Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan

Selasa, 25 Mac 2025

Wanita ditemui mati selepas doktor tersilap cabut gigi yang sihat

Wanita ditemui mati selepas doktor tersilap cabut gigi yang sihat


Seorang wanita ditemui maut akibat kesilapan doktor yang mencabut gigi salah dan menyebabkan dia menderita kesakitan berpanjangan.


Mangsa, Wu, 34, dari wilayah Anhui, menjalani prosedur di Hospital Perbandaran Anqing pada 12 Mac lalu untuk mencabut gigi geraham bongsu.


Doktor tersilap mencabut gigi yang sihat sebelum memasukkannya semula secara paksa dan mengikatnya dengan dawai bersama beberapa gigi lain tanpa anestesia atau ubat tahan sakit.


Akibatnya, Wu mengalami kerosakan gigi, bengkak muka, tidak boleh makan dan hanya mampu minum air selama beberapa hari. Kesakitan itu juga mengganggu tidurnya.


Dia telah melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa tetapi tiada tindakan diambil. Wu juga memuat naik video menangis di media sosial, mendakwa rekod perubatannya diubah untuk menutup kesilapan doktor.


Wu kembali ke hospital pada 17 Mac untuk berbincang tetapi kemudian ditemui terjatuh dari tingkat 11 hospital berkenaan dan disahkan meninggal dunia.


Suaminya berkata, polis tidak menemui unsur jenayah dalam kejadian itu, manakala keluarganya menolak tawaran pampasan sebanyak 100,000 yuan (RM61,266).


Hospital mengesahkan doktor terlibat telah digantung tugas, dan kes ini sedang disiasat oleh pihak kesihatan dan polis.


Kes ini menarik perhatian ramai di media sosial China, dengan lebih 100 juta tontonan dan kecaman terhadap kecuaian hospital tersebut. - Sumber SCMP.


Seorang wanita ditemui maut akibat kesilapan doktor yang mencabut gigi salah dan menyebabkan dia menderita kesakitan berpanjangan. - Foto Mothership.

Rabu, 19 Mac 2025

Pemandu e-hailing, teksi berbalas tumbukkan gara-gara berebut parkir

Pemandu e-hailing, teksi berbalas tumbukkan gara-gara berebut parkir


Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan pergaduhan antara pemandu teksi dengan pemandu e-hailing gara-gara berebut parkir, lapor laman berita Kompas.com pada 16 Mac 2025.


Kejadian berlaku di depan Apartmen Kalibata City, Pancoran, Jakarta Selatan pada Sabtu lalu (15/3/2025).


Ketua Polis Pancoran, Komisioner Mansur berkata, pergaduhan antara dua pemandu itu bermula selepas kedua-dua mereka saling bertikam lidah dan merakam video.


"Mereka berebut parkir yang biasanya digunakan oleh kenderaan e-hailing. 


"Tiba-tiba sahaja ada teksi elektrik mahu parkir di situ dan tiada ruang kosong untuknya. Ia menyebabkan kekecohan berlaku dan mereka saling memukul," katanya.


Tambah Mansur, kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis, manakala kes itu sedang disiasat.


"Kedua-duanya membuat laporan kerana dipukul," jelasnya. - Sumber Kompas.com


Kedua-dua pemandu saling merakam video ketika bertengkar. - Foto Kompas/Seputar Jaksel.

Isnin, 17 Mac 2025

Individu jual air limau RM10, mihun sup RM20 rupanya peniaga haram

Individu jual air limau RM10, mihun sup RM20 rupanya peniaga haram


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDNWPKL) menerima empat aduan melibatkan bazar Ramadan menerusi sistem a-aduan.


KPDNWPKL dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menjalankan penguatkuasaan melalui Ops Pantau dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


"Tiga daripadanya susulan video viral melibatkan air limau harga RM10, mihun sup harga RM20 di Bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dan kuih apam talam (tambah kelapa parut RM2) di Bazar Ramadan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).


"Siasatan anggota penguat kuasa mendapati, individu menjual air limau dan mihun sup adalah peniaga haram dan tidak lagi berniaga di lokasi tersebut, manakala peniaga apam talam tidak beroperasi," katanya dalam kenyataan.


Sehubungan itu, KPDNWPKL berkata, lawatan dan pemeriksaan semula akan dijalankan oleh anggota penguat kuasa selama mana bazar beroperasi Ramadan ini.


Tangkap layar video tular air limau yang didakwa dijual pada harga RM10 di bazar Ramadan Jalan TAR. - Foto Kosmo Online.

Sabtu, 15 Mac 2025

Remaja bakar 3 gerabak kereta api kerana sakit hati diarah turun sebanyak 9 kali tidak memiliki tiket

Remaja bakar 3 gerabak kereta api kerana sakit hati diarah turun sebanyak 9 kali tidak memiliki tiket


Pihak berkuasa Indonesia menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dari Jakarta selepas membakar tiga gerabak kereta api di landasan Stesen Tugu, Yogyakarta, lapor portal berita Tribunnews semalam.


Suspek, yang dikenali sebagai M ditahan di kawasan Malioboro hanya beberapa jam selepas menyalakan api menggunakan kadbod dalam satu daripada gerabak, lalu menyebabkan kebakaran merebak.


Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan M membakar sekeping kadbod sebelum dicampakkan ke dalam gerabak kereta api.


Pesuruhjaya FX Endriadi dari Direktorat Siasatan Jenayah Polis Yogyakarta mendedahkan bahawa siasatan mendapati kebakaran berpunca daripada kekecewaan suspek yang kerap diusir dari kereta api kerana tidak memiliki tiket sah.


"Suspek kerap dikeluarkan dari kereta api sebelum tiba di destinasi," katanya yang dipetik oleh MetroTV. Rekod menunjukkan bahawa antara 2023 hingga 2024, dia diarahkan turun dari kereta api sebanyak sembilan kali kerana tidak memiliki tiket.


Rakaman CCTV dan keterangan saksi membawa kepada penahanan remaja itu.


Memandangkan remaja berkenaan berstatus orang kurang upaya (OKU) dan tidak boleh bertutur, pihak polis menggunakan khidmat jurubahasa isyarat semasa sesi soal siasat.


Endriadi turut memaklumkan bahawa remaja terbabit dirujuk untuk penilaian psikiatri selama dua minggu.


Insiden kebakaran yang berlaku pada Rabu sekitar 6.44 pagi waktu tempatan berjaya dipadamkan sepenuhnya menjelang 7.30 pagi tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.


Perkhidmatan kereta api juga tidak terjejas. Ekoran kejadian itu, operator kereta api PT Kereta Api Indonesia berjanji untuk memperketat kawalan keselamatan serta meneliti isu kebolehcapaian bagi individu kurang upaya dalam pengangkutan awam.


Insiden kebakaran yang berlaku pada Rabu sekitar 6.44 pagi waktu tempatan berjaya dipadamkan sepenuhnya menjelang 7.30 pagi tanpa sebarang kecederaan dilaporkan. - Foto BPBD Yogyakarta.

Khamis, 13 Mac 2025

Lori kumbahan jatuh longkang, penduduk terpaksa tahan bau busuk najis

Lori kumbahan jatuh longkang, penduduk terpaksa tahan bau busuk najis


Sebuah kawasan kejiranan diselubungi bau busuk apabila tayar belakang sebuah lori kumbahan jatuh ke dalam longkang, menyebabkan tangkinya bocor dan air najis melimpah.


Laman berita MS News melaporkan, kejadian itu dirakam menerusi kamera televisyen litar tertutup (CCTV) seorang pemilik rumah pada Sabtu (8 Mac) kira-kira pukul 2.20 petang (waktu tempatan) di wilayah Roi Et, timur utara Thailand.


Ia berlaku apabila lori itu mengundur tetapi tayar belakang kirinya memasuki longkang saluran air yang tidak mempunyai penutup kukuh.


Keadaan itu menyebabkan tangki kenderaan tersebut bocor sebelum air sisa kumbahan melimpah dengan banyak.


Pemilik rumah tersebut berkongsi video rakaman kejadian di laman Facebook dan menjelaskan bahawa dia telah membuat aduan kepada majlis perbandaran agar menutup longkang tersebut, namun aduannya tidak diendahkan.


"Seluruh jalan berbau najis," tulisnya.


Dalam kemas kini pada hari berikutnya, majlis perbandaran dilaporkan sudah menghantar kenderaan dan pekerja untuk membantu kerja-kerja pembersihan. - Sumber MS News.


Air najis melimpah dari tangki lori kumbahan. - Foto Facebook.

Selasa, 11 Mac 2025

Lelaki putus cinta menangis teresak-esak, baring di tengah jalan raya

Lelaki putus cinta menangis teresak-esak, baring di tengah jalan raya


Seorang lelaki mengundang perhatian ramai kerana meniarap sambil menangis di tengah jalan raya selepas putus cinta dengan teman wanitanya, lapor portal berita Abatanews pada 10 Mac 2025.


Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @fakta.indo memaparkan lelaki itu berbaring di atas jalan sebelum dipujuk oleh warga setempat.


Dia menangis teresak-esak sehingga jalan tersebut menjadi basah. Kejadian berlaku di Blitar, wilayah Jawa Timur.


Perbuatan itu menyebabkan pengguna jalan raya terganggu dan terpaksa memandu kenderaan mereka di laluan bertentangan.


Tidak diketahui secara pasti mengapa pemuda itu terbaring di tengah jalan sambil menangis. Namun, dia diduga patah hati selepas putus cinta.


"Seorang pemuda di Blitar terbaring di tengah jalan sambil menangis di utara Terminal Patria. Tindakan melulu ini disangka berpunca daripada patah hati selepas putus cinta," tulis akaun @fakta.indo dalam kenyataan video itu.


Tiba-tiba kejadian itu menjadi tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai komen netizen. Beberapa netizen berasa simpati dengan apa yang dialami pemuda itu.


Sementara itu, netizen lain memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.


"Cinta itu tidak selama-lamanya indah. Seeloknya pergi kerja, cari duit banyak," kata seorang netizen.


"Yang putus cinta seorang sahaja, yang terjejas semua pengguna jalan raya," kata netizen lain. - Sumber Abata News.


Tangkap layar menunjukkan lelaki itu berbaring sambil menangis di tengah jalan selepas putus cinta. - Foto Instagram.

Isnin, 10 Mac 2025

Pesohor 'cosplay' wanita meninggal dunia selepas dua hari tidak jamah makanan

Pesohor 'cosplay' wanita meninggal dunia selepas dua hari tidak jamah makanan


Kematian seorang pesohor 'cosplay' berusia 24 tahun mencetuskan kesedihan besar kepada pengguna internet di China yang bersimpati dengan keadaan kewangan mangsa, lapor portal berita South China Morning Post (SCMP) pada 8 Mac 2025.


Menurut saluran berita QQ, keluarga pesohor itu, Maoyouyou atau nama sebenarnya Shi Ye berkata di media sosial bahawa dia meninggal dunia pada pukul 5.20 petang (waktu tempatan), 25 Februari lalu.


"Kami tahu masih ramai menyukainya. Jadi, kami tidak akan membatalkan nombor telefon bimbitnya atau akaun media sosialnya," kata kenyataan keluarga Shi Ye.


Menurut beberapa peminat sehari sebelum kematiannya, Maoyouyou berasa lemah semangat dengan menyatakan dia mempunyai status mental yang lemah ketika melakukan penstriman video.


Gadis itu juga mendedahkan bahawa dia tinggal di flat yang disewa di Beijing selama tiga tahun tetapi tidak mempunyai wang untuk membayar sewa selama beberapa bulan.


Menyifatkan dirinya sebagai 'di ambang kematian', Maoyouyou berkata, dia tidak makan selama dua hari dan tidak mempunyai selera.


Beberapa jam sebelum kematiannya, gadis itu berkata di media sosial bahawa dia tidak akan bertemu lagi dengan pengikutnya. - Sumber South China Morning Post.


Gambar fail Maoyouyou. - Foto 163.com.