Selasa, 25 Mei 2021

Tindakan seorang wanita tunjuk isyarat lucah, mengakibatkan anaknya mati ditembak

Tindakan seorang wanita tunjuk isyarat lucah, mengakibatkan anaknya mati ditembak


Gara-gara menunjukkan isyarat lucah selepas kereta yang dipandu seorang wanita dipintas oleh kenderaan lain, mengakibatkan anak lelakinya berusia enam tahun ditembak mati dalam kejadian di California.


Lapor Daily Star, ketika kejadian, Aiden Leos berada di tempat duduk belakang kereta Chevrolet milik ibunya apabila seorang penumpang dalam kenderaan lain melepaskan tembakan ke arah mereka.


Menurut saksi, ibu tunggal yang tidak mahu dikenali itu menunjukkan isyarat lucah terhadap pemandu kereta Volkswagen selepas mereka memintas keretanya. Kereta Volkswagen itu dipandu oleh seorang wanita yang turut ditemani oleh penumpang lelaki.


Suspek wanita berkenaan kemudian cuba mengejar dan penumpang lelaki pula melepaskan satu das tembakan ke arah belakang kereta Chevrolet sehingga terkena di bahagian perut Leos.


Selepas memberhentikan keretanya di tepi jalan, wanita tersebut bergegas mengangkat anaknya yang cedera dan cuba mendapatkan bantuan. Seorang pegawai polis tidak bertugas yang berada di lokasi itu cuba memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sehingga paramedik tiba.   


Budak lelaki itu dibawa ke Hospital Kanak-Kanak Orange County namun diisytiharkan meninggal dunia. Kejadian tembakan itu berlaku di Route 44 di Orange County, Selatan California ketika kanak-kanak itu bersama ibunya dalam perjalanan ke tadika.


Polis masih mencari suspek yang melarikan diri selepas insiden itu berlaku. Dalam satu sidang akhbar, kakak Leos, Alexis Cloonan menyifatkan adiknya sebagai seorang budak yang baik.

Isnin, 24 Mei 2021

Beratus cedera, dua tren LRT bertembung di laluan Kelana Jaya

Beratus cedera, dua tren LRT bertembung di laluan Kelana Jaya


Beratus penumpang tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya cedera dalam insiden membabitkan dua tren, hari ini. Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 9 malam ketika tren itu dalam perjalanan antara Kampung Baru dan KLCC.


Satu daripada tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang terbabit dalam perlanggaran bersama sebuah lagi tren LRT, dipercayai membawa 213 penumpang. Tren berkenaan dalam perjalanan dari Gombak, dilaporkan bertembung dengan tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang dan dipercayai mengalami masalah teknikal.


Setakat jam 10 malam ini, difahamkan sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 orang mengalami luka ringan. Mangsa kemalangan LRT sedang dibawa keluar.


Pengurus Kanan (Komunikasi dan Hal Ehwal Media) Prasarana, Azhar Ghazali, mengesahkan kemalangan itu membabitkan perkhidmatan tren LRT bernombor 40 dan 81.


"Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan.


"Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan dan pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Media sosial sekitar jam 9 malam tadi gempar apabila beberapa keping gambar muncul menunjukkan sebilangan penumpang LRT cedera di dalam pengangkutan itu.


Beberapa penumpang tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya cedera dalam insiden membabitkan dua tren, Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 9 malam ketika tren itu dalam perjalanan antara Kampung Baru dan KLCC.

Aplikasi cari jodoh di Jepun digodam, 1.7 juta pengguna terjejas

Aplikasi cari jodoh di Jepun digodam, 1.7 juta pengguna terjejas


Dalam era teknologi yang semakin maju, hampir semua aktiviti manusia dapat dilakukan secara digital, termasuk dalam mencari jodoh. Cukup pasang aplikasi jodoh di telefon bimbit anda dan pilih pasangan berpotensi yang sesuai dengan kriteria anda.


Kehadiran aplikasi temu janji dalam talian nampaknya menjadi penyelamat bagi sesetengah orang yang masih bujang dan mungkin sukar mencari pasangan. Walaupun begitu, ia berisiko menyebabkan data peribadi anda mungkin terjejas seperti kes yang berlaku di Jepun baru-baru ini.


Data peribadi lebih daripada sejuta pengguna sebuah aplikasi janji temu sosial di Jepun mungkin terdedah selepas sistemnya digodam. AFP melaporkan, syarikat pengendali aplikasi berkenaan sudah memberi amaran kepada semua penggunanya.


Net Marketing, yang menguruskan operasi aplikasi Omiai, berkata pihakya telah mengesan akses tanpa kelulusan pada April lalu yang menceroboh maklumat ahli berdaftar dalam sistem pelayan.


"Kami dapati ada kemungkinan besar maklumat ahli telah dibocorkan akibat akses penceroboh itu," ujar syarikat itu dalam satu keyataan.


Imej-imej lesen memandu dan pasport yang dihantar untuk pengesahan umur bagi menggunakan aplikasi itu juga adalah antara data yang telah dikompromi, antara tarikh 20 hingga 26 April. Tambah kenyataan itu, sejumlah 1.71 juta pengguna telah terjejas, termasuk data mereka yang tidak lagi menggunakan perkhidmatan itu.


Walau bagaimanapun, maklumat kad kredit tidak terjejas kerana prosesnya adalah melalui institusi kewangan. Berita itu yang disiarkan pada Jumaat lalu, mengakibatkan saham Net Marketing menjunam 19.34 peratus pada Isnin.


Omiai, yang bermaksud 'pencari jodoh' dalam bahasa Jepun, adalah antara aplikasi janji temu paling popular di Negara Matahari Terbit itu. Menyasarkan golongan yang mahu menjalin hubungan serius, ia mempunyai sejumlah 6.89 juta ahli.

Kecewa pelaburan gagal, lelaki rempuh sekumpulan pejalan kaki mengakibatkan 5 maut

Kecewa pelaburan gagal, lelaki rempuh sekumpulan pejalan kaki mengakibatkan 5 maut


Sekumpulan pejalan kaki yang sedang melintas jalan dirempuh sebuah kereta yang dipandu laju mengakibatkan lima daripadanya maut dalam kejadian di bandar Dalian, China pada Sabtu lalu.


Suspek lelaki berusia 32 tahun yang cuba melarikan diri selepas pelanggaran itu bagaimanapun berjaya ditahan, lapor SCMP. Siasatan awal polis mendapati suspek yang hanya dikenali sebagai Liu bertindak demikian kerana kecewa pelaburannya gagal dan ingin "membalas dendam terhadap masyarakat".


Rakaman CCTV dan telefon bimbit kejadian yang kini tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta sedan hitam memecut ke arah sekumpulan pejalan kaki ketika mereka melintas jalan.


Menurut kenyataan polis, Liu, yang bekerja sebagai pendandan rambut, telah melanggar lampu merah dan memecut dengan kelajuan 108 kilometer sejam dalam tujuh saat sebelum merempuh kumpulan pejalan kaki itu.


Setelah merempuh pejalan kaki, Liu melarikan diri di dalam keretanya sebelum bertembung dengan van di sebuah persimpangan. Dia kemudian meninggalkan kenderaan itu dan cuba melarikan diri dengan berjalan kaki, tetapi berjaya ditangkap polis kira-kira jam 1 tengah hari.


"Suspek tidak dapat menerima kegagalan pelaburan peribadinya dan kehilangan kepercayaan dalam hidup, jadi dia membalas dendam kepada masyarakat," kata jurucakap polis.


Empat mangsa mati di tempat kejadian dan mangsa kelima meninggal dunia tidak lama kemudian di hospital. Lima yang lain cedera dalam kejadian itu, kata polis.


Wakil ketua polis Dalian, Qu Bo pada Ahad berkata suspek telah ditahan atas tuduhan "membahayakan keselamatan awam". Sekiranya didapati bersalah, suspek boleh dihukum mati.


Rakaman CCTV kejadian menunjukkan kereta sedan hitam itu memecut ke arah sekumpulan pejalan kaki ketika mereka melintas jalan. -Video tular

Ahad, 23 Mei 2021

Berat badan 126 kg pun jadi pemain bola dalam kelab profesional

Berat badan 126 kg pun jadi pemain bola dalam kelab profesional


Seorang ahli perniagaan dari China sanggup membeli kelab bola sepak supaya dia dan anaknya dapat bermain mewakili kelab itu. Zibo Cuju berdepan dengan masalah kewangan, dan Shihua yang merupakan billionair muda datang melabur ke dalam kelab mereka.


Oddity Central melaporkan, disebabkan mempunyai sumber kewangan yang banyak, He Shihua, 35, merupakan usahawan dan pelabur yang berjaya, telah membeli Zibo Cuju, yang merupakan kelab di divisyen dua di China.


Shihua dilaporkan mengarahkan jurulatih untuk menurunkan anak lelakinya yang berat badan 126kg, demi merealisasikan minat anaknya terhadap sukan bola sepak walaupun tidak pernah melepasi saringan sebagai seorang pemain profesional.


Anaknya yang mempunyai berat badan berlebihan sememangnya tidak layak bermain bola sepak dan rakan sepasukan tidak boleh mengeluh mengenai skil hantarannya yang lemah sekiranya mereka mahu terus kekal berada dalam pasukan serta dibayar gaji.


Shihua turut mengarahkan jurulatih Hongyi Huang menurunkan anaknya untuk bermain dalam kesebelasan utama, dan meminta jurulatih menjadikan anak dia sebagai pelaksana semua rutin bola mati termasuk penalti, sepakan penjuru dan sepakan percuma. 


Tindakan anak beranak itu menerima kecaman daripada orang ramai kerana mendakwa dia menjatuhkan maruah sukan itu serta jurulatih dan pemain Zibo Cuju. Kelab itu berada dalam kedudukan tercorot dengan hanya meraih satu mata daripada lima perlawanan.


Laporan daripada media tempatan menyatakan, pemilik kelab seorang yang mesra dengan pemain dan seringkali berlatih sekali bersama dengan pemain. Selalu mengajak pemain keluar makan dan bergurau senda. Cuma masalahnya dia salah guna kuasa memaksa jurulatih menurunkan anaknya.

20 peserta larian maut, cuaca ekstrem tiba-tiba melanda

20 peserta larian maut, cuaca ekstrem tiba-tiba melanda

Yellow River Stone Forest.


Sekurang-kurangnya 20 orang maut dan seorang lagi hilang selepas hujan ais dan angin kencang melanda Yellow River Stone Forest, bandar Baiyin, barat laut Gangsu, pagi tadi.


Menurut agensi berita Xinhua, cuaca buruk melanda ketika peserta mengambil bahagian dalam acara larian 100 kilometer (km) merentas pergunungan berdekatan.


"Cuaca ekstrem melanda daerah itu ketika perlumbaan diadakan di Hutan Yellow River Stone berhampiran Bandar Baiyin di wilayah barat laut Gansu, kata Xinhua, sambil menambah lebih 700 penyelamat dikerahkan untuk mencari peserta yang hilang.


"Menurut ibu pejabat pasukan penyelamat, sekitar jam 1 pagi semalam, hujan batu dan angin kencang melanda kawasan pentas perlumbaan pada ketinggian antara 20 hingga 31 kilometer," lapor agensi itu.


Menurut laporan itu, suhu di pergunungan itu semakin menurun ketika tengah malam menyebabkan misi mencari dan menyelamat semakin sukar.


"Seramai 172 peserta mengambil bahagian dalam acara larian itu. Peserta mengalami ketidakselesaan fizikal dan tiba-tiba kehilangan suhu badan kerana penyusutan suhu udara," lapor agensi itu.


Yellow River Stone Forest terkenal dengan pemandangan indah batuannya yang dipercayai berusia lebih empat juta tahun dan sering dijadikan lokasi penggambaran filem dan televisyen, menurut China Daily.


Gansu, satu daripada wilayah termiskin di China, bersempadan dengan Mongolia di utara dan Xinjiang di barat. Kejadian banjir dan tanah runtuh yang dahsyat pernah melanda wilayah itu sebelum ini dengan tanah runtuh mengorbankan lebih 1,000 orang di satu bandar pada tahun 2010.


Pasukan penyelamat melakukan operasi dan menyelamat mangsa.


Sabtu, 22 Mei 2021

Lelaki bertindak 'pelik' bersenam lalu memanjat tembok sebelum jatuh

Lelaki bertindak 'pelik' bersenam lalu memanjat tembok sebelum jatuh


Lelaki bertindak 'pelik' apabila tiba-tiba bersenam lalu memanjat tembok sebelum jatuh dari tingkat 12 di flat di Jalan Loke Yew di Kuala Lumpur, hari ini.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki mahu terjun dari tingkat atas blok berkenaan pada 2.08 petang.


"Siasatan awal dilakukan mendapati lelaki berusia 37 tahun berkenaan dilihat berlegar-legar di tingkat 12 blok berkenaan pada 1.50 tengah hari.


"Sebelum kejadian itu, terdapat seorang saksi menegur lelaki terbabit dan dia hanya tersenyum dan tiba-tiba bersenam lalu memanjat tembok.


"Beberapa orang awam yang berada di lokasi cuba memujuk lelaki berkenaan selama beberapa minit sebelum dia jatuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, pemeriksaan terhadap tubuh badan lelaki itu mendapati terdapat beberapa kecederaan di kepala, bahu, tangan dan kakinya.


"Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.


Gambar daripada rakaman kejadian lelaki jatuh dari tingkat 12 sebuah flat di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Jumaat, 21 Mei 2021

Badan lelaki hancur, kereta meletup kenderaan berhampiran turut terbakar

Badan lelaki hancur, kereta meletup kenderaan berhampiran turut terbakar


Seorang lelaki maut dalam keadaan tragik dengan hancur anggota badan selepas kereta dipandunya meletup dipercayai dipanah petir dalam kejadian di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh, Kota Bharu, petang hari ini.


Kejadian jam 5.38 petang itu menyebabkan kenderaan jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa rentung dan terputus dua. Lima kenderaan lain yang berada berhampiran di lokasi kejadian turut terbakar susulan letupan berkenaan.


Difahamkan, sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang berada di lokasi kejadian turut menemui serpihan mercun di lokasi berkenaan. Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu ketika dihubungi berkata, seorang mangsa meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.


"Ketika kejadian terdapat lima kenderaan di lokasi berhampiran yang turut terbakar. Cermin masjid di lokasi berkenaan juga pecah akibat letupan kenderaan itu," katanya.



Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, tidak menolak kemungkinan kereta yang meletup dipercayai dipanah petir turut membawa mercun bola, letupan itu menyebabkan mangsa yang maut tercampak sejauh 20 meter dari lokasi kejadian.


Bagaimanapun, katanya, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan. Empat lagi mangsa yang berada dalam kenderaan berlainan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.



Khamis, 20 Mei 2021

Burger punya pasal, lelaki amuk rosakkan mesin juruwang

Burger punya pasal, lelaki amuk rosakkan mesin juruwang


Seorang pelanggan restoran makanan segera 'naik hantu' dan bertindak ganas, merosakkan mesin juruwang di kaunter premis itu kerana berlaku kesilapan pada pesanannya.


Melalui video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit lapan saat yang tular di media sosial itu, lelaki terbabit turut memaki hamun pekerja restoran berhampiran sebuah pasar raya di Ampang.


Rakaman itu turut menunjukkan lelaki terbabit kemudian menolak mesin juruwang yang berada di atas kaunter restoran berkenaan hingga jatuh ke lantai.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis menerima laporan kejadian itu daripada pengurus restoran pada jam 4.30 petang kelmarin.


Menurutnya, kejadian berlaku jam 12.15 tengah hari apabila seorang pelanggan lelaki datang ke kaunter dan membuat pesanan makanan.


"Lelaki itu memarahi pekerja yang sedang bertugas kerana silap menerima pesanan. Polis juga sudah merakam keterangan pengadu dan melawat lokasi kejadian," katanya.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang kerugian dan kecederaan yang dialami pengadu. Katanya, pengadu juga tidak berhasrat untuk meneruskan kes berkenaan.


Tular di media sosial seorang pelanggan lelaki memarahi pekerja sebuah restoran makanan segera di Ampang di sini, dipercayai kerana berlaku kesilapan pada pesanannya.

Tular di media sosial seorang pelanggan lelaki memarahi pekerja sebuah restoran makanan segera di Ampang di sini, dipercayai kerana berlaku kesilapan pada pesanannya.

Rabu, 19 Mei 2021

Anak saman ibu sendiri, tak puas hati jual tanah

Anak saman ibu sendiri, tak puas hati jual tanah


Seorang anak bertindak menyaman ibunya sendiri akibat tidak berpuas hati, gara-gara menjual tanah seluas lima hektar bernilai 260 juta rupiah (RM75,000), tanpa mendapat persetujuannya terlebih dahulu.


Yusriadi, 45, memfailkan saman terhadap Senah, 70, berhubung tanah pusaka ayahnya yang dijual. Menurutnya, ibunya hanya mendengar pendapat anak perempuannya, sedangkan dia tidak setuju dengan adik beradiknya yang lain.


Menurut Senah, anaknya bersikap dingin terhadapnya dan sanggup tidak menziarahinya ketika hari raya walaupun rumah mereka hanya berjarak dua meter di Kampung Lendang Are. 


Namun, Senah berkata, tanah yang dijual itu sememangnya bukan milik anak-anaknya tetapi untuk kegunaan pendaftaran haji. Arwah suaminya ada meninggalkan pesanan bahawa tanah itu adalah niatnya membayar nafkah untuk kegunaan menunaikan haji.


Menurut Senah, anak-anaknya sebelum ini menerima bahagian masing-masing apabila satu lagi tanah sawah seluas 12 hektar milik suaminya sudah dijual dan hasilnya dibahagikan kepada mereka. 


Sementara itu, Yusriadi tetap dengan pendirian untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap ibunya dan sudah melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis. 


Jelasnya, dia tidak pernah diajak berbincang mengenai penjualan tanah sedangkan dirinya merupakan anak lelaki sulung. Dia hanya meminta hak sebanyak 0.80 hektar daripada penjualan tanah bernilai 260 juta itu. Sumber: Kompas.com


Senah ketika tiba di Mahkamah Daerah Praya (PN), Lombok Tengah, pada Isnin (17/5/2021).