengan betul mengenai harga sebenar hidangan makanan itu.


Sementara itu, lapor AsiaOne, Shinba memesan hidangan ketam cili terkenal di restoran Seafood Paradise, pada 19 Ogos lalu, selepas disyorkan pelayan premis itu.


Katanya, pelayan itu hanya menunjukkan hidangan ketam berharga AS$20 (RM94) tanpa menjelaskan harga itu sebenarnya untuk 100 gram (g).


"Kami tidak dimaklumkan berapa jumlah berat ketam itu sebelum dimasak," katanya.


Wanita berusia 50 tahun itu berkata, mereka diberikan kira-kira 3,500 g hidangan ketam itu dengan harga mencecah AS$680 (kira-kira RM3,186).


"Kami semua buntu apabila mengetahui makan malam untuk empat orang dewasa menelan belanja sebanyak itu," katanya, dia kemudian meminta pihak Seafood Paradise menghubungi polis.


Menurutnya, kakitangan restoran itu menegaskan tidak mengenakan bayaran berlebihan, malah turut menunjukkan resit daripada pelanggan lain yang memesan hidangan sama.


"Saya turut menghubungi Lembaga Pelancongan Singapura sebelum kes ini dirujuk kepada Persatuan Pengguna Singapura," katanya.


Sementara itu, jurucakap Paradise Group berkata, pihaknya bersetuju untuk memberi diskaun kira-kira AS$78 (RM365) kepada pengadu kerana tidak mahu memanjangkan isu.


Mereka turut menafikan dakwaan wanita itu kononnya tidak dimaklumkan harga sebenar untuk hidangan terbabit. - Sumber New York Post.


Pelancong Jepun menghubungi polis selepas dia terkejut bil cecah AS$680 untuk daging ketam yang dia fikir hanya AS$20. - Foto Junko Shinba.

Rabu, 20 September 2023

Wanita maut selepas jalani pembedahan pembesaran payudara

Wanita maut selepas jalani pembedahan pembesaran payudara


Presiden Persatuan Pakar Perubatan Forensik Thailand memberi amaran mengenai prosedur pembesaran payudara secara haram selepas seorang lagi wanita dilaporkan meninggal dunia baru-baru ini akibat menjalani pembedahan itu.


Doktor Smith Fa Srisont, melalui Facebooknya semalam, 18 September, berkongsi kisah seorang wanita Thailand yang menjalani pembedahan membesarkan payudara dengan doktor palsu dan mengalami akibat yang tragis.


Smith mendedahkan bahawa dia cukup pasti bahawa pembedahan itu dilakukan secara haram kerana nama doktor itu tiada dalam sistem Majlis Perubatan Thailand.


Doktor itu memberitahu mangsa bahawa dia boleh menyuntik kolagen untuk membesarkan saiz payudaranya, namun mangsa sebenarnya menerima suntikan silikon.


Selepas menerima suntikan, mangsa mengalami keletihan dan terpaksa dimasukkan ke hospital. Kesihatan wanita itu semakin merosot dan dia akhirnya meninggal dunia.


Laporan bedah siasat mendapati bahawa wanita itu meninggal dunia kerana silikon telah memasuki saluran darahnya yang menyebabkan saluran jantung dan otaknya tersumbat.


Menurut Smith, tindakan menyuntik silikon terus ke dalam payudara wanita adalah salah kerana doktor sepatutnya memasukkan beg silikon ke dalam payudara.


Kisah itu mendapat perhatian orang ramai dengan sebilangan pengguna mendedahkan bahawa ramai lagi wanita yang menjadi mangsa doktor tersebut.


Menurut Smith, saudara-mara mangsa mahu mendakwa doktor haram itu, tetapi identiti orang itu tidak jelas. Selain itu, mereka tidak mampu membayar peguam untuk menyiasat kes tersebut dengan lebih lanjut.


Seorang pakar bedah plastik juga mengulas mengenai siaran itu, mengatakan bahawa sukar untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang isu itu. Orang ramai hanya takut sebulan dua selepas satu kes besar dibawa ke perhatian umum dan kemudian semuanya dilupakan dan perkara yang sama berulang.


Pakar bedah itu menambah bahawa penipu ini juga mempunyai kemahiran yang sangat persuasif dalam meyakinkan orang ramai. - Sumber The Thaiger.


Tindakan menyuntik silikon ke dalam payudara wanita adalah berbahaya. - Foto philippe spitalier via Unsplash.

Selasa, 19 September 2023

Wanita seludup berpuluh ular, lipan gergasi dimasukkan dalam coli

Wanita seludup berpuluh ular, lipan gergasi dimasukkan dalam coli


Pemilik kedai haiwan peliharaan di China, baru-baru ini, ditangkap selepas cuba menyeludup berpuluh haiwan eksotik dengan menyembunyikannya di dalam pakaian dalamnya, lapor Mirror UK pada 17 September 2023.


Chen, 32, ditemukan bersama 15 ular, empat lipan gergasi dan seekor cicak, ketika dia dalam perjalanan dari Hong Kong ke tanah besar China, di mana dia berniat untuk menjualnya.


Chen didakwa memasukkan reptilia yang sebahagiannya adalah haiwan beracun itu ke dalam coli dan poket pada pakaian, dengan harapan dapat membawa hidupan itu ke premisnya di China.


Bagaimanapun, dia ditahan oleh pegawai kastam selepas melihat wanita itu gementar dan memakai pakaian yang saiznya kelihatan lebih besar.


Hasil pemeriksaan badan mendapati Chen menyembunyikan sembilan ular, enam ular hognose, empat lipan gergasi Peru, dan cicak genus Anolis, yang semuanya adalah haiwan eksotik.


Menurut Jabatan Kastam, haiwan berkenaan dirampas dan kemudian diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.


Chen mengaku merancang untuk menjual haiwan itu sebaik tiba di Foshan, China dan mengakui berjaya melakukan perkara sama pada masa lalu.


Tambahnya, memandangkan haiwan itu sukar ditemui di pasaran China, dia dapat menjualnya pada harga tinggi kepada pelanggan yang ingin menempatkannya sebagai haiwan peliharaan atau menggunakannya untuk tujuan perubatan tradisional.


Salah satu ular dirampas daripada Chen adalah ular Lampropeltis, yang mempunyai racun sangat toksik dan boleh membunuh manusia.


Lipan Peru, Scolopendra gigantea, pula boleh membesar sehingga 11 inci panjang dan mempunyai racun yang juga boleh membawa maut.


Mengikut undang-undang China, haiwan yang dibawa masuk ke dalam dan ke luar negara mesti dikuarantin dan diperiksa oleh pihak berkuasa terlebih dahulu untuk mencegah spesies asing invasif serta melindungi keselamatan ekologi.


Sementara itu, Jabatan Kastam tidak menyatakan apakah implikasi undang-undang yang akan dihadapi Chen. - Sumber Mirror UK.


Antara haiwan eksotik yang dirampas daripada wanita itu. - Foto AsiaWire.