Rabu, 10 Mei 2023

Balutan muka jadi bahan ketawa orang ramai, pesakit berang mahu saman doktor

Balutan muka jadi bahan ketawa orang ramai, pesakit berang mahu saman doktor


Seorang lelaki dari China berang apabila menjadi bahan ketawa orang ramai selepas dia keluar dari bilik kecemasan dalam keadaan mempunyai balutan pelik pada mukanya, lapor laman berita Thaiger pada 8 Mei 2023.


Pada mulanya, lelaki itu tidak dapat memahami mengapa orang ramai ketawa sejurus memandang ke arahnya.


Namun, selepas melihat pantulan wajahnya di cermin, dia menyedari tentang keadaan balutan pada mukanya yang kelihatan pelik.


Insiden tersebut dilaporkan berlaku di sebuah hospital di wilayah Henan dan menyebabkan pesakit berusia 26 tahun itu sedang mempertimbangkan rancangan untuk menyaman doktor disebabkan keadaan balutan tersebut.


Lelaki berkenaan dirawat di wad kecemasan disebabkan kemalangan. Dia kemudian muncul dengan pembalut muka yang dikenakan dengan cara yang sangat pelik, menyebabkan orang di sekelilingnya ketawa.


Beberapa individu kemudian dikatakan cuba menghiburkan lelaki itu termasuk meyakinkannya bahawa pembalut tersebut akan membantunya bernafas lebih baik, melihat lebih jelas serta memudahkannya untuk makan.


Ia sekali gus menyebabkan wajah lelaki itu menjadi tular dengan netizen memberikan pelbagai komen.


"Mentertawakan kesakitan orang lain memang kejam tetapi saya dengan rasa ikhlas memohon maaf kerana tidak dapat menahan ketawa saya," kata seorang pengguna media sosial.- Sumber The Thaiger.


Balutan pelik pada muka seorang lelaki di sebuah hospital menyebabkan orang ramai ketawa apabila melihatnya. - Foto Thaiger.
NASA pantau asteroid besar 'dekati' Bumi hujung bulan ini

NASA pantau asteroid besar 'dekati' Bumi hujung bulan ini


NASA sedang memantau sebuah asteroid besar yang diramal melintasi Bumi dalam jarak hampir dengan planet ini pada akhir bulan ini, lapor laman berita The Sun pada 8 Mei 2023.


Batuan angkasa besar itu dikenali sebagai 2023 CL3 dan dianggarkan mempunyai saiz lebar sehingga 199.94 meter.


Asteroid sebesar itu boleh menyebabkan beberapa kerosakan serius jika ia berlanggar dengan Bumi.


Asteroid dianggap boleh mencetuskan bahaya kepada planet ini jika ia berada dalam jarak 7.48 juta kilometer (km) dan lebih besar berbanding saiz tertentu.


Asteroid 2023 CL3 dijangka melewati Bumi pada 24 Mei pada jarak kurang dari 7.2 juta km.


Ia mungkin kedengaran agak jauh tetapi dalam pengiraan keluasan angkasa lepas, ia bukanlah jarak yang jauh sama sekali.


Dianggarkan bahawa asteroid besar itu akan melepasi planet ini dengan selamat jika ia bergerak pada kelajuan lebih daripada 25,749 km sejam. - Sumber The Sun.


Sebuah asteroid besar dikenali sebagai 2023 CL3 dijangka melintasi Bumi pada akhir bulan ini. - Foto Getty Images.

Isnin, 8 Mei 2023

Lelaki curi stok sotong, ikan di hadapan sebuah kedai direman 6 hari

Lelaki curi stok sotong, ikan di hadapan sebuah kedai direman 6 hari


Salah seorang suspek kes curi bekalan ikan dan sotong di hadapan sebuah kedai makan di Kompleks Perniagaan Guar Utama di Guar Chempedak, dekat Yan pada awal pagi Khamis lalu ditahan pada hari sama kejadian berlaku.


Terdahulu, beberapa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal bertindak melarikan stok hasil laut itu yang diletakkan di hadapan sebuah premis tular di media sosial.


Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pemilik kedai makan itu pada pukul 8 pagi.


Katanya, kehilangan melibatkan empat kotak stok ikan dan dua kotak stok sotong yang berharga RM1,000.


"Pemilik berumur 37 tahun itu memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Y15 telah mengambil kesemua stok bekalan untuk kegunaan kedai makannya.


"Susulan laporan itu, kita berjaya menahan seorang suspek berusia 25 tahun yang merupakan pekerja kilang di rumahnya di Kampung Datok Abdullah, Sungai Limau Luar pada petang kejadian.


"Suspek mengaku melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi rakannya yang telah melarikan diri sebaik menyedari perbuatan mereka itu tular di media sosial," katanya.


Menurutnya, suspek juga mengaku menjual hasil curi itu kepada seorang peniaga wanita pada harga RM150.


"Kita bertindak merampas semula stok sotong kira-kira tiga kilogram daripada peniaga wanita terbabit.


"Suspek direman selama tiga hari setelah ditangkap sebelum disambung reman selama tiga hari lagi sehingga 10 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.


Tangkap layar CCTV dua lelaki mencuri stok bekalan ikan dan sotong di hadapan sebuah kedai makan di Kompleks Perniagaan Guar Utama di Guar Chempedak, dekat Yan pada Khamis lalu.

Ahad, 7 Mei 2023

Wanita cantik larikan diri tidak bayar bil, kotorkan bilik hotel dan tinggalkan kesan darah

Wanita cantik larikan diri tidak bayar bil, kotorkan bilik hotel dan tinggalkan kesan darah


Seorang pemilik hotel di wilayah Udon Thani, Thailand memberi amaran kepada pengusaha hotel lain mengenai seorang wanita cantik berusia 25 tahun yang bukan sahaja mengelak membayar bil hotelnya tetapi meninggalkan bilik dalam keadaan kotor, lapor portal berita Thaiger pada 7 Mei 2023.


Pemilik itu berkata, bilik yang didiami wanita berkenaan antara 25 dan 29 April lalu didapati tidak bersih dan rosak.


Wanita itu mengelak daripada membayar caj penginapan antara 30 April hingga 2 Mei, manakala pada 3 Mei lalu, dia memaklumkan kepada pihak pengurusan hotel bahawa dia mahu mendaftar keluar tetapi masih tidak membayar bilnya.


Sebaliknya, dia menggunakan peluang itu untuk melarikan diri tanpa disedari ketika kakitangan sedang melayan tetamu lain.


Beberapa harta benda didapati rosak termasuk kain linen yang berlumuran darah dan tidak boleh dibersihkan lagi. Wanita itu juga enggan membenarkan kakitangan hotel masuk untuk mengemas biliknya ketika dia menginap disitu.


Perkongsian itu melahirkan rasa terkejut dengan perwatakan wanita yang mempunyai kecantikan luaran dan kelihatan berpakaian kemas, tetapi telah memilih untuk berkelakuan sedemikian.


Kejadian itu dikongsi oleh pemilik hotel di media sosial dengan harapan wanita itu tidak mengulangi perbuatannya dengan individu atau hotel lain. - Sumber The Thaiger.


Seorang wanita (tengah) tidak bayar wang penginapan dan kotorkan bilik hotel sebelum melarikan diri di Udon Thani baru-baru ini. - Foto Sanook.
Penduduk kampung berpesta kutip wang tunai ditemui dalam longkang

Penduduk kampung berpesta kutip wang tunai ditemui dalam longkang


Penduduk sebuah kampung di daerah Rohtas, dalam negeri Bihar, India terkejut apabila mereka menemui bungkusan berisi wang tunai, lapor portal berita Bussiness Today pada 7 Mei 2023.


Bungkusan itu ditemui di dalam sebuah longkang di Kampung Moradabad pada pagi hari Sabtu, 6 Mei 2023.


Video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan sebilangan penduduk mengambil wang kertas pelbagai denominasi termasuk 2,000 rupee (RM108.58), 500 rupee (RM27.14), 100 rupee (RM5.43) dan 10 rupee (RM0.54).


Tidak lama kemudian, orang ramai berpusu-pusu ke tempat itu untuk mengambil wang kertas tersebut, kata beberapa penduduk kampung kepada agensi berita IANS.


Pihak berkuasa kini menyiasat kejadian itu bagi menentukan ketulenan wang kertas itu dan untuk mengetahui siapa yang membuangnya ke dalam longkang. Pentadbiran daerah telah melancarkan siasatan berhubung perkara itu.


Insiden itu telah menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan wang kertas palsu membanjiri pasaran. Wang palsu telah menjadi masalah utama di India, dengan Reserve Bank of India (RBI) melaporkan peningkatan dalam edaran mata wang palsu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.


RBI telah berulang kali memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati semasa mengendalikan mata wang dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa. - Sumber Business Today.


Sejumlah penduduk mengambil wang kertas di dalam sebuah longkang di kampung Moradabad pada Sabtu lalu. - Foto Pagan / Twitter.

Sabtu, 6 Mei 2023

Jet pejuang F-16 milik Amerika Syarikat terhempas di Selatan Seoul

Jet pejuang F-16 milik Amerika Syarikat terhempas di Selatan Seoul


Sebuah jet pejuang F-16 milik Amerika Syarikat (AS) terhempas semasa latihan pada hari Sabtu berhampiran pangkalan tentera utama AS di Korea Selatan, lapor laman berita CNN.


Menurut tentera AS dalam satu kenyataan, kejadian berlaku awal pagi namun tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan harta benda.


"Sebuah pesawat pejuang F-16 Falcon yang ditugaskan kepada Sayap Pejuang Ke-8 terhempas di kawasan pertanian berhampiran Pangkalan Udara Osan pada kira-kira 9.45 pagi (waktu tempatan) di wilayah Gyeonggi. Nahas itu berlaku semasa latihan rutin.


"Juruterbang jet itu selamat dikeluarkan sebelum nahas dan sudah dibawa ke hospital berhampiran. Siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca nahas," jelas kenyataan itu.


Gabenor Gyeonggi, Kim Dong-yeon menerusi akaun Twitter miliknya memaklumkan, jabatan bomba tempatan dikerah ke lokasi nahas dan berjaya memadamkan kebakaran.


Media tempatan berkata, kemalangan itu tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kerosakan kerana ia berlaku di kawasan luar bandar.


"Tiada rumah orang awam berhampiran nahas itu, menyebabkan tiada lagi kerosakan selain jet," kata seorang pegawai polis yang dipetik oleh agensi berita Yonhap.


Washington merupakan sekutu keselamatan utama Seoul dan menempatkan kira-kira 28,500 tentera di Korea Selatan untuk membantu melindungi negara itu daripada ancaman Korea Utara.


Pangkalan Udara Osan ialah pangkalan Tentera Udara AS yang paling dekat dengan Korea Utara, hanya kira-kira 64 kilometer dari sempadannya. - Sumber CNN.


Jet pejuang F-16 milik Amerika Syarikat terhempas di kawasan pertanian di selatan Seoul. - Foto Agensi.

Jumaat, 5 Mei 2023

Kreatif, kereta Peugeot 206 diubah suai jadi traktor

Kreatif, kereta Peugeot 206 diubah suai jadi traktor


Seorang pemilik kereta hatchback Peugeot 206 menggunakan empat roda traktor gergasi untuk menggerakkan kenderaannya di laluan berlumpur di Warwickshire, England, lapor portal berita The Sun pada 3 Mei 2023.


Pengubahsuaian itu dilakukan oleh tiga orang jurutera selepas mereka menemui kereta tersebut di lokasi simpanan barang buangan di Backpool pada 2014.


"Kami mengimbau zaman kanak-kanak daripada (program) televisyen iaitu Top Gear, Scrapheap Challenge dan Chop Shop dengan membina semua perkara 'gila' yang kami lihat dan fikir.


"Sekarang kami lebih tua berbanding hari-hari itu. Kereta traktor ini sebenarnya yang kedua kami telah ubah suai," kata Gareth Jenkins, 29, dari Nuneaton Warwickshire kepada portal berita The Sun.


Tiga rakan jurutera itu pada mulanya mengubah suai kereta Ford Fiesta manual dengan menggunakan empat roda gergasi, namun kata mereka, pengubahsuaian menggunakan Peugeot 206 automatik adalah lebih berjaya.


"Kami hanya mahu melihat sama ada boleh memasang roda traktor pada kereta.


"Bagi memastikan roda traktor muat, kami mengimpal rim keluli kemudian mengimpal satu lagi di bahagian belakang yang dipasang pada kereta ini," katanya. - Sumber The Sun.


Sebuah kereta Peugeot 206 diubah suai apabila pemiliknya menggunakan empat tayar traktor gergasi di England baru-baru ini. - Foto Caters.

Gareth Jenkins dan rakan-rakan menambah roda traktor yang besar pada kereta. - Foto Caters.


Pengubahsuaian itu dilakukan oleh tiga orang jurutera. - Foto Caters.

Inilah hasil ciptaan Gareth dan rakan-rakan. - Foto Caters.

Khamis, 4 Mei 2023

Pengguna jalan raya panik, sejuta lebah terlepas di lebuh raya akibat kemalangan

Pengguna jalan raya panik, sejuta lebah terlepas di lebuh raya akibat kemalangan


Satu kekecohan berlaku di Florida, Amerika Syarikat apabila kira-kira sejuta lebah terlepas di sebuah lebuh raya selepas sebuah lori merempuh sebuah trak yang mengangkut serangga itu semalam, lapor laman berita New York Post pada 2 Mei 2023.


Insiden yang tidak dapat dielakkan itu berlaku sekitar pukul 3.15 pagi (waktu tempatan) di Lebuh Raya 301 di tanjakan masuk ke I-10 East, Duval County.


Menurut Peronda Lebuh Raya Florida, sebuah lori yang dikendalikan oleh seorang pemandu berusia 26 tahun merempuh trak yang mengangkut timbunan sarang lebah yang mana terdapat sejuta haiwan itu, lapor stesen ClickOrlando.


Kesan pelanggaran tersebut menyebabkan serangga itu mengerumuni lebuh raya tetapi pegawai polis berkata, lebah itu tidak agresif.


"Terdapat beribu-ribu lebah di kawasan itu selepas perlanggaran," kata polis peronda dalam satu laporan nahas.


Seorang penternak lebah kemudian dipanggil untuk mengumpulkan semula serangga-serangga yang terlepas itu. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.


Syarikat sarang lebah kemudiannya mengalihkan sarang yang masih utuh dan membawanya pergi dengan trak lain, tetapi yang rosak ditinggalkan di tempat kejadian, lapor News4Jax. - Sumber New York Post.


Sebuah trak yang membawa lebah terlibat dalam kemalangan, menyebabkan kira-kira sejuta serangga itu terlepas di di Lebuh Raya 301, Mukim Duval semalam. - Foto ClickOrlando.

Selasa, 2 Mei 2023

Butik Bulgari sekali lagi jadi sasaran perompak, rugi berpuluh juta ringgit

Butik Bulgari sekali lagi jadi sasaran perompak, rugi berpuluh juta ringgit


Sekumpulan lelaki bersenjata merompak barang kemas bernilai jutaan pound di sebuah butik Bulgari yang terletak bersebelahan bangunan Kementerian Kehakiman di Paris.


Menerusi lapor akhbar Daily Mail pada 30 April 2023, ia merupakan kejadian rompakan yang kedua berlaku dalam tempoh dua tahun.


Ketika kejadian, tiga lelaki tiba di kedai barang kemas mewah itu di Place Vendome dan melakukan rompakan di siang hari pada petang Sabtu lalu, sambil disaksikan puluhan pelancong dan pejalan kaki sedang melalui kawasan itu.


Menurut sumber penyiasat, dua perompak sedang memegang senapang manakala seorang lagi tertumpu mengisi barang kemas dicuri ke dalam beg.


"Mereka memukul seorang pengawal keselamatan di bahagian kepalanya sehingga menyebabkannya cedera parah.


"Barang kemas dan jam tangan mewah bernilai jutaan pound dirompak dalam kejadian berlaku sekitar pukul 1.45 petang (waktu tempatan). Malah, ia hanya mengambil masa beberapa minit.


"Perompak itu kemudian kembali menunggang dua motosikal mereka dan dengan selamba melarikan diri dari tempat kejadian," katanya.


Rakaman video rompakan tular dalam media sosial menunjukkan lelaki bersenjata tersebut mengenakan topi keledar dan balaclava hitam ketika merompak butik mewah itu.


Sebelum ini, butik Bulgari yang sama menjadi sasaran sekumpulan perompak bersenjata pada September 2021.


Dalam kejadian itu, perompak berjaya melarikan barang kemas bernilai kira-kira 10 juta pound (RM56.01 juta) pada waktu siang.


Bulgari, butik mewah Itali kini dimiliki oleh konglomerat barangan mewah Perancis LVMH yang dikendalikan lelaki terkaya dunia, Bernard Arnault.


Menurut Daily mail, Kedai-kedai barang kemas di Paris semakin kerap diserbu oleh perompak sejak beberapa tahun kebelakang ini, dan rumah selebriti turut menjadi sasaran.


Pada Julai 2022, pencuri melarikan barangan bernilai hampir 2 juta pound dari kedai Chaumet berhampiran Champs-Elysees, dan kedai Dinh Van turut dirompak pada bulan yang sama.


Pada Oktober 2016, lebih daripada 7 juta pound nilai barang kemas telah dicuri selepas bintang TV realiti Amerika Kim Kardashian dirompak oleh sekumpulan lelaki bertopeng di bilik hotelnya di Paris. - Sumber Daily Mail.


Perompak memakai topi keledar dan balaclava hitam ketika merompak butik mewah Bulgari di Paris. - Foto Twitter.

Isnin, 1 Mei 2023

Isteri curang berpaut pada kaki suami, mohon maaf depan mahkamah merayu agar tidak diceraikan

Isteri curang berpaut pada kaki suami, mohon maaf depan mahkamah merayu agar tidak diceraikan


Seorang wanita di China yang didakwa curang bermati-matian berpaut pada kaki suaminya bagi memohon maaf di hadapan mahkamah demi menyelamatkan perkahwinan mereka, lapor laman berita Thaiger pada 30 April 2023.


Rayuannya bagaimanapun tidak diendahkan kerana si suami telah mengetahui 'kebenaran pahit' mengenai kecurangan isterinya.


Pasangan itu berasal dari wilayah Hebei. Si suami yang hanya dikenali sebagai Pei, mengetahui kecurangan isterinya, Lan, sebelum memfailkan perceraian.


Menurut media China, pasangan itu berkenalan ketika zaman universiti. Pei adalah seorang pelajar pintar dengan pencapaian akademik yang cemerlang dalam perniagaan korporat antarabangsa.


Selepas Lan berkahwin dengan Pei, dia mengambil alih peranan sebagai suri rumah, menjaga keperluan rumah tangga pasangan itu.


Pei kerap mengembara untuk pekerjaannya, membuatkan Lan berasa semakin sunyi. Dia kemudian mencari kenalan melalui perkhidmatan sembang dalam talian. Pada suatu hari, apabila Pei pulang ke rumah, dia mendapati Lan bercakap dengan lelaki lain melalui telefon.


Pei yang mengesyaki Lan berlaku curang telah memeriksa telefon bimbit wanita itu ketika dia sedang mandi. Dia kemudian terkejut apabila menemui banyak perbualan berterusan antara isterinya dengan beberapa lelaki.


Sambil menangis teresak-esak, Lan segera meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya sambil berjanji untuk menjadi lebih baik.


Bagaimanapun, pada suatu hari, Pei pulang lebih awal daripada jangkaan, wanita itu sekali lagi 'ditangkap' berdua-duaan dengan lelaki lain di dalam rumah mereka. Ia menyebabkan Pei nekad memfailkan perceraian dengan wanita berkenaan.


Apabila sampai di mahkamah, Lan yang terpinga-pinga jatuh berlutut, mencengkam kaki suaminya dan menangis meminta dia mengasihaninya.


Di sebalik rayuannya, Pei tidak lagi dapat meneruskan perkahwinan mereka, menjerit "Pergi cari orang lain" semasa dia memasuki mahkamah untuk meneruskan perceraian. - Sumber The Thaiger.


Si isteri memaut kaki suaminya bagi meminta maaf ekoran kecurangannya. - Foto Sanook.