Polis di daerah Tung Song di wilayah selatan Nakhon Thammarat memburu seorang lelaki yang merompak sebuah kedai ketum pada Sabtu lalu, lapor portal berita Thaiger pada 9 Mac 2023.
Menurut polis, lelaki itu bukan sahaja mengancam seorang gadis yang merupakan pemilik kedai dengan sepucuk pistol tetapi juga meraba kemaluan mangsa sebelum dia bertindak melarikan diri.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial menunjukkan suspek memakai jaket dan topi keledar meletakkan motosikalnya sebelum memasuki kedai berkenaan lalu mengancam mangsa.
Suspek yang tidak dinamakan itu mencuri semua wang tunai sebelum melakukan serangan seksual terhadap gadis itu.
Mangsa dikenali sebagai Ta berusia 19 tahun memberitahu media bahawa dia dan ibunya menyewa sebuah rumah di Tung Song-Kapong Road lima bulan lalu supaya mereka boleh mengusahakan kedai menjual ketum.
Insiden itu mencetuskan gelombang kemarahan netizen Thailand, dengan ramai yang menyatakan kebimbangan terhadap kesejahteraan mangsa dan menyeru keadilan.
Walau bagaimanapun, sesetengah individu menyiarkan komen negatif dan mempersendakan serangan seksual itu. Ramai yang menggesa netizen tersebut untuk memadam komen mereka dengan mengatakan insiden ini boleh berkembang menjadi tindakan yang lebih ganas seperti rogol, pembunuhan atau tindakan sadis yang lain.
Kes itu juga menimbulkan persoalan mengenai identiti suspek, kerana ada yang menyatakan bahawa dia memakai jaket yang mempunyai persamaan yang ketara dengan yang dipakai oleh Tentera Diraja Thai.
Pegawai dari Balai Polis Kapong kini sedang menyiasat kes itu dan berikrar untuk membawa pelaku ke muka pengadilan. - Sumber The Thaiger.