Khamis, 23 Februari 2023

Tandas pam ‘pertama’ berusia 2,400 tahun ditemukan di China

Tandas pam ‘pertama’ berusia 2,400 tahun ditemukan di China


Tandas pam berusia 2,400 tahun ditemukan di wilayah Shaanxi di China pada musim panas lalu dan didedahkan bulan ini, lapor China Daily.


Menurut pakar, tandas manual itu ditemukan di kawasan runtuhan istana di Yueyang yang mungkin digunakan sejak Zaman Negara Berperang (424 sebelum masihi) dan Dinasti Qin (221 hingga 206 sebelum masihi).


"Ia adalah tandas pam pertama dan satu-satunya yang pernah ditemukan di China. Semua orang di tapak itu terkejut, dan kemudian kami semua ketawa," kata Liu Rui, seorang penyelidik dari Institut Arkeologi di Akademi Sains Sosial China.


Menurut Rui, tandas manual dianggap sebagai barang 'mewah', sekurang-kurangnya untuk pemerintah dan bukan pelayan yang terpaksa menyiram sisa tuannya dengan air.


Tandas direka bentuk supaya 'mangkuk' berada di dalam manakala paip akan membawa sisa ke dalam lubang luar.


Tandas itu mungkin digunakan oleh Qin Xiaogong, yang hidup dari 381 hingga 338 atau bapanya, Qin Xian'gong (424 hingga 362), menurut penyelidik.


Kata penyelidik, bahagian rangka atas tidak ditemukan dalam penggalian, jadi tidak jelas sama ada pengguna akan duduk atau mencangkung ketika menggunakannya.


Rui membuat spekulasi pengguna terpaksa mencangkung berdasarkan rekod tandas dari Dinasti Han Barat.


"Tandas siram adalah bukti kukuh mengenai kepentingan orang Cina purba pada keperluan sanitasi," kata Rui. - Sumber New York Post.


Tandas pam pertama berusia 2,400 tahun yang ditemukan di wilayah Shaanxi. - Foto Institute of Archaeology.

Selasa, 21 Februari 2023

Serpihan meteorit jatuh di balkoni sebuah rumah di kota purba selatan Itali

Serpihan meteorit jatuh di balkoni sebuah rumah di kota purba selatan Itali


Penduduk ‘kota batu’ purba di selatan Itali dikejutkan dengan satu fenomena luar biasa selepas serpihan meteorit jatuh di balkoni sebuah rumah di pinggir bandar itu, Matera baru-baru ini, lapor akhbar The Guardian pada 19 Februari 2023.


Objek angkasa yang bergerak pada kelajuan 321 kilometer sejam itu dikesan di langit wilayah Puglia dan Basilicata pada 14 Februari lalu, membuatkan ia digelar ‘bebola api Hari Kekasih’.


Ia dikatakan jatuh di balkoni rumah pasangan adik beradik, Gianfranco dan Pino Losignore bersama ibu bapa mereka.


Mereka menyedari keadaan itu apabila melakukan pemeriksaan pada panel solar kediaman tersebut tiga hari kemudian.


Mereka mendapati panel dan jubin telah rosak, bersama dengan serpihan kelabu bertaburan di seluruh balkoni.


“Saya tidak berada di rumah ketika ia berlaku, namun ibu saya memberitahu dia ada mendengar bunyi dentuman kuat.


“Dia berasa bimbang, namun disebabkan cuaca berangin, saya menyangkakan bunyi dentuman itu adalah ranting pokok. Rupa-rupanya, ia adalah serpihan meteorit,” kata Gianfranco.


Bebola api meteorit itu dipantau pada kamera pengawasan Prisma, sebuah projek yang dikendalikan oleh Institut Astrofizik Itali, sekali gus membolehkan pakar mengesan lokasi ia jatuh.


Lebih 70 gram serpihan telah dikumpulkan setakat ini untuk kajian tersebut, yang kemudiannya akan dipamerkan di muzium.


Seorang wakil Prisma, Carmelo Falco berkata, meskipun banyak meteorit jatuh ke Bumi, apa yang jarang berlaku di Matera adalah ia mendarat pada permukaan bersih, justeru, objek itu tidak tercemar. - Sumber The Guardian.


Gianfranco menemui serpihan kelabu bertaburan di seluruh balkoni rumahnya. - Foto Gianfranco Losignore.

Ahad, 19 Februari 2023

Saintis beri amaran bahaya asteroid Itokawa, batu angkasa 'paling keras' yang boleh menceroboh pertahanan Bumi

Saintis beri amaran bahaya asteroid Itokawa, batu angkasa 'paling keras' yang boleh menceroboh pertahanan Bumi

Karya seni Sistem Suria, menunjukkan laluan lapan planet utama semasa mereka mengorbit Matahari. - Foto Getty Images.

Pakar-pakar memberi amaran mengenai sebuah asteroid bersaiz besar yang boleh menceroboh pertahanan Bumi sekiranya bergerak terlalu hampir dengan planet ini, lapor akhbar The Sun pada 24 Januari 2023 lalu.


Asteroid dikenali sebagai Itokawa itu memiliki ketinggian lebih daripada 1700 kaki, bersamaan dengan 535 meter.


Pakar-pakar menganggarkan bahawa impak yang menyebabkan terhasilnya Itokawa berlaku lebih 4.2 bilion tahun lalu, iaitu hampir menyamai usia sistem suria Bumi.


Menurut pakar Universiti Curtin di Perth, Profesor Fred Jourdan dan Profesor Madya Nick Timms, asteroid tersebut sukar untuk dimusnahkan berbanding dengan jasad kosmik lain.


"Asteroid merupakan ketulan serpihan berbatu di angkasa lepas yang merupakan sisa masa lalu yang lebih ganas dalam sistem suria kita.


"Terdapat dua jenis asteroid, iaitu jenis monolitik bersaiz kira-kira 1 kilometer (km) dalam diameter serta mempunyai jangka hayat yang diramal hanya beberapa ratus juta tahun," kata dua saintis tersebut.


Tambah mereka, satu lagi jenis asteroid adalah asteroid longgokan runtuhan seperti Itokawa, yang terdiri daripada batuan serpihan mampat dan akan menjadi lebih kuat dengan setiap hentaman.


"Pelanggaran berterusan hanya akan menghancurkan jurang antara batu dan bukannya memusnahkan batuan itu.


"Sekali ia terbentuk, amat sukar untuk memusnahkannya," tulis Jourdan dan Timms dalam satu laporan diterbitkan laman berita The Conversation.


Bagaimanapun, Agensi Angkasa Lepas Eropah berkata, Itokawa berada sekitar 42 juta kilometer dari Bumi, yang merupakan satu berita baik buat umat manusia. - Sumber The Sun.


BACA: NASA dedah imej terbaharu kapal angkasa DART hentam asteroid.


Ilustrasi longgokan runtuhan asteroid Itokawa. - Foto Kevin M.
Asteroid halimunan 'boleh menyerang Bumi bila-bila masa'

Asteroid halimunan 'boleh menyerang Bumi bila-bila masa'


Bumi boleh dihentam oleh bilangan asteroid yang tidak dapat dikesan lebih awal pada bila-bila masa sahaja, kata seorang pakar dalam satu amaran seperti yang dilaporkan oleh portal berita Daily Star pada 16 Februari 2023.


Insiden itu pernah berlaku apabila meteor Chelyabinsk selebar 19 meter meletup di ruang udara Russia pada 2013 dan tiada siapa tahu bagaimana batu angkasa tersebut memasuki ruang udara di selatan negara itu.


Dalam kejadian itu, seramai 1,600 orang cedera akibat gelombang kejut besar-besaran dan letupannya adalah sama dengan 35 bom di Hiroshima di Jepun pada tahun 1940-an.


Saintis-saintis menganggap bahaya yang akan timbul daripada asteroid yang tidak dapat dikesan atau asteroid halimunan pada masa hadapan berpunca daripada silauan matahari.


Berikutan begitu ramai yang cedera disebabkan letupan meteor Chelyabinsk, sistem baharu dinamakan Near Earth Object Mission (NEOMIR) sedang diusahakan untuk memberi amaran awal kepada orang ramai supaya mereka selamat sekiranya kejadian serupa berulang.


NEOMIR akan dilaksanakan lewat dekad ini bagi mengawasi objek yang menuju ke Bumi dari arah Matahari.


Ketua Pertahanan Planet Agensi Angkasa Eropah, Richard Moissl berkata: "Asteroid sebesar meteor Chelyabinsk 'menyerang' sekitar selang 50 hingga 100 tahun."


"Kecederaan yang disebabkan oleh letupan di udara atau kejadian serupa boleh dicegah jika orang ramai dimaklumkan tentang kesan yang akan berlaku dan ia boleh diramal. Dengan amaran awal, pihak berkuasa tempatan akan dapat menasihati orang ramai supaya menjauhkan diri dari tingkap dan kaca," tambahnya.


NEOMIR akan berada di antara Bumi dan Matahari jauh dari atmosfera Bumi. - Sumber Daily Star.


Bumi boleh dihentam asteroid yang tidak dapat dikesan terlebih dahulu pada bila-bila seperti yang pernah berlaku di Russia pada 2013. - Foto GettyImages/SciencePhotoLibrary RF.

Jumaat, 17 Februari 2023

Berang dituduh perkosa lembu, lelaki bunuh tunang guna sepana

Berang dituduh perkosa lembu, lelaki bunuh tunang guna sepana

Gambar hiasan.

Gara-gara berang dituduh melakukan hubungan seks dengan seekor lembu, seorang lelaki dari Ende, wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, membunuh tunangnya menggunakan sepana, lapor portal berita Kompas.com pada 13 Februari 2023.


Ketua Unit Jenayah Polis Ende, Yance Kadiaman berkata, suspek yang hanya dikenali sebagai MO, 44, menyerang mangsa, AR, 35, sebanyak dua kali.


Serangan pertama berlaku pada 4 Februari lalu di mana dia menyerang mangsa menggunakan tangan kosong. Serangan kedua dilakukan pada 7 Februari di mana suspek dilaporkan memukul mangsa menggunakan sepana yang menyebabkan wanita itu mengalami cedera parah.


"Suspek marah terhadap mangsa kerana menuduhnya curang dan melakukan hubungan seks dengan seekor lembu di ladang mereka," kata Yance kepada wartawan pada hari Isnin lepas.


Menurut Yance, mangsa yang mengalami pendarahan di otak akibat serangan itu kemudian dirawat di Hospital St. Anthony's Jopu. Selepas beberapa jam menjalani rawatan, dia dibenarkan keluar dari hospital atas permintaan keluarga suspek.


Keluarga itu turut menandatangani kenyataan daripada pihak hospital. Mangsa kemudian dirawat di rumah suspek. Setibanya di rumah suspek, keadaan mangsa semakin kritikal. Keluarga kemudiannya membawa mangsa ke Pusat Kesihatan Wolowaru untuk rawatan.


Mangsa disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya kerana mengalami kerosakan pada otak selepas dimasukkan ke hospital tersebut.


Kes ini kemudiannya dilaporkan kepada Polis Wolowaru. Polis menahan suspek di rumahnya di Jopu. Jika didapati bersalah, MO berdepan hukuman penjara 15 tahun. - Sumber Kompas.com.

Khamis, 16 Februari 2023

Lelaki bedah tangan untuk mengubah jarinya menjadi 'tangan syaitan'

Lelaki bedah tangan untuk mengubah jarinya menjadi 'tangan syaitan'


Seorang bapa dari Brazil yang dipercayai sebagai lelaki paling banyak mengubah suai rupa paras di dunia kini telah membelah tangannya pula melalui pembedahan baru-baru ini, lapor Mirror UK pada 9 Februari 2023 lalu.


Marcelo B-boy De Souza Ribeiro menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mendapatkan lebih 1,500 lukisan tatu seluruh kulit termasuk alat kemaluannya dan telah menjalani pelbagai pembedahan mengubah wajah dan tubuh badannya.


Kini artis berusia 40 tahun yang mempunyai lebih 75,000 pengikut di laman Instagram itu berkongsi langkah terbarunya untuk mengubah jarinya menjadi 'tangan syaitan'.


Ribeiro berpendapat, langkah berani itu adalah yang pertama di dunia bagi memenuhi impiannya untuk kelihatan berbeza dan mahu menjadikan tubuhnya sebagai pameran seni.


"Saya sedang membuat pengubahsuaian baharu yang belum wujud lagi di dunia.



"Saya sudah pun meneliti tentang pengubahsuaian badan di dunia, dan daripada apa yang saya lihat belum ada yang membuat pengubahsuaian yang serupa (tangan syaitan).


"Orang ramai sudah melihat tangan saya dan menganggap ia menarik, tetapi mereka berkata mereka tidak mempunyai keberanian untuk melakukannya.


"Saya gembira dengan apa yang saya lakukan, saya tidak merasakan apa-apa perubahan mengenai mobiliti tangan saya kerana ia benar-benar boleh berfungsi secara normal," katanya.


Dua bulan lalu, lelaki yang berasal dari São Paulo itu, mendapatkan bantuan rakannya yang pakar dalam pengubahsuaian badan ekstrem untuk melaksanakan prosedur tersebut secara percuma.


Selama bertahun-tahun, Marcelo telah membelanjakan kira-kira 29,000 pound (RM151,795) untuk mendapatkan lukisan tatu, gigi logam bertaring, implan kulit dan lidah yang terbelah.


Bapa kepada dua anak dan sudah mempunyai seorang cucu itu menganggarkan 98 peratus daripada tubuhnya telah diubah. - Sumber Mirror UK.


Marcelo B-boy De Souza Ribeiro menunjukkan tangannya yang baharu dibedah. - Foto Jam Press/@marcelobboy.

Rabu, 15 Februari 2023

ESA berjaya ramal lebih awal, asteroid meletup di langit Selat Inggeris

ESA berjaya ramal lebih awal, asteroid meletup di langit Selat Inggeris


Sebuah asteroid kecil dinamakan sebagai 2023 CX1 meletup dan menerangi langit malam di Selat Inggeris kira-kira pukul 3 pagi (waktu tempatan) pada hari Isnin 13 Februari lalu, lapor akhbar Daily Mail.


Cahaya akibat letusan asteroid 0.91 meter itu dilaporkan dapat dilihat di seluruh selatan England, Wales termasuk di beberapa bahagian di Perancis.


Ia adalah kali ketujuh serpihan batu angkasa berjaya diramalkan lebih awal akan meletus. Pakar-pakar di Pertubuhan Meteor Antarabangsa menjangkakan kejadian itu yang akan mewujudkan kesan bebola api.


Agensi Angkasa Eropah (ESA) menerusi Twitter menyatakan, pengesanan lebih awal itu adalah tanda kemajuan pesat dalam pengesanan asteroid global. ESA sebelum ini menyatakan objek tersebut dijangka memasuki atmosfera Bumi di utara Perancis.



2023 CX1 berjaya dikesan oleh seorang ahli astronomi Hungary, Krisztián Sárneczky, di Balai Cerap Konkoly di Pergunungan Mátra, Hungary.


Maklum Sárneczky, pada awalnya dia mendakwa batu itu dikesan berada sekitar 233,000 Kilometer dari orbit bumi dan bulan pada jam 8.18 malam waktu tempatan.


"Ia mula memasuki atmosfera pada awal pagi Isnin pada jam 3 pagi merentasi pantai Normandy, Perancis di sepanjang Selat Inggeris.


"Ketika membelah ruang udara, ia terbakar sehingga dapat dilihat dengan terang dari Utara Perancis, Belgium, Belanda dan United Kingdom," katanya.


Pakar fizik, Mark Boslough dari Makmal Kebangsaan Los Alamos, New Mexico, Amerika Syarikat memberitahu portal berita Wales Online bahawa walaupun letusan udara sebesar itu berlaku beberapa kali dalam setahun namun kejadian tersebut jarang ditemui lebih awal. - Sumber Daily Mail.


Sebuah asteroid kecil meletus di Selat Inggeris pada awal pagi Isnin. - Austin Huffmaster/Twitter.

Selasa, 14 Februari 2023

Saintis terkejut, sukar dipercayai secebis matahari 'terputus'

Saintis terkejut, sukar dipercayai secebis matahari 'terputus'


Satu klip video menunjukkan filamen gergasi plasma 'terputus' di Kutub Utara Matahari dirakam oleh NASA dalam peristiwa yang tidak pernah dilihat sebelum ini, menyebabkan saintis-saintis keliru, lapor portal berita Daily Mail pada 9 Februari 2023.


Rakaman itu menunjukkan filamen gergasi plasma atau gas berelektrik terpercik keluar dari Matahari, terpisah dan kemudian beredar dalam pusaran besar kutubnya.


Walaupun ahli-ahli astronomi keliru, mereka membuat spekulasi bahawa penonjolan itu ada kaitan dengan pembalikan medan magnet Matahari yang berlaku sekali bagi setiap kitaran suria atau setiap 11 tahun.


Video itu dikongsi di laman Twitter oleh ahli meteorologi angkasa lepas, Tamitha Skov yang berkata, klip video kemunculan fenomena suria pelik itu diambil daripada Balai Cerap Dinamik Suria milik NASA.


"Bercakap tentang pusaran kutub! Bahan dari bahagian utara (Matahari) baru sahaja terputus dari filamen utama dan kini beredar dalam pusaran kutub besar di sekitar kutub utara bintang kita," ciapnya.


NASA menggambarkan bahawa filamen suria sebagai awan zarah bercas yang terapung di atas Matahari selain ditambat padanya oleh daya magnet.


Scott McIntosh, pengarah bersama dan ahli fizik suria di Pusat Penyelidikan Atmosfera Kebangsaan di Boulder, Colorado, menjelaskan bahawa perkara pelik berlaku pada latitud 55 darjah Matahari sekali setiap kitaran suria.


Tetapi dia juga mengakui bahawa dia tidak pernah melihat pusaran skala ini: "Sekali setiap kitaran suria, ia terbentuk pada 55 darjah latitud dan mula bergerak ke arah kutub matahari. Ia sangat pelik," katanya.


Penyelidikan terhadap fenomena sedemikian adalah terhad kerana tiada cara untuk memerhatikannya dari kawasan kutub Matahari pada masa ini.


"Kita hanya boleh memerhati Matahari dari satah ekliptik, iaitu satah di mana planet mengorbit," kata McIntosh.


Walau bagaimanapun, dengan misi Pengorbit Suria Agensi Angkasa Eropah yang sedang dijalankan, saintis sekurang-kurangnya mempunyai akses yang lebih besar kepada pemahaman yang lebih dekat tentang bagaimana kitaran magnet Matahari boleh wujud di kaki langit (Matahari). - Sumber Daily Mail.


BACA: Pesawat NASA berjaya 'sentuh' Matahari dan akan 'menyelam' lebih dalam lagi hingga tahun 2025.


Filamen gergasi plasma (dalam bulatan) terputus di Kutub Utara Matahari baru-baru ini. - Foto Tamitha Skov/Twitter.

Isnin, 13 Februari 2023

Perlumbaan menjelajah angkasa lepas antara Jeff Bezos, Elon Musk sengit

Perlumbaan menjelajah angkasa lepas antara Jeff Bezos, Elon Musk sengit


Perlumbaan menjelajah angkasa lepas dalam kalangan bilionair semakin sengit selepas syarikat Blue Origin yang dimiliki oleh pengasas Amazon, Jeff Bezos, dipilih oleh NASA untuk melancarkan misi ke Marikh, lapor akhbar Daily Star pada 11 Februari 2023.


Misi Escape and Plasma Acceleration and Dynamics Explorers, atau dikenali sebagai ESCAPADE, terdiri daripada probe berkembar yang akan menyelidik maklumat penting tentang cara magnetosfera Marikh berinteraksi dengan angin suria.


Penemuan ESCAPADE penting untuk angkawasan tinggal lama di Marikh serta membantu misi penjelajahan manusia ke angkasa lepas. Saintis perlu mengetahui risiko pendedahan radiasi di permukaan Marikh.


Setakat ini, NASA belum menggunakan kemudahan syarikat milik Bezos untuk sebarang misi, malah kapal angkasa Blue Origin juga belum mencapai orbit Bumi yang sebenar.


Kontrak baharu NASA untuk Blue Origin itu mewakili permulaan baharu antara kedua-dua organisasi walaupun ia mewakili risiko yang besar di pihak NASA.


Kenderaan pelancar New Glenn milik Blue Origin masih belum digunakan selepas pelancaran pertamanya pada 2020 ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya musim panas ini.


Ia dilaporkan boleh digunakan untuk 25 pelancaran berbanding kapal angkasa SpaceX Starship milik Musk yang menjanjikan 'kebolehgunaan semula sepenuhnya'.


Jika penerbangan ujian pertama roket itu terpaksa ditangguhkan lagi atau menghadapi beberapa kerosakan yang tidak dijangka, misi itu boleh ditarik balik daripada Bezos dan diberikan kepada Musk. - Sumber Daily Star.


BACA: Bilionair pertama melancong ke angkasa lepas, kini berhasrat mahu bina hotel di Bulan.


Misi NASA adalah peluang yang penting untuk Bezos. - Getty Images.

Ahad, 12 Februari 2023

Lelaki mengamuk gaya rambut biru tidak sama artis K-pop

Lelaki mengamuk gaya rambut biru tidak sama artis K-pop


Memiliki potongan rambut yang bergaya kadangkala boleh meningkatkan keyakinan diri anda. Lebih-lebih lagi kini semakin banyak gaya rambut yang dipopularkan oleh artis K-Pop.


Jika artis itu menjadi pujaan, ia pasti membuatkan ramai orang mahu mengikut tabiat dan gaya mereka. Kebanyakan peminat sanggup berbelanja besar untuk membeli pelbagai pakaian fesyen yang dipakai oleh pujaan hati.


Bukan setakat itu sahaja, kadang-kadang ada juga yang terikut-ikut dengan gaya rambut selebriti-selebriti ini walaupun tidak padan. Seperti yang dilakukan oleh seorang lelaki yang baru-baru ini menjadi viral di media sosial Twitter di Indonesia.


Menerusi video yang dimuat naik oleh akaun Twitter @bagihumor, Khamis (9/2/2023) terlihat lelaki itu mengamuk di kedai apabila gaya rambut idamannya gagal memenuhi jangkaan.


Berdasarkan rakaman, lelaki berkenaan ingin mendapatkan gaya rambut berwarna biru seakan seorang artis K-pop seperti dipaparkan dalam telefon bimbitnya.


Akan tetapi, hasil yang diperoleh berbeza. Walaupun warna rambutnya serupa, bentuk kepalanya yang berbeza menyebabkan ia tidak sesuai dengannya.


Disebabkan tidak memenuhi jangkaan, lelaki itu melepaskan kemarahannya kepada tukang gunting rambut di kedai tersebut. Klip video tersebut mendapat perhatian orang ramai di ruangan komen.


"Anda boleh tiru gaya sesiapa sahaja. Tetapi ia tidak semestinya sesuai dengan anda," kata seorang netizen. - Sumber Liputan6.


Lelaki tersebut mula mengamuk apabila mendapati gaya rambut biru yang diidamkan tidak sesuai dengannya. - Foto Twitter.