Selasa, 11 Mei 2021

Wanita diculik makhluk asing sebanyak 53 kali sejak 1982

Wanita diculik makhluk asing sebanyak 53 kali sejak 1982


Seorang wanita mendakwa dirinya pernah diculik oleh makhluk asing lebih 50 kali sejak kecil malah pernah dibawa menaiki objek terbang tidak dikenali (UFO). Paula Smith, 50, dari Bradford, England berkata dia menpunyai bukti untuk menyokong dakwaannya itu. 


Lapor akhbar Daily Star, Sabtu lalu, Paula mengatakan bahawa makhluk asing itu menculiknya berkali-kali sehingga meninggalkan kesan lebam pada badannya. Dia juga telah melukis makhluk asing itu untuk menggambarkan rupa mereka.


"Saya sudah mengalami 53 insiden paranormal. Tiada amaran diberikan dan kejadian itu berlaku begitu sahaja. Saya hanya mampu meneruskan kehidupan seperti biasa kerana jika tidak saya akan menjadi gila," ujarnya.


Menurut Paula, kali pertama dia melihat kapal angkasa itu pada tahun 1982 ketika berada dalam sebuah hutan. Dia menggambarkan kapal itu berbentuk 'bola terbang' tinggi kira-kira 30 kaki dan lebar 30 kaki, berwarna hitam dengan cahaya hijau dan biru di tepinya, berpusing mengikut arah jam.



Menceritakan mengenai pengalamannya berada di dalam UFO, Paula berkata, ketika diculik makhluk asing tersebut mereka menunjukkan kepadanya teknologi yang tidak dimiliki oleh manusia.


"Saya cuba melarikan diri namun kaki terasa kaku dan seolah-olah terbenam ke dalam tanah. Kemudiannya, semuanya bertukar menjadi gelap. Mereka memperlihatkan tayangan slaid pemandangan murni yang mempunyai sungai yang indah kemudian bertukar menjadi hitam.


"Langit biru menjadi merah darah dan saya segera menyedari ia adalah tayangan Bumi yang dihancurkan oleh kerakusan manusia. Namun, saya percaya ada jutaan orang seperti saya di luar sana yang mempunyai pengalaman yang sama," katanya. 


Meskipun telah diculik berkali-kali, Smith tidak pernah bercakap tentang hal tersebut selama ini kerana sedar orang akan menggelarnya tidak siuman. Sumber: Daily Star


Lukisan minyak yang dihasilkan Paula yang menggambarkan wajah makhluk asing yang menculiknya.

Paula mendakwa akan mendapat kesan lebam setiap kali selepa 'diculik' makhluk asing.

Ahad, 9 Mei 2021

Penemuan Katak 'Gergasi' Menggemparkan Orang Ramai, Rasanya Lebih Sedap Dari Ayam

Penemuan Katak 'Gergasi' Menggemparkan Orang Ramai, Rasanya Lebih Sedap Dari Ayam


Seekor katak gergasi sebesar bayi manusia berjaya ditangkap selepas dilihat berkeliaran di sebuah kawasan perkampungan di Kepulauan Solomon. Penemuan katak gergasi itu turut mengejutkan penduduk yang tinggal di pinggir Honaira, ibu negara Kepulauan Solomon. 


Lapor Daily Star, seorang pemilik kilang kayu, Jimmy Hugo menemui katak itu bulan lalu ketika sedang memburu babi liar di kawasan tersebut. Beberapa gambar yang dimuat naik di laman media sosial menunjukkan katak itu bertenggek atas lutut seorang penduduk bernama Mostin.


Sekeping lagi gambar menunjukkan seorang kanak-kanak sedang memegang katak tersebut yang dilihat hampir separuh besar badan budak tersebut. Perkongsian gambar-gambar tersebut di akaun Facebook miliknya itu telah menggemparkan netizen di akaun sosial media.


Dalam catatannya, Hugo berkata, reptilia yang dijumpai itu merupakan katak paling besar yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Katanya, katak berkenaan dikenali sebagai 'ayam belukar' dalam kalangan penduduk pulau tersebut.


"Penduduk menggelar reptilia itu sebagai ayam belukar kerana rasanya lebih sedap daripada ayam, namun sukar ditangkap," katanya.



Menurut pakar biologi, Patrick Pikacha, Katak yang ditemukan itu dipercayai merupakan spesies Cornufer guppyi, salah satu katak terbesar di dunia. Katak terbesar di dunia pula adalah Goliath Afrika, pernah ditemui di Cameroon berukuran 36 sentimeter panjang.


Jelas Dr Pikacha, katak di Pulau Solomon ini kini terancam akibat aktiviti pembalakan. Selain itu, bahan kimia yang dilepaskan ke dalam sungai turut mengakibatkan kematian amfibia tersebut.


Jelasnya lagi, walaupun katak yang dikongsi Hugo itu agak besar, dia pernah menemui saiz lebih besar daripada itu di Pulau Gatokae, salah satu pulau kecil di barat Pualau Solomon.


"Seekor katak yang pernah saya temui berukuran 30 sentimeter panjang, sepanjang sebuah pembaris panjang. Ketika itu katak berkenaan sedang makan seekor ulat jadi ia tidak cuba melarikan diri," katanya. Sumber: Daily StarABC News


Roket China Sudah Terhempas Di Lautan Hindi

Roket China Sudah Terhempas Di Lautan Hindi


Serpihan roket Long March 5B milik negara China yang berada 'di luar kawalan' dilapor telah jatuh di Lautan Hindi. Lokasi terhempas difahamkan di barat daya India dan Sri Lanka, perairan berhampiran Maldives kata jurucakap negara China.


Roket Long March 5B, yang dilancarkan dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang pada 29 April lalu, ditugaskan untuk membawa modul pertama stesen angkasa masa depan China ke orbit.


Ia kembali memasuki atmosfera pada jam 3.24 pagi waktu Britain, dengan sebahagian besar komponennya musnah ketika itu, roket berkenaan memasuki atmosfera bumi pada Ahad, hari ini, sebelum berkecai di lautan berkenaan.


"Selepas pemantauan dan analisis, pada 10.24 pagi (0224 Waktu Min Greenwich) pada 9 Mei 2021, serpihan besar Long March 5B Yao-2 sudah memasuki atmosfera," kata Agensi Kejuruteraan Angkasa Lepas China dalam kenyataan.


Agensi itu turut memberikan koordinat yang menjadi lokasi serpihan roket itu bertaburan. Menurutnya, kebanyakan daripada serpihan itu berkecai dan musnah ketika ia memasuki atmosfera bumi.


Perkhidmatan pemantauan, Space-Track, yang menggunakan data daripada Tentera Amerika Syarikat, juga mengesahkan kemasukan semula roket itu ke atmosfera bumi.


"Semua orang yang mengikuti kemasukan semula roket Long March 5B boleh relaks. Roket itu sudah jatuh," katanya menerusi Twitter.


Berita itu membuktikan jangkaan pakar sebelum ini bahawa serpihan roket berkenaan akan jatuh di lautan, memandangkan hampir 70 peratus bumi diliputi air. Bagaimanapun, kemasukan serpihan besar tanpa kawalan itu sebelum ini menimbulkan kebimbangan mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.


Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) dan Eropah antara yang memantau pergerakan roket itu dan cuba meramalkan masa dan lokasi dia terhempas. Setiausaha Pertahanan AS sebelum ini berkata, tentera AS tidak mempunyai rancangan untuk menembak jatuh roket itu.


Bagaimanapun, pihaknya beranggapan China cuai dalam membiarkan roket itu keluar dari orbit. Tahun lalu, serpihan daripada satu lagi roket Long March menimpa perkampungan di Ivory Coast, tetapi ia tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa.


"Kemasukan semula (terhempas) di laut adalah kebarangkalian besar yang selalu berlaku," kata ahli astronomi Harvard, Jonathan McDowell menerusi Twitter.

Wanita tinggal selama 6 bulan dalam hutan bergantung hidup makan lumut dan rumput

Wanita tinggal selama 6 bulan dalam hutan bergantung hidup makan lumut dan rumput


Seorang wanita yang dilaporkan hilang hampir enam bulan lalu ditemui tinggal di sebuah khemah dalam hutan nasional di Utah, Amerika Syarikat. Dia hanya bergantung hidup dengan makan lumut dan rumput setiap hari.


Jabatan Sherif Utah mengesahkan wanita berusia 47 tahun itu ditemui tinggal dalam sebuah khemah di Uinta-Wasatch-Cache National Forest, Utah, Ahad lalu selepas sebuah dron yang mengesannya terhempas di kawasan berdekatan.


Semasa mencari dron yang terhempas, mereka menemui sebuah khemah yang kelihatan usang, apabila khemah dibuka mendapati wanita itu ada didalamnya dengan keadaan lesu dan kurang bermaya.


"Wanita ini kehilangan berat badan ketara dan sangat lemah, tetapi dia pandai mencari ikhtiar meneruskan hidup," katanya dalam satu kenyataan.


Pihak berkuasa percaya wanita itu secara sukarela berpindah ke Diamond Fork Canyon dan bergantung kepada sedikit makanan yang dibawanya termasuk rumput dan lumut. Dia juga dilaporkan mendapatkan air dari sungai berhampiran.



Jabatan Sherif Utah mula melakukan misi mencari dan menyelamat wanita itu pada November 2020 selepas pegawai Jabatan Hutan Amerika Syarikat menemui kenderaannya terbengkalai di kawasan tapak perkhemahan sebelum menggunakan dron mengesan wanita itu.


Wanita itu dihantar ke hospital berdekatan untuk melalui ujian kesihatan mental namun sukar kerana kemungkinan wanita itu memilih kembali menetap di hutan itu.


"Dia kemungkinan melalui cabaran kesihatan mental ketika tinggal dalam hutan. Kami ingin jelaskan, walaupun ramai orang memilih untuk tidak hidup seperti wanita ini namun wanita ini tidak melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang," kata jabatan itu dalam New York Post. Sumber: New York Post


Wanita yang hilang enam bulan lalu ditemui masih hidup dengan menetap dalam khemah di hutan Utah.

Sabtu, 8 Mei 2021

Imej Pertama Roket China 'Serpihan' Dijangka Terhempas Ke Bumi Dirakam Bersinar 435 Batu Dari Bumi

Imej Pertama Roket China 'Serpihan' Dijangka Terhempas Ke Bumi Dirakam Bersinar 435 Batu Dari Bumi


Roket China telah menjadi tajuk berita utama pada minggu ini selepas dilaporkan hilang kawalan yang dijangka akan terhempas di bumi. Imej pertama roket China iaitu Long March 5B di garisan orbit telah didedahkan oleh ahli astronomi.


Menurut Daily Mail, Virtual Telescope Project dari Itali merakam gambar roket itu yang muncul seperti cahaya yang berkelipan selepas melepasi teleskop robotik kumpulan Elena. Penyelidik berkata, roket itu bergerak sangat laju selepas melepasi jarak 700 kilometer melepasi teleskop projek itu, pada malam Rabu.


Gianluca Masi berkata, ahli astronomi yang terlibat dalam Virtual Telescope Project dan yang mengambil gambar roket itu menyatakan, teleskop robotik itu berjaya merakam imej serpihan roket itu ketika matahari hanya berada di beberapa darjah di bawah cakerawala sehingga langit menjadi sangat terang.


"Ini merupakan satu lagi kejayaan apabila robot kami menunjukkan kemampuan luar biasa dalam mengesan objek tersebut," katanya.


Agensi angkasa lepas dan ahli astronomi di seluruh dunia sedang mengesan laluan roket Ling March 5B dengan harapan dapat bersiap sedia ketika roket itu terhempas ke bumi. Roket itu menjadi perbincangan hangat minggu ini selepas dilaporkan hilang kawalan dan dijangka terhempas pada hari Sabtu atau Ahad ini.



Beberapa pakar bimbang serpihan kapal angkasa itu boleh jatuh di kawasan penempatan penduduk. Bagaimanapun, agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (AS) pula menjangka serpihan roket itu akan terhempas di Lautan Pasifik berdekatan garisan Khatulistiwa kawasan yang tidak berpenghuni selepas melalui kawasan bandar di timur AS.


Roket Long March 5B ini ditugaskan untuk menghantar Tianhe, blok bangunan stesen angkasa China pertama yang akan datang, ke orbit minggu lalu. Tianhe telah dilancarkan dari Wenchang Space Launch Centre di Hainan, China pada roket Long March 5B, iaitu roket pengangkut terbesar China, pada hari Khamis (29 April).


Pelancaran Tianhe ini dikatakan adalah yang pertama dari 11 misi yang diperlukan untuk menyiapkan stesen angkasa China yang akan datang. China berhasrat menjadi kuasa utama angkasa lepas pada 2030 untuk duduk setanding dengan pesaingnya termasuk AS, Rusia dan Agensi Angkasa Lepas Eropah.


China menjangkakan untuk menyiapkan Stesen Angkasa China yang dikenali sebagai Tiangong pada akhir tahun 2022, lapor media tempatan, selepas lebih banyak modul dilancarkan. Apabila sudah siap, Stesen Angkasa China akan mengorbit bumi pada ketinggian 340 hingga 450 kilometer. Sumber: Daily Mail Online

Jumaat, 7 Mei 2021

Tebang pokok betik didakwa dirasuki roh jahat, lelaki dihukum penjara 3 minggu

Tebang pokok betik didakwa dirasuki roh jahat, lelaki dihukum penjara 3 minggu


Di era moden ini, ada lagi kah yang mempercayai benda-benda mistik? Mungkin rata-rata ada di antara anda yang tidak mempercayai objek seperti ini, lagi-lagi ketika zaman semakin moden. Tapi ada segelintir masyarakat yang masih percaya seperti yang berlaku di negara jiran kita.

 

Gara-gara mempercayai sebatang pokok betik dirasuki roh jahat, seorang lelaki di Singapura dihukum penjara tiga minggu kerana mengancam keselamatan seorang wanita menggunakan pisau pemotong, menurut laporan laman berita Mothership hari ini.


Ang Say Chee, 60, pada Ogos 2019 bertindak menebang bahagian atas sebatang pokok betik milik Majlis Perbandaran Boshan-Toa Payoh kerana mendakwa pokok itu telah dirasuki oleh roh jahat.


Tindakannya disedari oleh seorang wanita berusia 70 tahun yang terdengar bunyi pokok tumbang berhampiran lokasinya. Ketika kejadian dia sedang memberi makan kepada beberapa ekor kucing.


Say Chee yang menyedari kehadiran wanita tersebut cuba merampas bekas yang mengandungi makanan kucing dari tangan mangsa dan bertindak mengacukan senjata tersebut pada kepala wanita itu.


Menurut Channel News Asia (CNA), Say Chee dikatakan tidak menyukai tindakan wanita itu memberi makanan kepada kucing. Wanita itu kemudian bertindak menghubungi polis, Say Chee ketika itu duduk di atas sebuah bangku sambil bercakap dengan diri sendiri sebelum melemparkan senjata yang digunakan.


Dia mengaku bersalah atas pertuduhan ugutan jenayah dengan mengacukan senjata berbahaya ke arah wanita tersebut dan dijatuhi hukuman penjara tiga minggu.


Menurut CNA, Say Chee mempunyai beberapa rekod jenayah lampau sejak tahun 1979 termasuk pecah rumah, membawa minuman memabukan ke hospital awam, penghinaan, rogol dan tindakan ganas yang membahayakan keselamatan. Sumber: KosmoMotherShip

Seorang Anggota Polis Mati Dengan Kesan Tembakan Di Kepala

Seorang Anggota Polis Mati Dengan Kesan Tembakan Di Kepala


SIBU - Tiga anggota polis direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes seorang konstabel yang mati tertembak oleh rakan sekerja sehingga maut di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9A di sini, semalam.


Permohonan reman sehingga 14 Mei terhadap tiga anggota, masing-masing berusia 21, 23 dan 27 tahun terbabit diluluskan oleh Majistrest Mohd Syukri Mokhtar


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, pihak patologi dari Kuching akan dihantar ke Sibu untuk melakukan bedah siasat sama ada hari ini atau esok sebelum jenazah dihantar pulang ke Pahang.


Dalam kejadian kira-kira 7 malam pada Khamis, anggota Unit Rondaan Bermotosikal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu Konstabel Norhalim Tumiran, 25, ditemukan maut dengan kesan tembakan di kepala di rumah berkenaan dalam kejadian sekitar pukul 7.20 malam.


Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang tinggal di rumah transit di IPD Sibu, datang ke rumah sewa yang didiami rakan setugasnya itu untuk bermain permainan video di ruang tamu rumah sebelum waktu berbuka.


Bagaimanapun, seorang rakan mangsa dikatakan bergurau dengan mengacukan pistol ke arah mangsa sebelum tertarik picu dan tertembak mangsa. Mangsa yang baru sebulan setengah ditugaskan di sini selepas menamatkan latihan asas kepolisan, meninggalkan seorang isteri dan seorang anak berusia setahun.


Stanley Jonathan Ringgit berkata, penghantaran balik jenazah mangsa ke kampungnya di Pahang sedang diuruskan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.


Mangsa dilaporkan maut di tempat kejadian setelah cedera parah di bahagian kanan kepala.

Khamis, 6 Mei 2021

Bakal jadi mimpi 'ngeri' serpihan roket China akan terhempas ke bumi, kemungkinan jatuh kawasan penempatan

Bakal jadi mimpi 'ngeri' serpihan roket China akan terhempas ke bumi, kemungkinan jatuh kawasan penempatan


Serpihan roket Long-March 5B milik China yang berjaya membawa modul pertama untuk Stesen Angkasa Lepas China (CCS) ke orbit, minggu lalu, dijangka kembali ke bumi. Namun 'kepulangannya' bakal menjadi mimpi ngeri kerana ia di luar kawalan dan bakal terhempas di mana-mana.


Masalah bermula apabila roket itu tidak mencapai halaju diperlukan untuk mencapai orbit ketika memasuki ruang orbit sementara Bumi dan hilang kawalan. Berdasarkan pengesan satelit, roket itu bergerak pada kelajuan lebih 6.43 kilometer per saat, kini mengelilingi bumi setiap 90 minit.


Seorang ahli astronomi yang mengesan objek mengorbit Bumi memberitahu Spacenews bahawa roket itu melintasi Bumi lebih jauh ke utara seperti New York, Madrid dan Beijing serta bahagian selatan seperti selatan Chile dan Wellington, New Zealand. Saintis tidak tahu bila ia akan terhempas, tetapi ia hampir pasti berlaku sebelum 10 Mei ini. 


Dilaporkan, serpihan daripada roket seberat 21 tan itu boleh jatuh di mana-mana sahaja dalam lingkungan kawasan terbabit. Beberapa pakar bimbang serpihan kapal angkasa itu boleh jatuh di kawasan penempatan penduduk.



The Guardian melaporkan ia bukan kejadian kali pertama serpihan kapal angkasa lepas terhempas ke bumi. Tahun lalu, salah satu serpihan kapal angkasa melepasi melepasi Los Angeles dan New York sebelum jatuh di Lautan Altantik.


"Ini petanda yang tidak baik. Sebelum ini, roket Long March 5B pernah dilancarkan dan akhirnya serpihan kapal angkasa itu jatuh sehingga merosakkan beberapa bangunan di Ivory Coast.


"Meskipun kebanyakan serpihan roket itu sudah terbakar namun batang-batang logam besar jatuh ke atas bangunan itu, nasib baik tiada sesiapa yang cedera," kata McDowell yang bekerja di Pusat Astrofizik di Universiti Harvard.


Media sebelum ini melaporkan China berjaya melancarkan modul pertama stesen angkasa lepasnya minggu lalu dengan menggunakan Long-March 5B. Modul teras Tianhe itu mempunyai peralatan sokongan hayat dan ruang tempat tinggal untuk angkasawan dilancarkan dari wilayah Hainan.


Stesen angkasa lepas Tiangong yang bermaksud Istana Syurga itu dijangka akan beroperasi pada 2022 selepas kira-kira 11 misi lagi untuk menghantar modul lain dan memasangnya di orbit. Selepas lengkap, ia adalah seberat 90 tan atau kira-kira satu perempat daripada saiz Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).


ISS yang juga kerjasama antara AS tidak akan digunakan selepas 2024, meskipun Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) menyatakan ia boleh beroperasi sehingga selepas 2028. Selepas ketiadaan ISS, stesen angkasa lepas China itu mungkin menjadi satu-satunya stesen angkasa lepas yang mengorbit bumi. Sumber: Harian MetroThe Guardian

Rabu, 5 Mei 2021

Ikan peliharaan kini boleh dibawa jalan-jalan dengan tercipta beg lutsinar Katsugyo

Ikan peliharaan kini boleh dibawa jalan-jalan dengan tercipta beg lutsinar Katsugyo


Ikan sering dijadikan haiwan peliharaan oleh sesetengah orang. Namun, berbeza dengan binatang peliharaan lain seperti anjing atau kucing yang dapat dibawa berjalan-jalan, ikan hanya dapat ditempatkan di kolam atau akuarium.


Agar pemilik dapat membawa ikan peliharaan mereka berjalan-jalan, sebuah syarikat di Jepun telah menghasilkan beg kelihatan seperti bekas yang boleh menyimpan ikan hidup bagi membolehkan haiwan peliharaan itu dibawa ke mana sahaja.


Dikenali dengan nama Katsugyo, bekas ikan mudah alih ini berbentuk seperti tiub panjang dengan bahagian tengahnya yang lutsinar. Lapor Oddity Central, bekas itu turut dilengkapi dengan pemegang serta sebuah alat pengukur bagi memantau tahap oksigen dalam air.   


Bekas ikan itu yang dibangunkan oleh syarikat Ma Corporation, menampilkan alternatif yang lebih elegan, cekap dan mesra alam berbanding cara tradisional penggunaan beg plastik berisi air. Ketika ini, Katsugyo masih dalam proses penghasilan.



Pereka beg tersebut sedang menguji inovasi itu dengan pelbagai jenis ikan termasuk yang boleh dimakan. Inovasi terbaharu itu berkembang dari semasa ke semasa dengan pelbagai fungsi ditambah baik seperti bahagian khas untuk memberi ikan makan.


Beberapa gambar dan video mengenai beg Katsugyo yang dimuat naik di laman media sosial sejak Oktober 2020 lalu, menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi daripada warganet bukan sahaja daripada penduduk Jepun, malah dari negara-negara lain.


Rata-rata pengguna laman media sosial menunjukkan minat terhadap beg itu dengan ada dalam kalangan mereka mahu mengetahui harga selain menyatakan sokongan terhadap projek tersebut.


Katsugyo boleh menyimpan ikan hidup dan dibawa ke mana sahaja. - Foto instagram katsugyo_bag

Katsugyo boleh menyimpan ikan hidup dan dibawa ke mana sahaja. - Foto instagram katsugyo_bag

Selasa, 4 Mei 2021

Gua Wonderwerk, rumah tertua dihuni manusia purba sejak 2 juta tahun dahulu.

Gua Wonderwerk, rumah tertua dihuni manusia purba sejak 2 juta tahun dahulu.


Sekumpulan ahli arkeologi berjaya menemui bukti bahawa Gua Wonderwerk di Gurun Kalahari, Afrika Selatan, merupakan rumah tertua dihuni manusia dalam sejarah. Menurut beberapa ahli arkeologi, rumah itu pernah dihuni manusia purba sejak dua juta tahun lalu.


Jurnal Quaternary Science Reviews dari pasukan Universiti Toronto, Kanada dan Universiti Hebrew Jerusalem mengesahkan usia rumah itu dengan menguji enapan dalam gua terbabit.


Pengarang utama jurnal itu, Profesor Ron Shaar berkata, menentukan usia gua itu dihuni manusia adalah tugas paling mencabar pasukan arkeologi berkenaan. Pasukan menganalisis lapisan enapan setebal 2.5 meter yang mengandungi batuan dan sisa haiwan dengan menggunakan dua kaedah, paleomagnetisme dan 'burial dating'.


"Kami dengan berhati-hati mengambil ratusan sampel enapan yang berukuran sangat kecil dari dinding gua dan mengukur isyarat magnetiknya. Analisis makmal kami menunjukkan beberapa magnet sampel terarah ke Selatan bukan ke Utara. Ini memberi petunjuk usia keseluruhan lapisan dalam gua itu," katanya.


Pasukan penyelidik turut menemui beberapa tinggalan yang digunakan manusia zaman purba seperti kapak tangan batu serta sisa abu dan tulang hangus. Ia membuktikan manusia purba yang menghuni gua itu sudah menggunakan api sekitar satu juta tahun lalu seperti disiarkan jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences pada 2012.



Tapak bersejarah dalam Gua Wonderwerk ditemui beberapa petani sekitar tahun 1940-an. Sejak itu penggalian dilakukan untuk mengungkap misteri kewujudan manusia dalam gua sekitar dua juta tahun lalu.


Pengarah bersama projek Gua Wonderwerk, Michael Chazan dari University of Toronto dan Liora Kolska Horwitz dari Koleksi Sejarah Alam Nasional Universiti Ibrani menjelaskan bahawa penemuan di Wonderwerk adalah langkah penting dalam memahami tempoh evolusi manusia di seluruh dunia .


"Dengan skala waktu yang ditetapkan untuk Gua Wonderwerk, kita dapat terus mempelajari hubungan antara evolusi manusia dan perubahan iklim, dan evolusi cara hidup nenek moyang awal manusia kita," kata Chazan. - Sumber CNN Indonesia.