Isnin, 18 September 2023

Juruterbang maut, kapal terbang buatan sendiri terhempas

Juruterbang maut, kapal terbang buatan sendiri terhempas


Peminat kapal terbang yang gemar menerbangkan pesawat buatan sendiri, ditemukan meninggal dunia di hutan Michigan, Amerika Syarikat, baru-baru ini, lapor Metro UK pada 15 September 2023.


Richard Martin, 83, dari Dowagiac, Michigan, terbunuh selepas pesawat buatan sendiri itu terhempas. Bangkai pesawat Martin ditemukan, pada 3.52 petang 14 September lalu.


Bangkai pesawat itu dikesan di kawasan hutan oleh helikopter Polis Negeri Michigan, kira-kira 3.2 kilometer di utara lapangan terbang.


Pasukan pertama yang bergegas ke lokasi nahas mengesahkan pesawat itu adalah milik Martin dan hasil pemeriksaan, Martin ditemukan meninggal dunia di lokasi.


Martin sebelum itu dilaporkan terbang menaiki pesawat buatannya itu kira-kira 11 pagi pada Ahad, 10 September lalu.


Menurut pengurus di Lapangan Terbang Perbandaran Dowagiac, Martin kerap menerbangkan pesawatnya selama kira-kira sejam hingga dua jam, pada pagi Ahad.


"Dia membina sendiri pesawat itu, ia dibina dengan sangat baik, diselenggara dengan sangat baik. Dia seorang yang sangat teliti," kata seorang pengurus lapangan terbang memberitahu WSBT. 


Bagaimanapun, pada hari kejadian, lelaki itu tidak pulang menyebabkan pihak lapangan terbang menghubungi polis untuk membantu mencari Martin.


Dalam pada itu, Metro UK melaporkan pesawat dipandu Martin itu adalah daripada Sonex, syarikat yang menjual kit untuk penggemar penerbangan membina pesawat mereka sendiri.


Rekod Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menunjukkan bahawa Martin mula membina Sonex pada 2005. Pesawat itu kemudian diperakui oleh FAA pada 2018 dan perakuan itu akan tamat pada 2028.


Bagaimanapun, tiada sistem penentududukan sejagat (GPS) pada pesawat itu, selain daripada iPad yang dibawa Martin ketika penerbangan itu.


Ketika ini, penyiasat meneruskan siasatan bagi mengetahui punca nahas. - Sumber Metro UK.


Richard Martin, 83, kali terakhir dilihat meninggalkan Lapangan Terbang Perbandaran Dowagiac pada Ahad, 10 September dengan menaiki pesawat Sonexnya (gambar). Pesawat itu mempunyai nombor ekor N569SX. - Foto CBS News.
Saintis dedah tarikh tepat Asteroid menyamai letupan 22 bom atom terhempas ke Bumi

Saintis dedah tarikh tepat Asteroid menyamai letupan 22 bom atom terhempas ke Bumi


Saintis-saintis mendedahkan tarikh tepat sebuah asteroid yang diramalkan terhempas ke Bumi dan mempunyai kekuatan menyamai letupan 22 bom atom, lapor akhbar Daily Star pada 17 September 2023.


Batu angkasa dinamakan Bennu itu melintasi Bumi setiap enam tahun, namun saintis-saintis meramalkan Bumi berada di garisan selari untuk berlanggar dengan asteroid itu pada 24 September 2182.


Walaupun tarikh tersebut masih jauh, NASA sudah bekerja keras untuk mengalihkan Bennu daripada laluannya dan ia kini berada di peringkat akhir misi tersebut.


Sampel dari Bennu dijangka tiba di Bumi minggu ini, dan mendarat di kawasan gurun di Utah pada 24 September ini.


Ia dilancarkan ke arah Bumi daripada kapal angkasa OSIRIS-REx dalam sebuah kapsul bersaiz peti sejuk. Kapsul itu membawa kira-kira 250 gram bahan sampel batuan yang diambil dari permukaan Bennu pada 2020.


Asteroid itu adalah kira-kira satu pertiga batu lebar, manakala asteroid yang menyebabkan dinosaur pupus adalah kira-kira enam batu lebar, kira-kira 20 kali lebar Bennu.


Ini bermakna asteroid Bennu tidak cukup besar untuk menyebabkan kepupusan di seluruh dunia, tetapi NASA mengira jika terhempas ke Bumi, ia akan mencipta kawah berukuran kira-kira 9.6 kilometer dan menyebabkan kemusnahan kira-kira 965 kilometer di semua arah.


Nicola Fox, pentadbir bersekutu Direktorat Misi Sains NASA di Washington, berkata: "Bahan murni daripada asteroid Bennu akan membantu memberi penerangan tentang pembentukan sistem suria kita 4.5 bilion tahun lalu dan mungkin juga tentang bagaimana kehidupan di Bumi bermula." - Sumber Daily Star.


BACA: NASA Lancar Kapal Angkasa Untuk Musnahkan Asteroid.


Asteroid Bennu diramal terhempas ke Bumi pada 24 September 2182. - Foto Getty Images.
14 maut pesawat terhempas ketika cuba mendarat semasa cuaca buruk

14 maut pesawat terhempas ketika cuba mendarat semasa cuaca buruk


Sebuah pesawat terhempas di Brazil yang mengorbankan kesemua 14 penumpang termasuk kru, ketika cuba mendarat semasa cuaca ribut, lapor akhbar The Sun UK pada 17 September 2023.


Pesawat EMB-110 itu dalam penerbangan dari bandar Manaus ke wilayah Barcelos di negeri Amazonas apabila tragedi tersebut berlaku. Kumpulan itu terdiri daripada kebanyakan lelaki yang merancang untuk memancing di rantau ini.


Gabenor negeri berkenaan, Wilson Lima menulis di platform Twitter berkata kumpulan itu sering pergi memancing di Rio Negro.


"Para penumpang sudah bersedia untuk bertemu kawan dari bahagian lain di Brazil yang juga datang memancing disana.


"Saya amat berdukacita atas kematian 12 penumpang dan dua kru yang menjadi mangsa nahas pesawat di Barcelos pada Sabtu. Pasukan kami telah berusaha untuk memberikan sokongan yang diperlukan," katanya.


Mayat kesemua mangsa telah ditemui dan dibawa ke sebuah sekolah terdekat. Sebuah pesawat Tentera Udara Brazil kemudian tiba dan membawa semua mayat kepada keluarga terlibat.



Agensi berita AFP melaporkan, pesawat tersebut ketika kejadian sedang terbang menghampiri sebuah pekan kecil dalam cuaca hujan lebat dengan jarak penglihatan yang terhad.


Ia gagal mendarat dengan sempurna, menyebabkan kesemua 12 penumpang dan dua kru terbunuh, kata Setiausaha Keselamatan negeri Amazonas, Vinicius Almeida dalam satu sidang akhbar.


Pesawat itu ialah Embraer EMB-110P1 Bandeirante, sebuah pesawat yang lebih kecil yang sering digunakan dalam penerbangan jarak dekat.


Ini adalah nahas maut kedua bagi model pesawat itu - yang terakhir pada 2009 mengorbankan 24 orang. - Sumber The Sun UK.


Anggota kecemasan memberi bantuan selepas sebuah pesawat terhempas di Barcelos semalam. - Foto Reuters.
Kena tarik lepas 3 tahun tak bayar, rider rosakkan motosikal

Kena tarik lepas 3 tahun tak bayar, rider rosakkan motosikal


Aksi agresif penunggang P-Hailing merosakkan motosikal miliknya di kawasan pusat beli belah di Puchong dipercayai berpunca tidak puas hati kenderaan itu hendak ditarik kerana tertunggak hampir tiga tahun.


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, insiden itu berlaku pada 11 September lalu, kira-kira pukul 3.10 petang.


Menurutnya, lelaki itu tendang motosikalnya sendiri sebelum serah kepada ejen tarik kenderaan.


"Pemilik motosikal (penunggang p-hailing) tidak berpuas hati kerana motosikalnya akan ditarik disebabkan mempunyai tunggakan selama 34 bulan.


"Pemuda itu menendang motosikalnya sendiri sebelum diserahkan kepada ejen (yang menarik kenderaan)," katanya dalam satu kenyataan.


Jelas beliau, laporan untuk menarik motosikal tersebut telah dibuat oleh pihak ejen pada hari sama di Balai Polis Brickfield, Kuala Lumpur.


"Setakat ini, tiada kertas siasatan dibuka berhubung insiden tersebut," tambahnya.


Satu rakaman video berdurasi lapan saat tular di media sosial yang memaparkan seorang rider menendang motosikal Yamaha Y15ZR berwarna hijau miliknya.


Lelaki terbabit yang memakai baju T sebuah syarikat p-hailing dan bertopi keledar menendang berulang kali motosikal tersebut yang sudah terjatuh.


Tindakan itu menyebabkan beberapa bahagian motosikal tersebut mengalami kerosakan. - Sumber Kosmo.


Tangkap layar rider merosakkan motosikal miliknya di kawasan pusat beli belah di Puchong dipercayai berpunca tidak puas hati kenderaan itu hendak ditarik kerana tertunggak hampir tiga tahun.

Sabtu, 16 September 2023

Lelaki sembelit selama 10 hari meninggal dunia ketika buang air besar

Lelaki sembelit selama 10 hari meninggal dunia ketika buang air besar


Seorang lelaki berusia 65 tahun di Britain meninggal dunia akibat sakit jantung ketika membuang air besar selepas mengalami sembelit selama lebih seminggu, lapor akhbar The Sun pada 14 September 2023.


Pakar yang merawat pesakit itu, Dr. Rawdy Reales Rois berkata, dia pada awalnya tiba di unit kecemasan dalam keadaan mengalami sakit dada, loya dan perlu pergi ke tandas.


Akan tetapi, lelaki itu dikatakan sudah tidak dapat membuang air besar selama tujuh hingga 10 hari. Keputusan ujian elektrokardiogram pesakit itu normal, namun degupan jantungnya semakin laju dan dia mengeluarkan peluh yang banyak.


Memandangkan dia mempunyai sejarah masalah jantung, pakar tidak menggalakkan untuk memberinya enema rektum seperti yang diminta. Dalam kes yang jarang berlaku, tindakan itu boleh mencetuskan kesan sampingan yang mengancam buah pinggang dan jantung pesakit.


Rois sebaliknya menggalakkan lelaki itu mengambil ubat untuk melegakan sembelit, tetapi ia tidak memberi kesan yang diingini. Dia kemudian meninggalkan pesakit itu dan merancang untuk kembali memeriksanya selepas beberapa jam.


Bagaimanapun, pesakit itu mendesak doktor lain untuk melakukan prosedur enema rektum. Selepas prosedur itu, pesakit berkenaan mengalami serangan jantung akibat membuang najis dengan begitu pantas sehingga merangsang saraf vagus dan menyebabkan tekanan darahnya menurun secara tiba-tiba. Dia akhirnya disahkan meninggal dunia 30 minit kemudian.


Dr Philippa Kaye, seorang GP NHS yang tidak berkaitan dengan kes itu, berkata bahawa sembelit yang teruk dan ketegangan berulang boleh menyebabkan masalah seperti prolaps rektum - apabila rektum tergelincir ke dalam dubur.


"Ini boleh mengakibatkan halangan usus, yang mengancam nyawa dan dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular dan strok," katanya.


Menurut National Institutes of Health, mengosongkan usus merangsang saraf vagus, jadi secara teknikal boleh menurunkan tekanan darah pesakit.


Penurunan mendadak berpotensi berbahaya kerana jantung, otak atau organ lain tidak mendapat aliran darah yang mencukupi. Ia meletakkan pesakit pada peningkatan risiko serangan jantung dan strok. - Sumber The Sun.


Dr. Rawdy Reales Rois, merupakan lulusan dari Cooperative University of Colombia 10 tahun lalu telah merawat pesakit tersebut. - Foto Jam Press.
Lelaki kahwini 7 wanita serentak, ingin tambah isteri lagi untuk mencapai sasaran 100 anak

Lelaki kahwini 7 wanita serentak, ingin tambah isteri lagi untuk mencapai sasaran 100 anak


Seorang lelaki di Uganda mengahwini tujuh wanita pada hari yang sama dengan dua daripada isterinya ialah adik-beradik, lapor akhbar The Sun pada 14 September 2023.


Habib Nsikonnene, 43, yang merupakan seorang pengamal perubatan tradisional popular, mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran di Uganda Ahad lalu.


Habib bagaimanapun mengaku bahawa dia bercadang untuk mempunyai lebih ramai isteri supaya boleh mencapai sasaran mempunyai 100 orang anak.


"Dalam keluarga saya, bilangan kami sangat sedikit, jadi saya mahu mempunyai ramai anak supaya dapat membina keluarga yang besar," katanya kepada laman berita Daily Monitor.


Sebagai persiapan sebelum perkahwinan, Habib menghadiahkan setiap isterinya kereta baharu dan memberi pelbagai hadiah kepada ibu bapa mereka.



Ini bukan perkahwinan pertama Habib kerana dia sudah mempunyai seorang isteri bernama Musanyusa yang dikahwininya selama tujuh tahun.


Habib mengahwini setiap pengantin perempuan secara berasingan dalam upacara di rumah mereka sebelum masing-masing diiringi ke majlis resepsi di rumahnya.


Pengantin perempuan tiba ke majlis itu dengan menaiki kenderaan mereka sendiri sambil diiringi armada 40 limusin dan 30 motosikal.


Selepas majlis itu, Habib dan isterinya dibawa berarak oleh sekumpulan penunggang basikal dan motosikal melalui pekan-pekan tempatan sebelum pulang ke rumah.


Menurut bapa Habib, mempunyai ramai isteri di Uganda adalah perkara biasa dan dalam keluarganya juga.


"Datuk saya mempunyai enam orang isteri yang dipisahkan dengan tirai dalam satu rumah, dan arwah bapa saya sendiri mempunyai lima isteri dan saya sendiri mempunyai empat isteri yang tinggal dalam satu rumah," katanya. - Sumber The Sun UK.


Habib Nsikonnene berpegangan tangan dengan salah seorang isterinya pada hari perkahwinannya. - Foto CEN.

Jumaat, 15 September 2023

Seorang wanita maut dan 12 lagi kritikal lepas makan ikan sardin

Seorang wanita maut dan 12 lagi kritikal lepas makan ikan sardin


Wanita meninggal dunia selepas makan hidangan ikan sardin di restoran di Bordeaux, bersama 12 orang lain yang kebanyakannya adalah warga asing, kata pegawai kesihatan Perancis pada Rabu.


NDTV pada 13 September melaporkan, mangsa lain masih dirawat untuk Botulisme sejenis penyakit saraf serius yang biasanya disebabkan oleh makan makanan yang tidak diawet dengan sempurna.


Restoran di pusat bandar itu mengawet ikan sardin itu sendiri, kata Direktorat Kesihatan Perancis (DGS) pada Selasa.


Di hospital Pellegrin, Bordeaux, Dr Benjamin Clouzeau berkata, wanita itu mendaftar masuk ke hospital berhampiran Paris selepas pulang dari restoran itu bersama pasangannya.


Mangsa meninggal dunia sejurus pulang ke rumah. Pasangannya pula masih di rawat dalam unit rawatan rapi.


Seramai 12 orang masih menerima rawatan kecemasan pada Rabu, kata perkhidmatan kesihatan.


Lima daripada mereka terpaksa diberikan bantuan sokongan pernafasan. Mangsa terdiri daripada warga Amerika Syarikat, Ireland, Jerman dan Kanada.


Seorang warga Jerman sudah pulang ke negaranya untuk mendapat rawatan, begitu juga seorang penduduk Barcelona, Sepanyol, kata doktor itu.


Mereka makan di restoran Tchin Tchin Wine Bar antara 4 dan 10 September yang terkenal dengan wain dan makanan dalam kalangan pelancong di bandar barat daya Perancis.


Mereka memesan ikan sardin yang diawet sendiri oleh pemilik restoran itu yang disimpan dalam balang, dan pihak berkuasa masih menjalankan ujian di restoran itu, kata DGS.


Botulisme adalah penyakit serius yang mengakibatkan kelumpuhan (ketidakupayaan untuk menggunakan otot). Sekiranya penyakit ini tidak dirawat, pengidap botulisme akan mati.


Akhbar tempatan Sud-Ouest memetik kenyataan pemilik restoran berkata bahawa dia (pemilik) telah membuang beberapa balang yang mengandungi ikan sardin kerana "bau kuat" yang terpancar dari bekas ketika dia membukanya.


Tetapi yang lain masih dalam keadaan baik dan dihidangkan kepada pelanggan, kata Sud-Ouest memetik pengakuan pemilik restoran tersebut. - Sumber NDTV.


Seorang wanita meninggal dunia di Perancis akibat botulisme selepas makan ikan sardin di sebuah restoran minggu lalu dan 12 orang lain masih dirawat untuk penyakit yang jarang berlaku itu. - Foto NDTV.

Rabu, 13 September 2023

Pesawat tempur X-wing Star Wars dilelong, bidaan bermula RM1.87 juta

Pesawat tempur X-wing Star Wars dilelong, bidaan bermula RM1.87 juta


Model pesawat tempur X-wing dalam Star Wars asal versi 1977 yang sudah lama hilang kini muncul semula dan sedang dilelong, dibuka dalam bidaan bermula pada harga AS$400,000 (kira-kira RM1.87 juta), lapor The Guardian News pada 11 September 2023.


Heritage Auctions berkata model itu sudah lama dikenali sebagai 'X-wing yang hilang'. Kemudian ia ditemui dalam koleksi milik Greg Jein, yang meninggal dunia pada Mei tahun lalu, pada usia 76 tahun.


Karier Jein dalam pembuatan miniatur menyaksikan dia mendapat pencalonan anugerah untuk kerjanya dalam projek termasuk Star Trek and Close Encounters of the Third Kind.


X-wing adalah miniatur bersaiz kira-kira 20 inci salah satu daripada empat yang dicipta untuk penggambaran jarak dekat dalam momen penting semasa pertempuran aksi ketiga yang terkenal dalam Star Wars Episod IV: A New Hope.


Ia direka dengan jalur merah pada dua sayap teratasnya, pengenalan ia sebagai skuadron Rebel Alliance Red Leader.


Model itu juga terbabit semasa beberapa tangkapan untuk Red Five, pesawat yang dipandu oleh Luke Skywalker, dan Red Two, dipandu oleh Wedge Antilles.


Heritage Auctions berkata X-wing mewakili kemuncak artifak Star Wars yang pernah sampai ke pasaran.


Model itu dianggap hilang oleh pasukan Industrial Light & Magic selama beberapa dekad sebelum ia dikenal pasti oleh pakar kesan visual yang membantu keluarga Jein menyusun koleksi artifak sinematiknya yang banyak.


Model itu akan dilelong pada 14 Oktober hingga 15 Oktober depan di Dallas, negeri Texas dengan harga bidaan permulaan $400,000 (kira-kira RM1.87 juta). - Sumber The Guardian.


Model pesawat tempur X-wing yang digunakan dalam Start Wars akan dilelong dengan harga bidaan bermula AS400,000 (kira-kira 1.87 juta). - Foto The Guardian.
Tergamak curi banyak mayat untuk dijual dalam talian

Tergamak curi banyak mayat untuk dijual dalam talian


Seorang lelaki berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun selepas mengaku bersalah menjual mayat manusia secara dalam talian, termasuk dua bayi yang mati ketika lahir, lapor Mirror UK pada 11 September 2023.


Jeremy Pauley, 41, dari Pennsylvania, menjual mayat yang dicuri dari Sekolah Perubatan Harvard, Amerika Syarikat.


Dia juga didakwa mencuri mayat dari kemudahan perubatan lain untuk dijual, sebahagian daripada rangkaian pemerdagangan bahagian tubuh manusia di seluruh negara.


Pauley didakwa melakukan demikian bermula dari 2018 hingga 2022 dan dia adalah seorang daripada tujuh orang yang didakwa dalam kes itu pada Jun.


Pada Khamis, dia mengaku bersalah atas konspirasi dan mengangkut harta curi merentasi sempadan negeri. Dia juga mengakui membeli mayat manusia daripada berbilang penjual dengan mengetahui bahawa mayat itu dicuri.


Antara kes didakwa membabitkan Pauley adalah dia dikatakan menjual mayat dicuri oleh Candace Chapman Scott.


Scott bekerja di rumah mayat Little Rock, Arkansas serta dikatakan mencuri bahagian mayat yang sepatutnya dibakarnya dan abu mayat perlu dikembalikan kepada pihak keluarga si mati.


Seorang daripada defendan, Cedric Lodge, dari Goffstown, New Hampshire, adalah pengurus rumah mayat untuk Program Hadiah Anatomi di Sekolah Perubatan Harvard di Boston, Massachusetts.


Pihak berkuasa berkata bahagian mayat itu diambil tanpa pengetahuan Sekolah Perubatan Harvard dan pihak sekolah telah bekerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan mereka.


Mayat yang didermakan kepada sekolah digunakan untuk tujuan pendidikan, pengajaran atau penyelidikan. Biasanya, apabila mereka tidak lagi diperlukan, mayat yang didermakan itu dibakar dan abunya dikembalikan kepada keluarga mereka.


Lodge dituduh mencuri organ yang didermakan dan bahagian badan lain termasuk kepala, otak, kulit dan tulang, yang sama ada dihantar kepada pembeli atau dibawa pulang ke rumahnya.


Lodge dilaporkan membenarkan pembeli masuk ke bilik mayat dan memilih bahagian tubuh mayat yang mereka ingin beli.


Menurut media tempatan, Lodge dibantu oleh isterinya Denise, 63, untuk menjual mayat melalui telefon atau melalui media sosial.


Lodge, 55, Katrina Maclean, 44, Joshua Taylor, 46, Denise Lodge, 63, Mathew Lampi, 52, semuanya didakwa bersama Pauley.


Pauley, masih belum dijatuhkan hukuman atas peranannya dalam rangkaian itu, dan Mathew Lampi, sedang menunggu perbicaraan.


Lampi didakwa membawa dan menjual mayat manusia dalam tempoh yang panjang dengan urusniaga AS$100,000 (kira-kira RM467,624) menerusi pembayaran dalam talian. - Sumber Mirror UK.


Jeremy Pauley, 41, mengaku bersalah menjual mayat manusia secara dalam talian. - Foto Newsflash.

Selasa, 12 September 2023

Neymar bakal 'semput' bomoh Peru lakukan ritual 'ikat kaki'

Neymar bakal 'semput' bomoh Peru lakukan ritual 'ikat kaki'


Sambil memakai ponco berwarna-warni, sekumpulan bomoh Peru melakukan ritual untuk 'mengekang' Neymar menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Brazil, pagi esok.


Usaha kumpulan bomoh dari hutan, gunung dan pantai digelar 'Tayta Inti' (Bapa Matahari) itu diharap dapat membantu Peru apabila berdepan juara dunia lima kali itu.


"Kami meneutralkan Neymar dengan mengikat kakinya. Kami mengikatnya, jadi dia tidak dalam keadaan terbaik, tidak boleh berlari dan bermain dengan baik," kata bomoh, Felix Rondan.


Bomoh berkenaan meniup kulit kerang ketika mengadakan upacara itu di luar stadium yang dipenuhi pelbagai peralatan seperti pedang, tangkal, bendera dan gambar pemain dari kedua-dua pasukan.



Seorang lagi bomoh, Walter Alarcon berkata, upacara itu bertujuan mengaburi fikiran Neymar, sekali gus menyebabkan dia tidak boleh mencapai apa yang dicarinya iaitu menjaringkan gol.


Alarcon meramal perlawanan kelayakan zon Amerika Selatan itu sukar dan berakhir dengan keputusan seri. 


Terdahulu, mereka mengambil ayuahasca - ramuan hallucinogenic sangat kuat yang dikatakan membuka pintu kepada dunia roh. - Sumber New Straits Times.


Bomoh Peru melakukan upacara ritual menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Brazil, esok (13/9/2023). - Foto AFP.