Selasa, 18 Mei 2021

Polis Sabah tembak mati lima anggota Abu Sayyaf di Beaufort

Polis Sabah tembak mati lima anggota Abu Sayyaf di Beaufort


KOTA KINABALU - Polis Sabah menembak mati lima lelaki dipercayai terbabit dalam kumpulan kecil militan Abu Sayyaf (ASG) dalam insiden berbalas tembakan di kawasan setinggan belakang Taman Sri Arjuna, Beaufort, semalam.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, salah seorang yang terbunuh adalah antara pemimpin (sub-leader) kumpulan Abu Sayyaf dan dinamakan dalam senarai dikehendaki kerajaan Filipina.


"Tiga lagi suspek dikenali sebagai Abhirsham Samsula@Samseed, Jurakhdam Binda, Alsimar Sukarno, manakala seorang lagi suspek belum dikenal pasti namanya. Semua suspek ini berusia antara 20-an hingga 40-an.


"Berdasarkan maklum balas pihak berkuasa Filipina, empat suspek yang ditembak mati disahkan sebagai ahli kumpulan ASG. Dua yang ditembak mati ini juga disahkan pernah terbabit dalam insiden pengeboman lori tentera pasukan keselamatan Filipina," katanya pada sidang akhbar di IPK Sabah sebentar tadi.


Mengulas lanjut mengenai kejadian, hasil operasi gabungan PDRM dan Esscom itu berjaya melumpuhkan satu sel Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah yang mempunyai kaitan atau baiah dengan kumpulan Daish.


"Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, seorang lelaki dikatakan secara tiba-tiba membuka pintu sebelum terus melepaskan tembakan ke arah pasukan polis. Pada masa sama, beberapa lagi suspek lain yang bersenjatakan pistol dan parang turut keluar dan melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan.



"Dalam usaha mempertahankan diri serta menghentikan ancaman, pasukan serbuan membalas tembakan. Semua penjenayah itu ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah yang menjalankan operasi Ops Khas.


"Polis turut merampas dua pucuk pistol, dua kelongsong peluru, 20 peluru hidup dan tiga bilah parang. Dalam insiden ini, semua anggota dan pegawai polis terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Kata Hazani, pihaknya mengesyaki masih ada lagi saki baki atau tali barut kepada kumpulan Abu Sayyaf ataupun pejuang Daish yang bersembunyi di Malaysia khususnya di Sabah.


Sehubungan itu, Hazani mengingatkan kepada pasukan keselamatan negara termasuk PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaab Maritim Malaysia (APMM) supaya sentiasa berhati-hati kerana kemungkinan besar berlaku tindak balas susulan kejayaan IPK Sabah kali ini.


Polis Sabah menembak mati lima lelaki dipercayai terbabit sebagai kumpulan kecil militan Abu Sayyaf (ASG) dalam insiden berbalas tembakan di kawasan setinggan belakang Taman Sri Arjuna, Beaufort semalam.

Hazani Ghazali (kiri) bersama Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superitendan Yusoff Zaki Mat Yaacob (depan tengah) menunjukkan senjata yang berjaya dirampas dalam serbuan di Beaufort, Sabah.
Dua beradik dapat RM346.67 juta kerana dipenjara secara salah selama 31 tahun

Dua beradik dapat RM346.67 juta kerana dipenjara secara salah selama 31 tahun


WASHINGTON - Dua saudara tiri Afrika-Amerika yang menghabiskan masa 31 tahun dalam penjara di Carolina Utara atas hukuman jenayah yang tidak dilakukan diberi pampasan sebanyak AS$84 juta (RM346.67 juta), kata peguam mewakili mereka, semalam.


Des Horgan berkata, ia adalah keputusan terbesar pernah dibuat juri ekoran pemenjaraan salah di Amerika Syarikat (AS). Ketika itu, kedua-dua tertuduh berusia 19 dan 15 tahun dan mengaku dipaksa untuk menandatangani pengakuan.


Henry Lee McCollum dan adik tirinya, Leon Brown, kedua-duanya cacat akal, disabitkan atas kesalahan merogol dan membunuh Sabrina Buie, seorang gadis berusia 11 tahun, pada 1983, yang mayatnya ditemui di ladang soya di Robeson County.


Sabitan mereka dibatalkan pada 2014 selepas penemuan bukti DNA menunjukkan lelaki lain di lokasi mayat gadis itu ditemui. Ia selepas penemuan puntung rokok berhampiran mayat mangsa masa kejadian. Lelaki tersebut pernah menjalani penjara atas jenayah yang sama.


McCollum dan Brown memfailkan kes hak sivil persekutuan dan juri, Jumaat lalu, menganugerahkan AS$84 juta (RM346.67 juta) sebagai ganti rugi, ganti rugi punitif dan faedah.


"Juri berpesan, masa lalu yang mengabaikan hak orang miskin dan perbezaan warna kulit yang terpinggir di daerah luar bandar, sudah lenyap. Mereka gembira kerana menang, mereka gembira kerana juri kata polis itu salah. Mereka dilepas dan dibebaskan," kata Hogan.


Henry Lee McCollum (kiri) dan adik tirinya, Leon Brown, kedua-duanya cacat akal, disabitkan atas kesalahan merogol dan membunuh seorang gadis berusia 11 tahun, pada 1983.

Isnin, 17 Mei 2021

Video tular 'The Real Raya' tunggang motosikal tayang aksi 'pacak' seorang lelaki ditahan polis

Video tular 'The Real Raya' tunggang motosikal tayang aksi 'pacak' seorang lelaki ditahan polis


KUALA LUMPUR - Padah tayang aksi tunggang motosikal secara berbahaya tanpa menghiraukan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain, seorang lelaki ditahan polis, semalam. Kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi di sekitar ibu negara pada 13 Mei lalu menjadi tular.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya telah mengesan satu video tular berdurasi 28 saat yang dimuat naik ke laman sosial media.


Rakaman video dengan tajuk 'The Real Raya in Kuala Lumpur' itu memaparkan tindakan seorang lelaki berbaju melayu lengkap berkopiah dan berselipar menunggang motosikal Yamaha RX-Z dalam keadaan berbahaya dengan aksi wheelie atau 'tunggang pacak'.


"Bertindak atas laporan polis yang diterima, Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur yang diketuai oleh Inspektor Mohammad Solihi Shafie telah berjaya mengesan serta menahan suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun kira-kira pukul 7 petang semalam.


"Pasukan polis yang melakukan tangkapan turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ serta merampas pakaian yang digunakan oleh suspek dalam video tersebut," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.


Difahamkan, pihak polis turut dalam usaha menjejaki seorang lagi kenalan suspek yang merakamkan aksi menunggang motosikal secara merbahaya itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana bersubahat.


Menurut Zulkefly, semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditangkap sebanyak dua kali sebelum ini di atas kesalahan yang sama dan telah dihukum di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada tahun 2018.


Dia dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat selama 12 bulan dan lesen memandu digantung selama dua tahun pada tahun 2020. Kata Zulkefly, suspek kini ditahan dibawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Maut diserang sakit jantung ketika memandu, menyebabkan kenderaan rempuh pokok

Maut diserang sakit jantung ketika memandu, menyebabkan kenderaan rempuh pokok


GUA MUSANG - Seorang lelaki maut dipercayai mengalami serangan jantung ketika memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda CRV, menyebabkan kenderaannya terbabas sebelum merempuh pokok lalu terbalik, di Jalan Persiaran di sini, hari ini.


Dalam kejadian 5.50 pagi itu, mangsa yang tinggal di Taman Kesedar Petra dalam perjalanan ke Masjid Tengku Muhammad Fa-iz Petra, untuk menunaikan solat Subuh.


 "Arwah papa ada mengadu sakit dada sejak pagi semalam tetapi enggan ke hospital untuk rawatan," kata Abdul Hazim Abd Halim, 24. Abdul Hazim adalah anak kepada pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) Abd Halim Ibrahim, 58, (mangsa).


Abdul Hazim berkata, ibu sudah melarang ayahnya supaya tidak menunaikan solat Subuh di masjid, namun arwah tetap berkeras untuk pergi.


"Arwah papa tidak pernah tinggal solat Subuh berjemaah di masjid itu dan mengagah diri memandu kereta seorang diri sebelum kejadian," katanya ketika ditemu di Bilik Forensik Hospital Gua Musang (HGM) di sini, hari ini.


Abdul Hazim berkata, sebelum ini arwah sihat, namun pada 6 pagi semalam dia memberitahu ibu rasa tidak sedap hati dan sakit di bahagian dada serta ingin berehat.


"Pagi ini sebelum ke masjid, sekali lagi papa mengadu sakit dada tetapi berkeras untuk ke masjid. Saya mendapat berita mengenai kejadian menimpa papa ketika berada di pejabat dan bergegas pulang, kami sekeluarga reda dengan pemergian papa pada 5 Syawal," katanya.


Sementara, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa memandu kenderaan seorang diri sebelum MPV dipandu terbabas ke kiri jalan dan hilang kawalan lalu melanggar pokok sebelum terbalik.


Beliau berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan teruk, namun dipercayai meninggal akibat serangan jantung ketika memandu. Mayatnya di hantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.

Penyelidik temui spesies dinosaur baharu yang 'banyak bercakap' berusia 73 juta tahun di Mexico

Penyelidik temui spesies dinosaur baharu yang 'banyak bercakap' berusia 73 juta tahun di Mexico


Dinosaur telah pupus jutaan tahun dahulu dan kewujudannya hanya dapat dibuktikan melalui penemuan fosil. Terbaharu, ahli paleontologi mengenal pasti spesies dinosaur baharu hasil penemuan spesimen berusia 73 juta tahun di utara Mexico.


Menurut Institut Sejarah dan Antropologi Kebangsaan (INAH) negara itu pada Khamis lalu memaklumkan, penyelidik berpendapat keadaan di mana dinosaur itu ditemui menjelaskan bagaimana rangkanya terpelihara sehingga kini.


"Kira-kira 73 juta tahun lalu, dinosaur herbivor yang besar mati dengan badannya mendap dengan air dan penuh sedimen, yang memudahkan badan haiwan itu mudah ditutupi dan terpelihara selama berabad-abad," kata institut itu dalam satu kenyataan.


Menurutnya, penyelidik berpendapat dinosaur tersebut adalah daripada spesies herbivor yang hanya makan tumbuh-tumbuhan. Haiwan itu dipanggil Tlatolophus galorum. Ekornya ditemui pertama kali, di wilayah General Cepeda di utara Coahuila pada 2013.


Ketika penggalian berterusan, mereka akhirnya menemui 80 peratus tengkoraknya, tulang-tulang paha dan bahu, yang membolehkan penyelidik akhirnya menyedari tahun ini (2021) bahawa mereka memiliki spesies dinosaur baharu.


"Dinosaur ini memiliki telinga dengan kemampuan untuk mendengar suara frekuensi rendah, jadinya kemungkinan besar dinosaur ini yang tenang tetapi banyak bercakap (mengeluarkan bunyi)," kata kenyataan itu.


Ahli paleontologi juga percaya bahawa dinosaur itu mengeluarkan suara yang kuat untuk menakut-nakutkan pemangsa atau untuk tujuan pembiakan.



Menurut INAH, kajian ini masih di peringkat awal namun penyelidikan tersebut sudah diterbitkan dalam jurnal saintifik Cretaceous Research. Mereka menganggap ia adalah kes luar biasa dalam bidang paleontologi Mexico.


"Penemuan fosil berusia jutaan tahun ini adalah perkara yang sangat menggembirakan kami. Jika dilihat keadaan di mana ia ditemukan, ketika itu Coahuila adalah wilayah tropika.


"Nama Tlatolophus berasal daripada bahasa Nahuatl iaitu tlahtolli yang bermaksud kata atau pernyataan dan kata Greek lophus, yang bermaksud kepala," kata INAH.


Bentuk kepala binatang seperti yang dikatakan oleh INAH adalah simbol yang digunakan oleh orang Mesoamerika dalam manuskrip purba untuk menggambarkan tindakan komunikasi dan pengetahuan. - Sumber Everything Dinosaur.


Tengkorak Tlatolophus galorum. - Foto Juan Miguel Contreras Fotógrafo (técnico del Instituto de Geología).

Gambar ilustrasi dinosaur spesies Tlatolophus galorum. - Foto Marco Pineda.

Ahli paleontologi menemui ekor dinosaur spesies Tlatolophus galorum di utara Coahuila, Mexico pada 2013. - Foto Berita Harian

Ahad, 16 Mei 2021

Kisah Juana Maria, Terkandas 18 Tahun Hidup Sendirian Di Pulau Tak Berpenghuni

Kisah Juana Maria, Terkandas 18 Tahun Hidup Sendirian Di Pulau Tak Berpenghuni


Wanita bernama Juana Maria, adalah salah seorang yang mempunyai sejarah kehidupan yang pelik di dunia, menyebabkan kisahnya diangkat dalam sebuah buku klasik bertajuk Island of The Blue Dolphins, yang ditulis oleh Scott O'Dell.


Juana Maria dilahirkan pada awal abad ke-19, tetapi tidak diketahui secara tepat tarikh dia dilahirkan. Dia menjadi terkenal kerana menghabiskan seluruh hidupnya sendirian terasing jauh dari masyarakat. Dia ditemui pada tahun 1853 selepas 18 tahun menjalani kehidupan seorang diri di pulau San Nicolas, salah satu kepulauan di California.


Masa hidupnya agak singkat hanya tujuh minggu selepas ditemui dia meninggal dunia kerana sakit. Sejarawan juga hanya dapat mengumpulkan beberapa fakta dan data mengenai kehidupan Juana, tetapi di sebalik semua itu ada kehidupan tragis yang dia jalani.


Sekumpulan pemburu menyerang perkampungan mereka antara tahun 1811-1814. Ketika itu, bulu dan kulit haiwan merupakan salah satu sumber semula jadi yang diperdagangkan antara penduduk pribumi di Amerika Utara dan penjajah Eropah.



Pada tahun 1811, syarikat Russian American Company mula melakukan aktiviti memburu di sepanjang pantai California kerana kulit haiwan itu mempunyai nilai yang tinggi. Pada peringkat awal, sekumpulan penduduk asli puak Kodiak dari Alaska seramai 25 hingga 30 orang telah diupah sebagai pemburu untuk ekspedisi ini.


Pada satu ketika semasa ekspedisi ini berlangsung, puak asli Kodiak telah ditinggalkan di Pulau San Nicolas secara berperingkat untuk memburu anjing laut. Walaupun pulau itu sedikit jauh dan terpencil daripada tanah besar di California, namun ia mempunyai penghuni asal.


Kaum Kodiak dikatakan mengalami konflik dengan penduduk pulau itu dan telah membunuh hampir semua kaum lelaki. Wanita dan kanak-kanak pula telah diambil menjadi hamba. Sejarah tidak menceritakan dengan jelas apa yang berlaku terhadap puak Kodiak selepas itu kerana mereka menghilang daripada pulau itu pada suatu ketika. 


Malang bagi penduduk di Pulau San Nicolas, populasi mereka telah menurun secara drastik selepas berhadapan dengan puak Kodiak. Setelah puak Kodiak meninggalkan San Nicolas, dianggarkan kurang daripada seratus orang sahaja yang penduduk di Pulau itu.



Kemudian, pada tahun 1830-an suku Juana dipindahkan dari pulau San Nicolas oleh pemerintah setempat. Satu pasukan dikenali sebagai Santa Barbara Mission telah melakukan operasi pada tahun 1835 untuk membawa penduduk pulau itu ke tanah besar.


Operasi itu berjaya membawa keluar semua penduduk kecuali seorang, dia ialah Juana Maria. Mengikut satu versi cerita, Juana Maria telah menaiki kapal penyelamat itu namun menyedari bahawa anak kecilnya hilang.


Dia kemudian kembali ke kampungnya tetapi mendapati bahawa anaknya telah dibunuh oleh anjing liar. Disebabkan ribut yang sedang menghampiri, kapal itu terpaksa meninggalkan pulau itu dengan cepat.


Tidak semua orang percaya dengan versi popular cerita ini. Satu lagi versi menceritakan, disebabkan ribut menghampiri pulau itu, krew kapal tidak menghitung para penduduk yang diselamatkan dan mereka meninggalkan pulau itu dalam keadaan tergesa- gesa.


Akibatnya, Juana Maria telah menghabiskan 18 tahun hidupnya dengan tinggal seorang diri di pulau terpencil itu. Pada tahun 1853, seorang kapten kapal Peores Nada bernama George Nidever menemui Juana Maria. Dia kelihatan gembira apabila melihat Nidever serta anak-anak kapalnya dan bersedia untuk mengikuti mereka kembali ke tanah besar.


Di Santa Barbara, Juana Maria telah menjadi tumpuan dan dia telah didatangi ramai orang yang ingin melawatnya. Juana Maria kelihatan seronok dengan layanan yang diterimanya itu. Malangnya setelah tujuh minggu berada di tanah besar, Juana Maria telah meninggal dunia akibat disentri atau berak berdarah.


Sketsa, ketika Juana Maria ditemukan.


Tugu Juana Maria di  Santa Barbara.

Seluar jeans berusia lebih 100 tahun, pernah ditawar RM1 juta pun tak jual

Seluar jeans berusia lebih 100 tahun, pernah ditawar RM1 juta pun tak jual


Bagi penggemar barangan lama atau antik, koleksi yang dikumpul atau dijual mereka bukan dinilai pada wang semata-mata, sebaliknya usia koleksi berkenaan yang mencecah ratusan tahun, lebih-lebih lagi jika ianya tiada pendua atau edisi terhad.


Maka tidak hairan jika ada pihak yang sanggup mendapatkannya terutama peminat, pengusaha dan penggemar barangan 'rare' walaupun harganya mencecah ribuan dan ada sehingga ratusan ribu ringgit, kerana setiap barangan antik mempunyai nilai sejarah dan kisahnya tersendiri.


Baru-baru ini seorang pemilik bundle Tokor Amerika, Ahmad Baihaki Hussin, 40, berkongsi pengalamannya terbang ke Amerika Syarikat (AS), semata-mata mendapatkan seluar jeans pertama dan tertua di dunia.


Seluar jeans Levis keluaran pertama 1890 itu dibelinya daripada pelelong di AS. Kisahnya bermula selepas melihat satu dokumentari di YouTube. Sejak itu dia mula menjadi 'pemburu' jeans berusia 130 tahun itu dan mencarinya di sekitar AS.


"Jeans poket satu ataupun yang dikenali sebagai First Blue Jeans ini dibeli daripada seorang pelelong di AS pada 2018. Saya mengetahui mengenai kewujudan seluar ini selepas melihat satu dokumentari di YouTube menyebabkan tergerak hati ke AS.


"Pertama sekali saya ke Maine, Portland sebelum diberitahu pemilik sebenar jeans berkenaan berada di Tucson. Saya kemudian menemui tapak rumah asal pemilik jeans itu dan diberitahu rumah berkenaan sudah dijual.


"Saya dapat nombor telefon individu yang memegang seluar itu dan cuba menghubungi dan e-mel setiap hari sepanjang berada di sana namun tiada sebarang jawapan. Kemudian, saya pulang semula ke Ibu Pejabat Levis terletak di San Francisco sebelum dihubungi individu yang juga pelelong jeans berkenaan.


"Saya menawarkan untuk membeli jeans itu dengan harga yang berpatutan bagi sehelai jeans yang berusia lebih daripada 100 tahun dan akhirnya dia bersetuju untuk menjualnya. Maksud harga yang bepatutan adalah harga yang diketahui umum bagi pengumpul barangan vintage seluruh dunia," katanya.


Ahmad Baihaki berkata, dia diberitahu jeans pertama Levis itu dengan kondisi terbaik milik seorang lelaki berasal dari Jerman dengan saiz 44. Seluar tersebut dipercayai ditemui cucunya dalam satu bekas kayu dan disebabkan itu kondisinya masih elok.


"Saya kira jeans yang saya miliki ini adalah yang tertua di dunia dengan kondisi terbaik. Saya dan rakan turut memiliki jeans model tahun 1922 yang dibeli di Jepun pada 2018, serta Jeans Nevada model pertama Levis berusia 1873 dibeli di Amerika" katanya.


Menceritakan lebih lanjut, Ahmad Baihaki berkata, pernah ditawarkan RM1 juta oleh pengumpul koleksi dari Jepun dan Thailand, untuk menjual jeans miliknya namun menolaknya mentah-mentah berikutan pakaian itu susah untuk diperoleh.


"Bukan tidak pentingkan duit, tetapi koleksi yang kami ada sangat unik, kemungkinan kalau jumpa koleksi sama saya akan lepaskan yang ini, siapa tahu. Perniagaan bundle juga satu pelaburan, tetapi membabitkan pakaian yang unik saja," katanya. - Sumber Harian Metro.


Ahmad Baihaki menunjukkan koleksi jeans berusia lebih 100 tahun yang dimilikinya.

Sabtu, 15 Mei 2021

Syarikat paip minyak terbesar AS digodam, bayar wang tebusan lebih RM20 juta

Syarikat paip minyak terbesar AS digodam, bayar wang tebusan lebih RM20 juta


Sistem saluran paip minyak terbesar Amerika Syarikat (AS) terpaksa ditutup selepas berlaku serangan siber terhadap sistem perisian pengurusan paip berkenaan. Sindiket itu meminta wang tebusan untuk Colonial Pipeline beroperasi semula.


Menurut Kosmo Online yang dipetik dari saluran berita Bloomberg News melaporkan bahawa, pengurusan saluran paip minyak utama Amerika Syarikat (AS), Colonial Pipeline membayar wang tebusan hampir AS$5 juta (RM20.7 juta ) kepada kumpulan penjenayah beberapa jam selepas serangan siber berlaku Jumaat lalu.


Syarikat Alpharetta yang mengendalikan Colonial Pipeline berkata, pihaknya membayar wang tebusan itu dalam bentuk matawang maya yang tidak boleh dikesan. Selepas menerima bayaran itu, mereka memberikan aplikasi penyahkod untuk memulihkan sistem komputer Colonial Pipeline.



Bagaimanapun, syarikat itu memilih menggunakan sistem sokongan sendiri ekoran penyahkod yang dihantar berfungsi dengan lembab. Biro Siasatan Persekutuan (FBI) percaya serangan siber melumpuhkan itu dilakukan oleh kumpulan penjenayah Rusia dikenali sebagai Darkside.


Colonial Pipeline menyatakan bahawa pihaknya memulakan semula operasi petang Rabu lepas manakala menjelang pagi semalam semua perkhidmatannya kembali normal.


"Sebuah firma keselamatan siber pihak ketiga sedang menyiasat kejadian ini dan kami sudah menghubungi penguatkuasa undang-undang serta agensi persekutuan lain," kata syarikat itu dalam kenyataan, semalam.


The Colonial Pipeline Company adalah syarikat mengedar petrol dan bahan bakar jet dari Pantai Teluk Texas ke Pantai Timur AS melalui saluran paip sejauh 8,850 kilometer bagi memenuhi keperluan 50 juta penggunanya.


Syarikat berpusat di selatan Georgia itu adalah operator saluran paip terbesar di AS berdasarkan jumlah perkhidmatan, mengangkut 2.5 juta tong petrol, diesel, minyak pesawat dan pelbagai produk petroleum diproses setiap hari.

Rabu, 12 Mei 2021

Lelaki mempunyai 16 isteri, 151 orang anak masih berhasrat mahu miliki 100 isteri sebelum mati

Lelaki mempunyai 16 isteri, 151 orang anak masih berhasrat mahu miliki 100 isteri sebelum mati


Seorang lelaki dari Zimbabwe, mengaku hidupnya bahagia di samping 16 isteri serta 151 orang anak. Walaupun sudah berusia 66 tahun, lelaki ini masih bercita-cita untuk memiliki 100 isteri dan 1,000 anak sebelum dia meninggal dunia.


Menurut lapor akhbar Daily Mail, semalam, Misheck Nyandoro, 66, yang tidak bekerja berkata, tugasnya adalah untuk melayani kesemua isterinya. Nyandoro yang bakal berkahwin dengan isteri ke-17 pada musim sejuk 2021 nanti, mengatakan kerjanya hanya meniduri 4 isterinya mengikut jadual sebagai kaedah menambah ahli keluarga.


"Setiap malam, saya akan tidur di bilik 4 orang isteri mengikut jadual. Begitulah rutin harian saya iaitu untuk melayan kesemua isteri, saya tiada pekerjaan lain," jelasnya.


Nyandoro juga mendakwa biarpun dia tidak bekerja, dia hidup mewah kerana sering diberikan wang dan hadiah oleh anak-anaknya. Lelaki itu mula hidup berpoligami sejak 1983 dan tidak berhasrat untuk berhenti berbuat begitu sehinggalah dia mati kelak.



Dia juga mendakwa kesemua isterinya gembira dengan cara hidup sebegitu. Keluarga besar Nyandoro hidup bergantung pada hasil pertanian dan telah diberikan tanah seluas 93 hektar berdekatan pergunungan Mvurwi untuk diusahakan.


Nyandoro berkata hidupnya bebas tekanan kerana dia tidak bekerja dan kesemua isterinya amat sayangkan dia serta akan memasak pelbagai juadah berbeza kepada Nyandoro.


"Saya juga hanya makan makanan yang enak, sekiranya masakan isteri tidak menepati selera, saya akan menghantar pulang makanan itu supaya dia belajar dan memperbaiki masakannya," jelas lelaki itu.


Enam anaknya ialah anggota tentera, dua polis dan 11 lagi bekerjaya dalam pelbagai profesion manakala 13 anak perempuannya sudah berkahwin. Dua isterinya sedang mengandung dan 23 anak lelakinya sudah berkahwin, salah satunya mengikut jejak ayahnya, dengan empat isteri.


Nyandoro kali terakhir berkahwin pada 2015 sebelum berhenti kerana situasi ekonomi yang memburuk di Zimbabwe. Dia menyatakan akan kembali merancang projek poligaminya pada tahun 2021 ini. Sumber: Daily Mail


Selasa, 11 Mei 2021

RM4,758 satu tan, harga sawit pecah rekod tertinggi dalam sejarah kali ke-10 tahun ini

RM4,758 satu tan, harga sawit pecah rekod tertinggi dalam sejarah kali ke-10 tahun ini


Harga minyak sawit mentah (MSM) memecah rekod buat kali ke-10 dalam tahun ini, apabila mencatat harga tertinggi dalam sejarah iaitu pada RM4,758 satu tan, semalam.


Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini, berkata harga tertinggi terakhir direkodkan komoditi itu ialah RM4,652 satu tan pada 6 Mei lalu.


"Harga minyak sawit mentah memecahkan rekod lagi dengan RM4,758 satu tan metrik pada 10 Mei 2021. Harga tertinggi terakhir ialah pada 6hb Mei iaitu RM4,652. Ini kali ke 10 rekod harga tertinggi dalam sejarah sawit dicatatkan pada tahun 2021.


"Dengan kenaikan harga Buah Tandan Segar melebihi RM1,000 satu tan metrik para peneroka dengan kebun sawit seluas 4.04 hektar (10 ekar) boleh mengecapi pendapatan sekitar RM6,000 sebulan," katanya.


Semalam, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata harga MSM melonjak 12.03 peratus dalam tempoh hanya dua bulan sejak 15 Mac lalu.


Beliau berkata, prestasi positif harga MSM disokong peningkatan harga minyak kacang soya, lonjakan eksport dan stok minyak sawit yang masih terkawal.


"Eksport minyak sawit Malaysia melonjak 12.6 peratus kepada 1.34 juta tan pada April 2021 berbanding 1.19 juta tan pada Mac 2021 disebabkan peningkatan permintaan dari negara pengimport utama.


"Stok minyak sawit susut 24.4 peratus kepada 1.55 juta tan pada April 2021 daripada 2.04 juta tan bulan sama tahun lalu. Ini disebabkan pengeluaran MSM bagi Januari hingga April 2021 adalah enam peratus lebih rendah kepada 5.18 juta tan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 5.51 juta tan," katanya.